cara tingkatkan sistem imun
Setiap orang dilahirkan dengan sistem imun yang berbeza, namun terdapat cara tingkatkan sistem imun anda bagi menghindari COVID-19.

Setiap orang dilahirkan dengan sistem imun yang berbeza, namun terdapat cara tingkatkan sistem imun anda bagi menghindari COVID-19. Makan makanan yang baik, tidur secukupnya serta mengurangkan stres adalah cara yang bagus bagi mengekalkan kekebalan imuniti anda.

Sistem imun anda merupakan lapisan pertama pertahanan tubuh badan terhadap penyakit. Jadi secara logik, sudah tentulah anda mahu meningkatkan kekebalan sistem imun anda terutamanya sewaktu musim demam dan selesema, serta penularan wabak Coronavirus (COVID-19) yang melanda negara ini.

Semua orang dilahirkan dengan sistem imun yang berbeza, namun terdapat sesetengah perkara yang boleh anda lakukan bagi meningkatkan kekuatannya. Mengekalkan kesihatan sistem imun memerlukan anda menjaga tubuh badan dengan baik.

Bagaimanakah sistem imun bertindak?

Sistem imun diperbuat daripada pelbagai lapisan pertahanan. Ini termasuklah rintangan fizikal seperti kulit, cilia (rerambut kecil) yang berada di saluran pernafasan, dan sel-sel khas yang mengenalpasti dan menyerang bendasing seperti virus dan bakteria.

Selain itu, segelintir sel-sel imun adalah tidak spesifik dan ia boleh memusnahkan semua bahan yang kelihatan asing. Sel-sel lain pula menghasilkan antibodi yang mengenalpasti dan menyerang penanda protein (digelar antigen) pada permukaan kuman.

Malah, ia juga berupaya untuk mengenalpasti patogen yang telah terdedah pada diri anda sebelum melancarkan tindak balas tertentu terhadapnya. Hal inilah yang menyebabkan anda sukar untuk jatuh sakit apabila terdedah kepada kuman.

Bagaimanakah untuk meningkatkan sistem imun?

Terdapat beberapa pendekatan sains yang anda boleh lakukan bagi meningkatkan sistem imun, yang mana kebanyakannya disyorkan bagi kesejahteran umum:

  1. Mengawal pengambilan arak

Pengambilan arak secara berlebihan dikatakan boleh menahan fungsi imun. Tambahan lagi, arak boleh menyebabkan dehidrasi walhal hidrasi adalah penting bagi melindungi diri anda daripada penyakit. Apabila anda mengalami masalah dehidrasi, sel dalam badan tidak boleh berfungsi pada tahap maksimum justeru memudahkan badan anda untuk jatuh sakit.

Menolak pelawaan minum arak
  1. Mengurangkan tahap tekanan/ stres

Stres mungkin kedengaran tidak berbahaya setelah anda berjaya mengatasinya. Namun begitu, kajian telah menemui bahawa stres boleh mengubah atau menahan sistem imun dan menjadikan badan anda lebih mudah terdedah kepada jangkitan.

Secara khususnya, kajian telah menunjukkan bahawa stres merangsang pengeluaran hormon kortisol yang bertindak meningkatkan keradangan dalam badan anda. Stres yang kronik pula boleh mengganggu keupayaan sel darah putih melawan jangkitan lalu membuatkan anda lebih mudah dijangkiti virus.

  1. Makan sayur dan buah dalam kadar yang banyak

Menerapkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian boleh membantu sistem imun anda. Sayur dan buah melindungi badan dengan antioksidan yang diperlukan untuk melawan tekanan oksidatif, termasuklah penyakit.

Tidak pasti berapa banyak sayur dan buah-buahan yang anda perlukan? Mengikut panduan diet, seseorang yang mengambil 2000 kalori dalam sehari perlu makan sebanyak 2 cawan buah dan 2.5 cawan sayur setiap hari. Antara pilihan hidangan adalah: Sayur berdaun hijau, lada benggala, buah sitrus, keledek dan buah beri.

  1. Meningkatkan pengambilan vitamin D

Vitamin D memainkan peranan penting dalam menyokong sistem imun dengan cara membantu badan anda menghasilkan antibodi yang boleh melawan jangkitan.

Bahan ini aktif disebarkan ke bahagian yang berbeza dalam badan anda termasuklah tulang, usus, kolon, otak dan sistem imun di mana ia mengikat reseptor pada sel-sel tersebut dan menukarkannya.

Walau bagaimanapun, ramai individu tidak mendapatkan vitamin D yang mencukupi. Secara umum, badan anda menghasilkan vitamin D melalui sinaran UV, namun anda juga boleh mendapatkannya daripada makanan yang kaya dengan vitamin D seperti ikan dan makanan laut berlemak, cendawan, telur dan makanan yang diperkaya. Sekiranya anda mengesyaki anda mengalami masalah kekurangan vitamin D dan ingin mengambil suplemen tertentu, berundinglah dengan doktor terlebih dahulu. Doktor boleh menjalankan ujian darah bagi menentukan dos yang sesuai dengan diri anda.

  1. Tidur secukupnya

Tidur yang cukup merupakan kunci utama bagi sistem imun yang kuat. Mendapatkan tidur yang cukup membantu badan anda untuk pulih daripada stres harian, sama ada dari segi fizikal atau mental serta menggalakkan fungsi sistem imun yang lebih baik.

Sekiranya anda tidak cukup tidur, badan anda akan kurang menghasilkan protein pelindung digelar cytokines, yang mana ia diperlukan oleh tindak balas imun anda apabila mengatasi jangkitan atau keradangan sewaktu stres.

Jadi berapa banyak tidur yang anda perlukan? Yayasan Tidur Kebangsaan menyatakan bahawa seorang dewasa berumur 64 tahun ke bawah memerlukan 7 hingga 9 jam tidur manakala individu dewasa berusia 65 tahun ke atas perlu tidur selama 7 hingga 8 jam.

Bangun daripada tidur dalam keadaan segar
  1. Basuh tangan dengan kerap

Basuh tangan secara berkala boleh mengelakkan virus dan bakteria dari memasuki mata, hidung dan mulut anda, justeru itu meningkatkan kekebalan sistem imun anda. Tabiat ini mengurangkan pendedahan anda terhadap pelbagai bakteria dan melindungi sistem imun daripada tertindas. Anda disyorkan membasuh tangan bersama sabun dan air selama 20 saat.

Membasuh tangan dengan cara yang betul
  1. Lakukan rutin senaman harian

Aktif secara fizikal boleh mengalang patogen daripada memasuki paru-paru dan saluran pernafasan anda justeru itu mengurangkan risiko anda menghidap selesema, demam atau penyakit lain. Senaman juga meningkatkan antibodi dan sel darah putih, mengakibatkan peredarannya secara meluas dalam seluruh badan anda. Oleh itu, sebarang penyakit lebih mudah untuk dikenalpasti oleh antibodi anda.

  1. Berhenti merokok

Merokok adalah tabiat yang sangat buruk bagi kesihatan, malah ia juga boleh merosakkan sistem imun anda. Sebagai contoh, merokok melumpuhkan cilia yang tergolong dalam lapisan pertahanan pertama tubuh badan yang melindungi anda dari jangkitan pernafasan. Apabila ia lumpuh, kuman lebih mudah memasuki paru-paru anda, lalu menyebabkan batuk dan bersin.

Kesimpulannya,

Mengamalkan gaya hidup tertentu boleh menguatkan sistem imun badan anda. Walau bagaimanapun, ianya tidak dinafikan bahawa anda masih boleh terdedah dengan penyakit. Tetapi, dengan melakukan perkara yang terbaik untuk meningkatkan daya tahan sistem imun anda, ia menjadikan tubuh badan anda lebih bersedia untuk melawan sebarang virus pada masa akan datang.

SUMBER

https://www.mdlinx.com/article/how-to-boost-your-immune-system-during-the-covid-19-pandemic/6GxvKGdUM347AWRCTr4UAb

https://www.news-medical.net/news/20200331/How-to-boost-your-immune-system-to-fight-coronavirus.aspx

https://www.narayanahealth.org/blog/boost-immune-system-against-coronavirus-covid-19-infection/

Summary
Article Name
8 Cara Tingkatkan Sistem Imun Anda Bagi Menghindari COVID-19
Description
Setiap orang dilahirkan dengan sistem imun yang berbeza, namun terdapat cara tingkatkan sistem imun anda bagi menghindari COVID-19.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: