Sarkoma Tisu Lembut adalah sejenis kanser yang jarang berlaku yang bermula di tisu yang menghubungkan, menyokong dan mengelilingi struktur badan lain. Ini termasuklah otot, lemak, saluran darah, saraf, tendon dan lapisan sendi anda.
Terdapat lebih daripada 50 sub jenis Sarkoma Tisu Lembut. Sesetengah jenisnya boleh memberi kesan kepada kanak-kanak, sementara yang lain boleh menjejaskan kebanyakan individu dewasa. Tumor Sarkoma sukar untuk didiagnosis kerana berkemungkinan untuk disalah anggap dengan jenis ketumbuhan yang lain.
Keadaan ini boleh berlaku di mana sahaja di dalam badan anda tetapi ia yang sering muncul di lengan, kaki, dan perut.
Pembuangan tumor melalui pembedahan penyingkiran adalah rawatan yang paling biasa dilakukan. Selain itu, terapi radiasi dan kemoterapi juga mungkin disyorkan oleh doktor bergantung kepada saiz ukuran, jenis, lokasi dan tahap keagresifan tumor tersebut.
Jenis Sarkoma Tisu Lembut
Terdapat beberapa jenis Sarkoma Tisu Lembut, antaranya:
1. Angiosarcoma
2. Dermatofibrosarcoma protuberans
3. Sarkoma epithelioid
4. Tumor stromal gastrointestinal (GIST)
6. Leiomyosarcoma
7. Liposarcoma
8. Tumor perut saraf pinggang malignan
9. Myxofibrosarcoma
10. Sarkoma pleomorphic
11. Rhabdomyosarcoma
12. Tumor berserabut tunggal
13. Sarkoma sinovial
14. Sarkoma pleomorphic yang tidak dapat dijelaskan
Simptom Sarkoma Tisu Lembut
Tanda dan simptom bagi keadaan ini termasuklah:
- Benjolan atau ketulan jisim. Ketulan akan terbentuk di kawasan pertumbuhan tumor dan ia mungkin disertai oleh rasa sakit jika ia menekan pada saraf atau otot.
Walaupun benjolan selalunya tidak menyakitkan, jika ia terus membesar atau ia muncul di dalam rongga pada badan anda, anda perlu berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.
- Bengkak pada lengan dan kaki yang menyebabkan ketidakselesaan merupakan salah satu tanda penyakit sarcoma tisu lembut.
- Pergerakan yang terhad. Sesetengah tumor Sarkoma Tisu Lembut boleh menghalang pergerakan anda, seperti tumor yang terdapat di pinggul, lutut, bahu atau tangan.
- Luka pada kulit boleh berlaku apabila tumor Sarcoma pecah melalui kulit.
Oleh kerana tumor Sarkoma boleh terbantuk hampir di mana-mana sahaja dalam badan, ia boleh menjejaskan pelbagai organ. Simptom lain yang mungkin dialami bergantung kepada lokasi tumor tersebut. Sebagai contoh, Sarkoma di dalam perut boleh menyebabkan sakit perut, muntah atau Sembelit. Manakala Sarkoma dalam rahim pula boleh menyebabkan pendarahan faraj dan/atau Sakit Perut. Tumor stromal gastrointestinal (GISTs – Gastrointestinal Stromal Tumor) pula mengakibatkan anda berasa kenyang selepas makan makanan yang sedikit, atau anda mungkin muntah darah atau mengalami perubahan warna najis menjadi lebih gelap.
Punca Sarkoma Tisu Lembut
Doktor masih tidak pasti punca kanser ini berlaku tetapi beberapa perkara didapati boleh meningkatkan kemungkinan anda menghidapinya:
- Sejarah penyakit keluarga. Ada ahli keluarga anda yang mempunyai penyakit tertentu yang diwarisi daripada ibu bapa anda. Antaranya termasuklah Neurofibromatosis dan Sindrom Gardner, iaitu gangguan yang menggalakkan pertumbuhan tumor di bahagian badan anda.
- Pendedahan kepada bahan kimia tertentu seperti arsenik, vinil klorida, atau dioksin.
- Pendedahan kepada radiasi termasuklah semasa rawatan radiasi untuk jenis kanser lain.
Diagnosis Sarkoma Tisu Lembut
Oleh kerana terdapat begitu banyak jenis Sarkoma Tisu Lembut, adalah amat penting untuk menentukan sifat sebenar setiap tumor supaya anda dapat memilih rawatan yang terbaik.
– Ujian pengimejan
Untuk menilai tahap simptom Sarkoma Tisu Lembut anda, doktor mungkin akan menggunakan:
- Sinaran-X-ray
- Imbasan tomografi berkomputer (CT scan)
- Pencitraan resonans magnetic (MRI)
- Tomografi pelepasan Positron (PET)
– Biopsi
Sekiranya anda disyaki menghidap Sarkoma Tisu Lembut, perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah untuk mencari penjagaan di pusat perubatan yang mempunyai ramai pesakit yang menghidapi kanser jenis ini.
Doktor yang berpengalaman akan memilih teknik biopsi terbaik untuk memastikan rawatan dan perancangan pembedahan yang betul. Pilihan tersebut termasuklah:
- Biopsi jarum teras. Cebisan tumor boleh didapati melalui kaedah ini, dengan menggunakan beberapa tiub kecil.
- Biopsi pembedahan. Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mencadangkan pembedahan untuk mendapatkan sampel tisu yang lebih besar atau mengeluarkan tumor kecil sepenuhnya.
Faktor Risiko Sarkoma Tisu Lembut
Beberapa faktor risiko umum bagi Sarkoma Tisu Lembut termasuklah:
- Umur: Walaupun Sarkoma Tisu Lembut boleh berlaku pada individu pelbagai peringkat umur, ia lebih sering menyerang individu dewasa berusia melebihi 50 tahun.
- Keturunan: Sesetengah keadaan genetik dianggap sebagai faktor risiko untuk Sarkoma Tisu Lembut. Ia termasuklah:
- Poliposis adenomatous familial (FAP)
- Retinoblastoma
- Neurofibromatosis jenis 1 (penyakit von Recklinghausen atau NF1)
- Sindrom Li-Fraumeni
Rawatan Sarkoma Tisu Lembut
Pilihan rawatan tersedia bagi Sarkoma Tisu Lembut bergantung pada saiz, jenis dan lokasi tumor anda.
– Pembedahan
Pembedahan adalah rawatan paling biasa bagi Sarkoma Tisu Lembut. Pembedahan akan melibatkan pembuangan kanser dan beberapa tisu yang sihat di sekelilingnya.
Sekiranya Sarkoma Tisu Lembut menjejaskan lengan dan kaki anda, radiasi dan kemoterapi mungkin boleh membantu mengecilkan tumor bagi mengelakkan amputasi anggota badan yang terlibat.
– Terapi radiasi
Terapi radiasi melibatkan rawatan kanser dengan menggunakan sinaran tenaga bertenaga tinggi. Pilihan yang tersedia termasuklah:
- Sebelum pembedahan. Radiasi sebelum pembedahan dapat membantu mengecilkan tumor supaya ia lebih mudah untuk dikeluarkan.
- Semasa pembedahan. Radiasi intraoperatif menggunakan dos radiasi yang lebih tinggi secara terus ke kawasan sasaran. Ia boleh menyelamatkan tisu di sekeliling di samping membuang tumor.
- Selepas pembedahan. Radiasi pasca operasi boleh membantu membunuh sisa sel-sel kanser yang tertinggal.
– Kemoterapi
Kemoterapi adalah sejenis rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel-sel kanser. Kemoterapi boleh diberikan melalui pil atau disuntik melalui urat (intravena). Sesetengah bentuk Sarcoma Tisu Lembut bertindak balas dengan lebih baik kepada kemoterapi daripada jenis yang lain. Sebagai contoh, kemoterapi sering digunakan untuk merawat Rhabdomyosarcoma.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/soft-tissue-sarcoma/symptoms-causes/syc-20377725
https://www.webmd.com/cancer/soft-tissue-sarcoma#1
https://www.cancer.org/cancer/soft-tissue-sarcoma/about/soft-tissue-sarcoma.html