halia
Halia telah digunakan dalam masakan dan perubatan sejak zaman dahulu lagi.

Pengenalan

Halia telah digunakan dalam masakan dan perubatan sejak zaman dahulu lagi. Ia adalah ubat buatan sendiri yang terkenal untuk melegakan loya, sakit perut, dan masalah kesihatan lain.

Jenis yang segar atau kering biasa digunakan dalam masakan. Malah, ada individu yang mengambil suplemen halia untuk mendapat manfaat tertentu bagi kesihatan mereka.

Antioksidan dan nutrien dalam halia dapat membantu mencegah atau merawat arthritis, radang, dan pelbagai jenis jangkitan lain. Para penyelidik juga telah mengkaji potensinya dalam pengurangan risiko kencing manis, kanser, dan masalah kesihatan lain.

Kegunaan Halia

  • Mual dan muntah disebabkan oleh ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat HIV / AIDS (mual dan muntah yang disebabkan oleh ubat antiretroviral). Kajian menunjukkan bahawa pengambilannya setiap hari, 30 minit sebelum setiap dos rawatan antiretroviral selama 14 hari, dapat mengurangkan risiko mual dan muntah bagi pesakit yang menerima rawatan HIV.
  • Senggugut. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan serbuk halia sebanyak 500-2000 mg selama 3-4 hari pertama kitaran haid boleh mengurangkan kesakitan dalam kalangan wanita dan remaja yang mengalami sneggugut. Selain itu, ia turut diambil pada 3 hari pertama haid atau apabila kesakitan bermula. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan pengambilannya dilihat berfungsi seperti beberapa ubat tahan sakit, seperti ibuprofen, asid mefenamat, atau Novafen.
  • Osteoartritis. Sebilangan besar kajian menunjukkan bahawa pengambilan halia melalui mulut dapat mengurangkan kesakitan pada sesetengah individu dengan osteoartritis. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan pengambilannya melalui mulut turut berfungsi seperti ubat-ubatan tahan sakit seperti ibuprofen dan diclofenac untuk melegakan kesakitan pada osteoartritis pinggul dan lutut. Tetapi terdapat juga hasil penyelidikan yang bertentangan. Beberapa kajian awal juga menunjukkan bahawa gel berasaskan halia yang disapu pada lutut atau minyak halia yang diurut pada lutut turut meredakan kesakitan osteoartritis.
  • Mual pada waktu pagi. Pengambilan halia melalui mulut dilihat dapat mengurangkan rasa mual dan muntah dalam kalangan sesetengah wanita hamil. Tetapi ia juga mungkin berfungsi secara lebih perlahan atau berbanding sesetengah ubat yang digunakan untuk meredakan rasa mual. Selain itu, mengambil sesuatu ramuan atau ubat semasa mengandung adalah satu keputusan besar. Jadi, sebelum mengambilnya sewaktu hamil, pastikan anda berbincang tentang kemungkinan risiko dengan penyedia penjagaan kesihatan anda terlebih dahulu
  • Pening (vertigo). Mengambil halia dilihat dapat mengurangkan simptom pening, termasuklah loya.
  • Sakit otot yang disebabkan oleh senaman. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan halia tidak mengurangkan kesakitan otot semasa bersenam. Selain itu, pengambilannya dilihat seperti tidak membantu merawat atau mencegah kesakitan otot selepas bersenam.
  • Mabuk perjalanan. Sebilangan besar kajian menunjukkan bahawa pengambilan halia selama 4 jam sebelum perjalanan tidak mencegah mabuk perjalanan. Sebilangan individu turut menyatakan bahawa mereka berasa lebih baik, tetapi pengukuran sebenar yang diambil semasa kajian menunjukkan hasil yang sebaliknya. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian lain, halia dilihat lebih efektif berbanding ubat dimenhydrinate yang digunakan untuk mengurangkan sakit perut yang berkaitan dengan mabuk perjalanan.
  • Keadaan paru-paru yang berlaku secara tiba-tiba dan serius (sindrom gangguan pernafasan akut). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan 120 mg dos ekstrak halia pada setiap hari selama 21 hari meningkatkan jumlah hari tanpa keperluan sokongan ventilator, jumlah nutrien yang dimakan, dan mengurangkan masa yang dihabiskan di unit rawatan intensif bagi individu yang mengalami kegagalan sistem pernafasan secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun, ekstrak diperbuat daripada halia dilihat tidak mempengaruhi kadar kematian dalam kalangan individu dengan keadaan ini.
  • Mual dan muntah disebabkan oleh rawatan ubat kanser. Pengambilan halia bersama ubat anti-loya didapati tidak mengelakkan mual dan muntah yang berlaku pada individu yang menerima rawatan ubat kanser. Mual dan muntah ini berlaku sehari atau lebih selepas rawatan kanser. Walau bagaimanapun, hasil kesan halia terhadap mual dan muntah secara tiba-tiba yang disebabkan oleh ubat kanser adalah bertentangan. Terdapat sesetengah kajian yang menunjukkan bahawa ia bermanfaat apabila digunakan bersama ubat anti-loya. Kajian lain pula menunjukkan hasil yang sebaliknya. Malah terdapat juga kemungkinan bahawa halia dapat mengurangkan rasa mual yang disebabkan oleh beberapa ubat kanser. Selain itu, ada juga kemungkinan bahawa ia boleh membantu mengurangkan rasa mual yang disebabkan oleh ubat kanser hanya apabila digunakan bersama ubat-ubatan anti-mual yang tidak dapat berfungsi dengan baik tanpa ubat lain.
  • Penyakit paru-paru yang menjadikan seseorang sukar untuk bernafas (penyakit paru obstruktif kronik atau COPD). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan dua kapsul produk gabungan tertentu (AKL1, AKL International Ltd) yang mengandungi halia sebanyak dua kali sehari selama 8 minggu tidak memperbaiki simptom masalah pernafasan dalam kalangan individu yang mempunyai COPD.
  • Kencing manis. Pengambilan halia didapati boleh menurunkan bacaan gula darah bagi beberapa individu yang menghidap kencing manis. Dos sebanyak sekurang-kurangnya 3 gram sehari mungkin diperlukan. Tetapi, dos yang lebih rendah mungkin tidak begitu membantu. Selain itu, ia juga mungkin perlu diambil sekurang-kurangnya selama 3 bulan sebelum kesannya dapat dilihat.
  • Masalah Pencernaan (dispepsia). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak satu dos 1.2 gram serbuk akar halia satu jam sebelum makan boleh mempercepatkan pengosongan makanan dalam perut terhadap sesetengah indivdiu yang mengalami dispepsia.
  • Mabuk alkohol. Kajian  awal menunjukkan bahawa pengambilan kombinasi halia, air limau, dan gula perang sebelum meminum alkohol dapat mengurangkan simptom mabuk alkohol, termasuk mual, muntah, dan cirit-birit, tahap kolesterol tinggi atau lemak lain (lipid) dalam darah (hiperlipidemia). Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak 1 gram halia sebanyak tiga kali sehari selama 45 hari dapat menurunkan kadar trigliserida dan kolesterol pada individu dengan kolesterol tinggi.
  • Tekanan darah tinggi. Meminum teh hitam bersama halia dapat menurunkan tekanan darah dalam kalangan individu yang menghidap kencing manis dan masalah tekanan darah tinggi.
  • Tahap kolesterol atau lemak lain (lipid) dalam darah (hiperlipidemia) yang tinggi. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan sebanyak 1 gram halia sebanyak tiga kali sehari selama 45 hari dapat menurunkan kadar trigliserida dan kolesterol bagi individu dengan kolesterol tinggi.
  • Gigitan serangga. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa menerapkan ‘Trikatu’ yang mengandungi ekstrak halia, lada panjang, dan lada hitam, pada kulit tidak mengurangkan saiz gigitan nyamuk.
  • Gangguan usus besar yang menyebabkan sakit perut (sindrom usus radang atau IBS – Irritable Bowel Syndrome). Pengambilan halia sahaja tidak dapat memperbaiki simptom IBS. Tetapi pengambilannya bersama ramuan herba lain mungkin dapat membantu. Sama ada kesan kombinasi ini disebabkan oleh ia atau bahan lain adalah masih tidak jelas.
  • Sakit sendi. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan kapsul produk gabungan tertentu (Instaflex Joint Support, Direct Digital, Charlotte, NC) yang mengandungi halia, selama 8 minggu membantu mengurangkan sakit sendi sebanyak 37%. Tetapi produk ini dilihat tidak mengurangkan kekejangan sendi atau memperbaiki fungsi sendi tersebut.
  • Pendarahan berat yang luar biasa semasa haid (menorrhagia). Pengambilan halia boleh mengurangkan pendarahan haid bagi sesetengah wanita muda dengan pendarahan haid yang berat.
  • Migrain. Beberapa laporan menunjukkan bahawa pengambilan kombinasi antara halia dan ‘feverfew’ dapat mengurangkan tempoh dan intensiti kesakitan migrain. Namun, ianya masih tidak jelas sama ada kesan ini adalah berpunca dari halia, daun ‘feverfew’ atau gabungan kedua-duanya.
  • Obesiti. Pengambilan halia sahaja tidak dapat membantu individu yang gemuk untuk menurunkan berat badan dengan banyak. Mengambil halia dengan ramuan lain juga tidak memberikan keberkesanan yang berterusan dalam penurunan berat badan.
  • Melahirkan anak. Bukti awal menunjukkan bahawa mandi di dalam air yang mengandungi minyak halia tidak memendekkan tempoh kelahiran.
  • Pemulihan selepas pembedahan. Menghirup dan menggunakan minyak lavender dan halia pada kulit sebelum pembedahan didapati tidak mengurangkan tekanan pada kanak-kanak selepas pembedahan. Namun, mengambil halia melalui mulut boleh membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan penyembuhan luka pada anak-anak yang menjalani pembedahan pembuangan tonsil.
  • Mual dan muntah selepas pembedahan. Kajian  mengenai penggunaan  halia bagi mencegah mual dan muntah selepas pembedahan adalah masih tidak jelas. Sesetengah penyelidikan klinikal menunjukkan bahawa pengambilannya secara oral satu jam sebelum pembedahan boleh mengurangkan rasa mual dan muntah selama 24 jam pertama selepas pembedahan. Tetapi tidak semua kajian bersetuju dengan hasil ini. Malah, pengambilannya melalui mulut dilihat tidak memberi manfaat tambahan apabila digunakan bersama ubat preskripsi untuk mual dan muntah. Adalah perlu diingatkan bahawa kebanyakan pesakit perlu berpuasa sebelum menjalani pembedahan, jadi berbincanglah dengan doktor anda terlebih dahulu jika anda mempertimbangkan untuk mengambil halia sebelum pembedahan. Penggunaan minyak aromaterapi halia juga telah dikaji. Meletakkan minyak aromaterapi halia pada pergelangan tangan pesakit atau pada kain kasa sebelum pembedahan didapati dapat mengelakkan mual pada sesetengah pesakit.
  • Rheumatoid arthritis (RA). Kajian awal menunjukkan bahawa halia mungkin berguna untuk mengurangkan sakit sendi dan pembengkakan pada penhidap RA.
  • Kesukaran untuk menelan. Bukti menunjukkan bahawa menyemburkan produk yang mengandungi akar halia dan clematix ke dalam mulut dapat memperbaiki masalah menelan bagi pesakit strok. Walau bagaimanapun, ia tidak bermanfaat bagi individu biasa yang mengalami masalah menelan yang kurang teruk. Selain itu, pengambilan tablet halia juga tidak membantu individu yang mengalami masalah menelan yang disebabkan oleh penuaan.
  • Kerosakan hati yang disebabkan oleh bahan kimia. Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat tuberkulosis dapat menyebabkan kerosakan hati. Mengambil halia bersama ubat-ubatan ini dapat membantu mencegah kerosakan hati pada sesetengah pesakit.
  • Sejenis penyakit usus radang (kolitis ulseratif). Kajian awal menunjukkan bahawa halia mungkin bermanfaat untuk memperbaiki keseluruhan aktiviti penyakit pada individu dengan kolitis ulseratif. Tetapi ia dilihat tidak memperbaiki kualiti hidup, kekerapan membuang najis, kekejangan perut, atau angin (perut kembung).

Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai halia untuk kegunaan ini:

  • Anoreksia.
  • Jangkitan usus yang menyebabkan cirit-birit (kolera).
  • Botak.
  • Berdarah.
  • Demam.
  • Selesema.
  • Hilang selera makan.
  • Sakit gigi.
  • Sebab-sebab lain.

Kesan Sampingan Halia

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mengalami tanda-tanda reaksi alahan, gatal-gatal, kesukaran bernafas, bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak anda.

Walaupun tidak semua kesan sampingan halia diketahui, ia dianggap selamat bagi kebanyakan individu.

Namun begitu, berhenti menggunakannya dan terus hubungi penyedia penjagaan kesihatan anda jika anda mengalami:

  • Mudah lebam atau berdarah; atau
  • Sebarang pendarahan yang tidak berhenti.

Kesan sampingan yang biasa berlaku termasuk:

  • Pedih ulu hati, cirit-birit, ketidakselesaan perut
  • Tempoh haid yang lebih berat
  • Kerengsaan kulit (jika digunakan pada kulit).

Walau bagaimanapun, ini bukanlah senarai lengkap kesan sampingan yang mungkin berlaku. Hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubatan mengenai kesan sampingan.

Interaksi Halia

Ubat-ubatan yang melambatkan pembekuan darah (ubat Antikoagulan / Antiplatelet) berinteraksi dengan HALIA

Halia mungkin melambatkan pembekuan darah. Mengambilnya bersama ubat-ubatan yang turut memperlambatkan pembekuan dapat meningkatkan kemungkinan lebam dan pendarahan. Sesetengah ubat yang memperlambat pembekuan darah termasuk aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, lain-lain), ibuprofen (Advil, Motrin, lain-lain), naproxen (Anaprox, Naprosyn, yang lain), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (Lovenox), heparin, warfarin (Coumadin), phenprocoumon (ubat antiklotting yang terdapat di luar AS), dan lain-lain.

Phenprocoumon berinteraksi dengan HALIA

Phenprocoumon digunakan di Eropah untuk melambatkan pembekuan darah. Halia juga boleh melambatkan pembekuan darah. Mengambil halia bersama phenprocoumon mungkin meningkatkan kemungkinan lebam dan pendarahan. Pastikan darah anda diperiksa secara berkala. Dos phenprocoumon anda mungkin perlu diubah.

Warfarin (Coumadin) berinteraksi dengan HALIA

Warfarin (Coumadin) digunakan untuk melambatkan pembekuan darah. Halia juga dapat melambatkan pembekuan darah. Mengambil halia bersama warfarin (Coumadin) boleh meningkatkan kemungkinan lebam dan pendarahan. Pastikan darah anda diperiksa secara berkala. Dos warfarin anda (Coumadin) juga mungkin perlu diubah.

Ubat untuk kencing manis (ubat Antidiabetes) berinteraksi dengan HALIA

Halia boleh menurunkan gula darah. Ubat kencing manis juga digunakan untuk menurunkan gula darah. Mengambilnya bersama dengan ubat kencing manis boleh menyebabkan gula darah anda menjadi terlalu rendah. Pantau gula darah anda dengan teliti. Dos ubat kencing manis anda mungkin perlu diubah. Beberapa ubat yang digunakan untuk kencing manis termasuk glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone ( Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase), dan lain-lain.

Ubat untuk tekanan darah tinggi (Penyekat saluran kalsium) berinteraksi dengan HALIA

Halia dapat menurunkan tekanan darah dengan cara yang serupa seperti beberapa ubat untuk tekanan darah dan penyakit jantung. Mengambilnya bersama ubat-ubatan ini dapat menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah atau degupan jantung tidak teratur. Beberapa ubat untuk tekanan darah tinggi dan penyakit jantung termasuk nifedipine (Adalat, Procardia), verapamil (Calan, Isoptin , Verelan), diltiazem (Cardizem), isradipine (DynaCirc), felodipine (Plendil), amlodipine (Norvasc), dan lain-lain.

Dos Halia

Dos berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

Secara oral:

Untuk mual dan muntah yang disebabkan oleh ubat yang digunakan untuk merawat HIV / AIDS (mual dan muntah yang disebabkan oleh antiretroviral): 1 gram halia setiap hari dalam dua dos yang dibahagikan 30 minit sebelum setiap rawatan antiretroviral selama 14 hari telah digunakan.

Untuk senggugut: 250 mg ekstrak daripada halia tertentu (Zintoma, Goldaru) sebanyak empat kali sehari selama 3 hari dari awal haid telah digunakan. Selain itu, 1500 mg serbuk halia setiap hari dalam hingga tiga dos terbahagi, bermula dua hari sebelum haid dan berterusan selama 3 hari pertama kitaran haid, telah digunakan.

Untuk mual waktu pagi: 500 hingga 2500 mg halia diambil setiap hari dalam dua hingga empat dos terbahagi selama 3 hari hingga 3 minggu telah digunakan.

Untuk osteoartritis: Pelbagai produk ekstrak daripada bahan ini telah digunakan dalam kajian. Dos yang digunakan adalah berbeza bergantung pada produk yang diambil. Satu ekstrak halia (Ekstrak Eurovita 33; EV ext-33) 170 mg tiga kali sehari telah digunakan. Ekstrak lain (Eurovita Extract 77; EV ext-77), yang menggabungkan halia dengan alpinia, 255 mg sebanyak dua kali sehari juga telah digunakan. Ekstrak halia lain (Zintona EC) 250 mg sebanyak empat kali sehari juga telah digunakan. Selain itu, ekstrak halia (Ekstrak Eurovita 35; EV ext-35) 340 mg sehari dengan 1000 mg glukosamin diambil setiap hari selama 4 minggu telah digunakan.

Untuk pening (vertigo): 1 gram serbuk berasaskan halia sebagai dos tunggal diambil satu jam sebelum pening telah digunakan.

Disapu pada kulit:

Untuk osteoartritis: Gel khusus yang mengandungi 4 gram halia dan plai (gel Plygersic) diambil setiap hari yang dibahagikan dalam empat dos selama 6 minggu telah digunakan.

SUMBER

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-961/ginger

https://www.drugs.com/sfx/ginger-side-effects.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/265990

Summary
Halia (Loya, sakit perut) - Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Article Name
Halia (Loya, sakit perut) - Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Description
Antioksidan dan nutrien dalam halia dapat membantu mencegah atau merawat arthritis, radang, dan pelbagai jenis jangkitan lain. Para penyelidik juga telah mengkaji potensi halia dalam pengurangan risiko kencing manis, kanser, dan masalah kesihatan lain.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: