apnea tidur
Apnea Tidur adalah sejenis gangguan tidur yang serius

Apnea Tidur adalah sejenis gangguan tidur yang serius yang berlaku apabila pernafasan seseorang terganggu sewaktu tidur kerana tidak cukup oksigen. Individu dengan Apnea Tidur yang tidak dirawat boleh berhenti bernafas berulang kali semasa tidur mereka malah kadangkala sehingga ratusan kali. Ia berlaku kerana otak dan seluruh badan tidak mendapat oksigen yang secukupnya.

Jenis Apnea Tidur

Terdapat dua jenis Apnea Tidur:

• Apnea Tidur Obstruktif (Obstructive Sleep Apnea): Jenis yang paling biasa berlaku. Ia disebabkan oleh penyekatan saluran udara. Biasanya terjadi apabila tisu lembut di bahagian belakang kerongkong ‘runtuh’ semasa tidur.

Apnea Tidur Sentral: Berbeza dari Apnea Tidur Obstruktif, saluran udara tidak disekat, tetapi otak gagal memberi isyarat kepada otot untuk bernafas kerana terdapat ketidakstabilan di pusat kawalan pernafasan.

Simptom Apnea Tidur

Seseorang yang mempunyai Apnea Tidur mungkin tidak menyedari simptom yang mereka alami, tetapi individu lain akan menyedari saat mereka berhenti bernafas dengan cara tiba-tiba mendesak atau mengerang, bangun, kemudian kembali tidur.

Simptom Apnea Tidur yang biasa adalah mengantuk pada siang hari kerana tidur yang terganggu pada waktu malam.

Simptom tambahan lain termasuklah:

• Tidur yang tidak cukup atau Insomnia

• Kesukaran menumpukan perhatian

• Kuat berdengkur

• Bangun beberapa kali pada waktu malam untuk buang air kecil

• Bangun dengan mulut kering atau tekak yang sakit

• Sakit kepala pada waktu pagi

• Kesengsaraan

Pedih ulu hati

• Mengalami penurunan libido dan disfungsi erektil

Seseorang lebih cenderung menghidap Apnea Tidur jika mereka mempunyai lilitan leher yang besar. Lebih besar daripada 17 inci bagi lelaki, dan lebih besar daripada 15 inci bagi wanita.

Punca Apnea Tidur

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada penyekatan atau keruntuhan saluran udara:

  • Perubahan otot: Apabila seseorang sedang tidur, otot-otot yang mengawal pernafasan akan relaks, bersama-sama dengan lidah menyebabkan saluran udara menjadi sempit. Biasanya, keadaan ini tidak menghalang aliran udara masuk dan keluar daripada paru-paru, tetapi ia boleh berlaku dalam Apnea Tidur.
  • Halangan fizikal: Terdapat tisu tebal tambahan atau lemak yang berlebihan di sekitar saluran udara yang boleh menyekat aliran udara dan sebarang udara yang melaluinya sehingga menyebabkan dengkuran kuat yang biasanya dikaitkan dengan Apnea Tidur Obstruktif.
  • Fungsi Otak: Dalam Apnea Tidur Sentral, kawalan neurologi pernafasan rosak, lalu menyebabkan kawalan dan irama pernafasan terganggu. Apnea Tidur Sentral biasanya dikaitkan dengan keadaan perubatan asas, seperti Strok atau kegagalan jantung, pendakian ke tempat yang tinggi, atau penggunaan ubat untuk mengurangkan sakit.

Apabila saluran udara telah tersekat sepenuhnya, dengkuran akan berhenti dan tiada pernafasan dalam tempoh 10-20 kali atau sehingga otak mengesan Apnea tersebut dan mengarahkan otot untuk mengetat dan mengembalikan aliran udara. Tempoh dalam pernafasan ini dikenali sebagai Apnea.

Diagnosis Tidur Apnea

Doktor boleh melakukan penilaian berdasarkan tanda serta simptom dan sejarah tidur anda, yang mungkin boleh diberikan melalui bantuan daripada individu lain yang berkongsi katil atau rumah dengan anda.

Anda juga mungkin akan dirujuk ke pusat gangguan tidur. Di sana, pakar tidur dapat membantu menentukan keperluan anda untuk menjalani penilaian selanjutnya.

Penilaian sering melibatkan pemantauan semalaman pernafasan anda ketika tidur dan fungsi tubuh anda semasa tidur. Ujian tidur di rumah juga mungkin menjadi pilihan. Selain itu, ujian untuk mengesan Apnea Tidur termasuklah:

Polisomnografi pada waktu malam. Semasa ujian ini dijalankan, peralatan yang memantau aktiviti jantung, paru-paru dan otak, corak pernafasan, pergerakan lengan dan kaki, dan tahap oksigen darah akan disambungkan pada anda semasa anda tidur.

Ujian tidur di rumah. Doktor anda mungkin memberi anda ujian mudah untuk dilakukan di rumah bagi mendiagnosis Apnea Tidur. Ujian ini biasanya mengukur kadar denyutan jantung anda, paras oksigen darah, aliran udara dan corak pernafasan.

Jika hasilnya tidak normal, doktor anda mungkin akan terus menetapkan terapi untuk anda tanpa memerlukan sebarang ujian lanjutan. Walau bagaimanapun, peranti pengawasan mudah alih tidak dapat mengesan semua kes Apnea Tidur jadi doktor akan tetap mencadangkan polisomnografi walaupun keputusan awal anda adalah normal.

Faktor Risiko Apnea Tidur

Faktor risiko Apnea Tidur termasuklah:

• Tidur terlentang (rata di belakang)

• Obesiti

• Sinusitis kronik

• Lilitan leher yang besar

• Peningkatan berat badan dalam tempoh terdekat

• Menopaus

• Tonsil besar atau adenoid

Sindrom Down

• Merokok

• Sejarah keluarga mengalami Apnea Tidur

Rawatan Apnea tidur

Untuk kes Apnea Tidur yang lebih ringan, doktor mungkin akan mengesyorkan perubahan gaya hidup sahaja seperti menurunkan berat badan atau berhenti merokok. Sekiranya anda mempunyai alahan pada hidung, doktor anda akan mengesyorkan rawatan bagi melegakan alahan anda.

Sekiranya langkah-langkah ini tidak melegakan tanda-tanda dan simptom anda atau jika Apnea Tidur anda berada pada tahap sederhana hingga teruk, beberapa rawatan lain boleh dilakukan.

Peranti tertentu boleh membantu membuka saluran udara yang disekat. Dalam kes lain, pembedahan mungkin diperlukan.

Terapi

Tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP – Continuous Positive Airway Pressure). Jika anda mengalami Apnea Tidur yang sederhana atau teruk, anda mungkin boleh mendapat manfaat dengan menggunakan mesin CPAP yang menyampaikan tekanan udara melalui topeng semasa anda tidur. Dengan menggunakan mesin ini, tekanan udara akan lebih tinggi daripada udara di sekelilingnya dan cukup untuk memastikan laluan saluran udara anda terbuka, lalu mencegah Apnea dan dengkuran.

Walaupun mesin CPAP adalah kaedah yang paling biasa dan boleh dipercayai untuk merawat Apnea Tidur, sesetengah pesakit mendapati ia terlalu rumit atau tidak selesa untuk digunakan. Ada pesakit boleh bergantung pada mesin ini, tetapi bagi kebanyakan pesakit lain, mereka perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan tegangan tali pada topeng bagi keselesaan dan keselamatan sewaktu tidur.

Anda mungkin perlu mencuba lebih daripada satu jenis topeng untuk mencari jenis yang sesuai dan selesa dengan anda. Jangan berhenti menggunakan mesin CPAP jika anda menghadapi sebarang masalah. Sebaliknya, semak dengan doktor anda untuk melihat perubahan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keselesaan anda.

Selain itu, hubungi doktor anda jika anda masih berdengkur atau mula berdengkur sekali lagi walaupun selepas rawatan dijalankan. Sekiranya berat badan anda berubah, tetapan tekanan mesin CPAP mungkin perlu diselaraskan.

• Alat tekanan saluran udara lain. Sekiranya menggunakan mesin CPAP mendatangkan masalah untuk anda, anda boleh menggunakan jenis alat tekanan udara yang berbeza yang secara automatik menyesuaikan tekanan semasa anda sedang tidur (auto-CPAP). Mesin BPAP, ‘Bilevel Positive Airway Pressure’ juga boleh digunakan. Ia memberikan lebih banyak tekanan apabila anda menyedut dan mengurangkan tekanan apabila anda menghembus nafas.

Peralatan oral. Pilihan rawatan lain adalah dengan memakai alat oral yang direka khas untuk mengekalkan kerongkong anda terbuka. Walaupun mesin CPAP lebih berkesan daripada peralatan oral, tetapi peralatan ini lebih mudah digunakan. Sesetengahnya direka untuk membuka kerongkong anda dengan membawa rahang ke depan yang kadangkala boleh melegakan dengkuran dan Apnea Tidur Obstruktif yang ringan.

Pelbagai peranti boleh didapati daripada doktor gigi anda. Anda mungkin perlu mencuba peranti yang berbeza sebelum menetapkan yang sesuai untuk diri anda.

Sebaik sahaja anda menjumpai peranti yang sesuai, anda perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor pergigian anda berulang kali pada tahun pertama dengan kerap kemudiannya, untuk memastikan peranti yang sesuai itu masih bagus dan menilai semula tanda-tanda dan simptom anda.

Pembedahan

Pembedahan biasanya hanya menjadi pilihan selepas rawatan lain telah gagal. Sekurang-kurangnya anda perlu melakukan percubaan pilihan rawatan berbeza selama tiga bulan sebelum mempertimbangkan sesuatu pembedahan. Walau bagaimanapun, untuk sebilangan kecil pesakit yang mempunyai masalah struktur rahang tertentu, pembedahan adalah pilihan yang terbaik.

Pilihan pembedahan mungkin termasuk:

• Pembuangan tisu. Semasa prosedur ini (uvulopalatopharyngoplasty), doktor anda mengeluarkan tisu dari belakang mulut anda dan bahagian atas tekak anda. Biasanya Amandel dan adenoid juga turut dikeluarkan.

Pembedahan jenis ini boleh menghalang struktur tekak anda daripada bergetar dan menyebabkan dengkuran. Namun begitu, ia kurang berkesan berbanding mesin CPAP dan tidak dianggap sebagai rawatan yang sesuai bagi Apnea Tidur Obstruktif.

Mengeluarkan tisu di belakang tekak anda dengan tenaga radiofrekuensi (radiofrequency ablation) mungkin menjadi pilihan jika anda tidak boleh bertolak ansur dengan peralatan CPAP atau oral.

• Pengecutan tisu. Pilihan lain adalah mengecutkan tisu di bahagian belakang mulut anda dan belakang tekak anda menggunakan tenaga (radiofrequency ablation ). Prosedur ini mungkin digunakan untuk Apnea Tidur yang ringan hingga sederhana. Satu kajian telah mendapati rawatan ini mempunyai kesan yang serupa dengan penyingkiran tisu, tetapi dengan risiko pembedahan yang lebih sedikit.

• Mengubah Posisi Rahang. Dalam prosedur ini, rahang anda dipindahkan ke depan dari baki tulang muka anda. Prosedur ini membesarkan ruang di belakang lidah dan lelangit lembut, menjadikan sebarang risiko halangan dikurangkan. Prosedur ini dikenali sebagai ‘kemajuan maxillomandibular‘.

• Implan. Batang plastik akan ditanam dalam lelangit lembut anda melalui pembedahan selepas anda menerima anestetik. Namun begitu, lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sejauh mana implan berfungsi dalam merawat masalah ini.

• Rangsangan saraf. Kaedah ini memerlukan pembedahan untuk memasukkan perangsang saraf yang mengendalikan pergerakan lidah (saraf hipoglossal). Rangsangan yang meningkat membantu mengekalkan lidah dalam posisi yang betul supaya dapat memastikan saluran udara terbuka. Namun lebih banyak kajian diperlukan bagi mengesahkan keberkesanan rawatan ini.

• Mencipta laluan udara baru (tracheostomy). Anda mungkin memerlukan pembedahan ini jika rawatan lain telah gagal dan anda mempunyai Apnea Tidur yang boleh mengancam nyawa. Dalam prosedur ini, pakar bedah akan melakukan pembukaan di leher anda dan memasukkan tiub logam atau plastik di tempat pernafasan anda.

Anda perlu menutup pembukaan tersebut pada waktu siang. Tetapi pada waktu malam anda membukanya untuk membolehkan udara masuk dan keluar dari paru-paru anda dengan cara memintas laluan udara yang disekat di kerongkong anda.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/sleep-apnea/symptoms-causes/syc-20377631

https://www.webmd.com/sleep-disorders/sleep-apnea/sleep-apnea

https://www.medicalnewstoday.com/articles/178633

Summary
Apnea Tidur (Sleep Apnea) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Apnea Tidur (Sleep Apnea) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Apnea Tidur adalah sejenis gangguan tidur yang serius yang berlaku apabila pernafasan seseorang terganggu sewaktu tidur kerana tidak cukup oksigen.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: