Sambutan Ramadan dan Syawal yang berbeza kerana wabak COVID-19
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, umat Islam pasti merasakan perbezaan yang ketara semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan dan Syawal yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, umat Islam pasti merasakan perbezaan yang ketara semasa menyambut ketibaan bulan Ramadan dan Syawal yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Jika dahulu, dalam bulan Ramadan, kita berasa sangat teruja untuk pergi ke bazaar Ramadan bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan untuk membeli juadah berbuka yang jarang dijumpai pada waktu lain. Ketika inilah, segala makanan dilihat sangat menyelerakan walaupun ada yang masih boleh didapati ketika bukan bulan Ramadan. Namun, perasaan membeli makanan yang sama ketika bulan ini pastinya berbeza dan kurang menyeronokkan kerana kita menyambut ramadan COVID19.

Pada waktu malam, semua pasti teruja untuk menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau dan masjid kerana ia hanya berlaku setahun sekali. Namun, berbeza dengan tahun ini, ia hanya dapat dilaksanakan di rumah sahaja.

Bagi perayaan Syawal pula, kebiasaan untuk pergi menziarah keluarga tidak lagi dapat dilakukan tahun ini. Berkumpul ramai-ramai di pagi hari raya, bersalaman, menangkap gambar bersama sebagai kenangan pastinya berbeza tahun ini. Ia pastinya sangat terkesan terutama kepada kanak-kanak kecil yang tidak sabar menerima pemberian duit raya setiap tahun. Memandangkan mereka tidak memahami akan keadaan yang berlaku sekarang, ia pastinya agak janggal buat mereka.

Dengan perintah kawalan pergerakan yang melarang pergerakan merentas negeri, pasti ramai yang terkandas di bandar dan tidak dapat pulang ke kampung. Namun, ia adalah wajar bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Malah, jika anda fikirkan semula, ada hikmahnya mengapa peraturan ini dikuatkuasakan. Antaranya termasuklah anda tidak perlu mengharungi kesesakan luar biasa yang selalu terjadi semasa musim perayaan tidak kiralah jika anda menggunakan jalan lama ataupun highway untuk tiba ke destinasi anda. Bayangkan, sebagai contoh, perjalanan ke Kedah yang selaunya mengambil masa selama 6 atau 7 jam kini boleh mencecah sehingga 10 atau 11 jam gara-gara musim perayaan. Pastinya ia meletihkan dari segi fizikal dan mental bukan? Jadi, ambil peluang untuk berada di rumah dan sambut perayaan secara yang anda mampu buat ketika ini.

Di samping itu, memandangkan anda tidak dapat ke luar untuk membeli juadah berbuka mahupun kuih raya seperti kebiasaan, apa kata anda belajar untuk membuatnya sendiri di rumah? Dengan kemudahan Internet, segala resepi pasti mudah didapati bagi kegunaan anda. Sekarang, anda tidak perlu lagi beli biskut raya seperti kuih tart nenas, kuih samprit dan bermacam lagi. Sediakannya sendiri di rumah dan anda pasti berbangga melihat hasil kerja keras anda nanti.

Bagi ibu bapa pula, inilah masanya untuk anda bekerjasama sebagai satu keluarga untuk memeriahkan rumah anda dengan lampu pelita dan sebagainya untuk menaikkan lagi suasana menyambut Ramadan dan Syawal di rumah sendiri. Jika dahulu rumah anda akan ditinggalkan, kini rumah andalah tempat anda merayakan sambutan yang menggembirakan ini.

Walaupun ia adalah sukar, namun fikirkan tentang tindakan anda yang mampu menyelamatkan diri dan keluarga daripada wabak COVID-19 ini. Bayangkan apa yang boleh terjadi sekiranya anda adalah pembawa Coronavirus secara senyap tanpa anda sedari, kemudian anda pulang ke kampung untuk meraikan Syawal bersama keluarga.

Di sana, anda berhubung rapat bersama keluarga termasuklah mereka yang berisiko seperti ibu bapa, atuk dan nenek, makcik pakcik anda. Tanpa anda sedari, anda sebenarnya telah menyebarkan virus itu kepada mereka yang mana itu boleh menyebabkan komplikasi lebih serius memandangkan tahap imun mereka bukanlah berada pada tahap terbaik seperti individu dewasa yang lebih muda.

Jika kemudian hal itu bertambah serius dan menyebabkan kejadian tidak diingini, tidakkah anda berasa menyesal sekiranya anda mendapat tahu bahawa penyebaran virus itu bermula daripada anda sendiri?

Jadi, untuk mengelakkan kejadian sebegini, ambil langkah alternatif yang membolehkan anda menyambut bulan Ramadan dan Syawal sama seperti dahulu. Ia mungkin tidak semeriah ketika menyambutnya bersama keluarga dan rakan-rakan, namun inilah yang terbaik buat kita semua.

Meriahkan sambutan perayaan anda dengan idea-idea yang anda boleh cipta atau ubah demi memenuhi tuntutan PKP ini. Pastikan ia tidak bercanggah dengan arahan yang telah ditetapkan agar sambutan perayaan anda tidak menjadi kacau bilau dengan perkara tidak diingini.

SUMBER

https://www.sinarharian.com.my/article/79700/KHAS/Pendapat/Covid-19-Rakyat-perlu-kreatif-hadapi-Ramadan-Syawal

https://www.malaysiakini.com/news/518131

Summary
Sambutan Ramadan dan Syawal yang berbeza kerana wabak COVID-19
Article Name
Sambutan Ramadan dan Syawal yang berbeza kerana wabak COVID-19
Description
Perasaan berbuka di bulan ramadan kali ini pastinya berbeza dan kurang menyeronokkan kerana kita menyambut ramadan COVID-19 disebabkan wabak yang sedang berlaku.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: