penyakit kelamin
Istilah penyakit kelamin (STD) digunakan untuk merujuk kepada keadaan yang dipindahkan dari seseorang ke orang lain melalui hubungan seksual.

Istilah penyakit kelamin (STD) digunakan untuk merujuk kepada keadaan yang dipindahkan dari seseorang ke orang lain melalui hubungan seksual. Anda boleh mendapat penyakit STD dengan melakukan hubungan seks faraj, dubur, atau oral tanpa perlindungan dengan seseorang yang mempunyai STD.

Selain itu, ia juga boleh dipanggil jangkitan seksual (sexually transmitted infection – STI) atau penyakit seksual (venereal disease – VD).

Namun, ini tidak bermakna bahawa seks adalah satu-satunya cara penyakit ini boleh disebarkan. Bergantung kepada jenis penyakit kelamin yang spesifik, jangkitan juga boleh disebarkan melalui perkongsian jarum dan penyusuan.

Simptom Penyakit kelamin (STD)

Terdapat kemungkinan untuk mendapat STD tanpa mengalami sebarang gejala. Namun, beberapa jenis STD boleh menyebabkan gejala yang jelas. Pada individu lelaki, gejala umum termasuk:

  • Rasa sakit atau ketidakselesaan semasa hubungan seks atau kencing.
  • Luka, lebam atau ruam pada atau di sekeliling zakar, buah zakar, dubur, punggung, paha atau mulut.
  • Pelepasan luar biasa atau pendarahan dari zakar.
  • Buah zakar yang menyakitkan atau bengkak.

Punca Penyakit kelamin (STD)

STD termasuk semua jenis jangkitan. Penyakit kelamin bakteria termasuklah klamidia, gonorea, dan sifilis. Jenis virus pula termasuklah HIV, herpes kemaluan, ketuat kelamin (HPV) dan hepatitis B. ‘Trichomoniasis’ pula terjadi disebabkan oleh parasit.  

Kuman yang menyebabkan STD tersembunyi dalam air mani, darah, rembesan faraj, dan kadangkala pada air liur. Kebanyakan organisme disebarkan melalui seks faraj, dubur atau oral, tetapi sesetengahnya, seperti yang menyebabkan herpes kelamin dan ketuat kelamin, mungkin tersebar melalui sentuhan kulit. Anda boleh dijangkiti hepatitis B melalui perkongsian barangan peribadi, seperti berus gigi atau pisau cukur dengan seseorang yang sudah memiliki penyakit ini.       

Diagnosis Penyakit kelamin (STD)

Dalam kebanyakan kes, doktor tidak boleh mendiagnosis penyakit kelamin berdasarkan gejala sahaja. Sekiranya doktor atau penjaga kesihatan lain mengesyaki anda mungkin mempunyai penyakit ini, mereka mungkin mencadangkan anda untuk menjalani beberapa ujian untuk diperiksa dengan betul.

Bergantung kepada sejarah seksual anda, pakar perubatan anda mungkin mengesyorkan ujian jangkitan seksual walaupun anda tidak mengalami sebarang gejala. Ini adalah kerana penyakit ini biasanya tidak menyebabkan gejala yang ketara dalam kebanyakan kes. Namun, walaupun ia bebas daripada gejala, penyakit kelamin masih boleh menyebabkan kecederaan atau dipindahkan kepada orang lain.

Selain itu, pakar perubatan juga boleh mendiagnosis kebanyakan penyakit kelamin menggunakan ujian air kencing atau darah. Mereka juga boleh mengambil lakukan ujian kesat pada alat kelamin anda. Jika anda telah mempunyai sebarang luka, mereka juga boleh mengesat pada bahagian itu untuk diuji.

Anda boleh mendapatkan ujian ini di pejabat doktor anda atau di klinik kesihatan seksual.

Kit ujian rumah juga boleh dilakukan untuk mengesan beberapa jenis penyakit kelamin, tetapi ia mungkin tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Gunakannya dengan berhati-hati dan semak sama ada ia telah diluluskan oleh pakar sebelum membelinya.

Ianya adalah penting untuk mengetahui bahawa pemeriksaaan ‘Pap smear’ bukanlah sejenis ujian penyakit kelamin. Pemeriksaan ini hanya memeriksa kehadiran sel-sel prakanser pada serviks sahaja. Walaupun ia juga boleh digabungkan dengan ujian HPV, ujian ‘Pap smear’ yang negatif tidak bermakna bahawa anda tidak mempunyai penyakit kelamin. 

Faktor Risiko Penyakit kelamin (STD)

Sesiapa yang aktif secara seksual akan berisiko untuk mendapat sedikit pendedahan kepada penyakit kelamin (STD) atau jangkitan seksual (STI). Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko tersebut termasuklah:

  • Melakukan seks tanpa perlindungan. Penembusan faraj atau dubur oleh pasangan yang dijangkiti dan tidak memakai kondom lateks dapat meningkatkan risiko mendapatkan jangkitan seksual. Penggunaan kondom yang tidak betul atau tidak konsisten juga boleh meningkatkan risiko anda. 

Seks oral mungkin adalah kurang berisiko, tetapi jangkitan masih boleh ditularkan tanpa kondom lateks atau ‘dental dam’ iaitu sejenis getah yang diperbuat dengan getah atau silikon.

  • Mempunyai hubungan seksual dengan beberapa pasangan. Semakin ramai pasangan seksual, semakin tinggilah risiko anda mendapat penyakit kelamin. Ini berlaku bagi pasangan sekarang serta hubungan monogami yang berturutan.
  • Mempunyai sejarah penyakit kelamin. Mempunyai satu jenis penyakit ini menjadikan anda lebih mudah untuk dijangkiti penyakit kelamin yang lain.     
  • Sesiapa yang dipaksa melakukan hubungan seksual atau aktiviti seksual. Menangani kes dirogol atau serangan seksual adalah sukar, tetapi ianya adalah penting untuk anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin supaya anda dapat menerima pemeriksaan, rawatan dan sokongan emosi.
  • Penyalahgunaan alkohol atau penggunaan ubat-ubatan yang tidak dipreskripsi. Penyalahgunaan ubat-ubatan boleh mengkompromi pemikiran anda, dan menjadikan anda lebih bersedia untuk mengambil bahagian dalam perilaku yang berisiko.
  • Suntikan dadah. Perkongsian jarum boleh menyebarkan pelbagai jenis jangkitan serius, termasuk HIV, hepatitis B dan hepatitis C. 
  • Usia muda. Separuh daripada kes STI berlaku pada individu yang berusia antara 15 dan 24 tahun.  
  • Lelaki yang meminta preskripsi ubat untuk merawat disfungsi erektil. Lelaki yang meminta doktor untuk mempreskripsikan ubat seperti sildenafil (Viagra, Revatio), tadalafil (Cialis, Adcirca) dan vardenafil (Levitra) mempunyai kadar STI yang lebih tinggi. Pastikan anda mengetahui tentang amalan seks yang selamat jika anda meminta doktor mempreskripsikan salah satu daripada ubat-ubatan ini. 

Rawatan Penyakit kelamin (STD)

Penyakit hubungan jenis (STD) atau jangkitan seksual (STI) yang terjadi disebabkan bakteria biasanya lebih mudah untuk dirawat. Sebaliknya, jangkitan virus yang terjadi boleh dikawal tetapi ia tidak semestinya akan sembuh. Sekiranya anda hamil dan mempunyai STI, dapatkan rawatan dengan segera supaya ia boleh dicegah atau mengurangkan risiko bayi anda daripada dijangkiti.

Rawatan untuk penyakit kelamin biasanya terdiri daripada salah satu daripada berikut, bergantung kepada jenis jangkitan seperti: 

  • Antibiotik. Antibiotik, selalunya dalam satu dos sahaja boleh menyembuhkan banyak jangkitan bakteria dan parasit yang disebarkan secara seksual, termasuk gonorea, sifilis, klamidia dan trikomoniasis. Biasanya, anda akan dirawat untuk penyakit gonorea dan klamidia pada masa yang sama kerana kedua-dua jangkitan ini sering muncul pada masa yang sama.

Sebaik sahaja anda memulakan rawatan antibiotik, anda perlu meneruskanya. Sekiranya anda berasa bahawa anda tidak boleh mengambil ubat seperti yang ditetapkan, beritahu doktor anda. Rawatan yang lebih singkat dan mudah mungkin tersedia buat anda.

Di samping itu, ianya adalah penting untuk menjauhkan diri dari melakukan hubungan seks sehingga tujuh hari selepas anda seleengan sai rawatan antibiotik dan setelah sebarang luka telah sembuh. Pakar juga mencadangkan golongan wanita untuk menjalani ujian semula selepas kira-kira tiga bulan kerana adanya peluang berlakunya jangkitan itu semula.

  • Ubat antivirus. Jika anda mempunyai penyakit herpes atau HIV, anda akan diberikan ubat antivirus. Anda akan mengalami kejadian pengulangan herpes yang berkurangan jika anda mengambil terapi penindasan dengan ubat antivirus setiap hari. Walau bagaimanapun, anda masih berkemungkinan untuk menyebarkan herpes kepada pasangan anda.

Di samping itu, ubat ini boleh mengawal jangkitan HIV dalam tempoh beberapa tahun. Tetapi, anda masih boleh dijangkiti virus dan menyebarkannya walaupun risikonya lebih rendah. 

Semakin cepat anda memulakan rawatan, semakin berkesanlah rawatan itu. Sekiranya anda mengambil ubat-ubatan anda dengan betul seperti yang diarahkan oleh doktor, terdapat berkemungkinan untuk mengurangkan jumlah virus itu sehingga ia tidak dapat dikesan lagi.

SUMBER

https://www.webmd.com/sex-relationships/understanding-stds-basics

https://www.healthline.com/health/sexually-transmitted-diseases

https://www.cdc.gov/std/default.htm

Summary
Penyakit kelamin - Punca, Simptom dan Rawatan
Article Name
Penyakit kelamin - Punca, Simptom dan Rawatan
Description
Penyakit kelamin (STD) merujuk kepada keadaan yang dipindahkan dari seseorang ke orang lain melalui hubungan seksual.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: