pendarahan faraj luar biasa
Pendarahan faraj luar biasa berpunca dari pelbagai faktor seperti fibroid, polip endometrium, jangkitan, hamil, keguguran dan sebagainya.

Pengenalan

Pendarahan faraj luar biasa berpunca dari pelbagai faktor seperti fibroid, polip endometrium, jangkitan, hamil, keguguran dan sebagainya. Pendarahan faraj yang normal, atau haid (juga dipanggil uzur) adalah sebahagian daripada kitaran haid wanita. Ia biasanya berlaku setiap 21 hingga 35 hari dan berlangsung selama dua hingga tujuh hari. Pendarahan faraj yang luar biasa adalah pendarahan yang berlaku:

  • Antara haid (termasuklah pendarahan yang sedikit)
  • Selepas hubungan seksual
  • Semasa haid, tetapi kuantitinya lebih banyak daripada biasa atau berlaku lebih lama daripada biasa, atau lebih daripada tujuh hari
  • Selepas menopaus

Penerangan

Pendarahan faraj antara haid adalah satu simptom pendarahan rahim yang luar biasa. Selain itu pendarahan dalam kuantiti yang banyak semasa haid juga boleh dianggap sebagai pendarahan faraj yang luar biasa. Pendarahan dalam kuantiti yang sangat banyak semasa haid dan / atau pendarahan yang berlangsung lebih dari 7 hari digelar sebagai menorrhagia. Sebagai contoh, seseorang wanita mungkin mengalami pendarahan sehingga perlu menggunakan lebih daripada 1 keping tuala wanita atau tampon pada setiap jam.

Penyebab yang berkemungkinan

Pelbagai faktor boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa. Antaranya:

  • Kehamilan 
  • Polip atau fibroid (ketumbuhan kecil dan besar) dalam rahim juga boleh menyebabkan pendarahan.
  • Masalah tiroid
  • Jangkitan pada servik
  • Kanser rahim .
  • ketidakseimbangan hormon

Jika hormon adalah masalah utama pendarahan faraj luar biasa, ia digelar sebagai masalah pendarahan rahim yang tidak berfungsi, atau DUB (Dysfunctional Uterine Bleeding). Pendarahan faraj luar biasa akibat ketidakseimbangan hormon lebih kerap berlaku pada golongan remaja atau wanita yang hampir menopaus.

Senarai di atas hanyalah sebahagian dari masalah yang boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa. Masalah ini boleh berlaku pada sebarang peringkat usia. Walau bagaimanapun, faktor risikonya bergantung pada usia tertentu.

Wanita di usia remaja, 20-an, dan 30-an

Penyebab biasa pendarahan faraj luar biasa dalam kalangan wanita muda dan remaja adalah kehamilan. Ramai wanita mengalami pendarahan faraj luar biasa dalam tempoh beberapa bulan pertama kehamilan normal. Malahan, sesetengah pil kawalan kehamilan atau peranti intrauterin (IUD) juga boleh menyebabkan pendarahan yang luar biasa.

Sesetengah wanita muda yang mengalami pendarahan faraj luar biasa tidak melepaskan telur dari ovari mereka (dipanggil proses ovulasi) semasa kitaran haid mereka. Ini adalah perkara biasa bagi remaja yang baru sahaja mula datang haid. Keadaan ini mengakibatkan ketidakseimbangan hormon di mana estrogen dalam badan menjadikan lapisan rahim (endometrium) berkembang sehingga ia menjadi terlalu tebal. Apabila badan menyingkirkan lapisan ini semasa haid, darah akan keluar dalam kuantiti yang sangat banyak.

Selain itu, ketidakseimbangan hormon juga boleh menyebabkan tubuh tidak boleh menentukan tempoh yang sepatutnya untuk meningkirkan lapisan tersebut. Hal ini kemudiannya boleh menyebabkan pendarahan yang tidak teratur (spotting) di antara tempoh haid anda.

Wanita berusia 40-an dan awal 50-an

Beberapa tahun sebelum menopaus dan apabila menopaus bermula, terdapat bulan di mana seseorang wanita tidak berovulasi. Keadaan ini boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa, termasuklah kuantiti darah haid yang banyak dan pendarahan yang tidak teratur.

Tambahan lagi, penebalan lapisan rahim adalah salah satu sebab pendarahan faraj luar biasa bagi wanita yang berusia 40-an dan 50-an. Penebalan ini boleh menjadi tanda awal bagi penyakit kanser rahim. Jika anda mengalami pendarahan faraj yang luar biasa dan anda berada dalam kumpulan umur ini, anda perlu memberitahu doktor anda mengenainya. Ia mungkin normal apabila semakin meningkat usia, tetapi adalah penting untuk memastikan kanser rahim bukanlah penyebab utamanya.

Wanita selepas menopaus

Terapi penggantian hormon adalah punca utama pendarahan faraj selepas menopaus. Punca yang lain termasuklah kanser endometrium dan kanser rahim. Kedua-dua kanser ini cenderung terjadi pada wanita yang lebih tua berbanding wanita muda. Walau bagaimanapun, kanser bukanlah penyebab utama pendarahan rahim luar biasa dalam kalangan wanita selepas menopaus. Terdapat pelbagai masalah lain yang boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa selepas menopaus. Atas sebab ini,adalah  penting untuk berbincang dengan doktor anda jika anda mengalami pendarahan faraj selepas menopaus.

Bila perlu menghubungi doktor

Rancang temujanji dengan doktor sekiranya anda mempunyai tanda-tanda pendarahan faraj yang membimbangkan atau luar biasa.

Setiap hospital memiliki kaedah dan prosedur yang berbeza untuk mendiagnosis pendarahan faraj bagi mengesan punca sebenar, sama ada dikaitkan dengan penyakit mendasar.

Bincangkanlah tentang pemeriksaan yang boleh dijalankan dengan doktor anda.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Anda disyorkan mengambil nota terperinci berkenaan beberapa kitaran haid supaya anda boleh memberi doktor anda maklumat terperinci tentang simptom-simptom yang dialami. Beliau juga mungkin akan bertanya tentang kesihatan menyeluruh anda dan menjalankan pemeriksaan fizikal. Selain itu, anda juga mungkin perlu menguji kehamilan dan:

  • Ujian darah: Pendarahan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan badan anda kekurangan zat besi. Ujian darah boleh mengesan sekrianya perkara tersebut merupakan punca utama masalah anda. Selain itu, ia juga boleh menunjukkan kestabilan hormon anda atau jika anda memunyai penyakit kronik lain seperti gangguan darah.

  • Ultrabunyi: Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej dalaman rahim anda jadi, doktor boleh mengesan kewujudan polip atau fibroid.

  • Hesteroscopy: Doktor akan melihat ke dalam rahim menggunakan sebuah skop yang dinyalakan dan dimasukkan ke dalam serviks.

  • Biopsi: Doktor mungkin mengambil sejumlah kecil tisu untuk diperiksa di bawah mikroskop bagi mengesan sebarang sel luar biasa.

  • Imbasan resonans magnetik: Ini menggunakan gelombang radio dan mahnet berkuasa untuk menghasilkan imej dalaman rahim yang jelas dan terperinci. Ia jarang digunakan, namun sangat berkesan dalam mengesan adenomyopsis.

Rawatan

Terdapat beberapa pilihan rawatan bagi pendarahan faraj luar biasa. Rawatan tersebut bergantung pada punca pendarahan anda, usia anda, dan sama ada anda bercadang untuk hamil pada masa hadapan. Doktor akan membantu anda menentukan rawatan yang sesuai untuk anda.

Jika doktor memutuskan bahawa ketidakseimbangan hormon adalah punca bagi pendarahan luar biasa yang anda alami, anda dan doktor mungkin akan berbincang dan membuat pilihan sama ada untuk menunggu dan melihat jika pendarahan sembuh dengan sendiri.

Sesetengah pilihan rawatan pendarahan faraj luar biasa termasuklah yang berikut:

  • Peranti intrauterine (IUD – Intra Uterine Device). Doktor mungkin mencadangkan penggunaan IUD. IUD adalah sejenis alat kecil yang diperbuat daripada plastik dan dimasukkan ke dalam rahim anda melalui faraj untuk mencegah kehamilan. Sejenis IUD yang mengeluarkan hormon dapat mengurangkan kuantiti pendarahan faraj. Namun begitu, seperti pil perancang kehamilan, kadangkala IUD juga boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa. Beritahu doktor anda jika keadaan sebegini berlaku kepada diri anda.
  • Pil perancang kehamilan. Pil perancang kehamilan mengandungi hormon yang boleh menghalang lapisan rahim anda daripada berkembang menjadi terlalu tebal. Ia juga boleh membantu mengawal kitaran haid anda secara berkala dan mengurangkan simptom kekejangan. Sesetengah jenis pil perancang kehamilan, terutamanya pil progestin sahaja (juga dikenali sebagai “pil mini”) sebenarnya boleh menyebabkan pendarahan faraj luar biasa bagi sesetengah wanita. Beritahu doktor anda jika pil yang anda ambil tidak berkesan untuk merawat masalah pendarahan faraj luar biasa anda.
  • D & C, atau dilatasi dan curettage. D & C adalah satu prosedur di mana pembukaan servik anda diregangkan secukupnya supaya alat pembedahan dapat dimasukkan ke dalam rahim anda. Doktor menggunakan alat pembedahan tersebut untuk mengikis lapisan rahim anda. Lapisan yang dikeluarkan akan dikaji di makmal untuk mengesan sel tisu yang tidak normal. D & C dilakukan di bawah anestesia umum (semasa anda berada dalam keadaan seperti tidur).

Jika anda mengalami pendarahan faraj yang luar biasa, doktor boleh melakukan D & C untuk mengetahui masalah dasar dan merawat pendarahan luar biasa anda. D & C berkesan untuk menghentikan pendarahan dalam kuantiti yang banyak. Namun, doktor akan menentukan sama ada prosedur ini diperlukan atau sesuai untuk keadaan anda.

  • Histerektomi. Pembedahan ini membuang rahim anda. Jika anda menjalani histerektomi, anda tidak akan datang haid dan anda tidak dapat hamil. Histerektomi adalah pembedahan berskala besar yang memerlukan penggunaan anestesia umum dan hospitalisasi. Anda mungkin memerlukan tempoh pemulihan yang lama. Bincanglah dengan doktor anda mengenai risiko dan manfaat histerektomi.
  • Ablasi Endometrial adalah prosedur pembedahan yang memusnahkan lapisan rahim anda. Tidak seperti histerektomi, ia tidak akan membuang rahim. Ablasi Endometrial boleh menghentikan pendarahan haid bagi sesgelintir wanita. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita masih mengalami pendarahan haid yang ringan atau pendarahan dalam kuantiti yang sedikit selepas menjalani ablasi endometrium. Beberapa wanita mempunyai tempoh menstruasi biasa selepas prosedur. Wanita yang telah menjalani ablasi endometrium masih perlu menggunakan beberapa bentuk perancang kehamilan. Namun dalam kebanyakan kes, kehamilan tidak akan berlaku selepas prosedur dijalankan.

Doktor boleh melakukan ablasi endometrium melalui beberapa cara yang berbeza. Teknik prosedur endometrium yang baru tidak memerlukan anestesia umum atau hospitalisasi. Tempoh pemulihan selepas prosedur ini adalah lebih pendek berbanding tempoh pemulihan selepas histerektomi.

SUMBER

https://familydoctor.org/condition/abnormal-uterine-bleeding/

https://www.webmd.com/women/abnormal-uterine-bleeding#1

https://www.radiologyinfo.org/en/info.cfm?pg=vaginalbleeding

Summary
Article Name
Pendarahan Faraj Luar Biasa (Abnormal Vaginal Bleeding)
Description
Pendarahan faraj luar biasa berpunca dari pelbagai faktor seperti fibroid, polip endometrium, jangkitan, hamil, keguguran dan sebagainya.
Tagged: