ujian air kencing
Urinalisis adalah satu siri ujian pada air kencing anda. Doktor menggunakannya untuk memeriksa tanda-tanda bagi keadaan atau penyakit biasa.

Urinalisis adalah satu siri ujian pada air kencing anda. Doktor menggunakannya untuk memeriksa tanda-tanda bagi keadaan atau penyakit biasa. Nama-nama lain untuknya ialah ujian air kencing, analisis air kencing dan UA.

Anda mungkin menjalani ujian air kencing sebagai pemeriksaan rutin kesihatan keseluruhan anda, misalnya sebagai bahagian ujian fizikal tahunan. Ia adalah salah satu cara untuk mencari penyakit tertentu di peringkat awal seperti:

Doktor anda juga mungkin mahu menguji air kencing anda jika anda sedang bersedia untuk menjalani pembedahan atau akan dimasukkan ke hospital. Malah, urinalisis juga boleh menjadi sebahagian daripada pemeriksaan bagi kehamilan juga.

Jika anda mempunyai gejala masalah buah pinggang atau saluran kencing, anda mungkin perlu melakukan ujian ini untuk membantu mengetahui masalahnya. Gejala tersebut termasuklah:

  • Sakit di perut anda.
  • Sakit di belakang anda.
  • Sakit semasa anda kencing atau perlu kerap pergi ke tandas.
  • Darah dalam air kencing anda.

Anda juga boleh menjalani ujian ini dengan kerap jika anda mempunyai keadaan seperti penyakit buah pinggang yang perlu diperiksa dari semasa ke semasa.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Terdapat tiga cara untuk menganalisis air kencing, dan ujian anda mungkin menggunakan semua kaedah tersebut. Pertama ialah pemeriksaan visual, yang memeriksa warna dan kejelasan air kencing. Jika air kencing anda mempunyai darah di dalamnya, ia mungkin berwarna merah atau coklat gelap. Kehadiran buih pula boleh menjadi petanda bagi penyakit ginjal, sementara air kencing yang sedikit mendung mungkin bermaksud anda mempunyai jangkitan.

Kedua iaitu pemeriksaan mikroskopik akan memeriksa perkara-perkara yang terlalu kecil untuk dilihat. Sesetengah perkara yang tidak sepatutnya dalam air kencing anda boleh dikesan menggunakan mikroskop seperti:

  • Sel darah merah
  • Sel darah putih
  • Bakteria
  • Kristal (gumpalan mineral – kemungkinan petanda bagi batu ginjal)

Bahagian ketiga urinalisis ialah ujian dipstick, iaitu menggunakan jalur plastik nipis yang dirawat dengan bahan kimia. Ia dicelup ke dalam air kencing anda, dan bahan kimia di kayu itu akan bertindak balas dan berubah warna jika tahap adalah tidak normal. Ujian dipstick boleh menyemak keadaan seperti:

  • Keasidan, atau pH. pH adalah pengukuran betapa asid atau alkali air kencing seseorang. Menurut pakar, nilai purata bagi pH air kencing adalah 6.0, tetapi boleh mempunyai julat antara 4.5 hingga 8.0. Urin di bawah 5.0 adalah berasid, dan air kencing lebih tinggi daripada 8.0 bersifat alkali, atau asas. Salah satu faktor utama yang mempengaruhi pH air kencing ialah makanan yang diambil seseorang. Seorang doktor mungkin akan bertanyakan kepada seseorang mengenai makanan yang biasanya mereka makan sebelum menilai keputusan pH air kencing mereka. Jika tahap asid air kencing anda tidak normal, anda mungkin mempunyai masalah batu ginjal, jangkitan saluran kencing (UTI) atau keadaan lain.
  • Protein. Buah pinggang yang sihat mengeluarkan cecair tambahan dan kekotoran daripada darah anda, tetapi membiarkan protein dan nutrien penting lain melaluinya dan kembali ke aliran darah anda. Apabila buah pinggang anda tidak berfungsi seperti sepatutnya, ia boleh membiarkan beberapa protein (albumin) terlepas melalui penapis mereka, iaitu ke dalam air kencing anda. Buah pinggang seharusnya menapis produk sisa daripada darah anda. Apabila anda mempunyai protein dalam air kencing, ia dipanggil proteinuria (atau albuminuria). Ini boleh menandakan bahawa buah pinggang anda tidak berfungsi dengan betul.
  • Glukosa. Jumlah normal glukosa dalam air kencing ialah 0 hingga 0.8 mmol/ L (milimol per liter). Pengukuran yang lebih tinggi boleh menjadi petanda bagi masalah kesihatan iaitu seperti diabetes. Ianya adalah penting untuk sentiasa memantau kadar glukosa anda jika anda telah didiagnosis dengan diabetes, atau jika anda menunjukkan simptom pradiabetes. Jika keputusan ujian glukosa air kencing anda tidak normal, doktor akan melakukan ujian selanjutnya untuk mengenal pasti punca bagi keadaan itu. Pastikan doktor mempunyai senarai setiap ubat preskripsi atau ubat bukan preskripsi yang anda telah ambil. Sesetengah ubat boleh mengganggu tahap glukosa dalam darah dan air kencing. Selain itu, anda juga harus memberitahu doktor jika anda sedang berada di bawah banyak tekanan, kerana ini juga dapat meningkatkan tahap glukosa.
  • Sel darah putih. Sel-sel ini membantu badan anda melawan kuman. Ia dihasilkan atau disimpan di pelbagai lokasi di seluruh badan, termasuklah thymus, limpa, nodus limfa dan sumsum tulang. Tetapi, apabila anda mempunyai lebih banyak kandungannya daripada kebiasaan dalam air kencing anda, ini adalah tanda jangkitan atau keradangan, sama ada berlaku di buah pinggang atau mana-mana di sepanjang saluran kencing. Keadaan ini boleh berlaku dalam air kencing dengan pelbagai sebab seperti:
  • Jangkitan kencing
  • Batu karang
  • Jangkitan buah pinggang
  • Penyumbatan sistem kencing
  • Menahan air kencing
  • Nitrit. Kehadiran nitrit dalam air kencing biasanya bermakna bahawa terdapat jangkitan bakteria di saluran kencing anda. Ini biasanya dipanggil sebagai jangkitan saluran kencing (UTI). Bakteria membahayakan telah berjaya memasuki ke dalam saluran kencing dan membiak dengan cepat. Sesetengah jenis bakteria mempunyai enzim yang menukar nitrat menjadi nitrit. Inilah sebabnya mengapa kehadiran nitrit dalam air kencing anda adalah petunjuk bahawa anda mungkin mempunyai UTI. Penyakit ini boleh berlaku di mana sahaja dalam saluran kencing anda, termasuklah pundi kencing, ureter, buah pinggang dan uretra anda.
  • Bilirubin. Bilirubin adalah bahan kekuningan yang dihasilkan semasa proses normal badan yang memecahkan sel darah merah. Ia boleh dijumpai dalam hempedu, iaitu cecair dalam hati yang membantu anda mencerna makanan. Jika hati anda sihat, ia akan mengeluarkan kebanyakan bilirubin dari badan anda. Namun, jika produk buangan ini yang biasanya dikeluarkan oleh hati anda muncul, ini mungkin bermaksud hati anda tidak berfungsi dengan baik. Memandangkan bilirubin dalam air kencing boleh menunjukkan berlakunya kerosakan hati sebelum gejala-gejala lain muncul, pembekal penjagaan kesihatan anda boleh meminta anda melakukan ujian air kencing yang memeriksa kadar bilirubin jika anda mempunyai risiko lebih tinggi bagi kerosakan hati.
  • Darah dalam air kencing. Melihat darah dalam air kencing anda boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan. Walaupun dalam kebanyakan keadaan puncanya adalah tidak berbahaya, darah dalam air kencing (hematuria) dapat menunjukkan gangguan serius. Kadangkala, ini adalah petanda bagi jangkitan atau penyakit tertentu. Darah dalam urin yang hanya dapat dilihat di bawah mikroskop (mikroskopik hematuria) ditemui apabila doktor menguji air kencing anda. Ianya adalah penting untuk menentukan mengapa berlakunya pendarahan sebegitu. Selain itu, air kencing berdarah juga sering berlaku tanpa tanda atau gejala lain.

Apa yang perlu saya lakukan?

Jika ujian air kencing adalah satu-satunya ujian yang anda perlu lakukan, anda harus makan dan minum secara normal sebelum prosedur dibuat. Bit dan pewarna makanan boleh mengubah warna pada air kencing anda, jadi anda mungkin ingin mengawal apa yang anda makan terlebih dahulu.

Pastikan anda juga memaklumkan kepada doktor tentang semua ubat yang anda ambil, termasuk ubat-ubatan bukan preskripsi, vitamin dan suplemen. Sekiranya anda sedang dalam fasa menstruasi, pastikan doktor mengetahuinya sebelum membuat ujian. Anda juga mungkin boleh diminta membuat sampel air kencing di rumah dan membawanya bersama anda, atau anda diperlukan untuk melakukannya di pejabat doktor anda. Bekas bagi sampel itu akan disediakan buat anda.

Keputusan terbaik adalah hasil daripada kaedah yang dikenali sebagai kaedah “bersih-tangkap”. Inilah langkah-langkah berikut:

  • Cuci kawasan di sekitar pembukaan saluran kencing.
  • Mula kencing ke tandas.
  • Berhenti di tengah-tengahnya.
  • Biarkan 1 hingga 2 auns mengalir ke dalam bekas sampel.
  • Selesaikan kencing di tandas.
  • Ikut arahan doktor untuk menyerahkan sampel.

Bagi bayi dan individu lain yang tidak dapat memberikan sampel dengan cara ini, doktor mungkin perlu memasukkan tiub lembut dan sempit yang disebut sebagai kateter melalui saluran kencing dan masuk ke dalam pundi kencing mereka.

Apakah makna bagi keputusan air kencing?

Ujian ini boleh menunjukkan tanda-tanda amaran tetapi tidak dapat memberitahu doktor sekiranya ada perkara yang salah dengan anda. Hasilnya mungkin menjadi petunjuk bahawa anda memerlukan lebih banyak ujian dan rawatan susulan.

Kandungan

  1. Ujian darah artritis reumatoid
  2. Ujian darah kencing manis
  3. Ujian darah penyakit berjangkit
  4. Ujian fungsi buah pinggang
  5. Ujian fungsi tiroid
  6. Ujian fungsi hati
  7. Ujian hematologi
  8. Ujian profail lipid
  9. Ujian air kencing
  10. Ujian jantung
  11. Ujian najis

SUMBER

https://labtestsonline.org/tests/urinalysis

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-is-urinalysis

Summary
Article Name
Ujian air kencing (Urine test)
Description
Ujian air kencing atau urinalisis adalah satu siri ujian pada air kencing. Doktor menggunakannya untuk memeriksa tanda bagi keadaan atau penyakit biasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: