Individu dengan Sklerosus Lichen mempunyai benjolan yang gatal, berwarna ungu atau merah pada kulit mereka. Simptom lain termasuklah kemerahan, kerengsaan dan keguguran rambut (kadangkala bersifat kekal). Walaupun benjolan akhirnya hilang dengan sendirinya, rawatan atau penyingkiran penyebab kepada simptom boleh mengurangkan gejala dan membersihkan ruam dengan cepat.
Simptom Sklerosus Lichen
Individu dengan Sklerosus Lichen ringan mungkin tidak mempunyai tanda atau gejala.
Tanda-tanda dan simptom biasanya memberi kesan kepada kulit di kawasan kelamin dan dubur, tetapi boleh juga menjejaskan kulit di bahagian atas badan, atas lengan dan payudara. Mereka mungkin termasuk:
- Kemerahan.
- Gatal-gatal (pruritus), yang boleh menjadi semakin serius.
- Ketidakselesaan atau kesakitan.
- Tompok putih licin pada kulit anda.
- Tompok merah dan berkedut.
- Koyakan atau pendarahan.
- Dalam kes-kes yang serius, pendarahan, luka teruk atau ulser.
- Seks yang menyakitkan.
Punca Sklerosus Lichen
Punca penyakit ini masih tidak diketahui. Sistem imun yang terlalu aktif atau ketidakseimbangan hormon mungkin memainkan peranan. Kerosakan kulit terdahulu kawasan tertentu pada kulit anda boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat penyakit ini di bahagian sama.
Selain itu, penyakit ini tidak menular dan tidak boleh tersebar melalui hubungan seksual.
Ia juga sering berlaku pada wanita yang sudah menopaus, tetapi boleh juga berlaku pada golongan lelaki dan kanak-kanak. Bagi golongan wanita, Sklerosus Lichen biasanya melibatkan vulva. Pada kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa, mereka yang tidak bersunat adalah paling berisiko kerana keadaan ini secara umumnya memberi kesan kepada kulup (foreskin).
Bagi kanak-kanak, tanda-tanda dan simptom boleh bertambah baik dan berkurangan ketika mencecah akil baligh. Namun, mereka masih memerlukan pemantauan bagi melihat aktiviti penyakit tersebut.
Diagnosis Sklerosus Lichen
Individu yang mengalami simptom penyakit tersebut perlu berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Diagnosis awal Sklerosus Lichen bermakna rawatan boleh bermula dengan segera. Seterusnya, rawatan yang cepat boleh menghalang keadaan daripada menjadi lebih serius dan lebih mudah untuk diurus.
Doktor sering membuat diagnosis dengan menjalankan ujian fizikal di kawasan yang terjejas. Selain itu, doktor juga akan menguji sampel kecil kulit di bawah mikroskop untuk memastikan keadaan yang dialami adalah Sklerosus Lichen.
Kadangkala, penyakit ini mungkin tidak mempunyai sebarang simptom. Apabila ini berlaku, doktor hanya boleh mendiagnosis keadaan apabila mereka memeriksa kawasan yang terjejas untuk sebab lain yang tidak berkaitan.
Faktor Risiko Sklerosus Lichen
Risiko Sklerosus Lichen adalah lebih tinggi bagi wanita yang sudah menopaus, walaupun ia boleh juga berlaku pada lelaki dan kanak-kanak. Lelaki yang tidak disunat juga mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana keadaan ini sering memberi kesan kepada kulup.
Komplikasi Sklerosus Lichen
Komplikasi penyakit ini termasuklah hubungan seks yang menyakitkan, kencing tidak lawas, sembelit dan ketidakupayaan untuk menguncup kulup (foreskin). Individu dengan penyakit ini juga mempunyai peningkatan risiko bagi karsinoma sel ‘squamous’.
Rawatan Sklerosus Lichen
Jika anda mempunyai Sklerosus Lichen pada atau sekitar alat kelamin atau dubur anda, atau mempunyai kes yang lebih serius di bahagian badan yang lain, doktor akan mengesyorkan anda untuk melakukan rawatan. Rawatan boleh membantu mengurangkan gatal-gatal, memperbaiki keadaan kulit anda dan mengurangkan parut. Penyakit ini boleh berulang dan itu adalah perkara biasa. Namun, Sklerosus Lichen jarang sekali menjadi baik dengan sendirinya.
– Kortikosteroid
Minyak atau krim kortikosteroid biasanya diberikan bagi penyakit Sklerosus Lichen. Pada mulanya, anda perlu menggunakan krim atau minyak kortison pada kulit yang terjejas dua kali sehari. Selepas beberapa minggu, doktor akan mengesyorkan anda untuk menggunakan ubat ini dua kali seminggu sahaja untuk mencegahnya dari berulang.
Selain itu, doktor akan memantau untuk melihat kesan sampingan yang dikaitkan dengan penggunaan kortikosteroid topikal yang berpanjangan, seperti penipisan kulit.
– Pilihan rawatan lain
Jika rawatan kortikosteroid tidak berfungsi atau jika terapi kortikosteroid diperlukan untuk beberapa bulan, doktor akan memberikan minyak seperti tacrolimus (Protopic).
Pembuangan kulup (sunat) pada lelaki adalah rawatan biasa dalam kes-kes yang tidak memberi respon pada terapi lain atau bagi kes-kes yang lebih serius. Pembedahan di kawasan kelamin atau dubur secara amnya tidak disyorkan bagi wanita dengan penyakit Sklerosus Lichen kerana keadaan ini mungkin berulang lagi selepas pembedahan dibuat.
Kredit: Sumber gambar daripada https://www.buoyhealth.com/diagnoses-a-z/lichen-sclerosus/
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lichen-sclerosus/symptoms-causes/syc-20374448
https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/lichen-sclerosis
https://www.healthline.com/health/lichen-sclerosus
https://www.healthline.com/health/lichen-sclerosus#:~:text=Lichen%20sclerosus%20is%20a%20skin,on%20the%20vulvas%20of%20women.