Resepi Ayam Penyet

Mesti ramai nak tahu resepi Ayam Penyet kan? Ayam Penyet yang dimakan dengan sambal pedas kaw, fuh! Memang sedap hingga menjilat jari.

Bulan Ramadhan ni, agak sukar sebenrnya hendak jumpa hidangan Ayam Penyet di Bazaar. Kalau hendak ke restoran pula, pasti perlu beratur panjang menunggu gilaran. Akhirnya, jadi kempunanlah kerana tak dapat merasa hidangan Ayam Penyet.

Bila asyik menghadap juadah berbuka yang sama seperti Roti John, Murtabak atau Otak-Otak pun bosan juga. Kalau dah namanya orang Melayu, memang akan pilih untuk berbuka dengan hidangan bernasi juga. Maklum sahajalah, nasi itu kan makanan ruji orang kita. Barulah perut boleh rasa kenyang.

Untuk korang yang dah jemu berbuka dengan kuih dan teringin hendak makan makanan bernasi yang mudah disediakan tanpa perlu berasa lelah di dapur. Nah, kami kongsikan resepi Ayam Penyet paling senang untuk dimasak.

Asal-Usul Ayam Penyet

Ayam Penyet merupakan hidangan asal Jawa Barat, Indonesia, merangkumi nasi yang dimakan bersama ayam goreng istimewa.

Lebih menarik, ayam goreng itu akan diketuk menggunakan batu lesung untuk menjadikan teksturnya lebih lembut dan mudah dimakan. Ha, sebab itulah makanan ini dinamakan “Ayam Penyet”.

Hidangan istimewa ini turut ditemani cicahan sambal, hirisan timun, kubis, tauhu goreng garing serta tempeh goreng. Adakalanya, ia juga dinikmati bersama hirupan sup panas. Lebih enak!

Bahan Ayam Penyet: –

  • 10 Potong Daging Ayam (Peha)
  • Halia (secukunya)
  • Lengkuas (secukupnya)
  • Air (untuk merebus ayam)
  • Jus Limau Nipis
  • 2 Batang Serai
  • Daun Salam (secukupnya)
  • Bawang Putih (8-10 ulas)
  • Kunyit Hidup (2cm)
  • 8 Biji Buah Keras (disangai terlebih dahulu)

Bahan Sambal Ayam Penyet: –

  • Bawang Merah (5 – 8 ulas)
  • Bawang Besar (1 biji)
  • 7 Batang Cili Merah Segar
  • 7 Batang Cili Api
  • Garam (secukupnya)
  • Gula Melaka (secukupnya)
  • 1 – 2 Biji Tomato yang sudah ranum (dipotong kecil)
  • Belacan Bakar (setengah sudu makan)

Cara Masak Ayam: –

  1. Rendam potongan bahagian ayam yang telah dibersihkan dengan  perahan jus limau nipis yang dicampur garam selama 15 minit. *Petua hilangkan hanyir ayam.
  2. Sambil menunggu, boleh renihkan air di dalam periuk besar atas api serdehana.
  3. Kisar bersama serai, lengkuas, kunyit, buah keras dan daun salam sehingga halus.
  4. Sebaik air renihan mendidih, boleh masukkan bahan yang sudah siap dikisar tadi.
  5. Selepas beberapa ketika, boleh masukkan pula potongan ayam ke dalam air renihan.
  6. Rebus ayam dengan api serdehana sehingga dagingnya menjadi empuk dan lembut.
  7. Boleh cuba kais isi ayam dengan garpu untuk lihat jika ayam telah betul-betul empuk. Angkat dan toskan.
  8. Panaskan minyak. Kemudian goreng ayam sehingga garing. Pastikan warnanya telah bertukar kuning keperangan. Angkat dan toskan minyak.
  9. Boleh lekas ambil lesung batu dan ketuk daging ayam tersebut. Pastikan ayam tidak terlalu hancur.

Cara Masak Sambal: –

  1. Panaskan minyak di dalam kuali.
  2. Sebaik minyak telah panas di atas api serdehana. Masukkan kesemua bahan seperti bawang merah, bawang besar, cili merah segar, cili api dan potongan tomato. Kacau selalu untuk mengelak bahan menjadi hangus.
  3. Goreng sehingga kesemua bahan masak dan sedikit garing.  Angkat dan toskan minyak.
  4. Kisar kesemua bahan gorengan bersama belacan, garam, dan gula secukup rasa.

Mudah bukan? Tak susah pun jika kamu hendak membuat hidangan ayam penyet sendiri di rumah. Kalau rajin, boleh sediakan sup kosong. Kemudian, jangan lupa hidangkan sekali tauhu goreng, hirisan timun, tempeh goreng serta kubis untuk dinikmati bersama.

Selamat mencuba!

SUMBER

https://www.idntimes.com/food/recipe/reza-iqbal/resep-bikin-ayam-penyet-yang-enak

https://www.kompas.com/food/read/2020/10/05/120800175/resep-sambal-terasi-tomat-cocok-buat-ayam-penyet

Summary
Wajib Cuba! Resepi Ayam Penyet Paling Mudah Disediakan
Article Name
Wajib Cuba! Resepi Ayam Penyet Paling Mudah Disediakan
Description
Mesti ramai nak tahu resepi Ayam Penyet kan? Ayam Penyet yang dimakan dengan sambal pedas kaw, fuh! Memang sedap hingga menjilat jari.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: