cloxacillin
Cloxacillin adalah sejenis ubat antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan tertentu yang disebabkan oleh kuman atau bakteria.

Pengenalan

Cloxacillin adalah sejenis ubat antibiotik. Antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan tertentu yang disebabkan oleh kuman atau bakteria.

Cloxacillin boleh didapati dalam bentuk kapsul, cecair, dan suntikan.

Kegunaan Cloxacillin

Cloxacillin digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan bakteria. Ubat ini adalah sejenis antibiotik dalam kategori penisilin. Ia berfungsi dengan cara menghentikan pertumbuhan bakteria.

Namun, antibiotik ini digunakan untuk merawat jangkitan bakteria sahaja. Ia tidak akan berfungsi untuk sebarang jangkitan virus (seperti demam atau selesema). Menggunakan apa-apa antibiotik apabila ia tidak diperlukan boleh menyebabkan ia tidak berfungsi untuk jangkitan yang berlaku pada masa hadapan.

Cara menggunakan Kapsul Cloxacillin

Ambil ubat ini secara oral seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Ubat ini diserap dengan baik apabila diambil sewaktu perut kosong (1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan).

Jika anda menggunakan ubat ini dalam bentuk cecair, goncangkan botol sebelum mengambil setiap dos.

Dos ini bergantung pada keadaan perubatan anda dan reaksi anda terhadap terapi rawatan. Bagi kanak-kanak, dos bergantung pada berat badan dan umur.

Untuk kesan terbaik, ambil antibiotik ini pada masa yang sama setiap hari. Teruskan untuk mengambil ubat ini sehingga kuantiti ubat yang ditetapkan habis walaupun simptom telah hilang dalam beberapa hari selepas pengambilannya. Menghentikan dos ubat terlalu awal boleh menggalakkan bakteria terus berkembang dan berisiko mengakibatkan pengulangan jangkitan.

Beritahu doktor anda jika keadaan anda berterusan, masih sama atau bertambah teruk.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Cloxacillin

Sebelum mengambil cloxacillin, beritahu doktor atau ahli farmasi jika anda mempunyai alahan terhadapnya; atau antibiotik lain termasuk ubat-ubatan jenis penisilin (contohnya, amoksisilin, ampicillin, penisilin);​atau cephalosporins (contohnya, cephalexin, cefuroxime); atau jika anda mempunyai alahan lain.

Produk ini mungkin mengandungi ramuan tidak aktif yang boleh menyebabkan reaksi alahan atau masalah lain terhadap diri anda. Berundinglah dengan doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Sebelum menggunakan ubat ini, beritahu doktor atau ahli farmasi tentang sejarah perubatan anda, terutamanya mengenai sebarang masalah buah pinggang.

Selain itu, Cloxacillin boleh menyebabkan vaksin bakteria hidup (seperti vaksin tipus) tidak berfungsi secara sepatutnya.

Elakkan pengambilan sebarang imunisasi / vaksinasi semasa menggunakan ubat ini melainkan jika doktor memberitahu anda yang sedemikian.

Semakin anda berusia, fungsi buah pinggang akan menurun. Cloxacillin  ditapis dan dikeluarkan oleh buah pinggang. Oleh itu, individu tua mungkin lebih sensitif terhadap ubat ini.

Bukan itu sahaja, bayi yang baru lahir juga mungkin lebih sensitif terhadap kesan ubat ini kerana fungsi buah pinggang mereka masih tidak sempurna.

Sewaktu hamil, ubat ini hanya boleh digunakan apabila perlu. Bincangkan risiko dan manfaat dengan doktor anda. Selain itu, ubat ini juga boleh mengalir ke dalam susu ibu. Jadi, rujuk doktor anda sebelum menyusukan bayi.

Kesan Sampingan Cloxacillin

Walaupun jarang berlaku, sesetengah individu mungkin mengalami kesan sampingan yang sangat buruk dan teruk apabila mengambil ubat Cloxacillin. Beritahu doktor anda atau dapatkan bantuan perubatan segera jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom-simptom berikut yang mungkin berkaitan dengan kesan sampingan yang sangat buruk:

  • Simptom reaksi alahan, seperti ruam; bintik gatal; gata-gatal; kulit menjadi kemerahan, bengkak, lepuh, atau mengelupas dengan atau tanpa demam; nafas berbunyi; berasa ketat di dada atau tekak; masalah pernafasan, menelan, atau bercakap; suara garau yang luar biasa; atau bengkak pada mulut, muka, bibir, lidah, dan tekak.
  • Bersin.
  • Perut yang terjejas diiringi muntah.
  • Cirit-birit yang teruk, walaupun selepas menghentikan pengambilan ubat.
  • Sebarang lebam atau pendarahan yang tidak dapat dijelaskan.
  • Kekejang.
  • Bagi wanita, mengalami jangkitan yis pada faraj. Laporkan pada doktor jika turut mengalami kegatalan atau pengeluaran lendir.

Secara umum, semua ubat boleh menyebabkan kesan sampingan. Walau bagaimanapun, ramai individu tidak mengalami kesan sampingan atau hanya mengalami kesan sampingan yang ringan. Hubungilah doktor atau dapatkan bantuan perubatan jika sebarang kesan sampingan tersebut mengganggu anda atau tidak hilang dalam tempoh yang lama:

  • Perut tidak selesa atau muntah.
  • Cirit-birit.
  • Sakit perut.
  • Angin dalam perut/ badan

Walau bagaimanapun, senarai di atas tidak mengandungi semua kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan lengkap. Jika anda mempunyai soalan mengenai kesan sampingan Cloxacillin, hubungilah doktor anda untuk sebarang nasihat perubatan mengenai kesan sampingan.

Kontraindikasi Cloxacillin

Kehipersensitifan terhadap penisilin adalah kontraindikasi bagi Cloxacilin.

Interaksi Cloxacillin

Pakar penjagaan kesihatan anda (doktor atau ahli farmasi) mungkin mengetahui tentang kemungkinan interaksi ubat dan akan memantau keadaan anda ubtuk mengatasi sebarang interaksi dan kesan sampingan yang tidak diingini. Jangan mulakan, berhenti atau mengubah dos ubat yang telah ditetapkan oleh doktor anda tanpa arahan atau nasihat beliau..

Sebelum menggunakan ubat ini, beritahu doktor atau ahli farmasi anda berkenaan semua produk preskripsi dan bukan preskripsi / herba yang anda ambil, terutamanya: asid fusidik, methotrexate, tetracyclines, warfarin, khat, guar gum.

Selain itu, Cloxacillin boleh menyebabkan hasil positif palsu terhadap beberapa produk yang digunakan dalam ujian air kencing (jenis cuprik sulfat). Malah, ubat ini juga boleh menjejaskan keputusan ujian makmal tertentu. Pastikan kakitangan makmal dan doktor anda tahu bahawa anda menggunakan ubat ini.

Walau bagaimanapun, artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi Cloxacillin. Oleh itu, sebelum menggunakan produk ini, beritahulah doktor atau ahli farmasi tentang semua produk yang sendang anda gunakan. Simpan senarai semua ubat anda dan kongsikan senarai tersebut dengan doktor dan ahli farmasi anda.

Dos Cloxacillin

Ambil cloxacillin dengan tepat seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Ikutilah arahan pada label preskripsi anda dengan berhati-hati.

Kebiasaannya, dos Cloxacillin yang disarankan oleh doktor berdasarkan kepada yang berikut:

  • Penyakit yang hendak dirawat
  • Penyakit lain yang anda hidapi
  • Ubat lain yang anda ambil
  • Bagaimana anda bertindak balas terhadap ubat ini
  • Berat badan anda
  • Ketinggian anda
  • Umur anda
  • Jantina anda

Selain itu, Cloxacillin boleh didapati dalam dos berikut:

• Serbuk oral untuk pemulihan Cloxacillin 125 Mg / 5 ml

• Kapsul oral Cloxacillin 250 Mg

• Kapsul oral Cloxacillin 500 Mg

SUMBER

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-8637/cloxacillin-oral/details

https://www.drugs.com/cdi/cloxacillin-capsules.html

https://www.rxwiki.com/cloxacillin

https://www.pediatriconcall.com/drugs/cloxacillin/440

https://www.aboutkidshealth.ca/Article?contentid=109&language=English

Summary
Cloxacillin
Article Name
Cloxacillin
Description
Cloxacillin adalah sejenis ubat antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan tertentu yang disebabkan oleh kuman atau bakteria.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: