Pesakit cacar monyet dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti

LONDON: Ketua pakar kesihatan di United Kingdom (UK) memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti melakukan hubungan intim buat sementara waktu bagi mengelakkan penularan.

Menerusi garis panduan yang dikeluarkan, sejumlah agensi kesihatan utama UK menasihatkan semua pesakit cacar monyet untuk tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu selepas dijangkiti.

Sekiranya ada pesakit yang ingin melakukan hubungan itu, maka mereka digalakkan untuk memakai kondom sebagai perlindungan.

“Pesakit cacar monyet perlu fokus untuk memulihkan diri daripada jangkitan dengan mengelakkan sebarang sentuhan fizikal dalam tempoh lapan minggu, termasuk melakukan hubungan intim.

“Setakat ini, tiada bukti menunjukkan cacar monyet menjejaskan sistem seksual, namun bekas pesakit masih perlu memakai kondom jika ingin melakukan hubungan seks,” menurut garis panduan tersebut.

Selain itu, garis panduan itu menegaskan, pesakit perlu mengelakkan berjumpa atau melakukan sentuhan fizikal sehingga kesan cacar mereka sembuh dan kering.

Katanya, kes penularan dapat dikurangkan sekiranya masyarakat mengikut tahap piawaian kebersihan secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penularan virus cacar monyet yang berlaku ketika ini dilihat tidak akan menjadi pandemik seperti kebimbangan banyak pihak.

Britain menjadi negara pertama merekodkan jangkitan tersebut pada 7 Mei dan sehingga kini, hampir 400 kes dicatatkan di puluhan negara di seluruh dunia.

Pakar cacar monyet WHO, Rosamund Lewis menyatakan, agensi itu tidak melihat wabak berkenaan akan menjadi pandemik.

See Also
lozenges

“Kami tidak rasa cacar monyet akan bertukar menjadi pandemik, namun itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dengan apa yang berlaku.

“Adalah lebih bagus jika kita dapat mencegah penularan virus itu daripada merebak lebih teruk,” ujarnya. – AFP

Sumber : Utusan Malaysia

error: Content is protected !!