virus influenza
Negara kita dilanda wabak influenza selepas berlalunya wabak Polio sebelum ini.

Sama seperti virus yang boleh menyerang komputer kita dalam masa yang singkat sahaja, begitulah juga keadaannya bagi virus influenza. Negara kita belum lagi surut dengan berita penyakit Polio yang kembali setelah 27 tahun, kini negara kita dilanda satu lagi wabak iaitu virus Influenza.

Walaupun penyakit ini baru sahaja tular sejak akhir-akhir ini, sebenarnya virus influenza ini boleh berlaku sepanjang tahun dan boleh sahaja menjangkiti mangsanya bila-bila masa.

Satu lagi fakta tentang penyakit ini adalah ia biasanya menyerang golongan kanak-kanak. Jadi, lokasi-lokasi seperti sekolah mahupun pusat jagaan kanak-kanak pastilah menjadi lokasi terbaik bagi virus influenza ini untuk merebak. Namun begitu, golongan wanita bersalin serta warga tua mahupun mereka yang mempunyai penyakit kronik juga mudah terdedah dengan virus ini kerana sistem imun mereka berada dalam keadaan lemah.

Kita biasanya kurang ambil perhatian hal ini kerana simptomnya iaitu selesema yang kemudian boleh menyebabkan demam sudah menjadi normal terutamanya dalam cuaca tidak menentu di negara ini sekarang. Namun, sekiranya simptom-simptomnya itu ternyata adalah simptom Influenza dan tidak dirawat dengan segera, ia boleh menjadi pembunuh secara senyap.

Jadi, adakah jangkitan Influenza sama seperti selesema biasa?

Jawapannya ialah tidak. Selesema biasa tidak berbahaya dan boleh sembuh dengan cepat. Namun, lain pula bagi jangkitan virus Influenza kerana ia boleh menjejaskan saluran pernafasan dan terjadi dengan begitu cepat.

Jika ingin membandingkan kedua-duanya antara selesema biasa dan virus influenza, berjumpalah dengan doktor dengan segera kerana tiada ujian yang kita boleh lakukan sendiri untuk menentukan jawapan itu.

Mari lihat informasi di bawah untuk memudahkan pemahaman kita.

(Sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia)

Mampukah vaksin Influenza melindungi kita 100 peratus?

Apabila wabak virus influenza sebegini berlaku, sudah tentulah vaksinnya menjadi isu terhangat kerana semua orang mula berpusu-pusu ingin mendapatkannya buat diri sendiri dan keluarga tersayang.

Namun, jangan salah sangka. Walaupun vaksin itu sangat penting, anda harus ingat bahawa vaksin itu wujud untuk mencegah virus bukannya untuk merawat virus tersebut. Jadi, jika anda atau anak anda sudah dijangkiti, tiada gunanya lagi jika anda ingin mengambil vaksin tersebut. Sebaliknya, pengesanan awal dapat membantu doktor menentukan rawatan terbaik bagi menyembuhkan keadaan anda itu.

Adakah cara lain yang boleh dilakukan untuk mencegah virus ini?

Ya, sudah tentu anda. Jika anda atau keluarga anda tidak berkemampuan atau berkesempatan mendapatkan vaksin Influenza dalam masa terdekat, ikutilah langkah di bawah dengan betul.

  • Sentiasa cuci tangan dengan bersih sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan tandas ataupun dalam situasi-situasi yang berkaitan.
  • Tutup mulut dan hidung anda jika bersin atau batuk. Sebaiknya, gunakan tisu atau sapu tangan kerana mereka adalah lebih bersih berbanding tangan anda.
  • Kuarantinkan diri anda atau keluarga anda yang demam mahupun selesema daripada berhubungan dengan orang ramai. Jika anak anda masih bersekolah, jangan hadir ke sekolah dahulu sehinggalah dia benar-benar sembuh.
  • Minum air kosong dengan kerap. Pastikan pengambilan air anda mencukupi agar badan tidak dehidrasi.

Baik, apakah tanda-tanda yang memerlukan saya atau anak saya ke hospital dengan segera?

Sekiranya anda melihat tanda-tanda sebegini pada diri sendiri mahupun keluarga terdekat, jangan tangguhkan untuk berjumpa dengan doktor.

  • Demam panas berlarutan.
  • Sukar bernafas.
  • Kulit berwarna kebiruan.
  • Mengalami simptom yang berulang (selesema, batuk, lelah).
  • Mengalami sawan.

Jadi, ambil tindakan dengan segera untuk melindungi diri anda dan keluarga tersayang. Memandangkan penyakit seperti virus influenza ini berlaku tanpa diduga, ambil suntikan vaksin setahun sekali untuk melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti penyakit ini. Sentiasa berwaspada kerana virus influenza ini boleh dijangkiti pada bila-bila masa bukannya ketika wabak  sedang menular sahaja. 

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/flu/symptoms-causes/syc-20351719#:~:text=Influenza%20is%20a%20viral%20infection,influenza%20resolves%20on%20its%20own.

https://www.healthline.com/health/influenza-a-symptoms

https://www.medicalnewstoday.com/articles/15107

https://www.webmd.com/cold-and-flu/advanced-reading-types-of-flu-viruses

Summary
Virus Influenza, pembunuh yang hadir tanpa diduga!
Article Name
Virus Influenza, pembunuh yang hadir tanpa diduga!
Description
Virus influenza boleh berlaku sepanjang tahun dan menjangkiti mangsanya bila-bila masa. Antara simptomnya termasuklah selesema dan demam yang teruk.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: