seram sejuk dan menggigil
Istilah "seram sejuk" merujuk kepada rasa sejuk yang hadir tiba-tiba tanpa punca yang jelas.

Pengenalan

Seram sejuk merujuk kepada rasa sejuk yang hadir tiba-tiba tanpa punca yang jelas. Rasa sejuk hadir apabila otot-otot anda mengembang dan mengecut berulang kali serta pembuluh anda semakin menjadi sempit. Seram sejuk ini boleh berlaku sewaktu anda demam sehingga menyebabkan badan anda menggigil.

Rasa seram sejuk pada badan anda boleh menjadi kerap. Setiap episod boleh bertahan selama sejam. Malah, ia boleh berlaku dalam waktu-waktu tertentu dan berlangsung selama beberapa minit.

Kebiasaannya, seseorang individu akan menggigil untuk memanaskan badannya ketika cuaca sejuk. Walau bagaimanapun, terdapat beberaoa sebab lain bagi menggigil. Sesetengahnya disebabkan oleh masalah kesihatan lain.

Apabila seseorang sedang dalam keadaan sejuk, otot dalam badan akan mengecut dan berehat dengan cepat untuk menghasilkan haba. Keadaan ini mengakibatkan sesetengah anggota badan menggigil atau menggeletar. Mereka masih boleh menggigil pada hari yang panas sekiranya ada udara dingin atau apabila mereka duduk di tempat teduh.

Menggigil adalah pergerakan spontan yang dihasilkan oleh badan anda, maksudnya ia sesuatu yang tidak terkawal. Selain itu, contoh pergerakan spontan lain adalah sedu dan bersin.

Penerangan

Seram sejuk adalah perasaan sejuk yang disertai dengan menggigil. Ia boleh berlaku bersama demam atau tanpa demam.

Sekiranya anda tidak demam, anda akan berasa seram sejuk apabila terdedah kepada persekitaran yang sejuk.

Secara umumnya, sebarang keadaan yang boleh menyebabkan demam (termasuklah jangkitan dan kanser) boleh menghasilkan rasa seram sejuk bersama demam. Demam dan rasa seram sejuk merupakan simptom biasa bagi jangkitan influenza (selesema).

Pendedahan kepada tempat sejuk juga boleh menyebabkan rasa seram sejuk. Malah, jika pendedahan berpanjangan, anda boleh mendapat kecederaan yang dikaitkan dengan hipotermia.

Rasa seram sejuk sewaktu bersalin juga terjadi disebabkan hipotermia atau jangkitan.

Penyebab yang berkemungkinan

Sesetengah simptom seram sejuk berlaku selepas seseorang terdedah kepada persekitaran yang sejuk. Bukan itu sahaja, simptom seram sejuk juga boleh berlaku sebagai tindak balas terhadap jangkitan bakteria atau virus yang menyebabkan anda demam. Seram sejuk biasanya dikaitkan dengan penyakit berikut:

• Gastroenteritis bakteria atau virus

• Selesema

• Meningitis

• Sinusitis

• Keradangan paru-paru

• Sakit tekak streptokokus

Jangkitan saluran kencing (UTI – Urinary Tract Infection)

• Malaria

Seterusnya, simptom menggigil pula berlaku apabila seseorang itu berada dalam keadaan sejuk. Selalunya, ia bersifat sementara dan akan berhenti sebaik sahaja anda memanaskan badan.

Walau bagaimanapun, menggigil juga boleh menjadi simptom kepada penyakit fizikal atau mental.

Berikut adalah lapan sebab yang boleh mengakibatkan simptom menggigil:

– Demam

Selain sejuk, penyebab lain bagi menggigil adalah demam, iaitu apabila doktor menentukan suhu tubuh anda lebih tinggi daripada 37°C. Demam biasanya berlaku akibat jangkitan, namun keradangan atau reaksi alahan juga boleh meningkatkan suhu badan anda.

Sesetengah individu yang demam juga mungkin mengalami simptom selesema, namun individu lain mungkin tidak mempunyai simptom tambahan.

Untuk mengurangkan suhu badan, anda disyorkan minum banyak cecair dan mengambil ubat-ubatan anti-radang tanpa steroid (NSAIDs).

Sekiranya anda mempunyai simptom lain seperti sengal leher, denyutan jantung yang cepat atau pernafasan yang pendek, anda harus mendapatkan nasihat perubatan dalam masa 24 jam. Tetapi, jika anda tidak mempunyai simptom lain dan demam berlangsung selama lebih dari 3 hari, anda hanya perlu berjumpa dengan doktor .

– Gangguan Pergerakan Psikogenik

Bagi sesetengah individu, tekanan atau kesihatan mental boleh melibatkan simptom menggigil dan pergerakan spontan yang lain. Biasanya, hal ini berlaku disebabkan oleh gangguan pergerakan psikogenik yang boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan.

Ahli neurologi, iaitu doktor pakar dalam hal yang melibatkan otak, bertanggungjawab untuk mendiagnosis gangguan pergerakan psikogenik. Beliau mungkin akan mencari ciri-ciri berikut pada pesakit apabila melakukan diagnosis tersebut:

• Pergerakan pesakit yang berlaku secara tiba-tiba tanpa amaran.

• Sejarah peristiwa trauma yang mencetuskan simptom menggigil.

• Pergerakan pesakit akan terhenti jika pesakit beralih perhatian atau terganggu.

• Pesakit mempunyai masalah kesihatan mental seperti kemurungan.

Biasanya, menggigil tidak berpunca daripada sebarang kerosakan pada otak atau saraf asas. Sebaliknya, menggigil adalah tindak balas tubuh terhadap tekanan (stress).

Doktor sering merawat gangguan pergerakan psikogenik melalui gabungan terapi kesihatan mental dan terapi fizikal.

– Menggigil Postanesthetic

Simptom menggigil boleh berlaku apabila anda tersedar selepas suntikan anestetik umum. Sewaktu pembedahan dijalankan, suhu badan anda akan jatuh sehingga menyebabkan badan anda menggigil apabila tersedar selepas pembedahan selesai.

Selain itu, suntikan anestesia juga boleh menjejaskan keupayaan tubuh untuk mengawal suhu badan, justeru menjadikan tubuh anda sukar untuk memanaskan badan dengan kadar segera selepas pembedahan.

Selalunya, doktor akan memeriksa suhu anda dan memberikan selimut atau pemanas jika perlu.

– Ketakutan, keseronokan atau tekanan

Emosi yang kuat boleh menyebabkan badan anda menggeletar atau menggigil. Keadaan ini sering terjadi disebabkan lonjakan adrenalin dalam badan anda.

Adrenalin adalah sejenis hormon yang mencetuskan tindak balas dalam badan sewaktu  situasi “lawan atau lari” (hit or run). Kebiasaannya, badan anda akan berhenti menggigil selepas adrenalin berkurangan.

Bagi kebanyakan individu lain, tubuh badan mereka mungkin akan menggigil ketika saat yang sangat mengujakan atau menakutkan. Namun begitu, bagi individu yang mengalami masalah tekanan yang kronik, lonjakan adrenalin dan tubuh yang menggigil mungkin akan berlaku dengan lebih kerap.

– Gegaran

Badan menggigil atau menggeletar boleh juga terjadi disebabkan keadaan perubatan yang digelar sebagai gegaran utama (essential tremor). Gegaran utama adalah keadaan neurologi yang berkait rapat dengan fungsi otak.

Keadaan ini boleh diiringi dengan simptom menggigil dan menggeletar pada bahagian tangan, kaki, seluruh badan atau suara seseorang.

Bahkan, menggigil juga boleh menjadi salah satu simptom utama dalam penyakit Parkinson. Parkinson adalah gangguan yang menjejaskan kawasan otak dan cenderung berkembang secara beransur-ansur.

– Kadar gula darah rendah

Jika seseorang tidak makan atau minum dalam jangka masa yang panjang, tahap glukosa (gula) dalam darah mereka mungkin jatuh. Keadaan ini boleh menyebabkan tubuh badan mereka menggigil.

Bagi individu yang menghidap kencing manis pula, keadaan ini dikenali sebagai hipoglikemia dan boleh bertambah teruk. Individu yang menghidap kencing manis harus memeriksa glukosa darah mereka secara berkala untuk mengelakkan paras darah jatuh sehingga terlalu rendah.

– Kebimbangan (anxiety)

Kebimbangan adalah keadaan kesihatan mental yang boleh menjejaskan tubuh serta fikiran seseorang. Ia boleh menyebabkan simptom-simptom fizikal seperti mual, peningkatan kadar denyutan jantung dan tubuh badan menggigil.

Rawatan bagi keadaan ini termasuklah terapi, ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup. Selain itu, aktiviti seperti bersenam, mendengar muzik dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan serta keluarga juga boleh membantu mengatasi kebimbangan.

– Sepsis

Sepsis adalah tindak balas luar biasa badan terhadap jangkitan dan ia sering berlaku akibat jangkitan paru-paru, kulit, usus atau saluran kencing. Salah satu simptom sepsis adalah menggigil, kekeliruan, berpeluh, sakit, peningkatan kadar jantung dan sesak nafas. Ia adalah satu keadaan kecemasan perubatan dan individu yang mengalaminya memerlukan rawatan segera dengan antibiotik di hospital.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Doktor akan bertanyakan soalan mengenai simptom menggigil dan demam yang anda alami, termasuklah:

• Adakah simptom seram sejuk membuatkan anda menggigil atau hanya berasa sejuk?

• Apakah tahap suhu badan tertinggi anda yang disertai dengan menggigil?

• Adakah anda berasa seram sejuk sekali sahaja ataupun berulang kali?

• Berapa lamakah setiap episod seram sejuk anda berlangsung?

• Adakah badan anda berasa seram sejuk selepas pendedahan terhadap alergen atau secara tiba-tiba?

• Adakah anda mempunyai simptom lain?

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mungkin menjalankan ujian diagnostik untuk memeriksa sama ada jangkitan bakteria atau virus menyebabkan anda demam.

Ujian diagnostik tersebut termasuklah:

Ujian darah, seperti pengkulturan darah untuk mengesan bakteria atau kulat dalam darah anda

Pengkulturan rembesan daripada paru-paru dan bronkus (sputum culture)

Ujian air kencing

X-ray dada untuk mengesan pneumonia, tuberculosis atau jangkitan lain

Doktor mungkin akan memberikan antibiotik jika anda didiagnosis dengan jangkitan bakteria seperti sakit tekak strep atau keradangan paru-paru.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada simptom anda sama ada ia disertai dengan demam serta keparahan demam. Jika demam anda ringan dan tidak mempunyai simptom lain yang serius, anda tidak perlu berjumpa dengan doktor. Dapatkan rehat yang mencukupi dan minum banyak cecair. Demam ringan bersuhu antara 101.4°F (38.6 ° C) atau kurang.

Gunakan selimut atau pakaian berat yang boleh meningkatkan suhu badan anda. Lapkan badan anda dengan air suam atau mandi dengan air separa sejuk boleh membantu mengurangkan demam. Walau bagaimanapun, air yang sejuk boleh mencetuskan simptom seram sejuk.

Ubat-ubatan tanpa preskripsi (OTC) juga boleh menurunkan demam dan mengelakkan seram sejuk. Ubat-ubatan tersebut adalah seperti:

• Aspirin (Bayer)

• Acetaminophen (Tylenol)

• Ibuprofen (Advil)

Ikut arahan pada label ubat dengan teliti dan ambil ubat seperti yang diarahkan oleh doktor atau pakar kesihatan anda.

Aspirin dan ibuprofen boleh menurunkan demam dan mengurangkan keradangan. Namun begitu, penggunaan ibuprofen dalam jangka panjang boleh merosakkan buah pinggang dan perut.

Acetaminophen juga boleh menurunkan demam, tetapi ia tidak akan mengurangkan keradangan. Walau bagaimanapun, Acetaminophen boleh menjadi toksik kepada hati anda jika ia tidak diambil seperti yang diarahkan

– Penjagaan di rumah bagi kanak-kanak

Merawat kanak-kanak yang mengalami simptom seram sejuk dan demam bergantung kepada umur kanak-kanak tersebut, suhu dan simptom-simptom lain yang mengiringinya. Secara amnya, jika suhu demam anak anda adalah antara 37.8 ° C hingga 38.9 ° C, diikuti dengan rasa ketidakselesaan, anda boleh memberikan mereka acetaminophen dalam bentuk tablet atau cecair. Ikuti arahan dos pada pakej ubat ini.

Jangan selubungi kanak-kanak yang demam menggunakan selimut atau lapisan pakaian yang berat. Pakaikan mereka pakaian yang ringan dan berikan mereka air atau cecair lain untuk memastikan mereka kekal terhidrat.

Selain itu, jangan sekali-kali memberikan aspirin kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun kerana mereka berisiko untuk mengalami sindrom Reye. Sindrom Reye adalah penyakit serius yang jarang berlaku namun boleh terjadi pada kanak-kanak yang diberi aspirin.

Tubuh badan menggigil pula biasanya bersifat sementara. Sekiranya ia berlaku disebabkan oleh demam, gula darah rendah, atau emosi yang kuat, ia akan sembuh apabila penyebabnya dirawat. Ia boleh dirawat dengan:

• Merawat demam dengan pengambilan cecair dan ubat anti radang tanpa steroid

• Makan makanan seimbang untuk memulihkan paras gula darah

• Duduk di tempat yang senyap dan bernafas secara perlahan-lahan untuk menenangkan emosi yang kuat

Penyebab lain tubuh badan menggigil adalah keadaan perubatan tertentu. Sekiranya anda bimbang mengenainya, anda perlu mengambil perhatian mengenai simptom lain yang anda alami dan cuba dapatkan nasihat perubatan.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/chills#treatment

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322515.php#treatments-and-seeing-a-doctor

https://www.medicinenet.com/chills/symptoms.htm

Summary
Seram Sejuk Dan Menggigil (Chills And Shivering)
Article Name
Seram Sejuk Dan Menggigil (Chills And Shivering)
Description
Seram sejuk merujuk kepada rasa sejuk yang hadir tiba-tiba tanpa punca yang jelas, diiringi dengan menggigil.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: