minyak ikan
Minyak ikan adalah sumber utama asid lemak omega-3, iaitu zat tubuh yang anda perlukan untuk menjalankan pelbagai fungsi, dari aktiviti otot hinggalah pertumbuhan sel.

Pengenalan

Minyak ikan adalah sumber asid lemak omega-3, zat tubuh yang diperlukan untuk pelbagai fungsi, dari aktiviti otot hingga pertumbuhan sel.

Asid lemak omega-3 hanya boleh didapati melalui sumber makanan. Ia tidak boleh dihasilkan di dalam badan.

Ia mengandungi dua jenis omega-3 yang digelar sebagai asid docosahexaenoic (DHA) dan asid eicosapentaenoic (EPA). Contoh sumber makanan DHA dan EPA ialah ikan berlemak, seperti ikan salmon, kembung dan trout, dan cengkerang seperti kerang, tiram dan kupang. Sesetengah kekacang, biji-bijian dan minyak sayuran juga mengandungi omega-3 lain yang digelar sebagai asid alpha-linolenic (ALA).

Suplemen boleh didapati dalam bentuk cecair, kapsul dan pil. Ia cenderung diambil untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok, merawat paras trigliserida yang tinggi dan tekanan darah tinggi, dan juga untuk memperbaiki simptom rheumatoid arthritis.

Kegunaan Minyak Ikan

Paras lemak tinggi digelar sebagai trigliserida dalam darah (hipertrigliseridemia). Sebilangan besar penyelidikan menunjukkan bahawa minyak ikan dapat mengurangkan kadar trigliserida sebanyak 20% hingga 50%. Malah, kesannya adalah lebih besar terhadap individu yang mempunyai paras trigliserida yang lebih tinggi. Selain itu, pengambilan dalam jumlah yang lebih besar juga dapat mengurangkan paras trigliserida dalam jumlah yang lebih besar. Tetapi minyak ikan didapati mempunyai kesan yang lebih kecil jika dibandingkan dengan ubat yang digelar fibrate. Produk tertentu, termasuk Lovaza, Omtryg, dan Epanova, diperakui sebagai ubat preskripsi untuk merawat paras trigliserida yang sangat tinggi dalam darah. Produk ini sering diambil dalam dos 4 gram setiap hari. Dos ini membekalkan sebanyak kira-kira 3.5 gram asid lemak omega-3 setiap hari.

Walaupun segelintir suplemen tanpa preskripsi juga menunjukkan manfaat dalam penyelidikan yang dijalankan, sesetengah pakar tidak menggalakkan pengguna menggunakan produk tersebut. Selalunya produk ini mengandungi asid lemak omega-3 melebihi produk minyak ikan yang dipreskripsi. Hasilnya, individu perlu mengambil sebanyak 12 kapsul suplemen sehari untuk mendapatkan kesan yang sama dengan minyak ikan yang dipreskripsi. Selain itu, suplemen didapati tidak menurunkan trigliserida dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dengan kadar trigliserida yang tinggi. Tetapi, oleh kerana saiz kajian ini kecil, kajian berkualiti tinggi dengan saiz yang lebih besar diperlukan untuk mengesahkan hasil kajian tersebut.

  • Prosedur untuk membuka saluran darah yang tersumbat atau sempit (angioplasti). Penyelidikan menunjukkan bahawa minyak ikan boleh menurunkan kadar penyumbatan saluran darah sehingga 45% apabila diberikan sekurang-kurangnya 3 minggu sebelum prosedur angioplasti dan diteruskan selama satu bulan selepas itu. Tetapi, apabila diambol selama 2 minggu atau kurang sebelum angioplasti, didapati seolah-olah tidak ada kesan lain yang boleh diperhatikan.

  • Keguguran pada wanita hamil dengan gangguan autoimun yang digelar sindrom antiphospholipid. Pengambilan secara oral dilihat dapat mencegah keguguran dan meningkatkan kadar kelahiran yang berjaya dalam kalangan wanita hamil dengan sindrom antiphospholipid.

  • Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) pada kanak-kanak. Penyelidikan awal menunjukkan pengambilan minyak ikan boleh memperbaiki daya tumpuan, fungsi mental, dan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak berusia 8-13 tahun yang mempunyai ADHD. Penyelidikan lain pula menunjukkan bahawa pengambilan suplemen khusus yang mengandungi minyak ikan dan minyak evening primrose (Eye Q, Novasel) boleh meningkatkan fungsi dan tingkah laku mental pada kanak-kanak berumur 7-12 tahun yang mengalami ADHD.

  • Gangguan bipolar. Mengambil minyak ikan bersama rawatan konvensional untuk gangguan bipolar dilihat dapat memperbaiki simptom kemurungan tetapi bukan mania pada individu yang mengalami gangguan bipolar.

  • Penurunan berat badan secara sukarela pada individu yang sangat tidak sihat (cachexia atau sindrom kehilangan otot). Mengambil dos dalam jumlah yang tinggi didapati boleh melambatkan penurunan berat badan dalam kalangan segelintir pesakit kanser. Walau bagaimanapun, dos yang rendah nampaknya tidak memberi kesan tersebut. Sebilangan penyelidik percaya bahawa minyak ikan boleh melambatkan penurunan berat badan yang berkaitan dengan kanser dengan cara melawan kemurungan dan memperbaiki emosi individu yang menghidap kanser.

  • Pembedahan untuk meningkatkan aliran darah ke jantung (pembedahan CABG). Pengambilan minyak ikan dilihat dapat mengelakkan graf arteri pintasan koronari daripada tertutup semula selepas pembedahan CABG.

  • Tekanan darah tinggi disebabkan oleh ubat siklosporin. Siklosporin adalah ubat yang mengurangkan kebarangkalian penolakan organ selepas prosedur pemindahan organ. Pengambilan minyak ikan didapati dapat mencegah tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh penggunaan ubat ini.

  • Kerosakan buah pinggang disebabkan oleh ubat siklosporin. Siklosporin adalah ubat yang mengurangkan kebarangkalian penolakan organ setelah pemindahan organ. Mengambil minyak ikan didapati dapat mencegah kerosakan buah pinggang pada individu yang mengambil ubat ini. Ia juga dapat meningkatkan fungsi buah pinggang semasa fasa pemulihan berikutan penolakan organ yang dipindahkan pada individu yang mengambil siklosporin.

  • Gangguan kemahiran motor yang ditandai dengan kekok (gangguan koordinasi perkembangan atau DCD). Gabungan minyak ikan (80%) dan minyak evening primrose (20%) dilihat dapat meningkatkan kemahiran membaca, mengeja dan tingkah laku apabila diberikan kepada kanak-kanak berumur 5-12 tahun dengan DCD. Namun, adalah tidak jelas sekiranya pengambilan suplemen dapat meningkatkan kemahiran motor pada kanak-kanak dengan keadaan ini. Terdapat juga hasil dari penyelidikan klinikal lain yang menunjukkan hasil yang bertentangan.

  • Kekejangan haid (senggugut). Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan secara tunggal atau bersama vitamin B12 atau vitamin E, dapat mengurangkan kesakitan dan mengurangkan keperluan penggunaan ubat tahan sakit dalam kalangan wanita yang mengalami kekejangan haid.

  • Kanser lapisan rahim (kanser endometrium). Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa wanita yang makan dua hidangan ikan berlemak pada setiap minggu secara teratur mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat kanser endometrium.

  • Kegagalan jantung. Pengambilan yang tinggi daripada sumber makanan dikaitkan dengan penurunan risiko kegagalan jantung. Sebaiknya makan 1-2 hidangan ikan yang digoreng tanpa minyak pada setiap minggu. Bagaimanapun, terlalu awal untuk mengetahui sama ada pengambilan suplemen boleh membantu mencegah kegagalan jantung atau tidak. Tetapi penyelidikan awal menunjukkan bahawa suplemen dapat mengurangkan kesan buruk seperti kemasukan ke hospital atau kematian pada individu yang sudah mengalami kegagalan jantung.

  • Komplikasi selepas pemindahan jantung. Mengambil minyak ikan dilihat dapat mengekalkan fungsi buah pinggang dan mengurangkan kenaikan tekanan darah buat jangka masa panjang selepas pemindahan jantung.

  • Tahap lemak darah yang tidak normal pada individu dengan HIV / AIDS. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat mengurangkan paras trigliserida pada individu dengan paras kolesterol yang tidak normal yang disebabkan oleh rawatan HIV / AIDS. Selain itu, pengambilannya juga dapat menurunkan paras kolesterol pada individu tersebut, tetapi hasil yang ditemui adalah tidak konsisten.

  • Tekanan darah tinggi. Minyak ikan didapati boleh menurunkan sedikit tekanan darah pada individu yang mempunyai tekanan darah sederhana hingga sangat tinggi. Sesetengah jenis minyak ikan juga dapat menurunkan tekanan darah pada individu dengan tekanan darah tinggi, tetapi hasilnya adalah tidak konsisten. Ia dilihat boleh memberi kesan kepada sesetengah ubat penurun tekanan darah. Namun, ia seperti tidak mengurangkan tekanan darah dalam kalangan individu dengan tekanan darah yang tidak terkawal yang sudah menggunakan ubat penurun tekanan darah.

  • Keadaan yang perlahan-lahan membawa kepada penyakit buah pinggang (nefropati IgA). Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa penggunaan minyak ikan untuk jangka masa panjang dapat melambatkan kehilangan fungsi buah pinggang pada pesakit yang berisiko tinggi menghidap nefropati IgA. Ia mungkin mempunyai kesan yang lebih besar apabila diambil dalam dos yang lebih tinggi. Ia juga mungkin paling berkesan pada individu dengan nefropati IgA yang mempunyai tahap protein yang lebih tinggi dalam air kencing.

  • Tulang lemah dan rapuh (osteoporosis). Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan secara tunggal atau bersama minyak kalsium dan evening primrose dapat memperlahankan kadar kehilangan tulang dan meningkatkan kepadatan tulang pada tulang paha (femur) dan tulang belakang dalam kalangan individu tua dengan osteoporosis. Walau bagaimanapun, mengambil minyak ikan tidak memperlahankan kehilangan tulang pada individu tua yang mempunyai osteoartritis pada lutut tetapi tanpa tulang yang lemah.

  • Kulit gatal dan bersisik (psoriasis). Terdapat beberapa bukti bahawa pemberian minyak ikan melalui intravena (IV) dapat mengurangkan keparahan simptom psoriasis. Malah, menyapu minyak ikan pada kulit juga dapat memperbaiki beberapa

  • Gangguan mental yang ditunjukkan dengan halusinasi dan khayalan (psikosis). Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen dapat membantu mencegah penyakit psikotik daripada berlaku dalam kalangan remaja dan dewasa muda dengan simptom gangguan mental yang ringan. Namun begitu, kesan minyak ikan ini masih belum diuji pada orang tua.

  • Sindrom Raynaud. Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat meningkatkan toleransi sejuk pada sesetengah individu dengan jenis sindrom Raynaud yang biasa. Walau bagaimanapun, individu dengan sindrom Raynaud yang disebabkan oleh keadaan yang disebut sklerosis sistemik progresif seolah-olah tidak mendapat manfaat daripada suplemen.

  • Arthritis (Rheumatoid – RA). Pengambilan secara oral, tunggal atau bersama ubat naproxen (Naprosyn), dilihat dapat membantu memperbaiki simptom RA. Kadangkala, individu yang mengambil minyak ikan dapat mengurangkan penggunaan ubat penahan sakit. Malah, pemberian minyak ikan melalui intravena (IV) dapat mengurangkan bengkak dan kesakitan sendi pada individu dengan RA.

  • Sakit dada (angina). Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen tidak mengurangkan risiko kematian atau meningkatkan kesihatan jantung pada individu dengan sakit dada. Sebaliknya, beberapa bukti menunjukkan bahawa suplemen sebenarnya dapat meningkatkan risiko kematian yang berkaitan dengan jantung pada individu yang mengalami sakit dada.

  • Pengerasan arteri (arteriosklerosis). Segelintir penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen sedikit sebanyak dapat mengurangkan perkembangan aeteriosklerosis. Tetapi kebanyakan penyelidikan menunjukkan bahawa minyak ikan tidak memperlambatkan perkembangan atau memperbaiki simptom arteriosklerosis.

  • Ekzema (dermatitis atopik). Penyelidikan menunjukkan bahawa minyak ikan tidak memperbaiki ekzema. Sebilangan besar penyelidikan juga menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan semasa hamil tidak dapat mencegah ekzema pada janin. Memberi minyak ikan pada bayi juga tidak dapat mencegah ekzema dalam kalangan kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak yang makan ikan sekurang-kurangnya sekali seminggu dari usia 1 hingga 2 tahun menunjukkan risiko yang lebih rendah untuk mendapat ekzema.

  • Denyutan jantung yang tidak teratur (fibrilasi atrium). Segelintir penyelidikan menunjukkan bahawa individu yang makan ikan sebanyak lima kali atau lebih dalam seminggu mempunyai risiko mengalami degupan jantung yang tidak teratur. Tetapi kebanyakan penyelidikan menunjukkan bahawa makan ikan berlemak atau mengambil suplemen tidak dapat mengurangkan risiko degupan jantung yang tidak teratur.

  • Masalah aliran darah jangka panjang di otak (penyakit serebrovaskular). Segelintir kajian awal menunjukkan bahawa memakan ikan dapat mengurangkan risiko penyakit serebrovaskular. Tetapi penyelidikan berkualiti tinggi menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan tidak memberi kesan tersebut.

  • Parut hati (sirosis). Pengambilan secara oral dilihat tidak dapat memperbaiki masalah buah pinggang yang berkaitan dengan parut hati yang disebabkan oleh penyakit hati yang lanjut.

  • Kemahiran ingatan dan berfikir (fungsi kognitif). Sebilangan besar penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen tidak meningkatkan fungsi mental dalam kalangan individu tua, dewasa muda, atau kanak-kanak.

  • Penyakit gusi ringan (gingivitis). Pengambilan minyak ikan ditemui tidak dapat memperbaiki radang gusi.

  • Jangkitan saluran pencernaan yang boleh menyebabkan ulser (Helicobacter pylori atau H. pylori). Pengambilan secara oral didapati tidak dapat mengurangkan jangkitan H. pylori berbanding ubat biasa.

  • HIV / AIDS. Beberapa bukti menunjukkan bahawa memakan bar makanan yang mengandungi minyak ikan tidak meningkatkan jumlah sel CD4 dalam kalangan individu dengan virus HIV. Selain itu, formula yang mengandungi minyak ikan seolah-olah tidak mengurangkan jumlah virus HIV dalam darah.

  • Pemindahan buah pinggang. Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan tidak membantu individu untuk hidup dengan lebih lama selepas prosedur pemindahan buah pinggang. Ia juga tidak menghalang tubuh daripada penolakan pemindahan organ.

  • Kesakitan payudara (mastalgia). Pengambilan minyak ikan didapati tidak dapat mengurangkan sakit payudara untuk jangka panjang.

  • Simptom menopaus. Pengambilan minyak ikan didapati tidak mengurangkan simptom ruam panas atau insomnia, atau meningkatkan kualiti hidup wanita dengan simptom menopaus. Tetapi ia dapat mengurangkan simptom peluh malam pada wanita menopaus.

  • Migrain. Pengambilan secara oral didapati tidak mengurangkan kekerapan atau keparahan migrain.

  • Osteoartritis. individu yang menderita dengan penyakit osteoartritis yang mengambil minyak ikan dalam dos yang rendah kurang mengalami kesakitan dan berfungsi lebih baik berbanding mereka yang mengambil dos yang tinggi. Bagaimanapun, hasil ini agak tidak dijangka dan ia mungkin disebabkan oleh “kesan plasebo”. Penambahan minyak ikan dalam glukosamin tidak akan mengurangkan kesakitan atau kekakuan berbanding dengan mengambil glukosamin sahaja.

  • Penyempitan saluran darah yang menyebabkan aliran darah yang lemah ke anggota badan (penyakit arteri periferal). Pengambilan secara oral nampaknya tidak dapat meningkatkan jarak berjalan kaki pada individu yang mengalami sakit kaki akibat masalah aliran darah.

  • Pneumonia. Penyelidikan populasi menunjukkan tidada kaitan di antara pengambilan minyak ikan dan risiko terkena radang paru-paru.

  • Tekanan darah tinggi semasa mengandung. Minyak ikan didapati tidak dapat mencegah tekanan darah tinggi semasa hamil.

  • Komplikasi kehamilan yang dengan tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing (pre-eklampsia). Minyak ikan nampaknya tidak mencegah pra-eklampsia.

  • Irama jantung cepat yang tidak normal (aritmia ventrikel). Penyelidikan menunjukkan bahawa memakan banyak ikan tidak memberi kesan kepada risiko irama jantung cepat yang tidak normal. Penyelidikan klinikal tersebut adalah tidak konsisten. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan setiap hari tidak mempengaruhi risiko irama jantung yang tidak normal. Tetapi penyelidikan lain menunjukkan bahawa pengambilan selama 11 bulan menangguhkan perkembangannya. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, pengambilan minyak ikan nampaknya tidak mengurangkan risiko kematian dalam kalangan individu dengan irama jantung cepat yang tidak normal.

  • Kencing Manis. Pengambilan minyak ikan tidak menurunkan gula darah pada individu dengan Kencing Manisjenis 2. Walau bagaimanapun, minyak ikan dapat memberikan beberapa manfaat lain bagi penghidap kencing manis, seperti menurunkan lemak darah iaitu trigliserida. Selain itu, minyak ikan tidak mengurangkan risiko kencing manis sewaktu kehamilan.

  • Penyakit mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan pada orang dewasa yang lebih tua (degenerasi makula yang berkaitan dengan usia atau AMD). Terdapat beberapa bukti bahawa individu yang makan ikan lebih dari sekali seminggu mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami kehilangan penglihatan yang berkaitan dengan usia. Tetapi penyelidikan klinikal menunjukkan bahawa pengambilan secara oral selama 5 tahun tidak mencegah kehilangan penglihatan.

  • Demam Hay. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa ibu yang mengambil suplemen pada peringkat akhir kehamilan boleh menurunkan risiko alahan pada bayi mereka. Tetapi penyelidikan lain menunjukkan bahawa minyak ikan tidak mengurangkan risiko alahan pada bayi  ketika diambil semasa hamil.

  • Penyakit Alzheimer. Terdapat beberapa bukti awal bahawa minyak ikan dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer. Walau bagaimanapun, ia didapati tidak membantu mencegah penurunan kemahiran berfikir bagi kebanyakan individu yang telah didiagnosis menghidap penyakit Alzheimer.

  • Asma. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa suplemen dapat membantu MENCEGAH beberapa simptom asma. Tetapi hasil kajian ini adalah tidak konsisten. Beberapa penyelidikan lain pula menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan boleh melancarkan pernafasan dan mengurangkan keperluan ubat asma. Bagaimanapun, penyelidikan lain menunjukkan bahawa minyak ikan tidak mengurangkan keparahan asma pada kanak-kanak. Minyak ikan didapati  boleh membantu mencegah asma pada anak kecil ketika diambil oleh ibu semasa mengandung. Tetapi minyak ikan tidak memberikan apa-apa faedah ketika diambil oleh ibu yang menyusu atau bayi. Secara keseluruhan, penyelidikan menunjukkan bahawa ia tidak membantu MENCEGAH asma setelah ia berkembang.

  • Prestasi atletik. Beberapa bukti menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat memperbaiki fungsi paru-paru dalam kalangan atlet. Tetapi bukti lain menunjukkan bahawa pengambilannya tidak memperbaiki daya tahan, pemulihan, degupan jantung, atau jangka masa latihan.

  • Autisme. Satu kajian kecil menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat mengurangkan simptom hiperaktif dalam kanak-kanak dengan autisme. Tetapi kajian ini mempunyai kekurangan tersendiri. Penyelidikan lain pula menunjukkan bahawa pengambilannya tidak mengurangkan hiperaktif.

  • Kanser. Penyelidikan mengenai kesan minyak ikan dalam mencegah kanser telah menghasilkan hasil yang bertentangan. Sebilangan penyelidikan mengaitkan memakan ikan atau mempunyai kadar asid lemak omega-3 dalam darah yang lebih tinggi menurunkan risiko kanser. Tetapi penyelidikan lain menunjukkan bahawa makan ikan tidak mengurangkan risiko kanser.

  • Penyakit jantung. Sebilangan besar penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen tidak mencegah penyakit jantung atau mengurangkan kemungkinan kejadian berkaitan jantung dalam kalangan individu dengan penyakit jantung. Mengambil minyak ikan melalui pemakanan mungkin lebih bermanfaat. Tetapi faedahnya mungkin rendah.

  • Katarak. Terdapat beberapa bukti awal bahawa memakan ikan sebanyak tiga kali seminggu dapat menurunkan risiko terkena katarak.

  • Sindrom keletihan kronik (CFS – Chronic Fatigue Syndrome). Terdapat beberapa bukti yang bertentangan tentang penggunaan produk tertentu yang menggabungkan minyak ikan dan minyak evening primrose  untuk mengurangkan gejala CFS.

  • Kemerosotan dalam ingatan dan kemahiran berfikir dalam kalangan orang tua. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan secara oral setiap hari selama 12 bulan dapat meningkatkan ingatan pada individu yang mengalami penurunan fungsi mental.

  • Kanser usus besar, kanser rektum. Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan semasa kemoterapi dapat melambatkan perkembangan tumor pada individu dengan kanser usus besar atau rektum. Tetapi ia tidak menghalang kematian, hospitalisasi, atau masalah lain. Penyelidikan awal yang lain pula menunjukkan bahawa minyak ikan dalam diet atau sebagai suplemen tidak meningkatkan kelangsungan hidup dalam kalangan individu dengan kanser kolon tahap tiga.

  • Sejenis penyakit radang usus (penyakit Crohn). Penyelidikan mengenai kesan minyak ikan pada penyakit Crohn telah menghasilkan hasil yang bertentangan. Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan produk minyak ikan tertentu dapat mengurangkan risiko penyakit Crohn berulang bagi individu yang telah sembuh. Walau bagaimanapun, penyelidikan lain menunjukkan bahawa minyak ikan tidak mempunyai kesan ini.

  • Sistik Fibrosis. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan secara oral dapat memperbaiki fungsi paru-paru dalam kalangan individu yang mengalami keadaan ini. Walau bagaimanapun, pemberian minyak ikan secara intravena (IV) tidak memberi kesan tersebut.

  • Penyakit yang mengganggu pemikiran (dimensia atau alzheimer). Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa memakan ikan sekurang-kurangnya sebanyak sekali seminggu boleh mengurangkan risiko terkena dimensia. Penyelidikan lain pula menunjukkan bahawa tidak ada kaitan antara pengambilan ikan dan risiko demensia.

  • Kemurungan. Individu yang makan lebih banyak ikan didapati mempunyai risiko kemurungan yang lebih rendah. Tetapi adalah tidak jelas jika pengambilan suplemen mengurangkan simptom kemurungan. Hasil dari penyelidikan tersebut adalah bertentangan. Sebab-sebabnya mungkin berkaitan dengan perbezaan dos minyak ikan, nisbah asid lemak omega-3 dalam suplemen tersebut, dan tahap kemurungan sebelum rawatan.

  • Kerosakan buah pinggang dalam kalangan individu yang menghidap kencing manis (nefropati diabetes). Bukti menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan tidak meningkatkan fungsi buah pinggang pada individu dengan nefropati diabetes.

  • Masalah penglihatan pada penghidap kencing manis (retinopati diabetes). Pengambilan minyak ikan yang lebih tinggi dari diet yang sepatutnya telah dikaitkan dengan penurunan risiko kerosakan mata pada individu yang menghidap kencing manis.

  • Mata kering. Pengambilan minyak ikan yang lebih tinggi dari diet yang sepatutnya telah dikaitkan dengan kekurangan risiko mata kering dalam kalangan wanita. Tetapi kesan ini adalah tidak konsisten. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa minyak ikan mengurangkan simptom mata kering seperti sakit mata, penglihatan kabur, dan sensitiviti mata. Tetapi minyak ikan didapati tidak memperbaiki tanda dan simptom mata kering lain seperti pengeluaran air mata dan kerosakan pada permukaan mata. Malah mengambil minyak ikan juga tidak memperbaiki tanda dan simptom mata kering apabila digunakan dengan rawatan untuk mata kering yang lain.

  • Gangguan pembelajaran yang diiringi dengan kesukaran membaca (disleksia). Mengambil secara oral didapati boleh meningkatkan penglihatan malam dalam kalangan kanak-kanak dengan disleksia.

  • Tahap kolesterol atau lemak darah yang tidak normal (dislipidemia). Terdapat maklumat yang bertentangan mengenai kesan minyak ikan terhadap lemak darah dalam kalangan individu dengan kadar lemak darah yang tidak normal. Penyelidikan menunjukkan bahawa makan sebanyak dua porsi ikan setiap minggu dapat menurunkan kolesterol dan lemak darah bagi individu dengan kolesterol tinggi. Pengambilan suplemen juga meningkatkan tahap trigliserida dan lemak darah tertentu pada individu yang menghidap kencing manis dan individu yang menjalani pemindahan buah pinggang. Tetapi kebanyakan penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan suplemen tidak memperbaiki kadar kolesterol pada individu dengan kadar kolesterol yang tidak normal atau tinggi. Sebaliknya, pengambilan suplemen dapat meningkatkan kadar kolesterol rendah lipoprotein (LDL atau “buruk”) dalam kalangan mereka.

  • Penyakit buah pinggang yang serius (penyakit ginjal peringkat akhir atau ESRD). Beberapa bukti menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan mengurangkan simptom pembengkakan (keradangan) pada individu dengan penyakit buah pinggang yang serius.

  • Gangguan sawan (epilepsi). Penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan asid lemak omega-3 daripada minyak ikan secara oral setiap hari selama 10 minggu boleh mengurangkan kekejangan pada individu dengan epilepsi yang mengalami rintangan terhadap ubat.

  • Sakit otot disebabkan oleh senaman. Mengambil minyak ikan boleh mengurangkan kesakitan otot yang disebabkan oleh latihan dalam kalangan atlet profesional. Tetapi hasil awal ini perlu disahkan dalam kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi. Adalah tidak jelas jika minyak ikan dapat mengurangkan kesakitan otot yang disebabkan oleh latihan pada individu dewasa yang tidak terlatih.
  • Alahan makanan. Mengambil minyak ikan semasa mengandung nampaknya dapat mengurangkan risiko alahan telur bagi bayi. Tetapi ia tidak mengurangkan risiko alahan makanan lain seperti susu atau alahan kacang.

  • Mencegah penyumbatan dalam dialisis buah pinggang. Mengambil minyak ikan didapati boleh membantu mencegah pembentukan darah beku sewaktu hemodialisis. Ia juga dapat membantu melancarkan prosedur tersebut. Namun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui dos yang terbaik untuk itu.

  • Pra-diabetes. Mengambil minyak ikan dilihat tidak dapat memperbaiki gula darah pada individu yang mengalami pra-diabetes. Tetapi ia dapat membantu mencegah pra-diabetes daripada menjadi kencing jenis 2.

  • Perkembangan bayi. Penyelidikan yang paling kuat menunjukkan bahawa pengambilan suplemen semasa mengandung atau menyusu tidak meningkatkan perkembangan mental bayi. Tetapi, memberi susu formula kepada bayi bersama minyak ikan boleh meningkatkan penglihatan bayi, bukannya perkembangan mental.

  • Sklerosis berbilang (MS – Multiple Sclerosis). Mengambil produk minyak ikan tertentu nampaknya tidak memperbaiki jangka masa, kekerapan, atau keparahan pengulangan dalam kalangan pesakit dengan sklerosis berbilang.

  • Pengumpulan lemak di hati pada orang yang minum sedikit atau tidak minum alkohol (penyakit hati berlemak tanpa alkohol). Penyelidikan terhad menunjukkan bahawa minyak ikan mungkin bermanfaat untuk keadaan ini dalam kalangan individu dewasa dan kanak-kanak.

  • Obesiti. Sebilangan besar penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan tidak membantu penurunan berat badan pada individu dewasa atau kanak-kanak. Tetapi memakan ikan sebagai sebahagian daripada diet rendah kalori boleh membantu menurunkan berat badan.

  • Bengkak (keradangan) dan luka di dalam mulut (mukositis mulut). Pengambilan minyak ikan didapati boleh mengurangkan keparahan dan kesakitan luka di mulut akibat ubat kanser.

  • Bengkak (radang) pankreas (pankreatitis). Bukti menunjukkan bahawa mengambil suplemen yang telah diperkaya dengan minyak ikan melalui intravena (IV) boleh mengurangkan tempoh terapi pemindahan buah pinggang yang dijalani oleh individu yang mengalami keradangan pankreas yang teruk.

  • Kelainan yang diwarisi yang meningkatkan tahap fenilalanin dalam darah (fenilketonuria). Sesetengah bukti menunjukkan bahawa pengambilan suplemen minyak ikan memperbaiki kemahiran motor, koordinasi, dan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak dengan gangguan genetik seperti fenilketonuria.

  • Sejenis kegelisahan yang sering timbul setelah kejadian yang menakutkan (gangguan tekanan pasca-trauma). Beberapa penyelidikan awal menunjukkan bahawa mengambil makanan tambahan yang mengandungi asid lemak omega-3 daripada minyak ikan tidak memberikan manfaat kepada individu yang menghidap PTSD.

  • Pertumbuhan dan perkembangan bayi pramatang. Rumusan bayi yang telah diperkaya dengan asid lemak daripada minyak ikan dan minyak borage dilihat dapat meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan sistem saraf dalam kalangan bayi pramatang, terutamanya bayi lelaki.

  • Ulser tekanan. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa memberi suplemen melalui tiub makan atau IV selama 28 hari mungkin melambatkan perkembangan ulser tekanan.

  • Jangkitan saluran udara. Meminum minuman yang mengandungi minyak ikan, vitamin D, dan protein didapati tidak dapat mengurangkan jangkitan saluran udara atas dalam kalangan atlet.

  • Ketidakupayaan badan untuk memecahkan ubat-ubatan salisilat dengan sempurna (intoleransi salisilat). Beberapa penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat meningkatkan simptom intoleransi salisilat, seperti serangan asma dan gatal-gatal.

  • Skizofrenia. Minyak ikan boleh memperbaiki simptom seperti pencerobohan pada penderita skizofrenia. Tetapi tidak semua kajian menunjukkan hasil yang sama.

  • Jangkitan darah (sepsis). Mengambil minyak ikan sebagai sebahagian dari rancangan pemakanan bagi pesakit dengan sepsis dapat mengurangkan kebergantungan terhadap mesin pernafasan dan memendekkan masa hospitalisasi. Tetapi mengambil minyak ikan tidak meningkatkan kelangsungan hidup atau mengurangkan risiko kecederaan otak atau kecelaruan dalam kalangan individu dengan sepsis.

  • Penyakit sel sabit. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan dapat mengurangkan episod kesakitan yang teruk dalam kalangan individu dengan penyakit sel sabit.

  • Strok. Mengambil sebagai suplemen didapati tidak dapat mencegah strok. Namun, meakan ikan sebanyak sekali atau dua kali seminggu dilihat dapat menurunkan risiko strok sebanyak 27%. Tetapi jika anda memakan ikan dalam jumlah yang sangat tinggi (lebih daripada 46 gram ikan sehari) ia boleh meningkatkan risiko strok. Malah, memakan ikan tidak menurunkan risiko strok pada individu yang mengambil aspirin sebagai intervensi.

  • Penyakit autoimun yang menyebabkan pembengkakan meluas (lupus erythematosus sistemik). Beberapa kajian awal menunjukkan bahawa minyak ikan membantu memperbaiki simptom penyakit ini, sementara kajian lain tidak menunjukkan sebarang kesan.

  • Sejenis penyakit keradangan usus (kolitis ulseratif). Kajian mengenai kesan minyak ikan untuk merawat kolitis ulseratif menunjukkan hasil yang bertentangan.

Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai minyak ikan untuk kegunaan ini:

  • Glaukoma.
  • Syarat-syarat lain.

Kesan Sampingan Minyak Ikan

Asid lemak tidak tepu omega-3 iaitu bahan aktif yang terkandung dalam minyak ini boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan yang tidak diingini. Walaupun tidak semua kesan sampingan ini akan berlaku, tetapi jika anda mengalaminya, anda mungkin memerlukan rawatan perubatan.

Segeralah berjumpa doktor jika anda mengalami kesan sampingan berikut semasa pengambilan:

  • Gusi berdarah
  • Batuk
  • Batuk berdarah
  • Kesukaran bernafas atau menelan
  • Pening
  • Degupan jantung yang cepat atau tidak teratur
  • Sakit kepala
  • Kulit kemerahan, gatal-gatal, atau ruam kulit
  • Peningkatan aliran haid atau pendarahan faraj
  • Hidung berdarah
  • Lumpuh
  • Pendarahan berpanjangan akibat luka
  • Bengkak atau bengkak kelopak mata atau di sekitar mata, muka, bibir, atau lidah
  • Najis berwarna merah atau hitam
  • Air kencing berwarna merah atau coklat gelap
  • Berpeluh
  • Sesak dada
  • Keletihan atau kelemahan yang tidak biasa

Beberapa kesan sampingan asid lemak tak tepu omega-3 mungkin tidak memerlukan rawatan perubatan. Kesan sampingan ini mungkin hilang sewaktu dalam rawatan kerana badan anda boleh menyesuaikan diri melalui ubat-ubatan. Doktor anda mungkin akan memberitahu anda tentang cara-cara untuk mencegah atau mengurangkan beberapa kesan sampingan tersebut. Tanyalah kepada doktor anda sekiranya terdapat kesan sampingan yang dialami secara berterusan atau mengganggu anda seperti:

  • Perut berasid
  • Kerap sendawa
  • Perut kembung atau penuh
  • Perubahan selera
  • Gas berlebihan di dalam perut
  • Pedih ulu hati
  • Ketidakhadaman
  • Ketidakselesaan atau sakit perut
  • Cirit-birit
  • Mengalami kesukaran Membuang air besar
  • Hilang selera makan
  • Loya atau muntah
  • Kerap kentut

Interaksi Minyak Ikan

Pil perancang kehamilan (kontraseptif)

Minyak ikan didapati dapat membantu mengurangkan kadar lemak dalam darah. Lemak ini digelar sebagai trigliserida. Pil perancang boleh mengurangkan keberkesanan untuk mengurangkan kadar lemak tersebut dalam darah. Sebilangan pil perancang termasuklah etinil estradiol dan levonorgestrel (Triphasil), etinil estradiol dan norethindrone (Ortho-Novum 1/35, Ortho-Novum 7/7/7), dan lain-lain.

Ubat untuk tekanan darah tinggi (ubat antihipertensi)

Minyak ikan didapati boleh menurunkan tekanan darah. Mengambil bersama ubat tekanan darah tinggi boleh menyebabkan tekanan darah anda menurun. Beberapa ubat tekanan darah tinggi termasuk captopril (Capoten), enalapril (Vasotec), losartan (Cozaar), valsartan (Diovan), diltiazem (Cardizem), Amlodipine (Norvasc), hidroklorotiazida (HydroDiuril), furosemide (Lasix), dan banyak lagi.

Orlistat (Xenical, Alli)

Orlistat (Xenical, Alli) digunakan untuk menurunkan berat badan. Ia menghalang lemak makanan daripada diserap oleh usus. Terdapat kebimbangan bahawa orlistat (Xenical, Alli) boleh mengurangkan penyerapan minyak ikan jika kedua-duanya diambil bersama. Untuk mengelakkan interaksi ini, jarakkan pengambilan orlistat (Xenical, Alli) dan minyak ikan sekurang-kurangnya selama 2 jam.

Ubat-ubatan yang melambatkan pembekuan darah (ubat Antikoagulan / Antiplatelet)

Minyak ikan mungkin melambatkan pembekuan darah. Jadi, mengambil bersama ubat-ubatan yang turut melambatkan pembekuan darah dapat meningkatkan kemungkinan lebam dan pendarahan. Beberapa ubat yang melambatkan pembekuan darah termasuk aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, lain-lain), ibuprofen (Advil, Motrin , lain-lain), naproxen (Anaprox, Naprosyn, lain-lain), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (Lovenox), heparin, warfarin (Coumadin), dan lain-lain.

Dos Minyak Ikan

Dos berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

Dewasa

Secara oral:

  • Untuk kadar lemak tinggi yang disebut trigliserida dalam darah (hipertrigliseridemia): Dos sebanyak 1-15 gram minyak ikan setiap hari selama 6 bulan. Tetapi kebanyakan pakar mengesyorkan mengambil sebanyak kira-kira 3.5 gram dos asid lemak omega-3 setiap hari. Jumlah ini disediakan dalam empat kapsul 1 gram produk minyak ikan yang dipreskripsi. Produk preskripsi ini termasuk Lovaza (sebelumnya dikenali sebagai Omacor, GlaxoSmithKline), Omtryg (Trygg Pharma, Inc.), dan Epanova (AstraZeneca Pharmaceuticals). Anda mungkin perlu mengambil sebanyak 12 kapsul minyak ikan setiap hari daripada suplemen bukan preskripsi untuk mendapatkan jumlah asid lemak omega-3 yang sama.

  • Bagi prosedur pembukaan saluran darah yang tersumbat atau sempit (angioplasti): 6 gram setiap hari bermula satu bulan sebelum angioplasti dan berterusan sehinggan satu bulan selepas itu, diikuti dengan 3 gram setiap hari selama 6 bulan. Selain itu, 15 gram minyak ikan diambil setiap hari selama 3 minggu sebelum angioplasti dan selama 6 bulan selepas itu.

  • Untuk mencegah keguguran pada wanita hamil dengan gangguan autoimun yang disebut sindrom antiphospholipid: 5.1 gram minyak ikan dengan nisbah 1.5 EPA: DHA yang diambil setiap hari selama 3 tahun.

  • Untuk gangguan defisit-hiperaktif (ADHD): Makanan tambahan yang mengandungi 400 mg minyak ikan dan 100 mg minyak evening primrose  (Eye Q, Novasel) sebanyak enam kapsul setiap hari selama 15 minggu telah digunakan. Selain itu, 250 mg asid lemak omega-3 yang diperkaya dengan fosfatidilserin digunakan setiap hari selama 3 bulan.

  • Untuk gangguan bipolar: Minyak ikan yang mengandungi 6.2 gram EPA dan 3.4 gram DHA diambil setiap hari selama 4 bulan. Juga, 1-6 gram EPA selama 12-16 minggu atau asid lemak omega-3 yang mengandungi 4.4-6.2 gram EPA ditambah dengan 2.4-3.4 gram DHA selama 4-16 minggu.

  • Untuk penurunan berat badan secara sukarela pada individu yang sangat sakit (cachexia atau sindrom pembaziran): 30 mL produk minyak ikan tertentu (ACO Omega-3, Pharmacia, Stockholm, Sweden) mengandungi 4.9 gram EPA dan 3.2 gram DHA setiap hari selama 4 minggu telah digunakan. 7.5 gram setiap hari mengandungi EPA 4.7 gram dan DHA 2.8 gram digunakan selama kira-kira 6 minggu. Sebagai tambahan, dua tin suplemen yang mengandungi 1.09 gram EPA dan 0.96 gram DHA digunakan setiap hari hingga 7 minggu.

  • Untuk operasi untuk meningkatkan aliran darah ke jantung (pembedahan CABG): 4 gram minyak ikan yang mengandungi 2.04 gram EPA dan 1.3 gram DHA digunakan setiap hari selama satu tahun.

  • Untuk tekanan darah tinggi disebabkan oleh ubat siklosporin: 3 hingga 4 gram asid lemak omega-3 setiap hari selama 6 bulan setelah pemindahan jantung. 2-18 gram minyak ikan setiap hari selama 1 hingga 12 bulan setelah pemindahan buah pinggang.

  • Untuk kerosakan buah pinggang yang disebabkan oleh ubat siklosporin: 12 gram setiap hari selama 2 bulan digunakan setelah pemindahan hati. Juga, 6 gram minyak ikan setiap hari sehingga 3 bulan setelah pemindahan buah pinggang.

  • Untuk senggugut: Dos harian 1080 mg EPA dan 720 mg DHA bersama 1.5 mg vitamin E setiap hari selama 2 bulan. Juga, 500-2500 mg minyak ikan digunakan setiap hari selama 2-4 bulan.

  • Untuk kegagalan jantung: 600mg hingga 4300 mg asid lemak omega-3 setiap hari selama 12 bulan. Juga, 1 gram minyak ikan setiap hari selama kira-kira 2.9 tahun.

  • Untuk komplikasi selepas pemindahan jantung: 4 gram minyak ikan yang mengandungi 46.5% EPA dan 37.8% DHA setiap hari selama satu tahun.

  • Untuk kadar lemak darah yang tidak normal pada individu dengan HIV / AIDS: Dua kapsul suplemen minyak ikan tertentu (Omacor, Pronova BioPharma, Norway) yang mengandungi 460 mg EPA ditambah dengan 380 mg DHA sebanyak dua kali sehari selama 12 minggu.

  • Untuk tekanan darah tinggi: 4 hingga 15 gram minyak ikan setiap hari, diambil dalam dos tunggal atau dibahagi, sehingga 36 minggu. Juga, 3-15 gram asid lemak omega-3 setiap hari selama 4 minggu.

  • Untuk keadaan yang membawa kepada penyakit buah pinggang (nefropati IgA): 1-12 gram minyak ikan setiap hari selama 2-4 tahun. Juga, 3 gram minyak ikan dengan kombinasi ubat renin-angiotensin system blocker (RASB) setiap hari selama 6 bulan.

  • Untuk tulang lemah dan rapuh (osteoporosis): Empat kapsul 500 mg campuran evening primrose dan minyak ikan, diambil tiga kali sehari bersama 600 mg kalsium karbonat selama 18 bulan.

  • Untuk kulit gatal dan bersisik (psoriasis): Kapsul minyak ikan yang mengandungi 3,6 gram EPA dan 2,4 gram DHA setiap hari selama 15 minggu bersama terapi UVB.

  • Untuk psikosis: Kapsul yang mengandungi 700 mg EPA dan 480 mg DHA dicampur bersama tokoferol dan asid lemak omega-3 lain setiap hari selama 12 minggu.

  • Untuk sindrom Raynaud: Dos harian 3.96 gram EPA dan 2.64 gram DHA selama 12 minggu.

  • Untuk rheumatoid arthritis (RA): 10 gram sehari selama 6 bulan, atau minyak ikan yang mengandungi 0,5-4,6 gram EPA dan 0,2-3,0 gram DHA, kadangkala bersama vitamin E 15 IU, setiap hari hingga 15 bulan.

Secara IV: 

  • Untuk kulit gatal dan bersisik (psoriasis): 100-200 mL larutan minyak ikan tertentu yang mengandungi 2.1 hingga 4.2 gram EPA dan 2.1 hingga 4.2 gram DHA (Omegavenous, Fresenius, Oberursel, Jerman), diberikan setiap hari selama 10 hingga 14 hari.

  • Untuk rheumatoid artritis (RA): 0.1-0.2 mg / kg asid lemak omega-3 dari minyak ikan setiap hari selama 7 hari telah digunakan. Juga, 0.2 gram / kg larutan tertentu (Omegaven, Fresenius-Kabi) setiap hari selama 14 hari berturut-turut, diikuti dengan 0.05 gram melalui mulut setiap hari selama 20 minggu.

Disapu pada kulit:

  • Untuk kulit yang gatal (psoriasis): Sapu minyak ikan di bawah pembalut dan biarkan selama 6 jam setiap hari selama 4 minggu.

Kanak-kanak

Secara oral:

  • Untuk gangguan kemahiran motor yang ditandai dengan kecuaian (gangguan koordinasi perkembangan atau DCD): Minyak ikan yang mengandungi 558 mg EPA dan 174 mg DHA dalam tiga dos yang dibahagikan setiap hari selama 3 bulan digunakan pada kanak-kanak berumur 5-12 tahun. Makanan tambahan khusus yang mengandungi kombinasi bersama minyak evening primrose, minyak thyme, dan vitamin E (Efalex, Efamol Ltd), diambil setiap hari selama 4 bulan.

Sumber:

https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-993/fish-oil

https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/omega-3-fish-oil-supplements-for-high-blood-pressure

https://www.medicalnewstoday.com/articles/40253

https://www.healthline.com/nutrition/13-benefits-of-fish-oil

Summary
Minyak Ikan (Fish Oil)
Article Name
Minyak Ikan (Fish Oil)
Description
Minyak ikan adalah sumber utama asid lemak omega-3, iaitu zat tubuh yang anda perlukan untuk menjalankan pelbagai fungsi, dari aktiviti otot hinggalah pertumbuhan sel.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: