asid lemak omega-3
Asid lemak omega-3 adalah kelas asid lemak polyunsaturated yang penting dengan ikatan berganda dalam kedudukan karbon ketiga dari terminal methyl (begitulah maksud "3" dalam namanya).

Pengenalan

Asid lemak omega-3 adalah kelas asid lemak polyunsaturated yang penting dengan ikatan berganda dalam kedudukan karbon ketiga dari terminal methyl (begitulah maksud “3” dalam namanya). Makanan yang tinggi dengan asid lemak omega-3 termasuklah salmon, halibut, sardin, albacore, trout, herring, walnut, minyak biji rami dan minyak kanola. Makanan lain yang mengandungi asid lemak omega-3 termasuklah udang, kerang, tuna, ikan keli, kod dan bayam.

Apakah itu Asid Lemak?

Asid lemak terdiri daripada rantaian atom karbon yang dihubungkan oleh ikatan kimia. Pada satu hujung (terminal) rantaian karbon adalah kumpulan methyl (gugusan atom karbon dan atom hidrogen). Pada hujung terminal yang lain adalah kumpulan carboxyl (gugusan atom karbon, oksigen dan hidrogen). Ikatan kimia antara atom karbon boleh menjadi ikatan tunggal atau ikatan berganda. Ikatan-ikatan kimia ini menentukan sama ada asid lemak itu tepu atau tidak tepu. Asid lemak datang dalam panjang yang berbeza, rantaian yang pendek mempunyai kurang dari 6 karbon manakala rantaian asid lemak yang panjang mempunyai 12 atau lebih karbon.

Asid lemak berfungsi sebagai tenaga untuk otot, jantung dan organ-organ lain sebagai blok bangunan bagi sel membran dan penyimpanan tenaga untuk badan. Asid lemak yang tidak digunakan sebagai tenaga ditukarkan kepada trigliserida. Trigliserida adalah sejenis molekul yang terbentuk dengan menyambungkan tiga asid lemak pada kompaun gliserol yang berfungsi sebagai tulang belakangnya. Trigliserida kemudiannya disimpan dalam badan sebagai tisu lemak (adipese).

  • Asid lemak tepu (saturated fat) hanya mempunyai ikatan tunggal. Lemak yang mengandungi asid lemak tepu dipanggil sebagai lemak tepu. Contoh makanan yang tinggi lemak tepu termasuklah mentega, susu, krim, telur, daging merah, coklat dan mentega pepejal. Pengambilan lemak tepu berlebihan dapat meningkatkan kadar kolesterol dalam darah dan meningkatkan risiko penyakit jantung koronari.
  • Asid lemak tak tepu tunggal (unsaturated fat) pula mengandungi satu ikatan berganda. Contoh makanan yang tinggi lemak tak tepu termasuklah avokado, kacang, zaitun, dan minyak kanola. Para saintis percaya bahawa peningkatan penggunaan lemak monounsaturated (contohnya, makan kacang dengan banyak) bermanfaat untuk menurunkan kolesterol LDL (kolesterol “jahat”) dan menurunkan risiko penyakit jantung koronari, terutamanya jika lemak monounsaturated digunakan untuk menggantikan lemak tepu dan gula halus.
  • Asid lemak polyunsaturated pula mengandungi lebih daripada satu ikatan berganda. Contoh makanan yang tinggi dalam lemak polyunsaturated termasuklah minyak sayuran, jagung, bunga matahari dan soya.

Asid lemak penting adalah asid lemak polyunsaturated yang diperlukan oleh tubuh manusia untuk menjalankan proses metabolik, tetapi ia tidak boleh dihasilkan oleh badan dan sebab itulah ia perlu diperolehi daripada makanan.

Asid lemak omega-6 adalah kelas asid lemak polyunsaturated yang penting dengan ikatan berganda berada pada kedudukan karbon keenam dari kumpulan methyl (menjelaskan maksud “6” dalam namanya). Contoh-contoh makanan yang kaya dengan asid lemak omega-6 termasuklah jagung, safflower, bunga matahari, kacang soya dan minyak biji kapas.

Selain itu, asid lemak omega-3 dan omega-6 juga dirujuk sebagai asid lemak n-3 dan n-6.

  • Asid lemak trans (lemak trans) dihasilkan melalui proses hidrogenasi untuk memejalkan cecair minyak. Proses pemanasan minyak omega-6 seperti minyak jagung pada suhu tinggi, boleh menghasilkan lemak trans. Lemak trans meningkatkan jangka hayat minyak dan ia dijumpai dalam pepejal sayur dan sesetengah marjerin, pastri komersil, makanan bergoreng, keropok, kuih dan makanan ringan. Pengambilan asid lemak trans meningkatkan kolesterol LDL dalam darah (“kolesterol jahat”) serta menurunkan kolesterol HDL (“kolesterol baik”) justeru itu menimbulkan risiko penyakit jantung koronari.

Kegunaan Asid Lemak Omega-3

Asid lemak Omega-3 dijangka boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan juga menggalakkan kulit yang sihat. Ia juga digunakan bersama diet yang sihat dan senaman untuk membantu menurunkan tahap lemak darah tertentu (trigliserida) dan meningkatkan kolesterol “baik” (HDL). Selain itu, produk ini juga boleh digunakan untuk membantu merawat tekanan darah tinggi atau artritis reumatoid.

Walau bagaimanapun, sesetengah produk suplemen omega-3 didapati mengandungi kekotoran/aditif yang mungkin berbahaya untuk kesihatan pengguna. Semak dahulu dengan ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut mengenai jenama yang anda gunakan.

Biasanya, produk seperti ini tidak dikaji untuk keselamatan atau keberkesanannya. Rujuklah doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Cara menggunakan OMEGA-3

Ambil produk ini secara oral seperti yang diarahkan dan ikutlah semua arahan yang tertera pada label pakej. Jika anda tidak pasti tentang sebarang maklumat mengenai produk yang anda gunakan, rujuk doktor atau ahli farmasi anda.

Jika anda mengambil kapsul bersalut enterik, telan keseluruhan kapsul. Sekiranya anda menggunakan suplemen dalam bentuk tablet kunyah, kunyah sehingga lumat sebelum menelan.

Jika anda menggunakan suplemen ini dalam bentuk cecair, berhati-hati ketika mengukur dos dan gunakan alat pengukur/sudu khas. Jangan gunakan sudu biasa di rumah kerana anda mungkin tidak mengambil dos yang tepat. Sesetengah jenama suplemen ini perlu digoncang sebelum digunakan.

Sekiranya keadaan anda bertambah teruk, atau jika anda menganggap anda mengalami masalah perubatan lain yang serius, dapatkan rawatan perubatan segera.

Kesan Sampingan Asid Lemak Omega-3

Ketikan mengambil suplemen ini, tekak anda mungkin akan berasa hanyir seperti menelan ikan mentah (jika produk anda diperbuat daripada minyak ikan) sehingga anda berasa loya atau perut anda kembung atau ia membuatkan anda sendawa. Jika mana-mana kesan ini berterusan atau bertambah teruk, beritahu doktor atau ahli farmasi dengan segera.

Sekiranya doktor anda mengarahkan anda untuk menggunakan produk ini, ingatlah bahawa beliau telah menilai bahawa faedahnya kepada diri anda adalah lebih besar daripada risiko kesan sampingannya. Ramai individu yang menggunakan suplemen ini tidak mengalami kesan sampingan yang serius.

Beritahu doktor anda dengan segera jika anda mengalami sebarang kesan sampingan yang tidak diingini seperti pendarahan/lebam ringan.

Reaksi alahan yang sangat serius terhadap ubat ini jarang berlaku. Namun begitu, dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya anda melihat sebarang simptom tindak balas alahan yang serius seperti ruam, gatal-gatal/bengkak (terutamanya di muka/lidah/tekak), pening yang teruk atau masalah pernafasan.

Jika anda mengalami kesan lain yang tidak disenaraikan di atas, hubungi doktor atau ahli farmasi anda.

Interaksi Asid Lemak Omega-3

Interaksi antara ubat-ubatan berbeza boleh mengubah cara ubat anda berfungsi atau meningkatkan risiko anda untuk mengalami kesan sampingan yang serius. Simpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi / bukan preskripsi dan produk herba) dan bincangkan dengan doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mulakan, berhenti atau mengubah dos ubat-ubatan tanpa kelulusan doktor anda.

Sesetengah ubat boleh menimbulkan reaksi tertentu dengan suplemen ini termasuklah vitamin/suplemen lain.

Dos Asid Lemak Omega-3

Lovaza: 1g kapsul mengandungi sekurang-kurangnya 900mg ethyl ester daripada asid lemak omega-3 yang berasal daripada minyak ikan dan termasuklah asid eicosapentaenoic (EPA ~ 465mg) dan asid docosahexaenoic (DHA ~ 375mg)

Omtryg: 1.2g kapsul mengandungi sekurang-kurangnya 900mg ethyl esyer daripada asid lemak omega-3 yang diperoleh daripada minyak ikan dan termasuklah asid eicosapentaenoic (EPA ~ 465mg) dan asid docosahexaenoic (DHA ~ 375mg)

Vascazen: 1g kapsul mengandungi sekurang-kurangnya 900mg ethyl esyer daripada asid lemak omega-3 yang diperoleh daripada minyak ikan dan termasuklah asid eicosapentaenoic (EPA ~ 680mg) dan asid docosahexaenoic (DHA ~ 110mg)

SUMBER

https://reference.medscape.com/drug/lovaza-omega-3-fatty-acids-342455#0

https://www.medicinenet.com/omega-3_fatty_acids/article.htm#what_are_omega-3_fatty_acids

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-17804/omega-3-oral/details

Summary
Article Name
Asid Lemak Omega-3 (Omega-3 Fatty Acid)
Description
Asid lemak omega-3 adalah kelas asid lemak polyunsaturated yang penting dengan ikatan berganda dalam kedudukan karbon ketiga dari terminal methyl (begitulah maksud "3" dalam namanya).
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: