Cuti Bersalin – Bagaimana untuk menjaga bayi dan ibu semasa cuti bersalin?
Selepas proses bersalin yang begitu mencabar untuk membawa seorang insan baru ke dalam dunia ini, cuti bersalin adalah satu rahmat yang diperlukan oleh setiap ibu.

Selepas proses bersalin yang begitu mencabar untuk membawa seorang insan baru ke dalam dunia ini, cuti bersalin adalah satu rahmat yang diperlukan oleh setiap ibu. Dapat berehat buat seketika setelah bertarung nyawa adalah penting bagi memulihkan emosi serta badan mereka terutama bagi yang menjalani pembedahan Caesarean.

Mungkin terdapat cara penjagaan bagi ibu yang telah melahirkan mengikut kaum masing-masing begitu juga dengan kaum Melayu yang sinonim dengan kaedah berpantang selama lebih kurang 40 hari. Berbeza pula dengan kaum Cina dan India yang biasanya berpantang selama hampir 30 hari.

Cuti bersalin pula biasanya adalah berbeza mengikut tetapan syarikat kerajaan mahupun swasta. Ini adalah tempoh yang sememangnya diperlukan buat si ibu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan diri dan bayinya sebelum kembali bekerja selepas tamat tempoh cuti bersalin itu. Ia mungkin tidak begitu ketara bagi ibu yang tidak bekerja, namun tempoh cuti ini sememangnya diperlukan oleh ibu yang bekerja di luar.

Malah, cara penjagaan si ibu semasa cuti bersalin ini sememangnya penting untuk merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas bersalin. Namun, penjagaan bayi juga perlu dititik beratkan terutama jika ia merupakan bayi pertama anda. Ada juga keluarga yang mengambil khidmat servis untuk menjaga si ibu dan si bayi dalam beberapa tempoh ketika berpantang bagi memudahkan urusan keluarga. Tetapi, ada juga yang menghabiskan cuti bersalin sendiri di rumahnya.

Sekarang, jom lihat beberapa cara penjagaan bayi dan ibu semasa cuti bersalin yang baik.

Cara penjagaan bayi

Bagi bayi baru lahir, ianya mungkin sedikit janggal terutama jika anda pertama kali bergelar ibu dan bapa. Menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mungkin akan mengambil masa namun anda akan mula mempelajarinya hari demi hari dengan baik.

Jom baca beberapa cara penjagaan bayi selepas kelahiran.

1. Menyusukan bayi dengan kerap

Susu ibu adalah makanan terbaik buat bayi baru lahir kerana mempunyai banyak nutrien yang diperlukan bagi perkembangan mereka. Walaupun ada segelintir bayi yang menolak untuk minum susu ibu, pastikan anda memilih jenama susu yang sesuai dengan bayi anda. Selain itu, pastikan anda sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu bagi mengelakkan mereka mengalami kembung perut.

Pakar mengesyorkan penyusuan ibu secara kerap dan penuh sepanjang tempoh 6 bulan pertama kerana ini adalah tempoh penting yang memberi kesan pada perkembangan bayi anda. Ketahui juga bila bayi anda sudah kenyang dengan tanda-tanda seperti berhenti menghisap, menutup mulut atau berpaling daripada anda atau susu botol. Elakkan penyususan secara melebih agar bayi tidak muntah selepas itu.

2. Mengurut bayi terutama selepas mandi

Bukan sahaja si ibu yang memerlukan urutan, namun ianya juga bagus untuk mengurut bayi anda sekali sekala. Mengurut bayi menggunakan sentuhan dan refleksologi bagi mempromosi kesihatan bayi. Malah, ada juga bukti bahawa sentuhan kasih sayang daripada si ibu atau bapa dapat membantu bayi membesar dan berkembang dengan baik. Ia juga merupakan satu cara untuk bermanja dengan bayi anda.

Di samping itu, bayi yang diurut biasanya kurang menangis berbanding bayi yang tidak diurut. Urutan yang lembut membolehkan bayi berada dalam keadaan tenang dan selesa terutama jika bayi kerap menangis dan meragam. Anda boleh sapukan minyak bayi pada perut, belakang badan, belakang betis dan juga tapak kakinya.

3. Menitik beratkan penjagaan kulit bayi

Dengan keadaan kulit yang sensitif, bayi baru lahir pastinya mudah mendapat masalah kulit seperti ‘cradle crap’ iaitu tompokan sisik di kulit kelapa serta ‘diaper rash’ yang berlaku kerana penggunaan lampin basah yang dibiarkan agak lama. Justeru itu, penjagaan bayi seperti membersihkan ia dengan baik ketika mandi atau menukar lampin adalah penting bagi mengelakkan masalah sebegini.

Malah, penjaga bayi juga haruslah sentiasa peka apabila lampin bayi sudah penuh dan menukarnya dengan segera. Biasanya, anda boleh gunakan losyen khas buat bayi dan menyapunya secara lembut bagi memberi sedikit kelembapan dan perlindungan pada kulit sensitif mereka.

4. Menggunakan pakaian yang selesa

Bayi baru lahir biasanya akan dipakaikan barut jadi pastikan ia dipakai dengan kemas. Jangan balut dengan terlalu ketat kerana ia boleh merimaskan bayi dan menyukarkan pergerakannya. Pakaiannya pula haruslah berasaskan kain yang lembut, tidak panas untuk memberi keselesaan pada bayi. Elakkan juga memakaikan bayi dengan pakaian yang berat atau tebal hanya kerana anda merasakan bayi anda kelihatan comel dengannya. Biarkan mereka dengan pakaian biasa dahulu sehinggalah satu tempoh kemudian.

Cara penjagaan ibu

Biasanya, dalam tempoh cuti bersalin atau “berpantang” ini, banyak proses yang perlu dilalui seperti mengamalkan diet khusus, tidak boleh keluar rumah sebelum habis tempoh berpantang dan bermacam lagi. Ini dilakukan dengan tujuan untuk benar-benar memulihkan badan si ibu sebelum mula aktif seperti dahulu.

Antara cara penjagaan ibu dalam cuti bersalin adalah:

1. Elakkan pengambilan makanan tertentu

Selepas bersalin, biasanya si ibu digalakkan menjalani diet khusus bagi memulihkan badan serta mengembalikan saiz badan seperti sebelum hamil. Ini termasuklah tidak boleh makan makanan berminyak atau pedas dan lain-lain juga. Ada juga yang mengesyorkan golongan ibu untuk makan sup ikan haruan kerana diketahui dapat memulihkan luka dalaman dan luaran.

Selain itu, ketika cuti bersalin ini, ianya bagus jika suami atau penjaga boleh menyediakan makanan berkhasiat seperti menambahkan sayur-sayuran dan buah-buahan ke dalam pemakanan si ibu bagi membolehkannya mendapatkan nutrisi yang mencukupi.

2. Berikan sokongan moral

Dalam tempoh cuti bersalin, ada juga para ibu yang terpaksa berpantang sendirian kerana si suami yang sudah mula bekerja atau tiada di rumah. Jadi, mereka terpaksa menjaga diri dan bayi sendirian atau dengan bantuan orang lain. Ini mungkin sedikit sebanyak menjejaskan emosi si ibu kerana terpaksa berhadapan dengan banyak perkara sendirian.

Justeru itu, sokongan moral daripada suami, keluarga dan rakan-rakan adalah sangat diperlukan untuk mengelakkan si ibu mengalami masalah yang dikenali sebagai “kemurungan selepas bersalin” yang boleh jadi sangat berbahaya.

3. Berehat dengan secukupnya

Proses bersalin bukanlah satu proses mudah tetapi ia berjaya diharungi oleh ibu-ibu hebat di luar sana. Selepas bertarung nyawa di bilik pembedahan, si ibu pastinya berhak mendapatkan rehat yang cukup ketika cuti bersalin ini untuk memulihkan badan mereka kembali. Ketika ini, menerima bantuan untuk menjaga dirinya dan si bayi adalah sangat diperlukan terutama daripada si suami dan ahli keluarga terdekat.

Berurut adalah salah satu cara bagi menenangkan si ibu selain boleh memulihkan aliran darah, mengeluarkan angin dan memulihkan sakit otot, sendi dan saraf di pinggang, tumit dan lutut. Walaupun si bayi akan selalu hendak bersama si ibu terutama ketika menyusukan, namun berinya rehat dengan mengambil alih tugasan lain seperti menukar lampin, memandikan bayi, menidurkannya dan lain-lain lagi.

4. Menjaga keselesaan diri

Sama seperti bayi, ibu yang baru melahirkan juga perlu menjaga dirinya sendiri agar tidak mengganggu proses penyembuhan dan menyebabkan kesan sampingan lain. Ini termasuklah memakai stokin yang dikatakan terbukti secara sains bermanfaat untuk kesihatan. Jika pemakaian stokin tidak menyelesakan, ia boleh digantikan dengan selipar lembut yang dipakai di dalam rumah.

Malah, pemakaian bengkung juga digalakkan bukan sahaja untuk mengembalikan kelangsingan malah untuk membantu menetapkan kedudukan peranakan daripada jatuh ke bawah. Selain itu, ia juga bagus untuk memperbaiki postur, mengurangkan sakit belakang dan mempercepat keluaran darah kotor. Menggunakan pelembap udara di dalam bilik tidur juga bagus untuk rohani si ibu.

SUMBER

http://www.myhealth.gov.my/pemakanan-semasa-berpantang/

https://hujanemas-dunia.blogspot.com/2017/10/tips-menguruskan-bayi-baru-lahir-dan.html

Cuti Bersalin: Apa yang Perlu Anda Ketahui?

Cara Jaga Isteri Berpantang Di Rumah Sendiri (Panduan Untuk Suami)

Pantang selepas bersalin yang wajib dilakukan oleh wanita demi kesihatan

9 Kesilapan Yang Selalu Dibuat Semasa Berpantang Sendiri. Elakkan!

Summary
Cuti Bersalin – Bagaimana untuk menjaga bayi dan ibu semasa cuti bersalin?
Article Name
Cuti Bersalin – Bagaimana untuk menjaga bayi dan ibu semasa cuti bersalin?
Description
Cara penjagaan si ibu semasa cuti bersalin sememangnya penting namun, penjagaan bayi juga perlu dititik beratkan dalam tempoh ini.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: