Now Reading
Virus Ebola (Ebola virus) – Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan

Virus Ebola (Ebola virus) – Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan

Virus Ebola

Virus Ebola dan virus Marburg adalah virus berkaitan yang boleh menyebabkan demam berdarah iaitu keadaan pendarahan yang teruk. Kedua-dua virus ini juga boleh menjurus kepada kegagalan fungsi organ dan dalam kebanyakan kes, boleh mengakibatkan kematian. Kedua-dua virus berasal dari Afrika, yang mana wabak penyakit ini berlaku sekali-sekala selama beberapa dekad di sana.

Selain itu, dua virus ini hidup dalam haiwan yang berfungsi sebagai perumah (host). Manusia boleh berjangkit dengan virus daripada haiwan yang dijangkiti itu. Selepas terkena jangkitan awal, virus boleh tersebar dari individu ke individu lain melalui hubungan yang berkaitan dengan cecair badan atau jarum yang tercemar.

Tiada ubat yang  boleh merawat kedua-dua virus ini. Individu yang didiagnosis dengan virus Ebola atau virus Marburg boleh menerima penjagaan dan rawatan sokongan bagi komplikasi yang berlaku kerana penyakit ini. Selain itu, para saintis juga sudah semakin hampir mencipta vaksin bagi menangani penyakit berbahaya ini.

Punca Virus Ebola

Virus Ebola telah ditemui pada monyet, cimpanzi dan primat bukan manusia lain yang berasal dari Afrika. Di samping itu, virus Ebola yang lebih ringan pula telah ditemui pada monyet dan khinzir dari Filipina.

Virus Marburg telah ditemui dalam monyet, cimpanzi dan kelawar buah (fruit bats) di Afrika.

– Jangkitan dari binatang ke manusia

Pakar mengesyaki bahawa kedua-dua virus dijangkiti oleh manusia melalui cecair badan haiwan yang dijangkiti. Contohnya termasuklah:

  • Darah – Menyembelih haiwan atau memakan haiwan yang dijangkiti boleh menyebabkan penyebaran virus. Para saintis yang mengendalikan haiwan yang dijangkiti sebagai sebahagian daripada penyelidikan mereka juga telah dijangkiti virus tersebut.
  • Bahan buangan – Pelancong yang pergi ke kawasan gua tertentu di Afrika serta beberapa pekerja lombong bawah tanah telah dijangkiti virus Marburg. Ia mungkin berlaku melalui sentuhan dengan najis atau air kencing kelawar yang dijangkiti.

Jangkitan dari individu ke individu lain

Individu yang dijangkiti biasanya tidak berjangkit kepada individu lain sehinggalah mereka mengalami gejala tertentu. Ahli keluarga sering dijangkiti kerana mereka menjaga saudara mara yang dijangkiti atau mereka yang menguruskan mayat untuk dikebumikan.

Selain itu, kakitangan perubatan juga boleh dijangkiti virus jika tidak menggunakan alat perlindungan seperti topeng pembedahan dan sarung tangan.

Tiada bukti boleh mengesahkan bahawa virus Ebola atau virus Marburg boleh disebarkan melalui gigitan serangga.

Simptom Virus Ebola

Pada awalnya, penyakit Ebola boleh dikesan melalui gejala seperti selesema atau penyakit lain. Gejala Ebola biasanya muncul dua hingga 21 hari selepas terkena jangkitan seperti:

Apabila penyakit ini menjadi semakin serius, ia boleh menyebabkan pendarahan dalam badan, serta pendarahan pada bahagian mata, telinga dan hidung. Sesetengah individu pula akan muntah atau batuk berdarah, cirit-birit berdarah dan mendapat ruam.

Diagnosis Virus Ebola

Kadangkala, ianya sukar untuk mengetahui jika seseorang itu mempunyai penyakit Ebola berdasarkan gejala sahaja. Doktor boleh membuat ujian untuk menyingkirkan penyakit lain seperti kolera atau malaria yang boleh menjadi punca berlakunya gejala itu.

Ujian darah dan tisu juga boleh membantu untuk membuat diagnosis penyakit Ebola.

Sekiranya anda mempunyai penyakit Ebola, anda perlu mengasingkan diri daripada orang ramai dengan segera untuk mengelakkan penyebaran virus.

Faktor Risiko Virus Ebola

Bagi kebanyakan individu, risiko untuk mendapat demam berdarah Ebola atau demam berdarah Marburg adalah rendah. Risiko ini akan bertambah jika anda:

  • Mengembara ke Afrika. Anda akan menghadapi risiko yang lebih tinggi jika anda melawat atau bekerja di kawasan yang telah terjejas dengan wabak virus Ebola atau virus Marburg.
  • Menjalankan penyelidikan haiwan. Individu lebih cenderung untuk dijangkiti virus Ebola atau virus Marburg jika mereka menjalankan penyelidikan haiwan pada monyet yang diimport dari Afrika atau Filipina.
  • Menyediakan rawatan perubatan atau rawatan peribadi. Ahli keluarga sering dijangkiti kerana mereka menjaga saudara mara yang sakit. Kakitangan perubatan juga boleh dijangkiti jika mereka tidak menggunakan alat perlindungan seperti topeng pembedahan dan sarung tangan.
  • Menguruskan mayat untuk pengebumian. Mayat manusia yang meninggal dunia kerana penyakit Ebola atau demam berdarah Marburg masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain. Membantu menguruskan mayat-mayat ini untuk tujuan pengebumian boleh meningkatkan risiko anda dijangkiti penyakit Ebola.

 

Rawatan Virus Ebola

Tiada ubat yang boleh merawat penyakit Ebola, walaupun para penyelidik masih lagi berusaha untuk menciptanya. Rawatan yang ada termasuklah serum percubaan yang boleh memusnahkan sel-sel yang telah dijangkiti.

Doktor akan mengendalikan gejala Ebola dengan:

  • Cecair dan elektrolit.
  • Oksigen.
  • Ubat tekanan darah.
  • Pemindahan darah.
  • Rawatan untuk jangkitan yang lain.

Langkah Pencegahan Virus Ebola

Tiada vaksin yang dapat digunakan untuk mencegah penyakit Ebola. Cara terbaik untuk elakkan diri daripada dijangkiti virus berkenaan adalah dengan tidak mengembara ke kawasan yang terjejas dengan penyakit ini.

Sekiranya anda berada di kawasan yang mempunyai kes penyakit Ebola, elakkan bersentuhan dengan kelawar, monyet, cimpanzi dan gorila kerana haiwan ini boleh menyebarkan Ebola kepada manusia.

Selain itu, pekerja penjagaan kesihatan juga boleh mencegah jangkitan dengan memakai topeng, sarung tangan dan cermin mata apabila mereka bersentuhan dengan individu yang mungkin dijangkiti penyakit Ebola.

SUMBER

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/ebola-fever-virus-infection#:~:text=Ebola%20is%20a%20rare%20but,blood%2Dclotting%20cells%20to%20drop.

https://www.healthline.com/health/ebola-hemorrhagic-fever

https://www.medicalnewstoday.com/articles/280598

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ebola-virus/diagnosis-treatment/drc-20356264

error: Content is protected !!