keletihan
Keletihan yang melampau sebaliknya boleh bertahan lebih lama, lebih mendalam dan tidak hanya sembuh dengan rehat.

Pengenalan

Keletihan yang melampau sebaliknya boleh bertahan lebih lama, lebih mendalam dan tidak hanya sembuh dengan rehat. Ini adalah keadaan keletihan yang berterusan dan berkembang dari masa ke masa. Keadaan ini boleh mengurangkan tenaga, motivasi dan tumpuan anda. Malah, ia juga turut memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan psikologi individu.

Hampir semua orang terlalu penat atau kerja terlebih masa dari semasa ke semasa. Contoh keletihan secara sementara biasanya mempunyai sebab yang boleh dikenalpasti dan rawatan mudah yang boleh dilakukan.

Penerangan

Gejala utama keletihan adalah keletihan kerana aktiviti fizikal atau mental. Individu yang terjejas biasanya tidak berasa segar selepas berehat atau tidur. Ia juga mungkin sukar untuk menjalankan aktiviti harian termasuk kerja, kerja rumah dan menjaga orang lain. Tanda-tanda dan gejala keletihan mungkin bersifat fizikal, mental atau emosi.

Tanda-tanda dan gejala yang sering dikaitkan dengan keletihan termasuklah:

  • Kesakitan otot.
  • Sikap tidak peduli dan kurang motivasi.
  • Rasa mengantuk di siang hari.
  • Sukar untuk menumpukan perhatian atau belajar tugas baru.
  • Masalah gastrointestinal seperti kembung, sakit perut, sembelit dan cirit-birit.
  • Sakit kepala.
  • Kerengsaan dan kemurungan.
  • Mambat memberikan tindakbalas.
  • Masalah penglihatan, seperti kabur.

Gejala cenderung menjadi lebih teruk selepas faktor penuaan. Ia mungkin muncul beberapa jam selepas anda melakukan aktiviti atau senaman, atau mungkin juga timbul keesokan harinya.

Penyebab yang berkemungkinan

Keletihan dikaitkan dengan banyak keadaan kesihatan seperti:

1) Masalah kesihatan mental

Ini boleh terjadi disebabkan tekanan, kedukacitaan dan kesedihan, gangguan pemakanan, penyalahgunaan alkohol, penyalahgunaan dadah, keresahan, perpindahan, kebosanan dan perceraian. Ia boleh berlaku dengan kemurungan klinikal, sama ada disebabkan oleh kemurungan itu sendiri atau disebabkan masalah yang berkaitan, seperti insomnia.

2) Punca daripada endokrin dan metabolik

Keadaan seperti kehamilan, penyakit Cushing, penyakit buah pinggang, masalah elektrolit, diabetes, hipotiroidisme, anemia dan penyakit hati semuanya boleh menyebabkan simptom keletihan.

3) Dadah dan ubat-ubatan

Sesetengah antidepresan, antihipertensif, statin, steroid, antihistamin, penarikan ubat, ubat sedatif dan ubat anti-kegelisahan juga boleh menyebabkan keletihan. Perubahan dalam dos atau pemberhentian ubat tertentu juga mungkin memainkan peranan.

4) Keadaan jantung dan paru-paru

Pneumonia, aritmia, asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), penyakit jantung valvular, penyakit jantung koronari, kegagalan jantung kongestif, GERD, refluks asid dan penyakit keradangan usus (IBD) boleh menyebabkan keletihan, dalam kebanyakan penyakit jantung, paru-paru dan pencernaan.

5) Masalah tidur

Bekerja hingga lewat malam, peralihan kerja, mabuk udara, apnea tidur, narkolepsi, insomnia dan esofagitis refluks boleh menyebabkan kekurangan tidur dan keletihan.

6) Bahan kimia dan bahan kandungan

Kekurangan vitamin, kekurangan mineral, keracunan dan pengambilan terlalu banyak kafein atau minuman beralkohol boleh mengganggu kualiti tidur biasa, terutama jika makanan ini diambil dalam tempoh yang terlalu hampir dengan waktu anda untuk tidur.

7) Pelbagai penyakit, keadaan dan rawatan

Kanser, kemoterapi, myalgic encephalomyelitis (ME), terapi radiasi, sindrom keletihan kronik (CFS), fibromialgia, lupus sistemik, reumatoid artritis, obesiti, kehilangan darah yang banyak dan sistem imun yang lemah juga boleh menyebabkan keletihan.

Di samping itu, keletihan juga boleh menjadi petanda bagi jangkitan. Sesetengah jangkitan yang menyebabkan keletihan melampau termasuklah malaria, tuberkulosis (TB), mononukleosis berjangkit, sitomegalovirus (CMV), jangkitan HIV, selesema dan hepatitis.

8) Kesakitan kronik

Pesakit dengan kesakitan kronik sering terbangun dengan kerap sepanjang malam. Mereka biasanya bangun dan berasa penat serta kurang rehat serta menyebabkan mereka tidak mendapatkan tidur yang baik. Gabungan kesakitan dan kekurangan tidur boleh menyebabkan keletihan yang berterusan.

Sesetengah penyakit dan keadaan di mana kesakitan adalah simptom utama seperti fibromialgia mungkin juga dikaitkan dengan keadaan lain, seperti apnea tidur. Ini boleh memburukkan lagi gejala keletihan sedia ada. Dalam satu kajian mengenai perkaitan antara fibromialgia dan tidur, separuh individu yang mempunyai fibromialgia juga mempunyai masalah apnea tidur.

9) Mempunyai berat badan berlebihan atau kurang berat badan

Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko keletihan kerana pelbagai sebab. Ini termasuklah pembawaan beban badan yang lebih tinggi, lebih cenderung untuk mengalami sakit sendi dan otot dan mempunyai keadaan di mana keletihan adalah gejala biasa bagi penyakit seperti diabetes atau apnea tidur.

Bagi seseorang yang mempunyai berat badan berkurangan, mereka mungkin mudah lemah bergantung kepada punca yang menyebabkan keadaan mereka. Gangguan makan, kanser, penyakit kronik dan tiroid yang terlalu aktif juga boleh menyebabkan penurunan berat badan serta keletihan yang melampau.

10) Aktiviti yang dilakukan terlalu banyak atau terlalu sedikit

Seseorang yang merasa lelah mungkin tidak boleh bersenam, dan senaman yang kurang dapat menyebabkan keletihan yang berterusan. Malah, kurang senaman akhirnya boleh menyebabkan keadaan yang menurun, menjadikannya lebih sukar dan lebih melelahkan untuk melakukan aktiviti fizikal.

Keletihan juga boleh menjejaskan individu yang sihat selepas melakukan aktiviti mental atau fizikal yang berpanjangan. Bekerja atau berjaga selama berjam-jam tanpa rehat, terutamanya semasa memandu boleh meningkatkan risiko kecuaian dan berlakunya kemalangan. Statistik juga telah menunjukkan bahawa waktu berjaga yang lama di kalangan pemandu trak dan bas, dapat meningkatkan risiko berlakunya kemalangan. Jadi, ianya adalah penting untuk tidak memandu ketika anda mengantuk.

Bila perlu menghubungi doktor

Anda perlu berjumpa dengan doktor jika anda berasa penat dan anda:

  • Tidak boleh memikirkan punca yang mungkin menyebabkan keletihan anda.
  • Mempunyai suhu badan yang lebih tinggi daripada normal.
  • Mengalami penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
  • Berasa sangat sensitif terhadap suhu yang lebih sejuk.
  • Kerap mengalami masalah untuk tidur atau kekal tidur,
  • Mempercayai bahawa anda mungkin tertekan.

Jika anda telah berusaha untuk menangani punca gaya hidup yang paling biasa, seperti kekurangan rehat, corak pemakanan kurang baik dan tekanan tanpa jayanya, serta keletihan ini berterusan selama dua minggu atau lebih, sila berjumpa doktor anda dengan segera.

Dalam sesetengah kes, keletihan anda mungkin terjadi disebabkan keadaan perubatan yang serius. Sila ke hospital dengan segera jika anda mengalami keletihan bersama dengan mana-mana gejala berikut:

  • Pendarahan rektum.
  • Muntah darah.
  • Sakit kepala yang teruk.
  • Sakit di bahagian dada.
  • Rasa seperti ingin pengsan.
  • Degupan jantung yang tidak teratur.
  • Sesak nafas.
  • Kesakitan yang teruk di kawasan perut, belakang badan atau pelvis.
  • Pemikiran untuk membunuh diri atau membahayakan diri sendiri.
  • Pemikiran untuk merosakkan orang lain.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Diagnosis boleh menjadi sukar memandangkan punca dan gejalanya bervariasi dan tidak spesifik.

Doktor mungkin bertanya soalan berkaitan dengan:

  • Kualiti keletihan yang dialami.
  • Corak kelelahan. Contohnya, bilakah gejala memburuk atau bertambah baik dalam sehari, atau sama ada tidur dapat membantu menyelesaikannya.
  • Kualiti tidur termasuk keadaan emosi, corak tidur dan tahap tekanan.

Seseorang boleh membantu proses ini dengan menyimpan rekod jumlah jam tidur setiap hari, dan kekerapan mereka terbangun semasa tidur.

Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal untuk memeriksa tanda-tanda penyakit dan bertanyakan berkenaan senarai ubat yang diambil. Faktor lain yang perlu dipertimbangkan termasuklah jangkitan semasa atau yang terkini, dan peristiwa yang mungkin mencetuskan keletihan seperti kelahiran, pembedahan atau pemulihan daripada kecederaan dan penyakit utama.

Seterusnya, doktor juga akan bertanyakan mengenai tabiat gaya hidup, termasuk pemakanan, penggunaan kafein, penggunaan dadah, pengambilan alkohol, corak kerja dan tidur.

Ujian diagnostik

Ini dapat membantu mendiagnosis sebab lain yang boleh menjadi puncanya. Ujian air kencing, imbasan pengimejan, soal selidik kesihatan mental dan ujian darah juga mungkin perlu bergantung kepada gejala lain.

Ujian boleh membantu mengatasi penyebab fizikal, seperti jangkitan, masalah hormon, anemia, masalah hati atau masalah buah pinggang. Malah, doktor boleh menjalankan kajian tidur untuk mengetepikan masalah gangguan tidur.

Jika penyakit telah didiagnosis, masalah itu akan dirawat. Sebagai contoh, pengendalian diabetes boleh membantu menyelesaikan masalah keletihan.

Rawatan

Pelan rawatan yang disyorkan oleh doktor bergantung kepada apa yang menyebabkan keletihan anda. Bagi membuat diagnosis, mereka mungkin akan bertanya kepada anda tentang:

  • Sifat keletihan anda, termasuk bila ia bermula dan sama ada ia menjadi lebih baik atau buruk pada masa-masa tertentu.
  • Gejala lain yang anda alami.
  • Keadaan perubatan lain yang anda miliki.
  • Gaya hidup dan sumber tekanan anda.
  • Ubat yang anda ambil.

Jika doktor mengesyaki anda mempunyai keadaan perubatan asas yang menyebabkan masalah keletihan ini, mereka boleh menjalankan beberapa ujian perubatan seperti menjalankan ujian darah atau air kencing.

Sumber:

https://www.webmd.com/balance/how-tired-is-too-tired

https://www.healthline.com/health/fatigue

https://www.medicalnewstoday.com/articles/248002

https://www.medicinenet.com/fatigue/article.htm

Summary
Article Name
Keletihan (Fatigue) - Punca dan Diagnosis
Description
Keletihan yang melampau sebaliknya boleh bertahan lebih lama, lebih mendalam dan tidak hanya sembuh dengan rehat.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: