clindamycin
Clindamycin adalah sejenis antibiotik yang berfungsi untuk melawan bakteria di dalam badan.

Pengenalan

Clindamycin adalah sejenis antibiotik yang berfungsi untuk melawan bakteria di dalam badan. Ia juga digunakan untuk merawat jangkitan serius yang disebabkan oleh bakteria.

Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk tujuan yang tidak disenaraikan dalam panduan ubat ini.

Kegunaan Clindamycin

Doktor menggunakan Clindamycin untuk merawat pelbagai jangkitan bakteria. Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA – Food and Drug Administration) telah meluluskan penggunaan Clindamycin untuk merawat:

  • Septikemia, iaitu keracunan darah
  • Jangkitan abdomen
  • Jangkitan paru-paru
  • Jangkitan saluran pembiakan wanita
  • Jangkitan tulang dan rawan
  • Jangkitan kulit
  • Jangkitan darah

Malah, anda juga boleh mengambil Clindamycin untuk kegunaan yang tidak diluluskan oleh FDA. Sebagai contoh, kadangkala doktor menggunakan Clindamycin untuk merawat penyakit antraks dan malaria.

Doktor gigi juga menggunakan Clindamycin sebagai rawatan pencegahan bagi endokarditis, iaitu jangkitan pada lapisan jantung yang boleh berlaku selepas prosedur pergigian dijalankan kepada individu yang berisiko.

Sebelum menjalani pembedahan, sesetengah individu perlu mengambil Clindamycin untuk mencegah jangkitan pada tapak pembedahan.

Langkah Berjaga-jaga dan Amaran Bagi Penggunaan Clindamycin

  • Amaran kesan pada kulit: Ubat ini boleh menyebabkan reaksi kulit yang serius. Reaksi kulit ini mungkin boleh membawa maut (menyebabkan kematian). Jika anda mengalami reaksi kulit yang serius selepas memakan Clindamycin, hentikan pengambilan ubat ini dan hubungi doktor anda dengan segera. Simptom yang dialami termasuklah ruam, kulit mengelupas, dan bengkak pada muka atau lidah anda, termasuklah lepuh pada kulit atau lepuh di dalam atau di sekitar hidung, mulut, dan mata anda.
  • Habiskan pengambilan ubat anda: Anda mesti menghabiskan semua dos Clindamycin seperti yang telah ditetapkan oleh doktor anda. Jangan berhenti mengambil ubat atau melangkau dos walaupun anda telah berasa lebih baik. Melakukannya boleh menyebabkan jangkitan anda berlangsung lebih lama.

Walau bagaimanapun,anda juga boleh mengalami daya tahan jangkitan bakteria terhadap ubat tersebut. Ini bermakna jika anda dijangkiti bakteria yang sama sekali lagi, Clindamycin mungkin tidak berfungsi untuk merawatnya.

Clindamycin turut hadir dengan beberapa amaran seperti:

Amaran alahan

Clindamycin boleh menyebabkan reaksi alahan yang teruk. Simptom yang dialami boleh merangkumi:

  • Reaksi kulit yang serius, seperti ruam, kulit mengelupas, atau lepuh
  • Masalah pernafasan
  • Bengkak pada bahagian muka, bibir, lidah, atau kerongkong

Hubungi 999 atau pergi ke pusat rawatan kecemasan yang terdekat dengan segera jika anda mengalami simptom-simptom di atas. Sekiranya anda mengalami reaksi alahan terhadap ubat ini, berhenti mengambilnya. Pengambilan mungkin boleh membawa maut (menyebabkan kematian) kepada diri anda.

Amaran kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan tertentu

  • Bagi individu yang mengalami penyakit gastrousus: Jika anda mempunyai masalah gastrousus, seperti radang pada kolon anda, tanya doktor anda sama ada ubat ini selamat atau tidak untuk anda ambil. Ini kerana ubat ini boleh menyebabkan cirit-birit yang teruk disamping keradangan kolon. Hal ini boleh membuatkan keadaan anda menjadi lebih teruk.

  • Bagi individu yang mengalami alahan: Jika anda berkemungkinan mendapat alahan, tanyalah doktor anda sama ada ubat ini selamat atau tidak untuk diri anda.

  • Bagi indivdiu yang mengalami penyakit hati yang teruk: Jika anda mempunyai masalah hati atau sejarah penyakit hati, hati anda mungkin tidak dapat membersihkan ubat ini dari tubuh anda dengan baik. Keadaan ini boleh meningkatkan tahap Clindamycin di dalam badan anda dan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan tidak diingini. Doktor anda boleh menguji fungsi hati anda sebelum dan semasa rawatan dengan ubat ini.

Amaran untuk kumpulan lain

  • Bagi wanita hamil: Kajian terhadap wanita hamil dalam trimester kedua dan ketiga tidak menunjukkan sebarang kesan negatif.

Semasa trimester pertama, ubat ini hanya akan digunakan jika perlu. Kajian ubat yang telah dijalankan pada haiwan yang bunting semasa trimester pertama tidak menunjukkan risiko kepada janinnya. Walau bagaimanapun, kajian haiwan jarang meramalkan tindak balas sesuatu ubat ke atas manusia. Masih belum ada kajian yang cukup ke atas wanita hamil semasa trimester pertama untuk menunjukkan sama ada Clindamycin menimbulkan risiko  kepada wanita hamil. Berundinglah dengan doktor anda jika anda mengandung atau merancang untuk hamil.

  • Bagi wanita yang sedang menyusu: Clindamycin akan masuk ke dalam susu ibu dan boleh menyebabkan kesan sampingan pada bayi yang disusukan. Berundinglah dengan doktor jika anda menyusukan bayi anda. Doktor mungkin menyarankan agar anda bertukar kepada ubat yang berbeza.

  • Bagi warga emas: Sekiranya anda berusia lebih dari 65 tahun, anda mungkin tidak dapat bertolak ansur dengan simptom cirit-birit yang disebabkan oleh pengambilan ubat ini. Doktor boleh memantau anda dengan lebih rapat.

Kesan Sampingan Clindamycin

Kapsul oral Clindamycin tidak akan menyebabkan simptom mengantuk. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang lain.

Kesan sampingan yang umum

Antara kesan sampingan yang biasa berlaku dengan penggunaan kapsul oral Clindamycin termasuklah:

  • Sakit perut
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Ruam
  • Rasa metalik atau tidak selesa dalam mulut anda

Sekiranya kesan yang anda alami adalah ringan, ia mungkin akan hilang dalam beberapa hari atau beberapa minggu. Jika ia menjadi lebih parah atau tidak hilang buat masa yang lama, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Kesan sampingan yang serius

Hubungilah doktor anda sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang serius akibat pengambilan ubat ini. Hubungi 999 jika simptom yang anda alami mengancam nyawa atau jika anda mengesyaki bahawa anda mengalami kecemasan perubatan. Kesan sampingan yang serius dan simptomnya boleh termasuk perkara berikut:

Cirit-birit yang berkaitan dengan antibiotik. Simptom boleh merangkumi:

Ruam kulit yang teruk, seperti sindrom Stevens-Johnson dan necrolysis epidermis toksik. Simptom boleh merangkumi:

  • Ruam yang teruk
  • Mengupas kulit
  • Bengkak pada muka atau lidah
  • Lepuh pada kulit anda atau lepuh di dalam atau di sekitar hidung, mulut, dan mata anda

Kontraindikasi Clindamycin

Kehipersensitifan terhadap Clindamycin adalah satu kontraindikasi. Di samping itu, Clindamycin tidak boleh digunakan jika anda mengalami keadaan berikut:

  • Hipersensitif terhadap clindamycin atau lincomycin.

Interaksi Clindamycin

Interaksi ubat mungkin berlaku apabila anda menggunakan sebarang bentuk clindamycin.

Doktor perlu memberikan clindamycin dengan berhati-hati kepada individu yang turut mengambil ubat-ubatan agen penghalang neuromuskular. Ubat-ubatan ini memainkan peranan dalam prosedur dan operasi perubatan tertentu.

Ubat tertentu boleh menjejaskan fungsi CYP3A4. Apabila seseorang individu mengambil Clindamycin secara oral, ubat enzim hati CYP3A4 memprosesnya di dalam badan. Rangsangan terhadap fungsi enzim ini boleh menyebabkan penurunan tahap Clindamycin. Sekiranya ada yang menghalang CYP3A4, tahap Clindamycin mungkin meningkat dalam darah.

  • Apabila anda mengambil perangsang CYP3A4 bersama Clindamycin, doktor mestilah sentisa memantau keadaan anda dan memastikan ubat antibiotik tersebut berfungsi.

  • Sekiranya anda mengambil perencat CYP3A4 dengan Clindamycin, peningkatan paras antibiotik boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk. Doktor perlu memantau sebarang peningkatan kesan sampingan terhadap anda.

Dos Clindamycin

Maklumat dos yang disediakan ini adalah untuk kapsul oral Clindamycin. Semua dos dan bentuk ubat yang ada mungkin tidak disenaraikan di sini.

Dos, bentuk ubat, dan berapa kali anda mengambilnya bergantung pada:

  • Umur anda
  • Penyakit yang dirawat
  • Berapa teruk keadaan anda
  • Keadaan perubatan lain yang anda miliki
  • Bagaimana anda bertindak balas terhadap dos pertama

Bentuk dan dos

  • Generik: Clindamycin
  • Bentuk: kapsul oral
  • Dos: 75 mg, 150 mg, dan 300 mg
  • Jenama: Cleocin
  • Bentuk: kapsul oral
  • Dos: 75 mg, 150 mg, dan 300 mg

Dos untuk jangkitan bakteria

  1. Dos dewasa (berumur 18 tahun ke atas)
  • Jangkitan serius: 150-300 mg diambil setiap 6 jam
  • Jangkitan yang lebih teruk: 300-450 mg diambil setiap 6 jam
  1. Dos kanak-kanak (berumur 0-17 tahun)

Jika anak anda tidak dapat menelan kapsul Clindamycin sekaligus, mereka tidak boleh mengambil Clindamycin dalam bentuk kapsul. Sebaliknya, berbincanglah dengan doktor anda tentang penggunaan cecair oral bagi kanak-kanak.

  • Jangkitan serius: 8-16 mg / kg berat badan setiap hari diambil dalam 3-4 dos yang dibahagikan sama banyak.

  • Pelbagai jangkitan yang teruk: 16-20 mg / kg berat badan sehari diambil dalam 3-4 dos yang dibahagikan sama banyak.

SUMBER

https://www.drugs.com/clindamycin.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325326#uses

https://www.healthline.com/health/clindamycin-oral-capsule#other-warnings

https://www.tabletwise.com/medicine/clindamycin?#contraindications

Summary
Clindamycin
Article Name
Clindamycin
Description
Clindamycin adalah sejenis antibiotik yang berfungsi untuk melawan bakteria dan merawat jangkitan serius yang disebabkan oleh bakteria.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: