Kesakitan faraj
Faraj sepatutnya memberi anda rasa keseronokan-bukannya rasa sakit, bengkak, gatal, radang, ataupun rasa tertekan dengan kesakitan. Kami telah mengenalpasti sebab-sebab kemaluan anda terasa sakit, dan cara untuk mengatasi kesakitan agar anda kembali seperti dahulu.

Faraj sepatutnya memberi anda rasa nikmat – bukannya rasa sakit, bengkak, gatal, keradangan, ataupun rasa tertekan dengan kesakitan faraj. Kami telah mengenal pasti mengapa kemaluan anda terasa sakit, dan cara untuk mengatasi kesakitan agar anda tidak merasai kesakitan faraj itu lagi.

 

Mengapa faraj terasa sakit?

Memang membimbangkan apabila terdapat rasa sakit pada mana-mana bahagian anggota badan kita.  Lebih-lebih lagi apabila kesakitan itu dirasai di sekitar kawasan faraj yang menjadikan anda lebih terasa khuatir. Membaca simptom-simptom berkenaan di Google boleh meningkatkan lagi kerisauan yang dialami.

Jadi, sudah tiba masanya anda mengakhiri misteri dan kekeliruan yang mengelilingi kesakitan faraj dan mengenal pasti kenapa adanya rasa sakit di bahagian itu. Sebagai wanita, tidak semua perkara yang kita ketahui atau kerana rasa malu, anda membiarkan sahaja rasa sakit itu. Kita boleh mencari penyebab rasa sakit itu dan cara merawatnya, sama seperti keadaan perubatan yang lain.

Jadi, jangan mengelak jika anda merasa simptom seperti kesakitan yang teramat sangat sewaktu membuat hubungan seks, terasa radang pada vulva dan petunjuk lain yang menunjukkan ada yang tidak kena dengan anggota badan yang paling sensitif ini. Kami telah merumuskan sebab-sebab biasa yang menyebabkan ketidakselesaan pada faraj dan menerangkan keadaan di mana anda boleh merawatinya sendiri, begitu juga dengan keadaan mana yang lebih serius dan memerlukan rawatan daripada doktor.

 

– Keadaan faraj yang kering

Tanpa pelincir yang mencukupi, membuat hubungan seks boleh menyebabkan ketidakselesaan, sehingga boleh menyebabkan rasa sakit. Faraj yang kering sewaktu hubungan seks boleh menyebabkan bahagian dalam faraj melecet dan meninggalkan kesan luka pada bahagian dalam faraj atau pembukaan faraj. Ia boleh menyebabkan kesakitan faraj sehingga luka itu sembuh

Jadi, apakah penyebab anda tidak menghasilkan pelincir yang mencukupi? Ia selalunya disebabkan oleh aras estrogen yang rendah. Sekiranya anda sedang dalam pengambilan pil ataupun membuat kaedah perancangan keluarga, maka kedua-dua perkara ini menjadi penyebabnya. Bagi sesetengah wanita, kedua-dua perkara tersebut menyebabkan jumlah estrogen dalam badan menjadi berkurangan – dan itu menyebabkan bahagian bawah anda menjadi kering.

‘Perimenopause’ juga boleh menyebabkan berlakunya kekurangan pelicir, kerana badan anda kurang menghasilkan estrogen. ‘Perimenopause’ terjadi 5 hingga 10 tahun sebelum terjadinya ‘menopause’, iaitu sebaik sahaja umur anda mencecah lewat 30-an hingga awal 40-an yang mana salah satu penanda keadaan ini adalah kekeringan faraj. Sebaik sahaja wanita ‘menopause’ dan aras estrogen jatuh dengan mendadak, maka kekeringan faraj akan menjadi satu isu yang besar. Mereka akan berdepan dengan masalah faraj yang terlalu kering menyebabkan rasa sakit, berlakunya kekoyakan apabila berhubungan intim. Doktor akan menyarankan untuk menggunakan pelincir yang bagus sewaktu membuat hubungan seks dan mengadakan konsultasi dengan doktor untuk mendapatkan maklumat yang terbaik bagi meningkatkan aras estrogen.

Anda tidak melalui sebarang perubahan hormon namun masih berdepan masalah kekeringan faraj? Ia mungkin disebabkan alahan pada ubat, memandangkan ‘antihistamines’ dalam ubat memang dihasilkan untuk mengeringkan lendiran pada membran. Jika ia mengeringkan hingus dalam hidung anda, ia juga boleh mengeringkan lendiran dalam faraj. Lendiran membran, tetap berfungsi sebagai mukus membran tidak kira di mana ia terletak.

 

– Darah haid anda

Kekejangan sewaktu haid adalah perkara biasa. Tetapi, darah haid boleh menyebabkan pelbagai sakit yang lain seperti rasa sakit pada faraj dan ketidakselesaan sebelum, sewaktu dan selepas haid. Apabila wanita semakin hampir mendapat haid, mereka akan mengekalkan sedikit cecair dalam otot-otot dan juga dalam tubuh badan. Sebab itulah wanita yang sedang datang haid mudah diserang sakit kepala serta terasa sakit di bahagian faraj.

Rasa sakit sebegini sepatutnya sakit yang biasa sahaja dan ia tidak seharusnya menjadi punca yang menghalang anda meneruskan aktiviti seperti biasa. Tetapi, jika faraj anda berasa terlalu sakit, pastikan anda berjumpa doktor.

 

– Fibroid

Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang ada dalam rahim. Seorang wanita berkemungkinan mempunyai satu atau lebih daripada satu ketumbuhan, bergantung pada ukuran dan kedudukannya. Tumbesarannya juga mungkin boleh menyebabkan sakit pelvik yang kronik yang mana ada yang mengatakan bahawa rasa sakitnya secara berterusan dan bukannya sakit yang seperti ditikam.

Fibroid juga boleh menyebabkan rasa sakit yang tajam sewaktu berhubungan intim, lebih-lebih lagi jika ia tumbuh di kawasan berdekatan pelvik atau di kawasan hujung atas faraj. Sewaktu haid, rasa sakit juga akan lebih ketara, terutamanya jika ia tumbuh di kawasan yang menekan pada lapisan rahim.

Fibroid adalah ketumbuhan yang biasa, dan ia tumbuh seiring dengan kenaikan usia seseorang wanita. Doktor boleh membuat diagnosis dengan melakukan ujian pelvik, yang mana doktor boleh mengesahkan kedudukannya dalam badan dan kebesaran fibroid melalui ujian ultrasound. Ada sesetengah fibroid yang perlu dibuang, sekiranya kesakitan yang berlaku menjejaskan kualiti kehidupan seseorang itu. Namun, tidak semua fibroid perlu dibuang kerana ada yang tidak membesar dan ada yang tidak menyebabkan kesakitan.

 

– Endometriosis

‘Endometriosis’ adalah keadaan yang mana wujudnya isu endometrial pada lapisan rahim keluar daripada rahim dan melekat pada bahagian lain di kaviti pelvik. Bahagian lain itu adalah seperti salur falopia (fallopian tube), pundi kencing dan ovari. Tisu yang melekat pada bahagian-bahagian tersebut biasanya menjadi sangat hormon sensitif. Apabila hormon naik dan turun bersama kitaran haid, bahagian-bahagian itu akan membengkak dan menyebabkan rasa sakit pada pelvik. Keadaan itu boleh menyebabkan berlakunya pendarahan sewaktu anda sedang datang haid.

Adakalanya sakit yang disebabkan oleh endometriosis ini tidak begitu ketara dan hanya akan terasa apabila waktu datang bulan, menyebabkan kekejangan yang sangat teruk dan sukar dilegakan dengan pil tahan sakit yang dibeli di kaunter farmasi. Namun, bagi sesetengah wanita, kekejangan yang sangat teruk ini mengehadkan aktiviti seharian mereka. Malah, berhubungan intim juga boleh menjadi sakit; dan biasanya kesakitan seperti rasa yang tajam akan terasa di kawasan yang berdekatan dengan servik.

 

– Adenomiosis

‘Andenomyosis’ adalah keadaan yang seakan sama dengan ‘endometriosis’, tetapi tisu endometrial tumbuh di dinding rahim, dan bukannya di luar rahim. Ia menyebabkan pelvis terasa seperti ditekan, rasa kekejangan, dan juga sakit sewaktu berhubungan intim. Punya penyebab kepada andenomyosis masih tidak diketahui, tetapi pakar mengatakan ia sering terjadi pada wanita yang usianya tidak lagi sesuai untuk mengandung dan akan hilang selepas ‘menopause’.

Doktor akan membuat diagnosis keadaan yang anda alami dan membantu anda mengatasinya langkah demi langkah. Rawatannya termasuklah doktor menyarankan ubat anti-keradangan dan ubat hormon seperti pil perancang. ‘Hysterectomy’ juga dijadikan pilihan jika anda mengalami sakit yang terlalu teruk dan tidak boleh diatasi dengan pengambilan ubat.

 

– Penyakit kelamin (STD)

Perkara yang paling ditakuti dengan penyakit kelamin ini (dan menjadi alasan mengapa anda perlu membuat pemeriksaan jika anda mengamalkan seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang tidak pasti bebas daripada STD) adalah simptomnya sukar diketahui.

Tetapi, salah satu tanda penyakit STD ini adalah terasa sakit seperti keradangan, kesakitan yang amat sangat jika anda menghidap herpes genital, iaitu virus yang dipindahkan melalui perhubungan seks yang menyebabkan luka pada atau sekitar faraj. ‘Trichomoniasis’, sejenis parasit yang menyebabkan penyakit kelamin boleh menyebabkan kemerahan dan kesakitan pada bahagian genital.

Seterusnya, ‘chlamydia’ dan ‘gonorrhea’, iaitu dua bakteria yang ada pada penyakit kelamin, boleh menyebabkan terjadinya rasa sakit pada pelvik dan bahagian bawah abdomen dan juga rasa sakit sewaktu kencing. Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan jangkitan yang lebih serius dipanggil Pelvic Inflammatory Disease (PID) yang berlaku apabila bakteria memasuki rahim dan bahagian-bahagian utama di saluran reproduksi. Tanda-tanda PID adalah sakit pelvik dan rasa sakit sewaktu berhubungan intim. PID adalah satu penyakit yang besar yang mana ia boleh menyebabkan kemandulan jika tidak dirawat dengan cepat.

 

– Vulvodinia

Jika vulva anda terasa sangat sakit ataupun membengkak – hingga menyebabkan anda terasa sangat sakit jika menyentuhnya ataupun duduk dalam jangka masa lama yang menjadikan kesakitan itu bertambah buruk, keadaan itu dipanggil sebagai ‘vulvodynia’. Ia terjadi apabila fiber kesakitan diaktifkan oleh vulva dan hanya menyentuh bahagian luar vulva sahaja sudah boleh membuatkan anda menjerit kesakitan.

Pakar tidak mengetahui punca sebenar punca penyakit ‘vulvodynia’ ini, tetapi ia berkemungkinan disebabkan oleh kecederaan pada saraf, alahan pada bahan kimia, perubahan hormon, pengambilan ubat, atau adanya respon yang tidak masuk akal pada jangkitan atau kerana trauma. Memasukkan tampon boleh menyebabkan rasa sakit keterlaluan, dan berhubungan intim dilihat agak mustahil untuk dilakukan disebabkan rasa sakit yang boleh berlaku selepas itu, yang biasanya digambarkan terasa seperti terbakar. Rasa sakit itu tidak berlaku pada semua orang, tetapi ia sering terjadi tanpa pengetahuan anda.

SUMBER

https://www.medicinenet.com/vaginal_pain/symptoms.htm

https://www.healthline.com/health/vaginal-pain

https://www.medicalnewstoday.com/articles/326977

https://www.womenshealthmag.com/health/a19909207/vagina-pain/

Summary
Antara Penyebab Utama Kesakitan Faraj
Article Name
Antara Penyebab Utama Kesakitan Faraj
Description
Faraj sepatutnya memberi anda rasa keseronokan-bukannya rasa sakit, bengkak, gatal, radang, ataupun rasa tertekan dengan kesakitan. Kami telah mengenalpasti sebab-sebab kemaluan anda terasa sakit, dan cara untuk mengatasi kesakitan agar anda kembali seperti dahulu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: