air menguruskan badan
Minum air 7liter sehari boleh bantu anda kurus?

Baru-baru ini, laman sosial Twitter menjadi kecoh apabila terdapat satu status di Twitter yang mengatakan bahawa minum air sebanyak 7 liter sehari mampu mengurangkan berat badan dengan cepat. Status berkaitan pengambilan air itu kemudian terus mendapat banyak perhatian daripada individu termasuklah pakar perubatan.

Jadi, adakah benar pengambilan air yang banyak membantu kita untuk kurus? Jawapannya ialah tidak. Setiap individu biasanya disarankan untuk minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Ini bagi memastikan bahawa badan kita sentiasa kekal hidrat. Walau bagaimanapun, pengambilan air ini bergantung kepada situasi yang dihadapi oleh individu itu juga.

Sebagai contoh, jika individu itu merupakan seorang yang kuat bersenam, dia mungkin akan melebihkan pengambilan air kerana cecair dalam badannya sudah hilang dek kerana peluh. Berbeza pula bagi seorang pekerja pejabat kerana dia tidak banyak bergerak, jadi pengambilan airnya mungkin sekadar 8 gelas sehari sahaja.

Jadi, tiada keperluan untuk kita minum sehingga 7liter sehari kerana ia sebenarnya mampu memberikan kesan buruk kepada badan yang tidak diketahui ramai.

Pengambilan air yang berlebihan boleh memberi beban kepada buah pinggang yang seterusnya mengubah air kencing menjadi warna putih atau jernih. Air kencing berwarna sebegitu sebenarnya menunjukkan bahawa anda telah mengambil terlalu banyak air dan itu merupakan tanda agar anda tidak mengulanginya lagi.

Selain itu, pengambilan air yang terlalu banyak dalam badan boleh menyebabkan sawan. Menurut doktor pakar buah pinggan yang sememangnya dikenali di laman sosial Twitter iaitu Dr. Rafidah Abdullah, terlalu banyak air akan menyebabkan sel badan membengkak termasuklah sel dalam otak kita. Ini kemudiannya berkemungkinan menyebabkan individu untuk koma dan sawan.

Oleh itu, setiap individu dinasihatkan untuk mengambil air secara bersederhana. Bagaimana kita boleh tahu berapa banyak air yang diperlukan setiap hari? Caranya mudah sahaja. Apabila anda mula berasa haus, itulah tanda bahawa badan anda kekurangan air. Pastikan juga anda mengambil air kosong dan bukannya air bergula atau berkarbonat kerana itu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain.

Sebelum anda ingin mengikuti atau mencuba sesuatu perkara baharu yang menjadi ‘trend’ sekarang terutamanya yang berkaitan dengan aspek kesihatan, pastikan anda mendapatkan nasihat dan mengesahkannya daripada doktor terlebih dahulu. Janganlah mempercayai semua yang ada di Internet itu secara bulat-bulat kerana tidak semuanya baik buat diri kita.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/318619

https://www.businessinsider.com/what-happens-when-you-drink-too-much-water-intoxication-2018-11

https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/in-depth/water/art-20044256

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-is-hyponatremia

Tagged: