Tips Mengawal Tempoh Haid Yang Tidak Teratur
Sebenarnya, kebanyakan wanita akan mengalami tempoh haid yang tidak teratur pada satu ketika dalam kehidupan mereka.

Mempunyai tempoh haid tidak teratur bermaksud anda mengalami variasi dalam bilangan hari tempoh haid anda sama ada haid anda tiba lebih awal, lewat atau bahkan melangkaui beberapa bulan.

Sebenarnya, kebanyakan wanita akan mengalami tempoh haid yang tidak teratur pada satu ketika dalam kehidupan mereka. Tetapi, jangan bimbang, tempoh kedatangan haid yang tidak menentu atau tertangguh selalunya tidak bermakna sesuatu yang bahaya sedang berlaku. Namun begitu, tempoh haid yang muncul pada bila-bila masa boleh menjadi satu perkara yang menyusahkan dan menyebabkan tekanan.

Jadi, dalam artikel kali ini kami akan membincangkan mengenai beberapa cara mudah untuk mengawal kitaran haid anda.  

Punca Biasa Menyebabkan Tempoh Haid Tidak Teratur:

Tempoh purata kitaran haid adalah sekitar 28 – 35 hari, dan pendarahan haid biasanya berlangsung selama 3 – 7 hari. Walau bagaimanapun, apa yang ditegaskan di sini merupakan tempoh purata bagi seseorang dan ia adalah berbeza bagi individu yang lain. Oleh itu, sekiranya tiba-tiba kitaran haid anda berubah dari segi tempoh dan aliran purata, keadaan ini menandakan anda mengalami tempoh haid yang tidak teratur.

Tempoh haid anda mungkin muncul lebih awal daripada yang dijangkakan, atau tidak muncul sama sekali. Berikut merupakan 4 punca umum yang menyebabkan tempoh haid anda tertunda atau terawal sehingga menyebabkan kitaran haid anda tidak teratur:

  • Ubat
  • Tekanan dan kebimbangan
  • Puberti atau Menopaus
  • Pengambilan hormon kawalan kehamilan seperti pil kontraseptif atau kontraseptif kecemasan

Tempoh haid tidak teratur – Apakah maksudnya?

Selalunya tempoh haid yang tidak teratur atau lebih awal tidak bermakna anda mengalami sebarang keadaan yang serius.

Walau bagaimanapun, jika anda menyedari perubahan tiba-tiba dalam kitaran haid anda, ia boleh menjadi simptom untuk isu kesihatan lain seperti:

  • Gangguan Tiroid (tiroid yang terlalu aktif atau tidak aktif boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang dapat menjejaskan ovulasi anda)
  • Kencing Manis
  • Penyakit yang menular secara seksual (STD – Sexually Transmitted Disease)
  • Kehamilan (tempoh haid yang tidak teratur kadangkala boleh menjadi tanda kehamilan. Jika anda fikir anda hamil, berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan nasihat.)
  • Polycystic Ovary Syndrome (PCOS)

PCOS menjejaskan seramai 5%-10% wanita, tetapi kurang daripada 50% yang mengalami sindrom ini telah didiagnosis. Inilah sebabnya mengapa sangat penting untuk berjumpa dengan doktor anda jika anda mengesyaki perubahan kitaran haid anda boleh dikaitkan dengan penyakit lain.

Apakah itu ‘Polycystic Ovary Syndrome’ (PCOS)?

Selain daripada haid yang tidak teratur, simptom lain PCOS adalah:

  • Jerawat
  • Pertumbuhan rambut berlebihan pada bahagian muka dan badan
  • Tekanan darah tinggi
  • Kemurungan dan kegelisahan

Jika anda mempunyai PCOS, hormon anda menjadi tidak seimbang dan terdapat pembentukan sista kecil pada ovari anda. Sekiranya anda mengesyaki diri anda menghidap PCOS, berjumpalah dengan doktor bagi mengesahkannya.

Mengapa Tempoh Haid Anda Tertangguh Atau Lambat?

Secara khususnya, kitaran haid dikawal oleh hormon. Jika hormon ini tidak seimbang, ia boleh menyebabkan gangguan pada kitaran haid dan peredaran darah anda. Apabila hormon ini tidak stabil, ia akan meningkat atau menurun tanpa kawalan justeru itu mempengaruhi kitaran haid dan tahap estrogen dalam badan anda. Berikut merupakan punca-punca lain yang mengakibatkan tempoh haid yang tertangguh atau lambat:

  • Stress dan gaya hidup yang sibuk mengakibatkan badan anda mengeluarkan hormon stres yang boleh mengganggu pengeluaran estrogen sekaligus menyebabkan tempoh haid anda terlambat atau terlewat.

  • Pemakanan yang tidak sihat boleh memberi kesan kepada badan dan aliran darah haid anda. Begitu juga dengan kenaikan berat badan secara tiba-tiba serta kekurangan nutrisi.

  • Ubat dan pil kontrasepsi. Kaedah kawalan kehamilan melalui hormon dengan menggunakan pil atau suntikan boleh menjejaskan tempoh haid anda.

  • Puberti, Menarche dan Menopaus, adalah fasa biasa dalam kehidupan wanita dimana berlakunya proses peningkatan dan penurunan hormon dalam jumlah yang tinggi secara semulajadi.

  • Melibatkan diri dalam aktiviti olahraga secara berlebihan boleh menyebabkan tempoh haid anda tertangguh atau berubah.

Cara Mudah Untuk Mengawal Tempoh Haid Anda Secara Semulajadi

Mengawal tempoh haid anda dengan diet

Ianya adalah penting bagi anda untuk mengamalkan diet yang seimbang dan sihat setiap hari. Terdapat beberapa makanan tertentu yang boleh membantu dalam pengawalan tempoh dan aliran haid anda:

  • Kekacang dan betik adalah mekanan semulajadi yang terkenal untuk mengawal tempoh haid yang tidak teratur. Tambahkan kekacang dan betik dalam diet harian anda.

  • Bromelain yang terkandung dalam nanas dan betik boleh membantu melembutkan dan memecah lapisan rahim anda, lalu boleh membantu menyelesaikan masalah sekatan haid.

  • Kulit Kayu Manis. Ambil setengah sudu teh kulit kayu manis dan campurkan dalam jus lemon hangat dengan madu atau dalam segelas susu badam.

Sesetengah kajian telah menunjukkan bahawa kulit kayu manis juga boleh membantu mengawal tahap insulin, yang seterusnya membantu mengawal ovulasi supaya anda mempunyai kitaran haid yang tetap.

Mengurangkan stres

Stres merupakan salah satu sebab paling umum bagi gangguan tempoh haid yang tidak teratur. Secara semulajadinya, penawar tempoh yang tidak teratur adalah mengurangkan stres melalui rutin harian anda, walaupun hanya selama beberapa jam.

Untuk mengurangkan stres, anda boleh cuba untuk mandi dengan air panas atau meletakkan botol air panas atau batu tungku yang hangat di atas abdomen anda dan lakukan aktiviti yang santai seperti membaca buku atau majalah, mendengar podcast atau menonton rancangan kegemaran anda.

Sekiranya boleh, cuba bermeditasi atau menulis jurnal. Beri masa untuk meluangkan masa bersama diri anda (me-time) dan jadikannya sebagai rutin harian. Matikan laptop dan telefon bimbit anda dan relakskan diri walaupun hanya buat beberapa minit. Sekiranya anda mempunyai waktu kerja atau belajar yang panjang, luangkan 5-10 minit berada di luar atau jauh daripada meja anda. Ia sudah memadai untuk merelakskan diri serta membersihkan minda anda.

Melakukan senaman dengan kerap

Semua jenis senaman, dari berenang hinggalah berbasikal, selagi anda berasa selesa dengannya boleh mengurangkan stres dengan berkesan. Selain itu, anda juga boleh berjalan-jalan di sekeliling kawasan perumahan atau menonton senaman mudah di YouTube di rumah. Apa yang penting adalah melakukan sebarang senaman yang boleh membantu anda merelakskan diri dan minda anda daripada perkara-perkara yang mengakibatkan stres.

Petua menguruskan tempoh haid yang tidak teratur

Rekodkan tempoh haid anda dan perbaiki gaya hidup anda

Merekod tempoh haid anda membantu mengelakkan kejutan yang tidak diingini. Anda akan dapat menjangka bila tempoh haid seterusnya akan muncul dan dengan mudah menyesuaikan rancangan anda bagi mengatasi masalah senggugut sewaktu tempoh haid berlangsung.

Untuk mengetahui bila tempoh haid anda menjadi tidak teratur, anda harus mengetahui kitaran haid anda. Dengan merekodkan kitaran haid, anda boleh mengira bila haid akan datang berlaku. Selepas 3 kitaran, anda akan melihat coraknya dan mengetahui purata kitaran haid anda. Selain itu, anda juga akan mengesan sebarang keabnormalan dengan cepat dan memiliki data untuk dintunjukkan kepada doktor sakit puan.

Zaman ini, terdapat beberapa aplikasi hebat yang boleh membantu anda menjejaki tempoh haid anda dengan mudah. Anda hanya perlu memuat turunnya pada telefon pintar anda dan mula merekodkan kitaran haid anda.

Cari produk haid yang sesuai untuk diri anda

Anda tidak mungkin mengetahui bila haid anda akan muncul dengan tepat. Jadi, anda perlu bersedia dengan produk-produk haid yang sesuai pada setiap masa untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini terjadi.

Stres, gangguan tidur (Insomnia) atau ubat-ubatan boleh melambatkan tempoh haid anda selama beberapa hari. Jika anda memakai tampon untuk mengatasi masalah ini, sekiranya haid masih tidak muncul dalam tempoh anda memakai tampon, sudah tentu ia amat menyusahkan apabila anda terpaksa membuang tampon atau tuala wanita yang kering pada setiap hari.

Penyelesaian yang terbaik bagi keadaan ini adalah dengan menggunakan cawan menstruasi (menstrual cup). Kelebihannya? Ia tidak akan kering dan anda boleh memakainya selama 12 jam serta menjimatkan duit poket anda daripada membazirkan tuala wanita dan tampon anda.

Terdapat banyak sebab lain mengapa cawan menstruasi memudahkan hari-hari anda apabila anda mengalami gangguan kitaran haid yang tidak teratur, antaranya:

  • Anda tidak akan kehabisan produk haid, kerana ia boleh diguna semula
  • Cawan diperbuat daripada bahan yang sihat, jadi ia tidak akan mengeringkan kawasan intim anda atau meninggalkan sebarang sisa seperti kapas di kawasan intim.
  • Jika aliran haid anda berat, ia merupakan penyelesaian yang baik kerana kapasiti yang ditampungnya adalah lebih tinggi bersamaan 3x super tampon.

Jadi,

Ingatlah bahawa setiap badan berfungsi dengan cara yang berbeza dan adalah  penting untuk mengetahui apa yang paling sesuai untuk diri anda secara individu.

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menguruskan tempoh haid yang tidak teratur. Mungkin, bertukar kepada cawan menstruasi boleh membantu mengendalikan haid yang tidak teratur atau penyesuaian diet lebih sesuai bagi anda. Sesetengah wanita lain juga mendapat manfaat melalui gabungan kedua-dua kaedah ini. Walau bagaimanapun, jika anda masih mempunyai sebarang kemusykilan mengenai tempoh haid anda, jangan teragak-agak untuk berunding dengan doktor anda ya!

Sumber

https://www.healthline.com/health/how-to-regulate-periods

https://www.mayoclinic.org/healthylifestyle/womens-health/in-depth/menstrual-cycle/art-20047186

https://www.healthline.com/health/womens-health/irregular-periods-home-remedies#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/178635

Summary
Tips Mengawal Tempoh Haid Yang Tidak Teratur
Article Name
Tips Mengawal Tempoh Haid Yang Tidak Teratur
Description
Mempunyai tempoh haid yang tidak teratur bermaksud anda mengalami variasi dalam bilangan hari tempoh haid anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: