Kolik (Colic)
Bagi bayi yang menderita dengan keadaan kolik, tangisan boleh bermula secara tiba-tiba tanpa alasan dan penawar yang jelas.

Semua bayi pastinya akan menangis. Begitulah cara bayi anda memberitahu anda bahawa dia lapar, basah atau letih. Ini juga adalah kaedah terbaik (dan satu-satunya) bagi mereka untuk menyampaikan keperluan mereka pada usia semuda ini.

Tetapi, bagi bayi yang menderita dengan keadaan kolik, tangisan boleh bermula secara tiba-tiba tanpa alasan dan penawar yang jelas. Kolik bukanlah satu penyakit atau diagnosis tetapi ia lebih kepada gabungan tingkah laku yang membingungkan. Malah, ia juga adalah perkara biasa yang berlaku pada kira-kira 1 dari 5 bayi.

Tempoh kelakuan sebegini ini dapat berlangsung selama berjam-jam pada satu masa, kadangkala hingga larut malam. Yang paling teruk sekali, ianya adalah sangat sukar untuk menenangkan bayi dengan keadaan kolik, malah ia hanya menimbulkan kekecewaan, kebimbangan dan keletihan pada ibu bapa dan penjaga bayi sahaja.

Apakah itu keadaan Kolik?

Kolik adalah keadaan bayi yang kerap menangis, secara berpanjangan pada bayi yang sihat. Ia boleh merisaukan kerana penderitaan bayi berlaku tanpa sebab yang jelas dan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menghiburkan mereka. Selain itu, keadaan ini sering berlaku pada waktu petang, iaitu ketika ibu bapa sendiri sudah letih bekerja seharian.

Keadaan kolik biasanya memuncak ketika bayi berusia sekitar 6 minggu dan menurun dengan ketara selepas usia 3 hingga 4 bulan. Walaupun tangisan berlebihan akan hilang seiring dengan peningkatan usianya, menguruskan keadaan kolik boleh menambahkan tekanan yang besar untuk menjaga bayi baru lahir.

Bagaimana untuk mengesan keadaan ini?

Ianya adalah normal bagi bayi untuk merengek dan menangis. Bayi yang mengalami kolik biasanya menangis lebih kerap berbanding kebanyakan bayi. Tetapi, mereka adalah sihat. Kolik didefinisikan sebagai tangisan selama lebih dari 3 jam sehari sekurang-kurangnya 3 hari seminggu selama lebih dari 3 minggu. Ciri-ciri kolik yang lain termasuklah:

  • Menangis tanpa sebab yang jelas
  • Menangis pada waktu yang sama setiap hari, tetapi ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa.
  • Menggenggam penumbuk ketika menangis atau melengkungkan kaki.
  • Menangis seperti dalam kesakitan.
  • Kulit berwarna merah terang ketika menangis.

Kadangkala, simptom boleh lega setelah bayi mengeluarkan gas atau buang air besar. Gas mungkin terjadi disebabkan udara yang ditelan semasa menangis yang berpanjangan.

Bagaimanakah Kolik berbeza dengan tangisan biasa?

Tiada definisi yang jelas mengenai apakah itu kolik atau bagaimana (dan jika) ia berbeza dengan jenis tangisan lain. Tetapi, doktor biasanya bersetuju bahawa tangisan kolik adalah lebih kuat dan bernada lebih tinggi daripada tangisan biasa – kadangkala hampir seperti menjerit. Bayi dengan keadaan kolik juga kelihatan tidak dapat dipuaskan, dan cenderung menangis sekurang-kurangnya tiga jam setiap hari.

Apakah yang menyebabkan Kolik?

Doktor tidak tahu dengan tepat apa yang menyebabkan kolik. Beberapa teori mengenai apa yang boleh menyebabkannya merangkumi:

  • Sistem pencernaan yang berkembang dengan otot yang sering kekejangan
  • Angin
  • Hormon yang menyebabkan sakit perut atau kekejangan
  • Kepekaan terhadap cahaya, kebisingan atau terlalu banyak rangsangan
  • Sistem saraf yang berkembang
  • Bentuk migrain awal pada kanak-kanak
  • Ketakutan, kekecewaan atau kegembiraan

Adakah Kolik berbahaya?

Tangisan yang berlebihan dan tidak dapat diatasi mungkin bersifat kolik atau petunjuk bagi penyakit atau keadaan yang boleh menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan. Jadualkan temu janji bersama doktor anak anda untuk pemeriksaan menyeluruh jika bayi anda mengalami tangisan berlebihan atau tanda-tanda kolik lain.

Penyedia penjagaan kesihatan akan bertanyakan mengenai gejala dan sejarah kesihatan anak anda. Dia akan melakukan ujian fizikal kepada anak anda dan antara soalan yang mungkin diajukan adalah seperti:

  • Berapa lama dan berapa kerap bayi anda menangis?
  • Adakah anda menemui sesuatu yang dilihat boleh mencetuskan tangisan?
  • Kaedah keselesaan apa yang membantu menenangkan bayi anda, jika ada?

Ujian darah dan sinar-X mahupun ujian pencitraan lain mungkin dilakukan. Ini dapat membantu mengetahui sama ada bayi anda mempunyai masalah kesihatan yang lain atau tidak.

Bagaimana keadaan Kolik boleh dirawat?

Terdapat banyak petua untuk menenangkan dan mengatasi bayi dengan masalah kolik.

  • Sekiranya bayi anda minum menggunakan botol susu, anda boleh menggunakan botol melengkung. Ini membolehkan anda memegang bayi anda dalam kedudukan tegak.

  • Untuk mengurangkan jumlah udara yang ditelan bayi semasa menyusu, pastikan bayi anda kerap bersendawa. Menggunakan botol dengan beg atau pelapik yang boleh dilipat juga dapat membantu.

  • Mempelajari cara untuk memahami tangisan bayi anda dapat membantu mengatasi masalah kolik. Ibu dan bayi memerlukan masa untuk saling membiasakan diri antara satu sama lain.

Apa yang berkesan buat satu bayi mungkin tidak berfungsi untuk yang lain. Cadangan lain yang boleh dicuba termasuk:

  • Pastikan bayi anda tidak lapar. Tetapi, jangan beri makan pada bayi secara paksa jika dia tidak berminat dengan botol atau susu ibu.
  • Tukar kedudukan bayi anda.
  • Berikan bayi anda perkara menarik untuk dilihat: pelbagai bentuk, warna, tekstur, dan saiz.
  • Siapkan bayi anda, kemudian bercakap atau bernyanyi dengannya.
  • Goyang atau berjalan bersama bayi anda.
  • Balut bayi anda dengan selimut.
  • Letakkan bayi anda dalam buaian bayi dengan keadaan perlahan.
  • Keluar menaiki kereta kerana pergerakan kereta sering dapat menenangkan bayi.

SUMBER

https://www.whattoexpect.com/first-year/health-and-safety/what-is-colic/

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/colic/symptoms-causes/syc-20371074

https://www.babycenter.com.my/a77/colic

https://www.webmd.com/parenting/baby/what-is-colic#1

Colic

How to know if it’s colic or normal crying

Langgani buletin kami dan dapatkan berita terbaru mengenai kesihatan serta promosi-promosi rakan kami.

Summary
Kolik (Colic)
Article Name
Kolik (Colic)
Description
Bagi bayi yang menderita dengan keadaan kolik, tangisan boleh bermula secara tiba-tiba tanpa alasan dan penawar yang jelas.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *