sepsis
Sepsis adalah penyakit yang mengancam nyawa dan berlaku disebabkan tindak balas badan anda terhadap jangkitan.

Sepsis adalah penyakit yang mengancam nyawa dan berlaku disebabkan tindak balas badan anda terhadap jangkitan. Sistem imun anda melindungi badan anda daripada banyak penyakit dan jangkitan, tetapi ada juga kemungkinan bahawa ia boleh menjadi berlebihan sebagai tindak balas terhadap jangkitan.

Seterusnya, penyakit sepsis berkembang apabila bahan kimia dalam sistem imun dilepaskan ke dalam saluran darah untuk melawan jangkitan. Tetapi, ia sebaliknya menyebabkan keradangan di seluruh tubuh. Kes-kes sepsis yang parah boleh menyebabkan kejutan septik dan merupakan satu kecemasan perubatan.  

Terdapat lebih 1.5 juta kes bagi keadaan ini setiap tahun, menurut Pusat bagi Pencegahan Penyakit (Centres for Disease Control – CDC). Jangkitan jenis ini juga telah membunuh lebih daripada 250,000 orang Amerika dalam masa setahun.

Simptom Sepsis

Gejala sepsis boleh bermula di bahagian tubuh yang berlainan dengan pelbagai simptom yang berbeza. Tanda-tanda awal mungkin termasuk pernafasan yang cepat dan kekeliruan. Selain itu, tanda-tanda amaran yang lain termasuk: 

  • Demam dan badan yang menggigil.
  • Suhu badan yang sangat rendah.
  • Kurang membuang air kecil daripada kebiasaan.
  • Nadi berdenyut dengat cepat.
  • Bernafas dengan cepat.
  • Loya dan muntah.
  • Cirit-birit.

Punca Sepsis

Sebarang jangkitan boleh mencetuskan sepsis, tetapi jenis jangkitan berikut lebih cenderung untuk menyebabkan sepsis:

  • Keradangan paru-paru (pneumonia).
  • Jangkitan abdomen.
  • Jangkitan buah pinggang.
  • Jangkitan saluran darah.

Menurut pakar, jumlah kes sepsis meningkat pada setiap tahun. Kenaikan kes ini mungkin berlaku kerana faktor-faktor seperti:

  • Populasi yang semakin tua, kerana sepsis lebih biasa berlaku dalam kalangan warga emas.
  • Peningkatan rintangan antibiotik, yang berlaku apabila antibiotik hilang keupayaannya untuk menahan atau membunuh bakteria.

Diagnosis Sepsis

Jika anda mempunyai gejala sepsis, doktor akan meminta anda melakukan ujian sebelum diagnosis dibuat. Ujian ini juga perlu bagi menentukan tahap keparahan jangkitan anda.

Salah satu ujian yang pertama ialah ujian darah. Darah anda akan diperiksa untuk mengesan komplikasi seperti:

  • Jangkitan.
  • Masalah pembekuan darah.
  • Fungsi hati atau buah pinggang yang tidak normal.
  • Jumlah oksigen yang menurun.
  • Ketidakseimbangan mineral yang dipanggil elektrolit dan memberi kesan kepada jumlah air dalam badan serta tahap asid dalam darah anda. 

Bergantung pada gejala dan keputusan ujian darah anda, doktor boleh mengarahkan anda membuat ujian lain, termasuk:

  • Ujian rembasan luka – untuk memeriksa luka terbuka yang boleh dijangkiti.
  • Ujian rembesan mukus – untuk mengenal pasti kuman yang bertanggungjawab menyebabkan jangkitan.

Sekiranya doktor tidak dapat menentukan sumber jangkitan menggunakan ujian di atas, mereka boleh mengarahkan ujian lain untuk mendapatkan gambaran dalaman badan anda menggunakan salah satu daripada yang berikut:

  • Sinar-X untuk melihat keadaan paru-paru.
  • Imbasan CT untuk melihat jangkitan yang mungkin berada di apendiks, pankreas atau bahagian usus.
  • Ultrabunyi untuk melihat jangkitan dalam pundi hempedu atau ovari.
  • Imbasan MRI yang boleh mengenal pasti jangkitan pada tisu lembut.

Faktor Risiko Sepsis

Sepsis dan kejutan septik adalah lebih biasa berlaku jika anda:

  • Berumur sangat muda atau sangat tua.
  • Mempunyai sistem imun yang dikompromi.
  • Mempunyai penyakit kencing manis atau sirosis.
  • Sudah sangat sakit, selalu dimasukkan ke unit penjagaan rapi hospital.
  • Mempunyai luka atau kecederaan, seperti luka terbakar.
  • Mempunyai peranti invasif, seperti kateter intravena atau tiub bernafas.
  • Pernah menerima antibiotik atau kortikosteroid.

Rawatan Sepsis

Jika doktor mempercayai bahawa anda mungkin mempunyai sepsis, dia akan melakukan pemeriksaan dan menjalankan ujian untuk mencari perkara berikut:

  • Bakteria dalam darah atau cecair badan lain.
  • Sumber jangkitan (doktor boleh menggunakan sinar-X, imbasan CT atau ultra bunyi).
  • Kiraan sel darah putih yang tinggi atau rendah.
  • Kiraan platelet yang rendah.
  • Tekanan darah rendah.
  • Terlalu banyak asid dalam darah (asidosis).
  • Fungsi buah pinggang atau hati yang berubah.

Jika anda mempunyai sepsis, doktor mungkin akan meletakkan anda di unit rawatan intensif hospital (ICU). Di sana, dia akan cuba menghentikan jangkitan, memelihara fungsi organ penting dan mengawal tekanan darah anda (cecair IV dan oksigen tambahan dapat membantu menangani masalah ini). 

Sebaik sahaja doktor mengenal pasti punca yang menyebabkan sepsis anda, dia akan memberikan ubat yang mensasarkan jenis kuman spesifik. Selalunya, doktor juga akan menetapkan vasopressors (ubat-ubatan yang menyebabkan saluran darah menjadi sempit) untuk memperbaiki tekanan darah anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/sepsis

https://www.healthline.com/health/sepsis

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/sepsis-septicemia-blood-infection#1

Summary
Sepsis - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Sepsis - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Sepsis adalah penyakit yang mengancam nyawa dan berlaku disebabkan tindak balas badan anda terhadap jangkitan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: