penyakit parkinson
Penyakit Parkinson adalah penyakit yang mempengaruhi bahagian otak yang mengawal bagaimana anda menggerakkan badan anda.

Penyakit Parkinson (Parkinson disease) adalah penyakit yang mempengaruhi bahagian otak yang mengawal bagaimana anda menggerakkan badan anda. Ia muncul dengan perlahan sehingga anda tidak dapat menjangkakannya. Namun, dari masa ke masa, apa yang bermula sebagai sedikit getaran di tangan anda boleh memberi impak kepada bagaimana anda berjalan, bercakap, tidur dan berfikir.     

Anda lebih cenderung untuk mendapatkannya apabila anda berusia 60 tahun ke atas. Ia juga mungkin bermula apabila anda lebih muda, tetapi keadaan ini tidak berlaku dengan kerap.

Simptom Penyakit Parkinson

Tanda-tanda dan gejala penyakit Parkinson adalah berbeza bagi semua individu. Simptom awal mungkin ringan dan tidak disedari. Selain itu, gejala sering bermula di satu sisi badan anda dan biasanya menjadi serius pada bahagian itu, walaupun selepas gejala lain mula menjejaskan kedua-dua belah badan.

Tanda-tanda dan gejala Parkinson termasuk:

  • Getaran. ‘Tremor’ atau getaran biasanya bermula pada anggota badan, selalunya seperti tangan atau jari anda. Anda juga mungkin boleh menggosok ibu jari dan jari telunjuk anda ke belakang dan sebagainya yang dikenali sebagai getaran ‘pill-rolling’. Di samping itu, tangan anda mungkin bergetar walaupun apabila ia dalam keadaan tetap.
  • Pergerakan perlahan (bradikinesia). Lama kelamaan, penyakit Parkinson boleh melambatkan pergerakan, menjadikan tugas mudah sukar dan memakan masa anda. Langkah anda mungkin menjadi lebih pendek apabila anda berjalan. Ia juga mungkin sukar untuk bangun daripada kerusi. Tambahan pula, anda mungkin menyeret kaki anda semasa cuba untuk berjalan.
  • Otot yang ketat. Kekakuan otot boleh berlaku di mana-mana bahagian badan anda. Otot yang kaku ini boleh menyakitkan dan mengehadkan pelbagai gerakan anda.
  • Kedudukan dan keseimbangan yang terjejas. Postur anda mungkin menjadi bongkok, atau anda mungkin mengalami masalah keseimbangan akibat penyakit Parkinson.
  • Kehilangan pergerakan automatik. Keupayaan anda melakukan pergerakan tidak sedar mungkin berkurangan termasuklah mengelipkan mata, senyum atau mengayunkan tangan ketika berjalan.
  • Perubahan ucapan. Anda boleh bercakap dengan perlahan, cepat, tersasul atau teragak-agak sebelum bercakap. Ucapan anda mungkin lebih bersifat satu ton berbanding infleksi biasa.
  • Perubahan menulis. Ia mungkin sukar untuk menulis serta penulisan anda juga mungkin kelihatan kecil.

Punca Penyakit Parkinson

Dalam penyakit Parkinson, sel saraf tertentu (neuron) di dalam otak secara beransur-ansur merosot atau mati. Banyak gejala berlaku disebabkan kehilangan neuron yang menghasilkan penghantar kimia di dalam otak anda yang dipanggil dopamin. Apabila tahap dopamin berkurangan, ia boleh menyebabkan aktiviti otak yang tidak normal dan mendorong kepada gejala penyakit Parkinson.

Penyebab penyakit Parkinson masih tidak diketahui, tetapi beberapa faktor kelihatan memainkan peranan, termasuk:

  • Gen anda. Penyelidik telah mengenal pasti bahawa mutasi genetik tertentu boleh menyebabkan penyakit Parkinson. Namun begitu, hal ini jarang berlaku kecuali dalam kes-kes tertentu apabila individu itu mempunyai ramai ahli keluarga yang terjejas dengan penyakit sama.

Walau bagaimanapun, variasi gen tertentu dikatakan dapat meningkatkan risiko penyakit Parkinson tetapi dengan risiko yang kecil untuk setiap penanda genetik ini.

  • Pencetus daripada persekitaran. Pendedahan kepada racun atau faktor alam sekitar tertentu boleh meningkatkan risiko penyakit Parkinson di kemudian hari, tetapi risikonya agak kecil.

Penyelidik juga telah menyatakan bahawa banyak perubahan berlaku pada otak orang dengan penyakit Parkinson, walaupun puncanya masih tidak jelas mengapa perubahan ini boleh berlaku. Perubahan ini termasuk:

  • Kehadiran ‘Lewy bodies’. Kelompok bahan tertentu dalam sel-sel otak adalah petanda mikroskopik bagi penyakit Parkinson. Ini dipanggil sebagai ‘Lewy bodies’ dan penyelidik percaya bahawa bahan ini mempunyai petunjuk penting bagi penyebab penyakit Parkinson.
  • Alpha-synuclein terdapat dalam ‘Lewy bodies’. Walaupun banyak bahan yang terdapat di dalam ‘Lewy bodies’, saintis percaya bahan yang penting adalah protein semula jadi dan meluas dipanggil alpha-synuclein (a-synuclein). Ia dijumpai dalam semua ‘Lewy bodies’ dalam bentuk kelompok yang tidak dapat dipecahkan oleh sel. Kini, aspek ini merupakan fokus penting dalam kalangan penyelidik penyakit Parkinson.

Diagnosis Penyakit Parkinson

Tiada ujian khusus untuk mendiagnosis penyakit Parkinson. Doktor yang terlatih dalam keadaan sistem saraf (pakar neurologi) akan mendiagnosis penyakit Parkinson berdasarkan sejarah perubatan, semakan tanda dan gejala anda serta pemeriksaan neurologi dan fizikal.

Doktor juga mungkin mencadangkan pengimbasan tomografi terkomputer (CT scan) foton tunggal tertentu yang dikenali sebagai imbasan pengangkutan dopamine (DAT). Walaupun ini dapat membantu dalam mendiagnosis penyakit Parkinson, gejala dan pemeriksaan neurologi andalah yang akhirnya akan memberikan diagnosis yang betul. Kebanyakan individu juga tidak memerlukan imbasan DAT.

Berikut adalah beberapa ujian lain yang boleh dilakukan seperti:

  • Ujian darah. Doktor boleh meminta anda melakukan ujian makmal, seperti ujian darah untuk menolak keadaan lain yang mungkin menyebabkan gejala anda.
  • Ujian pengimejan seperti imbasan MRI, imbasan CT, ultrabunyi otak dan imbasan PET juga boleh digunakan untuk membantu menolak masalah lain. Namun begitu, ujian pengimejan tidak begitu membantu untuk mendiagnosis penyakit Parkinson.

Selain pemeriksaan tersebut, doktor boleh memberikan anda ‘carbidopa-levodopa’ (Rytary, Sinemet, yang lain) iaitu ubat bagi penyakit Parkinson. Anda mesti diberi dos yang mencukupi bagi mendapatkan manfaatnya, kerana dos yang rendah selama satu atau dua hari tidak boleh dipercayai. Penambahbaikan yang ketara kerana pengambilan ubat ini selalunya akan mengesahkan diagnosis penyakit Parkinson yang anda hidapi.

Faktor Risiko Penyakit Parkinson

Faktor risiko penyakit Parkinson termasuk:

  • Umur. Individu dewasa muda jarang mengalami penyakit Parkinson. Ia biasanya bermula pada pertengahan hayat atau umur yang lewat serta risikonya meningkat dengan usia. Penyakit ini biasanya didapati pada individu dengan umur sekitar usia 60 tahun atau lebih.
  • Keturunan. Mempunyai keluarga/ saudara rapat dengan penyakit Parkinson meningkatkan peluang anda untuk menghidapi penyakit ini. Walau bagaimanapun, risikonya masih kecil kecuali jika anda mempunyai ramai  ahli keluarga anda dengan penyakit Parkinson.
  • Jantina. Golongan lelaki lebih cenderung untuk membangunkan penyakit Parkinson daripada golongan wanita.
  • Pendedahan kepada toksin. Pendedahan berterusan kepada herbisid dan racun perosak mungkin dapat meningkatkan sedikit risiko penyakit Parkinson.

Rawatan Penyakit Parkinson

Penyakit Parkinson tidak dapat disembuhkan, tetapi ubat-ubatan boleh membantu mengawal gejala anda yang selalunya berlaku secara mendadak. Dalam sesetengah kes, pembedahan mungkin dinasihatkan.

Doktor juga boleh mengesyorkan perubahan gaya hidup, terutamanya senaman aerobik yang berterusan. Dalam sesetengah kes, terapi fizikal yang memberi tumpuan kepada keseimbangan dan regangan juga adalah penting. Di samping itu, ahli patologi bahasa pertuturan juga boleh membantu memperbaiki masalah pertuturan anda.

Ubat-ubatan

Pengambilan ubat boleh membantu menangani masalah semasa berjalan, melakukan pergerakan dan getaran yang anda alami. Ubat ini juga meningkatkan atau menggantikan dopamin.

Individu yang menghidap penyakit Parkinson mempunyai kepekatan dopamin otak yang rendah. Walau bagaimanapun, dopamin tidak boleh diberikan secara langsung kerana ia tidak dapat memasuki otak anda.

Anda mungkin mengalami kemajuan yang ketara terhadap gejala anda selepas memulakan rawatan penyakit Parkinson. Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, manfaat ubat-ubatan ini sering kali berkurangan atau menjadi kurang konsisten. Anda biasanya masih boleh mengawal gejala anda dengan baik.

Ubat-ubatan yang boleh dipreskripsikan oleh doktor termasuk:

  • Carbidopa-levodopa. Levodopa adalah ubat penyakit Parkinson yang paling berkesan dan merupakan bahan kimia semula jadi yang masuk ke dalam otak anda dan bertukar menjadi dopamin.

Ubat levodopa digabungkan dengan carbidopa (Lodosyn) yang berfungsi untuk melindungi levodopa daripada berlakunya pertukaran dopamin yang awal di luar otak anda. Ini juga dapat menghalang atau mengurangkan kesan sampingan seperti mual.

Kesan sampingan ubat ini mungkin termasuk rasa mual atau pening kepala (hipotensi ortostatik).

Selepas bertahun-tahun, apabila penyakit anda berkembang, manfaat daripada levodopa mungkin menjadi kurang stabil, dengan kecenderungan untuk “haus”.

Di samping itu, anda mungkin juga mengalami pergerakan tidak sedar (diskinesia) selepas mengambil dos tinggi levodopa. Doktor boleh mengurangkan dos atau menyesuaikan tempoh dos anda untuk mengawal kesan ini.

  • Penyerapan carbidopa-levodopa. Duopa adalah jenama ubat yang terdiri daripada carbidopa dan levodopa. Walau bagaimanapun, ia diberikan melalui tiub suapan yang menghantar ubat dalam bentuk gel terus ke dalam usus kecil.

Duopa adalah ubat untuk pesakit Parkinson yang lebih serius dan masih bertindak balas kepada carbidopa-levodopa, tetapi mempunyai kadar respon yang tidak konsisten. Jika ubat duopa terus digunakan, tahap darah bagi kedua-dua ubat akan menjadi tetap.

Seterusnya, penempatan tiub memerlukan prosedur pembedahan yang kecil. Risiko berkaitan dengan peletakan tiub termasuklah tiub yang jatuh atau jangkitan pada tapak penempatan.

  • Agonis dopamin. Tidak seperti levodopa, agonis dopamin tidak berubah menjadi dopamin. Sebaliknya, ubat ini meniru kesan dopamin di dalam otak anda.

Selain itu, mereka tidak berkesan seperti levodopa dalam merawat gejala anda. Walau bagaimanapun, ia bertahan lebih lama dan boleh digunakan bersama levodopa untuk melancarkan kesan levodopa yang kadangkala menjadi tidak  aktif.

Agonis dopamin termasuk pramipexole (Mirapex), ropinirole (Requip) dan rotigotine (Neupro, diberi sebagai tampalan). Apomorphine (Apokyn), adalah suntikan agonis dopamin yang digunakan untuk melegakan keadaan.

Sesetengah kesan sampingan agonis dopamin adalah sama dengan kesan sampingan carbidopa-levodopa. Namun, mereka juga boleh melibatkan gejala termasuk halusinasi, mengantuk dan tingkah laku yang kompulsif seperti hiperseksual, perjudian dan makan. Jika anda mengambil ubat-ubatan ini dan berkelakuan tidak seperti diri anda, berbincanglah dengan doktor anda.

  • Perencat MAO B. Ubat-ubatan ini termasuk selegiline (Eldepryl, Zelapar), rasagiline (Azilect) dan safinamide (Xadago). Mereka membantu mencegah pecahan dopamin otak dengan menghalang enzim otak monoamine oxidase B (MAO B). Enzim ini akan memetabolismekan dopamin otak. Kesan sampingannya mungkin termasuk rasa loya atau insomnia.

Apabila ditambahkan dengan ubat carbidopa-levodopa, ubat-ubatan ini boleh meningkatkan risiko berlakunya halusinasi pada individu.

Justeru itu, ubat-ubatan ini selalunya tidak digunakan dalam kombinasi dengan kebanyakan antidepresan atau narkotik tertentu kerana kemungkinan reaksi serius yang jarang berlaku. Berbincang dengan doktor sebelum mengambil apa-apa ubat tambahan dengan perencat MAO B.

  • Perencat Catechol O-methyltransferase (COMT). Entacapone (Comtan) adalah ubat utama daripada kelas ubat ini. Ubat perencat ini sedikit sebanyak akan memanjangkan kesan terapi levodopa dengan menghalang enzim yang merosakkan dopamin.

Kesan sampingannya termasuklah peningkatan risiko pergerakan tidak sedar (diskinesia), terutamanya yang berlaku kerana kesan levodopa yang meningkat. Kesan sampingan yang lain termasuklah cirit-birit atau kesan sampingan levodopa yang dipertingkatkan.

Di samping itu, tolcapone (Tasmar) adalah satu lagi perencat COMT yang jarang digunakan kerana mempunyai risiko berlakunya kerosakan hati dan kegagalan hati yang serius.

  • Antikolinergik. Ubat-ubatan ini telah digunakan selama bertahun-tahun untuk membantu mengawal getaran yang berkaitan dengan penyakit Parkinson. Beberapa ubat antikolinergik yang boleh didapati termasuklah benztropin (Cogentin) atau trihexyphenidyl.

Walau bagaimanapun, kelebihan kecil mereka sering diimbangi dengan kesan sampingan seperti ingatan yang merosot, kekeliruan, halusinasi, sembelit, mulut kering dan masalah kencing.

  • Amantadine. Doktor boleh menetapkan amantadine sahaja untuk memberikan kelegaan bagi gejala-gejala penyakit Parkinson yang ringan dan masih dalam peringkat awal. Ia juga boleh diberikan dengan terapi carbidopa-levodopa semasa peringkat penyakit Parkinson yang lebih serius untuk mengawal pergerakan tidak sedar (diskinesia) kerana ubat carbidopa-levodopa.

Kesan sampingan bagi ubat ini boleh merangkumi pembengkakan berwarna ungu pada kulit, pembengkakan buku lali atau halusinasi.

Prosedur pembedahan

  • Rangsangan otak yang mendalam

Dalam rangsangan otak yang mendalam (deep brain stimulation – DBS), pakar bedah akan memasukkan elektrod ke bahagian tertentu otak anda. Elektrod disambungkan ke penjana yang ditanamkan di dada berhampiran tulang selangka yang menghantar denyutan elektrik ke otak anda. Ini kemudian boleh mengurangkan gejala penyakit Parkinson anda.

Doktor juga boleh menyesuaikan tetapan yang sesuai untuk merawat keadaan anda. Pembedahan melibatkan risiko termasuk jangkitan, strok atau pendarahan otak. Sesetengah orang mengalami masalah dengan sistem ini atau mengalami komplikasi akibat rangsangan. Jadi, doktor mungkin perlu menyesuaikan atau menggantikan beberapa bahagian sistem.

Seterusnya, rangsangan otak yang mendalam adalah rawatan yang sering ditawarkan kepada pesakit Parkinson yang mempunyai respon ubat tidak stabil (levodopa). Kaedah DBS boleh menstabilkan reaksi ubat, mengurangkan atau menghentikan pergerakan tidak sedar (diskinesia), mengurangkan getaran, mengurangkan ketegaran dan memperbaiki perlahan pergerakan.

Kaedah rangsangan otak yang mendalam ini berkesan dalam mengawal tindak balas tidak menentu dan berubah-ubah disebabkan levodopa atau untuk mengawal diskinesia yang tidak bertambah baik dengan pelarasan ubat.

Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak dapat membantu masalah yang tidak memberi respon kepada terapi levodopa selain daripada simptom getaran. Getaran boleh dikawal oleh kaedah rangsangan ini walaupun getaran itu tidak terlalu responsif terhadap ubat levodopa.

SUMBER

https://www.webmd.com/parkinsons-disease/default.htm

https://www.healthline.com/health/parkinsons

https://www.medicalnewstoday.com/categories/parkinsons-disease

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/parkinsons-disease/symptoms-causes/syc-20376055

Summary
Penyakit Parkinson (Parkinson disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Penyakit Parkinson (Parkinson disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Penyakit Parkinson adalah penyakit yang mempengaruhi bahagian otak yang mengawal bagaimana anda menggerakkan badan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: