wanita hamil dijangkiti coronavirus
Walaupun tidak banyak kes yang dilaporkan, tetapi masih ada kemungkinan bahawa coronavirus boleh disebarkan kepada bayi sebelum kelahiran.

Terdapat kes wanita hamil dijangkiti coronavirus melahirkan bayi yang sudah positif COVID-19 di China. Ini pastinya menimbulkan kebimbangan tentang betapa bahayanya COVID-19.

Menurut seorang doktor di Hospital Kanak-kanak Wuhan mengatakan bahawa wanita hamil tersebut yang dijangkiti wabak coronavirus mungkin telah menyebarkan virus itu kepada bayinya semasa masih dalam kandungan. Ia ternyata terbukti apabila ujian yang dijalankan kepada bayi itu mengesahkan kenyataan tersebut. Namun, kes sebegini tidak terjadi dengan begitu meluas di negara-negara lain serta lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan sekiranya risiko penyebaran virus kepada bayi dalam kandungan adalah tinggi.

Berdasarkan sebuah kajian kecil yang diterbitkan dalam JAMA Pediatrics mendapati bahawa daripada 33 wanita hamil dijangkiti coronavirus, tiga daripadanya melahirkan bayi baru lahir yang kemudiannya didiagnosis dengan virus sama. Namun, ketiga-tiga bayi itu berjaya dipulihkan, jadi ini menambahkan bukti bahawa kebanyakan bayi atau kanak-kanak hanya mengalami kes-kes yang lebih ringan disebabkan COVID-19 berbanding orang dewasa. Sementara itu, bayi yang dilahirkan oleh 30 wanita lain dalam kajian ini diuji negatif untuk virus itu.

Kes ini juga sebenarnya sudah terdapat di Malaysia yang mana Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan pesakit jangkitan coronavirus baharu yang termuda di Malaysia adalah bayi berusia 12 hari. Walaupun bayi tersebut mungkin dijangkiti selepas dilahirkan, namun kemungkinan bayi untuk dijangkiti semasa dalam kandungan masih ada.

Hal ini menjadi topik debat yang hangat antara pakar-pakar perubatan di seluruh dunia kerana mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk mengkaji isu ini dengan lebih terperinci. Ada yang mengatakan bahawa terlalu sedikit virus yang boleh meresap ke dalam plasenta dan menjangkiti bayi dalam rahim walaupun ada juga di antaranya, seperti virus Zika yang boleh memberi kesan buruk kepada si bayi.

Dalam kajian coronavirus, berdasarkan keputusan yang diperoleh melalui ujian kesat (swab) daripada bayi baru lahir yang positif COVID-19, keadaan itu mungkin berlaku dalam rahim sekitar tempoh kelahiran. Bayi mungkin memperoleh coronavirus itu daripada saluran kelahiran atau daripada mikrotears dalam kantung amniotik mereka.

Tetapi, memandangkan saiz sampelnya adalah sangat kecil, lebih banyak maklumat diperlukan untuk membahas isu ini. Persoalan ini adalah sangat hangat sehinggakan sudah ada dua kertas lain yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association mengenai sama ada coronavirus boleh diperoleh dalam rahim atau tidak.

Kertas-kertas tersebut mencadangkan bahawa bayi yang dilahirkan daripada ibu yang telah dijangkiti boleh mempunyai antibodi yang tinggi bagi virus yang dikesan dalam darah mereka sendiri. Tetapi, ianya tidak jelas sama ada antibodi itu dihasilkan sebagai tindak balas terhadap jangkitan dalam rahim atau ia sebenarnya dihasilkan oleh ibu dan dipindahkan ke bayi.

Sementara itu, kajian oleh JAMA Pediatrics memberikan berita menggalakkan tentang keupayaan bayi untuk pulih daripada penyakit COVID-19 ini. Dua daripada tiga bayi yang dijangkiti itu tidak lagi diuji positif selepas hari keenam kehidupan, manakala bayi ketiga yang dilahirkan lebih awal, menunjukkan keputusan negatif pada hari ketujuh selepas kelahiran.

Bayi ketiga tersebut dilahirkan hampir sembilan minggu lebih awal kerana komplikasi dialami si ibu yang positif COVID-19, termasuklah keradangan paru-paru. Bayi itu memerlukan lebih banyak bantuan perubatan untuk pulih, walaupun para penyelidik mengakui masalah kesihatannya mungkin telah terjadi disebabkan faktor kelahiran awal berbanding masalah disebabkan virus itu sendiri. Ia juga didiagnosis dengan sindrom gangguan pernafasan neonal dan keradangan paru-paru serta terpaksa disedarkan semula semasa kelahirannya. Namun, keadaannya bertambah baik selepas dua minggu.

Dua lagi bayi yang diperiksa menunjukkan tanda lesu dan mempunyai tanda-tanda keradangan paru-paru di dalam paru-paru mereka, dan satu daripadanya juga muntah dalam tempoh seminggu selepas didiagnosis.

Pakar mempunyai banyak teori mengapa kanak-kanak biasanya kelihatan lebih baik walaupun menjangkiti coronavirus berbanding orang dewasa, tetapi sehingga kini masih tiada siapa yang memahami mengapa kanak-kanak mempunyai kes-kes yang lebih ringan, termasuklah bayi baru lahir.

Walau apa pun puncanya, pakar perubatan tidak mengesyorkan wanita mengandung membuat sebarang perubahan pada rancangan kelahiran mereka. Waktu kelahiran tidak seharusnya diubah dalam kebanyakan kes, serta kelahiran di hospital masih merupakan kaedah paling selamat dan kurang berisiko berbanding kelahiran di rumah, walaupun dengan keadaan wabak COVID-19 sekarang.

SUMBER

http://www.astroawani.com/berita-dunia/covid-19-pesakit-hamil-boleh-jangkiti-bayi-dalam-kandungan-kajian-250566

https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2020/07/709152/bukti-kukuh-covid-19-boleh-menjangkiti-bayi-dalam-kandungan-saintis

https://www.health.harvard.edu/blog/pregnant-and-worried-about-the-new-coronavirus-2020031619212

Summary
Article Name
Wanita hamil dijangkiti coronavirus boleh menyebarkan kepada bayinya
Description
Terdapat kes wanita hamil dijangkiti coronavirus melahirkan bayi yang sudah positif COVID-19 di China. Ini pastinya menimbulkan kebimbangan tentang betapa bahayanya COVID-19.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: