8 Pembedahan Mata Yang Sesuai Untuk Masalah Penglihatan Yang Anda Alami
Terdapat pelbagai cara untuk menangani masalah penglihatan, antaranya adalah melalui pembedahan.

Terdapat pelbagai cara untuk menangani masalah penglihatan, antaranya adalah melalui pembedahan mata. Pembedahan boleh membetulkan masalah mata yang serius seperti katarak dan glaukoma.

Berikut adalah senarai prosedur mata yang biasa dijalankan dan mengapa anda memerlukannya, dan apa yang diharapkan apabila anda menjalaninya.

1. LASIK

LASIK adalah nama pendek bagi Laser-Assisted In Situ Keratomileusis. Prosedur ini dilakukan bagi seseorang yang mahukan penglihatannya menjadi lebih baik tanpa perlu memakai kanta sentuh atau cermin mata. LASIK adalah sejenis pembedahan refraktif yang biasa dilakukan untuk memperbaiki masalah fokus mata anda. Prosedur ini menggunakan laser untuk mengeluarkan tisu di bawah permukaan kornea anda dan membentuk kornea semula. LASIK boleh memperbetulkan rabun jauh, rabun dekat atau astigmatisme.

LASIK merupakan prosedur pesakit luar. Seseorang yang menjalaninua tidak memerlukan penginapan di hospital. Prosedur ini mengambil masa selama 30 minit untuk memperbaiki kedua-dua mata. Penglihatan anda akan meningkat sepantas sehari dan mungkin lebih segera dari tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan mengalami ketidakselesaan mata selama satu atau dua hari.

2. PRK

Nama lengkap bagi prosedur ini adalah ‘photorefractive keratectomy’. Ia merupakan satu lagi jenis pembedahan refraktif seperti LASIK. PRK juga memperbaiki rabun jauh, rabun dekat dan astigmatisme supaya anda tidak memerlukan kanta lekap atau cermin mata sebagai alat bantuan penglihatan. Dalam prosedur ini, doktor menggunakan laser untuk mengeluarkan sel-sel pada permukaan kornea.

Berbeza dengan LASIK, PRK tidak melibatkan pembuatan “flap” di kornea sebelum membentuk kembali permukaan mata. Sesetengah pakar oftalmologi lebih suka menjalankan pembedahan PRK berbanding LASIK, dan ada pesakit tertentu memiliki kornea yang lebih sesuai untuk menjalani PRK berbanding LASIK.

Prosedur pembedahan ini mengambil masa kira-kira 10 minit bagi kedua-dua mata. Mata anda mungkin akan berasa sakit sedikit selepas pembedahan dan anda mungkin tidak boleh memandu kenderaan selama beberapa minggu. Kebanyakan individu yang menjalani pembedahan ini berjaya meningkatkan penglihatan mereka sebangak 80% dalam empat minggu dan 95% selepas 12 minggu.

3. Pembedahan Katarak

Katarak menyerang kanta mata anda, mengakibatkannya berubah warna menjadi keruh. Keadaan ini menjadikan penglihatan seseorang kabur. Katarak merupakan penyakit biasa yang dialami oleh orang yang lebih berusia. Namun begitu, pembedahan boleh memperbaiki masalah ini yang mengambil masa kurang dari satu jam. Dalam prosedur pembedahan ini, lensa mata anda yang berubah warna telah digantikan dengan lensa tiruan.

Pembedahan ini dikategorikan sebagai prosedur pesakit luar. Pada awalnya selepas pembedahan, penglihatan anda akan menjadi kabur tetapi ia akan bertambah baik dalam tempoh beberapa hari. Semasa proses penyembuhan, mata anda mungkin akan berasa tidak selesa dan gatal.

4. Pembedahan Glaukoma

Glaukoma adalah sejenis penyakit yang berpunca daripada kerosakan pada saraf optik di mata anda. Ia disebabkan oleh tekanan berlebihan pada mata. Glaukoma merupakan penyakit yang serius dan boleh menyebabkan buta. Terdapat dua jenis pembedahan yang boleh merawat glaukom dan kedua-duanya bertujuan untuk mengurangkan tekanan di mata anda.

Pembedahan laser untuk glaukoma adalah prosedur pesakit luar dan anda boleh pulang ke rumah sebaik sahaja pembedahan selesai. Sehari selepas pembedahan, penglihatan anda mungkin akan menjadi kabur dan mata anda mungkin akan berasa kurang selesa. Namun begitu, anda boleh melakukan aktiviti harian seperti biasa pada hari berikutnya.

Pilihan lain memperbaiki glaucoma adalah Pembedahan Glaukoma Konvensional. Pembedahan ini boleh dilakukan sekiranya rawatan laser tidak berkesan terhadap glaucoma yang anda alami. Pembedahan ini juga merupakan prosedur pesakit luar dan anda boleh pulang selepas pembedahan selesai. Namun, mata anda mungkin akan berair atau kelihatan merah selepas prosedur pembedahan. Ia mengambil masa seminggu untuk anda kembali melakukan aktiviti harian anda seperti biasa. 

5. Pembedahan Retinopati Diabetik

Anda berisiko mengalami penyakit retinopati diabetik jika anda menghidap Kencing Manis dan gula darah anda berada pada tahap yang tidak terkawal. Tahap gula darah yang tinggi boleh merosakkan saluran darah, termasuklah yang ada dalam mata anda. Keadaan ini akan menyebabkan saluran darah mengeluarkan cecair dan darah ke dalam retina sehingga mengakibatkan perubahan terhadap penglihatan anda. Anda mungkin akan nampak “floaters”, iaitu tompok-tompok kecil yang seakan berterbangan dalam penglihatan anda. 

Terdapat dua jenis pembedahan mata Retinopati Diabetik iaitu pembedahan laser dan vitrectomy. Dalam prosedur pembedahan laser, pakar bedah mata menggunakan laser untuk mengurangkan bengkak di mata dan menggalakkan pertumbuhan saluran darah baru. Pembedahan ini juga membantu mencegah salur darah bocor pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, penglihatan anda mungkin masih kabur dan anda memerlukan lebih banyak pembedahan laser pada masa akan datang.

Vitrectomy merupakan sejenis pembedahan lain bagi merawat Retinopati Diabetik. Ia berfungsi dengan cara menghilangkan darah bocor dan tisu parut di mata anda. Selain itu, ia juga membantu mencegah pengulangan kebocoran saluran darah. Doktor anda akan melakukan prosedur pembedahan ini di hospital. Jadi, selepas pembedahan anda mungkin perlu tinggal di hospital buat sementara waktu.

6. Pembedahan Kemerosotan Makula

Makula adalah kawasan mata yang membantu seseorang untuk melihat dengan lebih terperinci. Semakin meningkat umur seseorang, semakin tinggi risiko untuk macula pecah. Keadaan ini secara khususnya dipanggil sebagai Degenerasi Makula yang berkaitan dengan usia (ARMD – Age Related Macular Degeneration). Jenis ARMD yang paling teruk adalah ARMD basah kerana ia menyebabkan saluran darah menjadi bocor. Saluran darah yang bocor mengakibatkan penampakan bintik gelap dalam pusat penglihatan anda.

Pembedahan laser dapat membantu ARMD basah. Dalam prosedur ini, doktor mata akan menggunakan laser untuk membakar salur darah yang tidak diingini. Prosedur ini menghalang pendarahan dan menghentikan pertumbuhan lebih banyak saluran darah.

Pembedahan ini dikategorikan sebagai prosedur pesakit luar. Biasanya, selepas pembedahan dijalankan, penglihatan anda akan menjadi kabur dalam beberapa minggu. Namun, anda mungkin memerlukan lebih banyak rawatan laser dalam masa beberapa tahun.

7. SMILE

SMILE atau nama penuhnya, Small Incision Lenticule Extraction, menggunakan sistem laser ‘femtosecond’ dengan ketepatan dan kelajuan yang tinggi untuk membentuk semula kornea mata seseorang. SMILE merupakan kaedah rawatan laser yang digunakan untuk menyembuhkan rabun dekat (myopia), rabun jauh (hypermetropia) dan astigmatisme. Prosedurnya melibatkan penciptaan tisu kornea atau ‘lenticule’ menjadi bentuk lensa kecil dalam kornea. Masa yang diambil bagi prosedur ini adalah secara purata selama 23 saat. Seterusnya, pakar bedah akan menghilangkan lenticule dengan membuat pemotongan kecil di bahagian depan mata. Ia bertujuan untuk membentuk kornea dan membetulkan kesalahan refraktif.

8. LASEK

LASEK adalah sejenis pembedahan mata yang menggabungkan beberapa manfaat pembedahan pembetulan penglihatan yang lain.

Laser Epithelial Keratomileusis atau LASEK, menggabungkan kelebihan kedua-dua prosedur yang paling biasa dilakukan iaitu LASIK dan PRK. Pembedahan mata LASEK bertujuan untuk merawat astigmatisme, rabun jauh dan rabun dekat.

Dalam prosedur LASEK, pelbagai teknik digunakan untuk mengekalkan kenipisan lapisan sel permukaan kornea (epithelium) dan digunakan untuk memulihkan semula kornea selepas pembentukan laser dilakukan.

Pembedahan LASEK mempunyai beberapa kelebihan, termasuklah:

  • Mengelakkan komplikasi yang berkaitan dengan penciptaan dan pengulangan semula ‘flap’ di kornea.
  • Pembedahan mata LASEK mengurangkan kesan sampingan mata kering berbanding  pembedahan mata LASIK.

Sumber

https://www.healthgrades.com/right-care/eye-health/6-common-eye-procedures

https://www.webmd.com/eye-health/overview-refractive-laser-eye-surgery#1

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/lasik-eye-surgery/in-depth/lasik-surgery/art-20045751

Summary
8 Pembedahan Mata Yang Sesuai Untuk Masalah Penglihatan Yang Anda Alami
Article Name
8 Pembedahan Mata Yang Sesuai Untuk Masalah Penglihatan Yang Anda Alami
Description
Terdapat pelbagai cara untuk menangani masalah penglihatan, antaranya adalah melalui pembedahan yang memperbaiki masalah penglihatan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: