Panduan Rawatan Akar Gigi
Rawatan akar gigi dilakukan untuk membasmi bakteria daripada akar gigi yang dijangkiti bagi mencegah jangkitan pada gigi serta menyelamatkan gigi semula jadi anda.

Rawatan akar gigi dilakukan untuk membasmi bakteria daripada akar gigi yang dijangkiti bagi mencegah jangkitan pada gigi serta menyelamatkan gigi semula jadi anda. Apabila seseorang menjalani rawatan akar gigi, akar gigi yang meradang atau dijangkiti akan dibuang dan bahagian dalam gigi dibersihkan serta dinyahkuman secara berhati-hati, dan kemudiannya ditampal.

Jadi, apakah yang berlaku semasa rawatan akar gigi berjalan? Anda tidak perlu risau jika doktor gigi anda mengesyorkan anda menjalani prosedur rawatan akar gigi untuk merawat gigi yang rosak. Berjuta gigi telah dirawat dan diselamatkan dengan perosedur ini dalam setiap tahun. Malah, ia dapat melegakan kesakitan dan menjadikan gigi kembali sihat.

Dalam struktur gigi anda, terdapat tisu lembut yang dipanggil sebagai pulpa yang terletak di bawah enamel dan lapisan keras yang digelar dentin. Tisu ini mengandungi saluran darah, saraf dan tisu penghubung yang membantu pertumbuhan akar gigi. Gigi yang telah tumbuh sepenuhnya boleh kekal tanpa pulpa kerana gigi tersebut akan sentiasa disuburkan oleh tisu di sekelilingnya.

Kini, rawatan moden adalah berbeza berbanding rawatan akar gigi tradisional. Prosedurnya lebih kurang seperti menampal gigi dan boleh diselesaikan dalam satu atau dua temujanji sahaja bergantung kepada keadaan gigi dan jadual harian anda. Kini, mendapatkan rawatan akar gigi, adalah satu proses yang tidak menyakitkan dan sangat berkesan untuk memperbaiki keadaan anda.

Berikut merupakan kelebihan rawatan akar gigi:

  • Mengunyah makanan dengan cekap
  • Daya dan sensasi menggigit yang normal
  • Penampilan semula jadi
  • Melindungi gigi lain daripada kerosakan

Teknik dan teknologi moden telah membantu rawatan ini berkembang kepada satu rawatan yang selesa dengan hanya memerlukan satu atau dua temujanji bersama doktor gigi.

Sebelum prosedur dijalankan, pesakit akan diberikan anestesia terlebih dahulu, jadi, rawatan akar gigi tidak akan menyakitkan berbanding prosedur pergigian biasa seperti menampal gigi atau membuang gigi bongsu. Walau bagaimanapun, rawatan akar gigi boleh menyebabkan ketidakselesaan ringan selama beberapa hari.

Bagaimana untuk mengetahui jika anda memerlukan rawatan akar gigi?

Rawatan akar gigi diperlukan bagi memulihkan gigi yang retak akibat kecederaan, genetik, kaviti yang dalam atau masalah daripada prosedur penampalan gigi yang lalu. Pesakit secara umumnya memerlukan rawatan ini apabila mereka mula menyedari gigi mereka lebih sensitif kepada sensasi panas atau sejuk.

Terdapat beberapa simptom yang perlu diteliti yang memerlukan anda menjalani rawatan sebegini iaitu:

  • Kesakitan ketara apabila mengunyah atau menggigit
  • Jerawat pada gusi
  • Gigi retak atau sompek
  • Gigi sensitif terhadap sensasi panas atau sejuk
  • Gusi bengkak
  • Gusi berubah warna gelap

Bilakah rawatan akar gigi diperlukan?

Kebiasaannya, rawatan hanya disyorkan atau diperlukan apabila terdapat jangkitan dalam gigi. Pulpa dalam gigi mungkin dijangkiti oleh bakteria akibat kecederaan atau kaviti yang tidak dirawat. Tanpa rawatan, jangkitan boleh menjadi lebih parah sehingga gigi perlu dicabut. Sekiranya doktor gigi anda mengesyorkan rawatan ini, berikut merupakan panduan tentang apa yang boleh anda harapkan semasa dan sebelum pembedahan.

Prosedur rawatan akar gigi

Rawatan ini adalah prosedur yang melibatkan empat langkah. Rawatan biasanya dilakukan dalam satu atau dua temujanji dengan doktor gigi.

Pertama sekali, doktor gigi anda akan menyuntik anda dengan anestesia tempatan menggunakan jarum untuk mengebaskan gigi. Jika anda berasa sedikit sengatan pada kawasan suntikan jarum, itu merupakan perkara biasa dan jangan bimbang. Setelah gigi dikebaskan, doktor gigi akan meletakkan empangan gigi (dental dam) iaitu sekeping getah yang mengasingkan gigi untuk mengekalkan kebersihannya dan memastikannya kering semasa prosedur dijalankan.

Seterusnya, beliau akan menggunakan alat yang kecil seperti gerudi kecil untuk memasuki kawasan dalam gigi dengan menebuk pembukaan pada bahagian atas gigi. Seterusnya, doktor gigi akan menggunakan fail kecil bagi membersihkan pulpa yang rosak daripada dalam gigi. Beliau juga akan menggunakan fail tersebut untuk membentuk ruang dalam gigi dan akarnya serta mengairi bahagian tersebut dengan air untuk mencuci segala sisa pulpa. Selain itu, doktor gigi mungkin akan meletakkan larutan antimikrobial di kawasan tersebut untuk membunuh sisa bakteria dan mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk.

Setelah ruang dalam gigi dibersihkan dan dikeringkan, doktor gigi akan menampalnya dengan sejenis bahan seperti getah yang dipanggil ‘gutta percha’. Kemudian, doktor gigi akan menutup pembukaan gigi dengan tampalan sementara sewaktu anda menunggu ‘crown’ kekal.  

Crown digunakan untuk menutup gigi yang rosak. Disamping itu, ia juga boleh menguatkan gigi yang rosak dan memperbaiki penampilan, bentuk atau susunan gigi. Crown juga boleh diletakkan di atas implant untuk menghasilkan fungsi yang sama seperti gigi semulajadi dari segi bentuk dan strukturnya. Crown porselin atau seramik boleh disamakan dengan warna asli gigi anda. Bahan lain yang digunakan sebagai crown adalah emas dan aloi besi dan akrilik. Aloi lebih kuat daripada porselin dan disyorkan untuk gigi bahagian belakang. Porselin yang digabungkan dengan cengkerang besi sering digunakan kerana ianya kuat dan kelihatan menarik.

Doktor gigi anda boleh mencadangkan penggunaan crown untuk:

  • Menggantikan penampalan yang besar apabila jumlah gigi tidak mencukupi
  • Melindungi gigi yang lemah akibat retak
  • Memulihkan gigi yang retak
  • Memasang ‘bridge
  • Menutup implan gigi
  • Menutup gigi yang berubah warna atau bentuk gigi yang tidak cantik
  • Menutup gigi yang dilakukan rawatan akar gigi keatasnya.

Selepas beberapa minggu, doktor gigi anda akan menyelesaikan rawatan dengan meletakkan crown kekal tersebut atau jenis yang sama dengannya di atas gigi. Begantung kepada keadaan gigi semulajadi anda, doktor gigi mungkin perlu meletakkan penyokong kecil di dalam ruang akar gigi untuk mengukuhkan crown.

Prosedur selepas pembedahan

Menguruskan gigi dan gusi anda dengan baik adalah perkara penting selepas menjalani rawatan akar gigi. Anda mungkin perlu melakukan temujanji susulan dengan doktor gigi anda sebanyak 2 kali dalam setahun (pemeriksaan dan pembersihan gigi) untuk menjalani pengimbasan X-ray pada gigi yang dirawat dan memastikan simptom jangkitan telah hilang. 

Ianya adalah penting untuk melakukan rutin penjagaan gigi yang baik di rumah termasuklah memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi yang membasmi kuman selama 12 jam. Dengan penjagaan dan perhatian yang sepatutnya, gigi yang dirawat akan kekal sihat sepanjang hayat anda.

Fakta menarik mengenai rawatan akar gigi

  • Lebih daripada 15 juta rawatan akar gigi dijalankan setiap tahun
  • Lebih daripada 41000 rawatan akar gigi dijalankan setiap hari
  • Seorang doktor gigi secara purata menjalankan 25 rawatan akar gigi setiap minggu
  • Sebanyak 45% individu pernah mendengar mengenai rawatan akar gigi
  • Ramai individu mempunyai perasaan negatif terhadap kehilangan gigi

Seramai 15% individu menghindari rawatan penjagaan gigi kerana ketakutan atau persepsi salah terhadap rawatan pergigian.

Sumber

https://www.webmd.com/oral-health/guide/dental-root-canals#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/142780

https://en.wikipedia.org/wiki/Root_canal_treatment

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tooth-abscess/multimedia/root-canal/sls-20076717

Summary
Panduan Rawatan Akar Gigi
Article Name
Panduan Rawatan Akar Gigi
Description
Rawatan akar gigi dilakukan untuk membasmi bakteria dan mencegah jangkitan pada gigi serta menyelamatkan gigi semula jadi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: