Now Reading
Perkara yang Menarik di Taman Burung Kulim

Perkara yang Menarik di Taman Burung Kulim

Kedah sememangnya sebuah negeri yang dikenali dengan persekitaran alam semula jadinya. Di  negeri jelapang padi ini, terdapat sebuah tempat yang kaya dengan hidupan fauna iaitu di Taman Burung Kulim. Tempat ini sangat sesuai dijadikan destinasi bercuti pada hujung minggu bersama anak-anak. Tempat ini juga menjamin keseronokan kepada para pengunjung kerana di sini anda dapat melakukan aktiviti memberi makan dan bermain bersama haiwan-haiwan jinak yang terdapat di taman burung ini. Tambahan pula, harga tiket yang dikenakan untuk memasuki taman ini juga sangat murah.

Waktu Operasi Taman Burung Kulim

  • 10 pagi – 6 petang (Selasa hingga Ahad)
  • Tutup pada hari Isnin.

Stesen Haiwan Yang Terdapat Di Taman Burung Kulim

Rumah Arnab

Arnab sememangnya dikenali sebagai haiwan yang comel dan jinak. Ia mudah didekati oleh kanak-kanak bahkan orang dewasa juga kerana ia tidak akan mencederakan orang yang cuba mendekati atau membelainya. Sesiapa sahaja yang melihat kecomelan arnab-arnab ini pasti akan terpesona terutama apabila melihat puluhan ekor arnab putih, coklat, dan kelabu sedang tidur ataupun melompat-lompat di sekitar taman. Pasti seronok melihat anak-anak bersemangat dan gembira bermain bersama arnab-arnab pada hujung minggu ketika cuti persekolahan.

Bird Paradise

Adakah anda seorang yang meminati burung-burung? Jika ya, destinasi Taman Burung Kulim ini memang sangat untuk anda kunjungi. Tempat ini adalah peluang di mana anda dapat melihat burung-burung pada jarak yang lebih dekat bahkan anda mungkin berpeluang untuk memegangnya dengan tangan ada sendiri. Burung-burung yang ada di taman ini sangat jinak dan mudah didekati, jadi anda lebih mudah melihatnya dan boleh bergambar bersama burung-burung yang cantik dan jarang dilihat. Anak-anak pasti akan sangat teruja apabila berada di sini kerana bukan selalu anak-anak dapat melihat dan memegang burung dari jarak dekat bukan?

Rumah Eksotik

Di taman ini bukan sahaja menempatkan haiwan-haiwan jinak seperti arnab, burung, dan rusa, malah di sini juga terdapat rumah eksotik yang menempatkan binatang eksotik seperti ular dan iguana. Jika anda seorang yang minat akan haiwan eksotik ini, bolehlah datang mengunjungi taman burung ini. Selain itu, anda yang mempunyai rasa takut terhadap haiwan ini boleh datang dan mencabar keberanian diri. Anda tidak perlu risau kerana haiwan eksotik di sini seperti ular tidak berbisa dan sentiasa berada dalam pengawalan pihak keselamatan.

Taman Sulcata

Sulcata adalah sejenis haiwan kura-kura Afrika dan merupakan salah satu spesies kura-kura terbesar di dunia. Sangat menarik bukan? Di taman ini anda boleh melihat spesies kura-kura terbesar di dunia dan anda tidak perlu ke luar negara untuk melihatnya. Ia mempunyai kulit berwarna coklat kekuningan dan sangat tebal bersama dengan sisik taji pada kakinya. Kura-kura Sulcata ini boleh menjadi haiwan peliharaan kerana walaupun ia berasal dari wilayah gersang dan separa kering di Afrika, namun ia dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan hidup. Para pengunjung berpeluang untuk memegang kura-kura ini dan memberi makan kepada mereka.

Zon Rusa

Zon rusa adalah tempat di mana para pengunjung berpeluang melakukan aktiviti memberi makan dan melihat rusa dengan lebih dekat. Pasti sangat mengujakan apabila anda dapat menyentuhnya dengan tangan anda sendiri, kerana bukan senang untuk menemui rusa di mana-mana dan hanya melihatnya melalui televisyen. Ibu bapa bolehlah membawa anak-anak melawat taman burung ini supaya mereka dapat bermain bersama rusa-rusa yang jinak.

Rumah Pigeon

Pigeon adalah sejenis burung merpati yang lembut, gemuk, berbulu kecil dengan pelana kulit di antara kepala dan dahi. Jika anda teringin untuk melihat dan memberi makanan burung merpati dengan lebih dekat, anda bolehlah datang ke taman burung ini bersama rakan-rakan ataupun keluarga anda. Burung merpati yang ada di tempat ini sangat jinak dan mudah didekati oleh orang ramai. Selain memberi makan, anda juga berpeluang mengambil gambar bersama burung-burung merpati yang ada untuk dijadikan sebagai kenangan yang meneyeronokkan bersama keluarga.

Kolam Ikan

Adakah anda seorang peminat ikan hiasan? Jika ya, maka taman burung ini sangat sesuai untuk anda lawati. Selain haiwan-haiwan mamalia, kolam ikan yang besar juga terdapat di sini untuk keseronokan para pengunjung yang meminati ikan. Selain dapat melihat ikan-ikan yang besar dan cantik, pengunjung juga berpeluang memberi makan kepada ikan-ikan dengan makanan ikan yang dijual pada harga yang sangat murah. Jadi anda tidak perlu membawa makanan ikan dari luar kerana terdapat makanan ikan yang dijual khas untuk ikan di dalam kolam taman ini.

Kesimpulan

Taman Burung Kulim sememangnya tempat yang sangat seronok untuk dikunjungi pada hujung minggu. Pencinta haiwan sangat digalakkan ke tempat ini kerana banyak haiwan yang jinak seperti arnab, burung, dan rusa yang boleh anda temui dengan lebih dekat. Bukan itu sahaja, haiwan eksotik juga terdapat di sini, jadi aktiviti para pengunjung di sini tidak terhad kepada satu aktiviti sahaja.

error: Content is protected !!