Langkah-Langkah Menghilangkan Migrain
Migrain adalah lebih teruk daripada sakit kepala biasa.

Migrain adalah lebih teruk daripada sakit kepala biasa. Ia boleh menyebabkan kesakitan yang melampau, rasa mual, muntah-muntah dan peningkatan sensitiviti terhadap cahaya dan bunyi. Kesakitan yang berdenyut di kepala boleh menjejaskan hari anda dengan serta-merta serta mengganggu kehidupan anda.

Namun begitu, anda tidak perlu duduk dan menunggu sahaja sehingga Migrain hilang. Selagi anda tahu cara untuk hilangkan migrain, anda boleh mengatasinya melalui pelbagai faktor dan kembali menjalani kehidupan harian anda seperti biasa.

Langkah 1: Sediakan Pelan Rawatan

Pelan rawatan yang kukuh boleh memberi anda peluang untuk hilangkan migrain sebelum kesakitan menjadi semakin teruk. Ini mungkin merupakan senjata paling penting yang anda miliki terhadap serangan migrain pada masa akan datang.

Pelan anda termasuklah mengambil ubat-ubatan apabila anda merasakan kehadiran Migrain hampir tiba. Selain itu, pengetahuan mengenai ubat-ubatan yang sesuai juga boleh mengurangkan tahap tekanan anda supaya anda tidak perlu meneka ubat mana yang sesuai untuk anda. Selalunya, anda memerlukan rawatan seperti ubat penahan sakit, ubat preskripsi atau kombinasi kedua-duanya. Anda seharusnya bekerjasama dengan doktor untuk mencipta pelan rawatan Migrain yang sesuai untuk diri anda.

Langkah 2: Rawat Migrain Dengan Lebih Awal

Masa merupakan kunci utama untuk menghilangkan migrain. Seeloknya, anda perlu mengambil ubat secepat yang mungkin. Anda disyorkan untuk mengambil ubat anda sewaktu berada dalam fasa prodromal serangan Migrain. Prodromal adalah tanda amaran bahawa migrain yang menyakitkan akan menyerang kepala anda. Ini merupakan peluang terbaik untuk mula mendapatkan bantuan. Jangan tunggu dan lihat sehingga anda mendapat Migrain yang teruk.

Kuncinya adalah mengenali tanda prodromal anda dengan lebih cepat supaya anda boleh mengambil tindakan sepatutnya. Tanda-tanda prodromal migrain adalah berbeza di antara setiap individu dan ia merangkumi simptom seperti:

  • Sensitiviti terhadap cahaya atau bunyi
  • Perubahan mood seperti mudah marah, kebimbangan, atau euforia
  • Mengalami masalah untuk menumpukan perhatian
  • Peningkatan keinginan untuk makan, biasanya karbohidrat
  • Berasa letih atau kerap menguap

Jika anda telah mengalami Migrain sejak beberapa ketika, anda mungkin boleh mengenalpasti tanda prodromal anda dengan lebih mudah. Justeru itu, ia membolehkan anda untuk menjadi proaktif dalam merawat kesakitan Migrain. Selain itu, anda mungkin perlu menyediakan ubat-ubatan Migrain pada setiap masa supaya anda boleh mengambilnya sebaik sahaja anda mengetahui peringkat awal serangan anda.

Langkah 3: Ketahuilah Punca Migrain Anda

Jika anda boleh menentukan punca Migrain anda, anda mungkin boleh melakukan langkah tambahan untuk mencari bantuan. Sebagai contoh, adakah anda mendapat Migrain kerana anda tidak cukup makan pada hari ini?

Sesetengah Migrain boleh dicetuskan oleh kekurangan makanan yang boleh menyebabkan keadaan gula darah rendah atau Hipoglisemia. Jika anda berasa bahawa sakit kepala anda berpunca dari kelaparan, makanlah sesuatu yang mudah untuk perut seperti keropok. Menjaga pemakanan serta pengambilan ubat-ubatan , boleh membantu anda. Yayasan Sakit Kepala Negara mengatakan bahawa sesetengah individu mengidam karbohidrat sebelum Migrain muncul. Sekiranya hal ini berlaku, dengarkanlah badan anda dan dapatkan snek.

Selain itu, dehidrasi juga boleh menyebabkan sakit kepala sehingga boleh menyebabkan Migrain anda menjadi lebih teruk. Minum banyak air dan hirup secara perlahan-lahan untuk mengelakkan rasa mual atau muntah.

Langkah 4: Cari tempat yang gelap dan tenang untuk berehat

Kepekaan terhadap cahaya dan bunyi adalah salah satu simptom Migrain yang paling umum. Sekiranya boleh, jauhi diri anda dari tempat-tempat seperti ini. Ia boleh membantu melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan. Baring dan beri tumpuan kepada pernafasan anda. Cubalah menarik nafas dengan perlahan dan mendalam melalui diafragma anda. Rasakan perut anda meningkat ketika menarik nafas dan jatuh apabila menghembus. Cara ini mampu membantu anda berehat.

Latihan pernafasan dan relaksasi boleh membantu memendekkan dan menghilangkan serangan Migrain. Ia juga boleh membantu mencegah Migrain daripada berlaku.

Langkah 5: Kafein boleh membantu (kadang-kadang)

Secawan kopi boleh membantu menghentikan migrain. Banyak ubat tahan sakit di pasaran mengandungi kafein kerana ia dapat meningkatkan kesan ubat-ubatan.

Namun begitu, pastikan anda tidak minum dengan jumlah yang terlalu banyak. Pesakit Migrain yang meminum kopi sebanyak 3 kali seminggu mungkin membangunkan tabiat kebergantungan kepada kafein. Keadaan ini akan menyebabkan Migrain. Jadi minumlah secara beserdehana.

Langkah 6: Cuba terapi panas atau sejuk

Jika anda pernah meletakkan pek ais pada kecederaan atau menggunakan pad pemanasan ketika anda sakit belakang, anda mungkin mengetahui kuasa terapi suhu yang berkesan terhadap kesakitan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh membantu ketika anda mengalami Migrain. Anda mungkin perlu melakukan eksperimen sendiri untuk menentukan rawatan mana yang paling baik bagi diri anda. Sesetengah individu mendapati bahawa pek ais boleh melegakan sakit kepala. Ini amat berguna jika matahari atau haba merupakan punca Migrain anda.

Sesetengah pesakit lain pula menggunakan pad pemanas atau mandi air panas untuk mendapatkan kesan terapeutik semasa serangan.

Pilih kaedah yang sesuai untuk melawan migrain

Mengubati migrain sering adalah lebih rumit daripada mengambil ubat penahan kesakitan yang biasa. Migrain adalah penyakit yang kompleks dan anda mungkin memerlukan beberapa alat yang berbeza untuk merawat simptom anda dengan cepat dan berkesan.

Jadi, lakukanlah langkah-langkah ini ketika serangan Migrain seterusnya. Ia mungkin berkesan untuk mengawal kesakitan.

Sumber

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/migraine-headache/diagnosis-treatment/drc-20360207

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322814

https://www.webmd.com/migraines-headaches/migraines-new-treatments

https://www.healthline.com/health/migraine/severe-migraine-treatments-video#1

Summary
Langkah-Langkah Hilangkan Migrain
Article Name
Langkah-Langkah Hilangkan Migrain
Description
Selagi anda tahu cara untuk hilangkan migrain, anda boleh mengatasinya melalui pelbagai faktor dan kembali menjalani kehidupan harian anda seperti biasa.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: