zakat kedah

Zakat Kedah atau lebih dikenali sebagai Lembaga Zakat Kedah merupakan institusi baitulmal, tempat pengumpulan hasil harta untuk tujuan kebajikan bagi umat Islam di Kedah khususnya. Umum mengetahui bahawa penganut agama Islam di seluruh dunia diwajibkan untuk menunaikan zakat apabila cukup syaratnya.

Apakah itu bayaran zakat?

Zakat merupakan ketetapan dan merupakan kewajiban bagi sesorang yang beragama Islam. Zakat merupakan bayaran dalam bentuk duit atau harta untuk disumbangkan kepada orang yang kurang berkemampuan atau memerlukan bantuan kebajikan.

Selain itu zakat juga diberikan kepada orang yang terputus bekalan di pertengahan jalan, orang yang tidak mampu membayar hutangnya, orang yang baru masuk Islam, golongan fisabillah (yang menegakkan agama Islam) dan amil-amil zakat.

Kepentingan zakat ini amatlah tinggi sehingga kewajipan membayar zakat itu diletakkan bersama lima Rukun Islam. Ada dua jenis zakat yang utama iaitu zakat fitrah dan zakat harta.

Zakat fitrah merupakan bayaran yang mesti dibayar kepada amil yang bertauliah. Amil ini merupakan gelaran kepada pegawai yang ditugaskan untuk memungut zakat daripada orang Islam. Berbalik kepada zakat fitrah tadi, zakat ini jumlah bayarannya amatlah kecil dan tidak membebankan. Jumlah yang perlu dibayar cumalah bersamaan dengan nilai harga beras (atau berat makanan ruji tempat tersebut) yang bersamaan 2.7 kilogram bagi setiap orang Islam dalam keluarga tersebut. Pada umumnya jumlah bayaran ini kurang daripada RM10 per kepala dan sekiranya berkemampuan, digalakkan untuk membayar lebih untuk tujuan kebajikan dan sedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Zakat harta pula dibayar apabila syarat-syarat tertentu telah dicapai. Orang Islam yang belum lagi mencukupi syarat ini, tidak diwajibkan membuat bayaran zakat harta ini. Antara jenis harta yang wajib dizakatkan ialah zakat ke atas wang pendapatan, perniagaan, duit simpanan, aset emas dan perak, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (dianggap sebahagian daripada duit simpanan), hasil pertanian dan haiwan ternakan. Syarat wajib mengeluarkan bayaran zakat ialah nilai harta tersebut mestilah melebihi 85 gram nilai emas semasa. Syarat ini dipanggil sebagai nisab iaitu had minimum untuk mengeluarkan zakat. Sekiranya jumlah harta seseorang itu kurang daripada 85 gram, secara automatik tidak diwajibkan untuk membayar zakat harta. Jumlah bayaran pula sangatlah sedikit iaitu hanya 2.5% daripada jumlah harta simpanan tadi.

Untuk rakyat Kedah yang beragama Islam, anda boleh merujuk kepada Lembaga Zakat Kedah untuk membantu anda membuat kiraan atau sekiranya anda memerlukan jawapan bagi persoalan-persoalan yang berkaitan zakat yang kurang jelas.

Sejarah Penubuhan Lembaga Zakat Kedah

Sejarah penubuhan institusi memungut zakat di Kedah bermula sejak tahun 1935 lagi berdasarkan Notis Memberi Nasihat Ketentuan yang bersangkutan dengan Perkara Zakat. Notis tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Syeikhul Islam melalui Majmaul Syeikhul Islam. Majmaul Syeikhul Islam ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1936 bagi menggantikan jawatan Syeikhul Islam yang dipercayai telah dimulai sejak tahun 1901 lagi. Majmaul Syeikhul Islam sangat mengutamakan makluman yang berkaitan hal ehwal zakat dan pengurusan zakat di negeri Kedah pada waktu tersebut.

Pada 1936 juga, sebuah perhimpunan iaitu Perhimpunan Riyal Zakat dan Sedekah Orang-orang Islam di Negeri Kedah telah dianjurkan. Perhimpunan ini secara rasminya telah dicatatkan menjadi titik tolak zakat dibayar secara rasmi kepada rakyat Kedah.

Pada tahun 1955 pula, orang ramai mula mengadu kepada Syeikhul Islam Negeri Kedah pada waktu tersebut iaitu Syeikh Wan Sulaiman Bin Wan Sidek. Aduan yang beliau terima merujuk kepada sistem pemberian zakat yang mempunyai banyak kelemahan dan tidak sampai kepada golongan yang memerlukan.

Atas aduan ini, Syeikhul Islam mengutarakan masalah ini kepada Pemangku Raja Kedah pada waktu tersebut iaitu DYTM Tengku Mahmud Ibnu Sultan Ahmad Tajudin. Pemangku Raja Kedah bertanyakan semula kepada Syeikhul Islam tentang cara terbaik dalam mengatasi masalah ini.

Menurut Syeikhul Islam, cara terbaik dalam mengatasi masalah ini adalah merujuk kembali tanggungjawab asal zakat iaitu di mana ulil amri (pemimpin di tempat tersebut) perlu bertanggungjawab dalam urusan kutipan dan agihan zakat. Perkara ini telah dipersetujui oleh Pemangku Raja dan menitahkan rakyat Kedah untuk membayar zakat kepada amil-amil yang telah dilantik secara rasmi.

Pada tahun yang sama juga, undang-undang zakat yang dikenali sebagai Enakmen Jabatan Zakat Negeri Kedah Darul Aman telah digubal. Pada masa ini, hanya zakat padi yang dimasukkan di dalam undang-undang.

Hampir 30 tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1984, iaitu ketika Dato Syeikh Mahmood Naim dilantik menjadi Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah. Beliau telah mengembangkan kutipan zakat ini kepada semua jenis harta seperti zakat pendapatan dan apa-apa hasil lain yang halal.

Paling terkini, iaitu pada tahun 2015, undang-undang zakat Kedah diperkemaskan lagi dan akhirnya enakmen Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman diperkenalkan. Enakmen ini menyaksikan penubuhan Lembaga Zakat Kedah dan memastikan pengurusannya adil dan saksama dalam melaksanakan kutipan dan agihan zakat di Negeri Kedah khususnya.

Kini terdapat pelbagai jenis bantuan dan program yang telah dijalankan oleh Lembaga Zakat Kedah. Antara program tersebut ialah bantuan pelajaran, program bantuan dan pembangunan usahawan, latihan untuk anak-anak asnaf penerima zakat, pembangunan pusat haemodalisis zakat dan banyak lagi program kemasyarakatan.

Diharapkan masyarakat Islam Kedah semakin yakin dan bertambah komited dalam menunaikan tanggungjawab yang bukan sahaja dituntut oleh agama Islam malah secara langsung dapat membantu masyarakat Kedah yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.



SUMBER
https://en.wikipedia.org/wiki/Zakat#Distribution_2

https://ringgitplus.com/en/blog/banking/everything-you-need-to-know-about-zakat-in-malaysia.htmlhttps://www.zakatkedah.com.my/

https://www.zakatkedah.com.my/

Tagged: