infeksi eritema
Penyakit Kelima, atau infeksi eritema adalah jangkitan virus ringan dan sederhana yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Penyakit Kelima, atau infeksi eritema adalah jangkitan virus ringan dan sederhana yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Keadaan ini terutamanya berlaku pada musim sejuk dan musim bunga.

Walaupun ia boleh menyerupai ruam pada kanak-kanak yang lain seperti rubela atau demam ‘scarlet’, penyakit ini biasanya bermula dengan penampilan pipi merah terang yang jelas dan mendadak serta kelihatan seolah-olah kanak-kanak itu telah ditampar. Selain itu, penyakit ini jarang berlaku pada golongan bayi dan orang dewasa.

Simptom Penyakit Kelima

Sekitar 20% daripada mereka yang dijangkiti virus tidak mengalami sebarang gejala. Namun, pada individu lain, tanda-tanda dan gejala penyakit ini termasuklah:

  • Satu penampilan seperti ‘pipi yang ditampar’ pada kanak-kanak, ditakrifkan dengan pipi merah terang di kedua-dua belah muka. Kadangkala, ia dilihat di bahagian sekeliling mulut dan batang hidung.
  • Ruam merah seperti renda (lace) pada bahagian atas badan, tangan dan kaki juga boleh dilihat. Di samping itu, ruam ini mungkin gatal dan biasanya boleh bertahan selama beberapa hari (dalam beberapa kes, ruam mungkin bertahan selama beberapa minggu).
  • Sebelum timbulnya ruam, kanak-kanak mungkin mengalami demam ringan, sakit kepala dan hidung berair.
  • Dalam kalangan golongan remaja dan dewasa; artritis seperti keradangan sendi dan sakit pada pergelangan tangan, lutut dan pergelangan kaki boleh dirasai. Keadaan ini akan reda secara spontan dalam masa seminggu hingga sebulan. Individu mungkin sukar untuk berjalan, bergerak dan melenturkan diri sepanjang tempoh ini
  • Ruam-ruam jarang berlaku pada golongan dewasa, tetapi lebih biasa terjadi pada kanak-kanak. Sebaik sahaja ruam muncul, individu yang terjejas berada dalam fasa paling tidak berjangkit (kecuali individu dalam kategori imunokompromi). Tempoh berjangkit adalah masa yang mana jangkitan boleh merebak dari satu individu ke individu lain.
  • Tanda-tanda dan gejala penyakit Kelima muncul dalam tempoh 4 hingga 21 hari selepas jangkitan pertama. Fasa paling berjangkit bagi penyakit ini adalah semasa tempoh inkubasi iaitu ketika tiada tanda-tanda yang dapat dilihat (seperti pipi merah). Seterusnya, tempoh inkubasi adalah tempoh masa yang bermula apabila individu yang dijangkiti virus dan ketika mulanya menunjukkan penampakan tanda-tanda dan gejala penyakit Kelima ini.

Punca Penyakit Kelima

Eritrovirus (parvovirus B19) adalah sejenis virus yang bertanggungjawab untuk penyakit Kelima. Virus ini tersebar terutamanya melalui udara (rembesan pernafasan) dan darah. Ia boleh menyebabkan gejala-gejala ringan dan tompokan atau makulopapular ruam yang bermula pada pipi dan merebak terutamanya di bahagian yang terdedah.

Diagnosis Penyakit Kelima

Ujian diagnostik yang boleh dilakukan bagi penyakit Kelima atau infeksi eritema termasuk:

  • Pemeriksaan fizikal dengan penilaian sejarah perubatan; ruam pipi yang ditampar adalah tanda klasik jangkitan ini.
  • Ujian darah untuk mengesan kehadiran virus, atau antibodi kepada virus itu.
  • Ujian lanjut mungkin diperlukan bergantung kepada keadaan kesihatan setiap individu.

Banyak keadaan kesihatan lain mungkin mempunyai tanda dan gejala yang sama. Penyedia penjagaan kesihatan boleh melakukan ujian tambahan untuk menolak keadaan kesihatan lain untuk mendapatkan diagnosis yang tepat.

Faktor Risiko Penyakit Kelima

Faktor risiko penyakit Kelima termasuk:

  • Udara. Ia adalah jangkitan virus yang merebak melalui udara (ia adalah jangkitan udara). Virus ini terkandung dalam cecair hidung atau lendir yang hadir di saluran pernafasan. Selain itu, virus itu dilepaskan apabila orang yang dijangkiti keadaan ini bersin atau batuk.
  • Darah. Penyakit ini juga boleh disebarkan melalui darah, semasa pemindahan darah (jangkitan berkaitan dengan transfusi).
  • Wanita hamil. Seorang wanita hamil boleh menghantar jangkitan kepada bayi di dalam rahim (dikenali sebagai jangkitan pemindahan transplasenta). Ini boleh mendorong berlakunya keadaan berbahaya yang bakal menjejaskan bayi belum lahir tersebut.
  • Kanak-kanak sekolah, guru sekolah, ibu dan pekerja penjagaan kanak-kanak, mempunyai risiko paling tinggi untuk mendapat penyakit Kelima. Ada kemungkinan berlakunya wabak penyakit ini di lokasi-lokasi seperti sekolah atau pusat jagaan harian. Jadi, ianya adalah penting untuk mengenali tanda-tanda dan gejala di sekolah, supaya langkah-langkah yang sesuai dapat diambil bagi mengurangkan bilangan individu yang terjejas di lokasi-lokasi tertentu.

Rawatan Penyakit Kelima

Kebanyakan kes-kes penyakit Kelima mempunyai had tersendiri. Ini bermakna bahawa individu atau kanak-kanak yang sihat biasanya pulih daripada keadaan itu, sebaik sahaja kitaran jangkitan selesai. Langkah-langkah rawatan pula melibatkan:

  • Melegakan gejala penyakit ini dengan penggunaan ubat untuk simptom demam dan sakit badan.
  • Tiada ubat atau dadah khusus yang boleh digunakan bagi merawat jangkitan virus penyakit Kelima.
  • Jika terdapat sebarang komplikasi, maka pihak perubatan boleh memberikan rawatan khusus berdasarkan tanda-tanda dan gejala tertentu pesakit.

Langkah Pencegahan Penyakit Kelima

Penyakit Kelima adalah jangkitan virus yang tidak boleh dicegah. Namun, seseorang boleh berhati-hati dan mempertimbangkan amalan-amalan tertentu yang boleh menghapuskan risiko penyakit ini, atau penyebarannya kepada orang lain. Langkah-langkah termasuk:

  • Elakkan (terlalu banyak) hubungan dengan mereka yang sakit. Tinggal di rumah ketika anda tidak sihat.
  • Basuh tangan dengan kerap. Elakkan menyentuh mata, mulut atau hidung dengan tangan yang tidak bersih.
  • Tutup mulut anda semasa bersin atau batuk.
  • Sekiranya anda berfikir bahawa anda mungkin mengalami penyakit itu, maka tinggal di dalam rumah dan elakkan bersentuhan dengan orang lain, sehingga ruam muncul. Ini akan membantu bagi mencegah penyebaran jangkitan ini.
  • Ibu bapa juga mesti mengamalkan tabiat ini (di atas), untuk mengelakkan dan mengawal penyebaran mana-mana jangkitan.
  • Individu yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi (guru, kanak-kanak sekolah) perlu dimaklumkan tentang penyakit ini serta sifatnya yang menular. Kadangkala, guru sekolah mungkin antara yang pertama dapat mengenali tanda-tanda penyakit pada pelajar mereka.
  • Kumpulan berisiko tinggi (individu yang menjalani kemoterapi, individu yang menderita jangkitan AIDS/ HIV atau menjalani pemindahan organ baru-baru ini) yang mana komplikasi serius tertentu boleh berkembang dan perlu diberi perhatian lebih.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.cfp.ca/content/55/12/1195

SUMBER

https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/skin/Pages/Fifth-Disease-Parvovirus-B19.aspx

https://www.webmd.com/children/guide/understanding-fifth-disease-basics

https://www.medicalnewstoday.com/articles/169853

https://www.news-medical.net/health/Fifth-Disease-Complications-and-Prevention.aspx

Summary
Infeksi Eritema 'Penyakit Kelima' (Fifth disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Infeksi Eritema 'Penyakit Kelima' (Fifth disease) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Penyakit Kelima, atau infeksi eritema adalah jangkitan virus ringan dan sederhana yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Keadaan ini terutamanya berlaku pada musim sejuk dan musim bunga.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: