15 Resepi Ubi Keledek Yang Anda Harus Cuba!
Ubi keledek adalah makanan versatil yang anda boleh ubah suai menjadi hidangan berbeza dengan mudah. Jom lihat resepi ubi keledek yang anda boleh sediakan!

Ubi keledek adalah makanan versatil yang anda boleh ubah suai menjadi hidangan berbeza dengan mudah. Dengan warnanya yang menarik seperti ungu, kuning, jingga dan kuning, anda boleh memilih jenis yang berbeza mengikut kesesuian hidangan anda.

Sekarang, jom kita lihat 15 resepi ubi keledek mudah agar anda boleh mencuba pelbagai resepi baru dengan bahan asas yang sama.

1. Pengat keledek nangka

Hidangan pengat sedap dimakan ketika panas dan biasanya adalah antara hidangan waktu petang yang popular. Makannya bersama secawan teh panas bersama keluarga anda di waktu petang terasa sungguh nyaman sekali. Jom lihat cara penyediaannya di bawah.

Bahan-bahan:

  • Beberapa biji keledek (potong dadu)
  • 1 ketul gula melaka
  • Santan
  • Sedikit garam bukit
  • 3 hingga 4 sudu biji sagu (dicuci sehingga kembang)
  • Beberapa biji nangka (dipotong memanjang)
  • 3 helai daun pandan (disimpul)

Cara penyediaan:

  1. Rebus ubi keledek selama kira-kira 15 minit kemudian toskan airnya.
  2. Dalam periuk lain, didihkan gula melaka bersama sedikit lakanto (pengganti gula) dan 3 cawan air serta daun pandan yang disimpulkan.
  3. Masukkan ubi keledek tadi dan campuran gula melaka ke dalam periuk yang sama.
  4. Tuangkan santan, biji sagu dan sedikit garam bukit.
  5. Masak sehingga kuah mendidih.
  6. Setelah mendidih, masukkan nangka dan gaul rata.
  7. Matikan api dan hidangan anda sudah boleh dihidangkan dengan baik.

2. Pucuk meranti dan keledek masak lemak putih

Jika anda sukakan hidangan mudah seperti masakan lemak putih ini, jom cuba resepi ini yang menggunakan pucuk meranti dan ubi keledek.

Bahan-bahan rebusan pucuk meranti:

  • 1 ikat pucuk meranti
  • 1/2 liter air
  • 1 sudu kecil garam bukit

Bahan-bahan lain:

  • 1/2 biji ubi keledek kuning
  • 1 kotak santan kecil
  • Segenggam ikan bilis
  • 1 biji cili merah
  • 1 biji bawang besar
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 cawan air
  • 1 1/2 sudu kecil garam bukit

Cara penyediaan:

  1. Celur pucuk meranti dalam 5 minit dan ambil daun dan batang lembutnya sahaja setelah ia sejuk.
  2. Angkat dan bilas dengan air bersih serta perahkan lebihan air.
  3. Siapkan bahan-bahan lain seperti hiris bawang besar, bawang putih dan cili besar.
  4. Ubi keledek pula dipotong kecil dan ikan bilis ditumbuk kasar.
  5. Dalam periuk, masukkan hirisan bawang merah, bawang putih, ikan bilis, air dan ubi keledek.
  6. Biarkan ia masak sehingga ubi keledek empuk dalam sekitar 10 minit.
  7. Masukkan santan dan garam bukit setelah keledek empuk.
  8. Biarkan bahan mendidih dengan api sederhana.
  9. Pastikan anda sentiasa mengacaunya untuk elakkan bahan pecah minyak.
  10. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan pucuk meranti tadi bersama cili merah sebagai hiasan.
  11. Masak lagi sekitar seminit dan tutup api.
  12. Hidangan anda siap dihidangkan dan anda boleh hidangkannya bersama sambal belacan atau hidangan lain yang sesuai.

3. Keledek rebus

Makan ubi keledek rebus ketika ia masih panas bersama sedikit gula pastinya sangat memuaskan sebagai hidangan petang bersama keluarga. Jadi, jom cuba sediakannya seperti di bawah.

Bahan-bahan:

  • Beberapa biji keledek
  • Secubit garam bukit
  • Air secukupnya

Cara penyediaan:

  1. Bersihkan ubi keledek dan masukkan ke dalam periuk berisi air dan sedikit garam.
  2. Rebus selama 15 minit atau sehingga ia empuk.
  3. Tutup api dan ubi rebus anda siap dimakan.
  4. Kupas kulit sedikit demi sedikit dan cicah bersama gula atau makan ia begitu sahaja.

4. Bebola ubi keledek ala Vietnam (Khoai Lang Ken)

Resepi ini sangat sesuai dihasilkan dengan ubi keledek jingga jadi jika anda mempunyainya di rumah atau teringin hidangan ini, jom lihat cara penyediaannya di bawah.

Bahan-bahan:

  • Ubi keledek jingga
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 2 sudu besar santan pekat
  • 1 sudu besar gula perang
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 1 biji telur
  • Secubit garam bukit
  • 1/2 cawan air
  • 3 cawan minyak sihat (minyak zaitun, minyak sayuran dan lain-lain)

Cara penyediaan:

  1. Kukus ubi keledek hingga lembut dan hancurkannya.
  2. Campurkan sekali gula perang, susu dan santan.
  3. Bentukkan seperti bentuk bujur dan ulangnya sehingga adunan habis.
  4. Bancuh tepung beras bersama telur dan secubit garam bukit.
  5. Air disesuaikan mengikut tahap kepekatan yang anda mahukan.
  6. Celup ubi kedelek tadi dan goreng dalam minyak yang panas.
  7. Goreng hingga ia garing keemasan.
  8. Angkat dan toskan minyak lebihan serta hidangan ubi keledek goreng anda siap dihidangkan!

5. Masak lemak cekur manis ubi keledek

Sesekali, apa kata cuba hidangan ini yang sangat sedap dimakan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan. Bukan hanya sedap, tapi ia juga mudah dimasak.

Bahan-bahan:

  • 200g cekur manis (bersihkan dan ambil daun sahaja)
  • 1 biji keledek jingga (potong kecil)
  • 3 biji bawang merah kecil
  • 100g ikan bilis
  • 1 tangkai cili merah (dimayang)
  • 1 kotak santan
  • 2 cawan air
  • 1 sudu kecil garam bukit

Cara penyediaan:

  1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis.
  2. Masukkan air, cili, cekur manis, ubi keledek dan bahan yang ditumbuk ke dalam periuk.
  3. Masak seketika dan apabila cekur berubah warna, masukkan santan.
  4. Sesuaikan kepekatan kuah dan masak hingga ubi keledek lembut.
  5. Masukkan garam bukit dan sesuaikan mengikut selera masing-masing.
  6. Tutup api dan hidangan anda siap dihidangkan!

6. Keledek goreng kunyit

Sama seperti resepi masakan bergoreng lain, anda hanya memerlukan ubi keledek, kunyit dan garam sahaja sebagai bahan asasnya. Mudah bukan?

Bahan-bahan:

  • Ubi keledek
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • Sedikit garam bukit
  • Sedikit serbuk lada putih

Cara penyediaan:

  1. Potong ubi keledek seperti bentuk jejari.
  2. Lumurkan dengan garam, kunyit dan lada putih kemudian gaul dengan rata.
  3. Panaskan minyak zaitun atau minyak sihat lain dan goreng jejari keledek sehingga keperangan.
  4. Angkat dan toskan minyak lebihan kemudian hidangkannya bersama gula atau sos mengikut selera anda.

7. Bubur keledek dan sagu mutiara

Jika anda mahukan bubur yang panas dan mudah disediakan sebagai minum petang, jom cuba resepi ini.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan sagu mutiara
  • 1 cawan susu cair
  • 2 cawan air
  • 1/2 cawan gula melaka
  • 1 biji keledek
  • 2 helai daun pandan (disimpulkan)

Cara penyediaan:

  1. Rendam sagu sebentar dan rebus sehingga ia jadi berkilat.
  2. Tapis dan toskan lebihan air tersebut.
  3. Potong dadu ubi keledek dan rebus setengah masak.
  4. Masukkan air dan tambahkan gula melaka sehingga ia hancur.
  5. Setelah hancur, masukkan kembali ubi keledek, susu cair dan sagu mutiara.
  6. Didihkan dengan api yang perlahan buat seketika.
  7. Apabila kuah sudah menggelegak, masukkan daun pandan.
  8. Jika kuah agak pekat, tambahkan sedikit air. Jika sudah okay, biarkan sahaja.
  9. Tutup api dan hidangan bubur anda siap dihidangkan!

8. Ubi keledek goreng bersama telur

Hidangan ini sangat mudah disediakan serta sesuai untuk dimakan oleh kanak-kanak kerana ia tidak pedas dan sesuai dengan tekak mereka.

Bahan-bahan:

  • Ubi keledek (dipotong dadu)
  • 2 cawan bunga kubis (dipotong kecil)
  • 1 cawan baby carrot
  • 2 biji tomato
  • 1 biji bawang Holland
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 sudu sos tiram
  • 1 kiub ayam
  • 1 cawan air
  • 1 biji telur
  • 1 cili merah
  • 1 tangkai daun bawang (dihiris)

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang Holland dan bawang putih.
  2. Apabila sudah naik bau, masukkan air dan biarkan ia mendidih sedikit sebelum anda masukkan sos tiram.
  3. Masukkan segala sayuran seperti bunga kubis,baby carrot, tomato, cili dan ubi keledek.
  4. Masukkan juga kiub ayam dan gaul rata sehingga semuanya masak.
  5. Masukkan telur dan gaul sebati.
  6. Tutup api dan taburkan daun bawang sebelum anda menghidangkannya.

9. Jejari keledek goreng menggunakan air fryer

Jika anda mahukan hidangan lebih sihat tanpa menggunakan minyak, jom cuba resepi ubi keledek yang digoreng menggunakan air fryer.

Bahan-bahan:

  • Ubi keledek
  • Sedikit garam bukit
  • Sedikit air
  • 1 sudu tepung jagung
  • 1 sudu kecil seruk kunyit
  • Garlic salt
  • Chili flakes

Cara penyediaan:

  1. Kupas kulit ubi dan potong seperti bentuk jejari.
  2. Kemudian, rendam dalam air garam dan cuci bersih sebelum anda toskannya hingga kering.
  3. Gaulkan ubi keledek dengan serbuk kunyit dan tepung jagung.
  4. Bakar ia menggunakan air fryer dengan suhu 180°C selama 20 minit.
  5. Apabila sudah siap, taburkan dengan garlic salt atau chili flakes untuk meningkatkan rasanya.
  6. Hidangan anda siap dihidangkan dan sangat sedap dimakan ketika panas!

10. Mi rebus ubi keledek

Apa yang istimewa mengenai resepi mi rebus ini adalah ia menggunakan ubi keledek sebagai bahan asas kuahnya. Mungkin ia agak baru untuk anda, jadi apa kata anda cuba sediakannya dan rasai kenikmatan mi rebus ini?

Ini adalah resepi yang sesuai disediakan bagi 5-6 orang makan, jadi jangan terkejut pula jika bahan-bahannya adalah agak banyak.

Bahan-bahan:

  • 10 biji bawang merah (5 dikisar, 5 dihiris)
  • 4 ulas bawang putih (2 dikisar, 2 dihiris)
  • 1 inci halia (1/2 inci dikisar, 1/2 dihiris)
  • 1kg ubi keledek
  • 1/2 kg udang
  • 15 tangkai cili kering
  • 1 senduk besar kicap
  • 1/2 botol kecil sos cili
  • Sedikit perahan limau nipis
  • Garam bukit secukup rasa

Bahan-bahan lain:

  • 1 ikat sawi (dipotong dan dicelur)
  • 1 mangkuk taugeh (disiram dengan air panas atau direbus seketika)
  • 3 biji cili merah (dihiris halus)
  • Bawang goreng
  • Daun sup
  • Telur (direbus)

Cara penyediaan:

  1. Ubi keledek dan udang direbus kemudian dikisar menggunakan pengisar.
  2. Goreng cili seketika kemudian kisar bersama bawang merah, bawang putih dan halia.
  3. Hiris 5 biji bawang merah, 2 biji bawang putih dan sedikit halia, kemudian tumis hingga wangi.
  4. Masukkan ubi, udang dan cili yang telah dikisar tadi ke dalam periuk.
  5. Tambahkan air, sedikit kicap, sos cili dan perahan limau nipis.
  6. Tambahkan garam bukit sebagai perasa.
  7. Apabila kuah sudah pekat, ia siap dihidangkan.
  8. Hidangkannya bersama mi kuning yang dicelur dan bahan-bahan lain seperti yang dinyatakan dalam senarai bahan di atas.

11. Bubur sumsum bebola keledek

Jika anda mahu mencuba resepi bubur yang sedikit berbeza daripada bubur biasa, apa kata cuba resepi ini yang terkenal di negara jiran kita?

Bahan-bahan:

  • 400g keledek
  • 100g tepung sagu
  • Secubit garam
  • 1 sudu makan gula perang
  • 150g gula melaka
  • 800ml air
  • 1 sudu makan tepung sagu
  • 2 helai daun pandan (disimpul)

Bahan-bahan bagi bubur sumsum:

  • 100g tepung beras
  • 600ml santan cair (200ml santan pekat dicampur dengan 400ml air)
  • 2 helai daun pandan (disimpul)
  • Sedikit garam bukit

Cara penyediaan:

  1. Rebus ubi keledek hingga lembut dan boleh dilumatkan.
  2. Campurkan ubi, garam, gula perang dan tepung sagu sekali.
  3. Kacau hingga rata dan berbentuk seperti adunan.
  4. Ambil satu sudu teh adunan dan jadikan seperti bentuk bulat atau bebola.
  5. Ulang langkah sama sehingga adunan habis.
  6. Rebus bebola dalam air mendidih yang ditambahkan dengan daun pandan.
  7. Tunggu sehingga bebola terapung dan pastikan ia tidak ditambah begitu banyak sekali gus agar tidak melekat antara satu sama lain.
  8. Dalam periuk lain, masukkan gula melaka, daun pandan dan air sehingga mendidih.
  9. Masukkan bebola keledek tadi dan kentalkan dengan air sagu.
  10. Kacau sehingga mendidih dan agak pekat.
  11. Bagi penyediaan bubur sumsum pula, masukkan campuran tepung, 2 daun pandan dan separuh santan cair ke dalam periuk.
  12. Teruskan mengacau agar ia tidak menggumpal.
  13. Masukkan sisa santan cair perlahan-lahan sehingga ia kental seperti bubur.
  14. Teruskan mengacau sehingga ada naik buih atau gelembung.
  15. Hidangkan kedua-duanya dalam mangkuk hidangan berbeza dahulu dan apabila anda mahu makan, tambahkan kedua-duanya dalam mangkuk sama mengikut jumlah yang anda mahu.

12. Cucur ubi keledek

Biasanya, kita makan cucur udang, cucur jagung atau cucur bawang kan, tapi apa kata kali ini kita gunakan ubi keledek dan jadikannya sebagai cucur pula? Senang dan mudah dimasak, serta sesuai dijadikan hidangan petang yang sedap.

Bahan-bahan:

  • 200g ubi keledek
  • 1 biji bawang merah
  • 15 ekor udang saiz kecil
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air
  • 1 sudu kecil garam bukit
  • 1 sudu besar gula perang
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 biji telur
  • 2 cawan minyak sihat (minyak zaitun, minyak sayuran atua sebagainya)

Cara penyediaan:

  1. Potong ubi keledek dan hiris bawang merah.
  2. Kemudian, campurkan semua bahan yang dinyatakan di atas ke dalam bekas.
  3. Masukkan sedikit air dan kacau rata.
  4. Panaskan minyak dan ambil sedikit adunan kemudian goreng hingga keperangan.
  5. Toskan lebihan minyak dan hidangan cucur anda siap dihidangkan bersama sos atau makan begitu sahaja.

13. Kuih talam ubi keledek

Kuih talam pastinya menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang berkrim dan warna yang menarik. Bagi resepi ini, anda boleh ubah jenis ubi keledek mengikut kesesuaian warna yang anda mahukan.

Bahan-bahan lapisan putih (bawah):

  • Ubi keledek
  • 80g tepung beras
  • 1/2 sudu tepung jagung
  • 40g gula erang
  • 225g air
  • 125g santan
  • Sedikit garam bukit

Bahan-bahan lapisan berwarna (atas):

  • 80g tepung gandum
  • 150g gula perang
  • 125g santan
  • 250g air
  • 2 biji telur
  • Sedikit garam bukit
  • Sedikit pewarna (jingga, merah dan sebagainya)

Cara penyediaan:

  1. Buang kulit ubi dan rebus sehingga ia empuk. Kemudian, potong dadu.
  2. Campurkan semua bahan lapisan bawah kecuali ubi.
  3. Setelah semuanya sebati, tapiskannya.
  4. Kemudian, apabila adunan agak pekat, tutup api dan masukkan ubi yang telah dipotong dadu.
  5. Masukkan campuran ke dalam loyang.
  6. Tutup permukaan loyang menggunakan kertas aluminium dan kukus hingga ia masak.
  7. Sediakan adunan bahagian bawah pula dengan mencampurkan semua bahan dan gaul dengan sebati.
  8. Tapis dan masak di atas api seketika.
  9. Setelah ia pekat, tuangkan di atas adunan putih (adunan bawah) yang telah dikukus tadi.
  10. Tutup permukaan loyang seperti lapisan pertama tadi.
  11. Biarkan ia sejuk dan potong mengikut saiz yang anda mahukan.
  12. Kuih talam anda siap dihidangkan!

14. Keledek goreng bersama mentega kacang

Pasti anda agak pelik melihat resepi ini bukan, tapi apa kata anda cuba dulu dan lihat sekiranya rasanya sesuai dengan tekak anda tau tidak? Jom lihat cara penyediaannya di bawah.

Bahan-bahan:

  • Ubi keledek (dihiris)
  • 90g tepung jagung
  • 30g tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1/2 sudu kecil garam bukit
  • 1/2 sudu kecil kapur makan
  • 120g air sejuk/ suam
  • Mentega kacang

Cara penyediaan:

  1. Campurkan bahan seperti tepung jagung, tepung gandum, kunyit, garam bukit, kapur makan dan air sejuk/ suam dalam satu mangkuk besar.
  2. Kacau hingga semua bahan sebati.
  3. Gaul bersama keledek yang dihiris tadi.
  4. Gorengkan dalam minyak yang panas sehingga ia agak rangup dan keperangan.
  5. Biasanya, anda hanya makan ia begitu sahaja tau bersama sos/ gula kan, tapi kali ini ia dimakan bersama mentega kacang untuk menambahkan rasanya.
  6. Jika ia sesuai dengan tekak anda, anda bolehlah mencuba hidangan ini lagi nanti!

15. Onde-onde ubi keledek

Biasanya, kita sediakan onde-onde dengan inti gula melaka yang cair, tapi kali ini kita buat sedikit ‘twist’ dan tambahkan ubi keledek pula dalam resepi tradisional onde-onde.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan ubi keledek (direbus dan dilenyekkan)
  • 2 cawan tepung pulut
  • 1 1/2 cawan air
  • Sedikit tepung gandum
  • Gula melaka secukupnya
  • Secubit garam bukit
  • Sedikit pewarna
  • 1/2 biji kelapa parut

Cara penyediaan:

  1. Buang kulit ubi keledek dan rebus hingga ia masak.
  2. Setelah masak, lenyek ubi semasa ia masih panas.
  3. Gaulkan bersama tepung pulut dan masukkan air sedikit demi sedikit hingga ia menjadi seperti doh.
  4. Masukkan sedikit pewarna dan garam bukit.
  5. Uli doh hingga ia tidak lagi melekat pada tangan dan boleh dibentuk dengan baik.
  6. Jika doh masih lembik, tambahkan tepung gandum sedikit.
  7. Kemudian, bentukkan doh seperti bebola kecil dan buat lubang di tengah.
  8. Masukkan gula melaka di tengah-tengah dan tutup semua dengan kemas.
  9. Panaskan air di dalam periuk dan masukkan bebola tadi satu demi satu.
  10. Jangan masukkan terlalu banyak bebola dalam satu masa agar ia tidak melekat pada satu sama lain.
  11. Tunggu sehingga bebola timbul sendiri kemudian angkat dan toskan lebihan air.
  12. Masukkan ke dalam kelapa parut dan golekkan dengan baik.
  13. Hidangkan onde-onde anda dan ia sedia dimakan.

SUMBER

https://cookpad.com/my

Summary
recipe image
Recipe Name
15 Resepi Ubi Keledek Yang Anda Harus Cuba!
Published On
Tagged: