Viagra
Viagra (Sildenafil) adalah ubat biasa yang digunakan untuk merangsang ereksi pada lelaki dengan masalah disfungsi ereksi (ED) serta bagi merawat hipertensi arteri paru-paru (tekanan darah tinggi yang mempengaruhi paru-paru dan jantung).

Pengenalan

Viagra (Sildenafil) adalah ubat biasa yang digunakan untuk merangsang ereksi pada lelaki dengan masalah disfungsi ereksi (ED) serta bagi merawat hipertensi arteri paru-paru (tekanan darah tinggi yang mempengaruhi paru-paru dan jantung).

Kegunaan Viagra

Viagra (sildenafil) boleh melonggarkan otot yang terdapat di dinding saluran darah dan meningkatkan aliran darah ke kawasan tertentu di badan.

Ia digunakan untuk merawat disfungsi ereksi (mati pucuk) pada lelaki. Jenama sildenafil lain adalah ‘Revatio’ yang digunakan untuk merawat hipertensi arteri paru-paru dan meningkatkan keupayaan senaman pada individu lelaki dan wanita. Pastikan anda tidak mengambil Viagra semasa mengambil Revatio, kecuali jika dikehendaki oleh doktor anda.

Kesan sampingan Viagra

Viagra boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan atau serius. Senarai berikut mengandungi beberapa kesan sampingan utama yang mungkin berlaku semasa anda mengambil Viagra. Tetapi, ia mungkin tidak merangkumi semua kesan sampingan yang boleh berlaku.

Kesan sampingan ringan

Kesan sampingan ringan kerana pengambilan Viagra boleh merangkumi:

  • sakit kepala
  • kemerahan pada muka atau anggota badan lain
  • rasa senak
  • perubahan penglihatan yang ringan dan bersifat sementara, seperti warna kebiruan pada penglihatan anda, penglihatan kabur dan sensitif terhadap cahaya
  • kesesakan hidung (hidung tersumbat)
  • sakit belakang
  • sakit otot
  • loya
  • pening
  • ruam

Sebilangan besar kesan sampingan ini mungkin hilang dalam beberapa hari atau beberapa minggu. Tetapi, jika ia menjadi lebih teruk atau tidak hilang, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Kesan sampingan yang serius

Kesan sampingan yang serius disebabkan Viagra jarang berlaku, tetapi boleh berlaku. Hubungi doktor sekiranya anda mempunyai kesan sampingan yang serius.

Kesan sampingan yang serius dan simptomnya termasuk:

  1. Neuropati optik iskemia anterior bukan arteri (NAION), iaitu keadaan mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Gejala boleh merangkumi:
  • penurunan penglihatan secara tiba-tiba di salah satu atau kedua-dua belah mata anda.
  • kehilangan penglihatan secara tiba-tiba di salah satu atau kedua-dua belah mata anda.
  1. Penurunan atau kehilangan pendengaran secara tiba-tiba. Keadaan ini juga boleh melibatkan gejala lain, seperti:
  • tinnitus (rasa berdering atau berdengung di telinga anda)
  • pening

Interaksi Viagra

Viagra boleh berinteraksi dengan beberapa ubatan lain. Interaksi yang berbeza boleh menyebabkan kesan yang berbeza.

Ia boleh mempengaruhi cara ubat lain berfungsi, dan ubat lain juga boleh mempengaruhi cara Viagra berfungsi dan menyebabkan kesan sampingan tertentu. Maklumkan pada penyedia perkhidmatan kesihatan anda jika anda mengambil salah satu perkara berikut:

  • Ubat yang dipanggil nitrat
  • Ubat-ubatan yang disebut ‘guanylate cyclase stimulators’ seperti Adempas (riociguat)
  • Ubat yang disebut penyekat alfa, seperti Hytrin (terazosin HCl), Flomax (tamsulosin HCl), Cardura (doxazosin mesylate), Minipress (prazosin HCl), Uroxatral (alfuzosin HCl), Jalyn (dutasteride dan tamsulosin HCl), atau Rapaflo (silodosin). Penyekat alfa kadangkala dipreskripsikan untuk masalah prostat atau tekanan darah tinggi. Pada sesetengah pesakit, penggunaan Viagra dengan penyekat alfa boleh menyebabkan penurunan tekanan darah atau pengsan
  • Ubat yang disebut perencat protease HIV, seperti ritonavir (Norvir), indinavir sulfat (Crixivan), saquinavir (Fortovase atau Invirase), atau atazanavir sulfate (Reyataz)
  • Beberapa jenis ubat anti-kulat oral, seperti ketoconazole (Nizoral) dan itraconazole (Sporanox)
  • Beberapa jenis antibiotik, seperti clarithromycin (Biaxin), telithromycin (Ketek), atau eritromisin
  • Ubat-ubatan lain yang merawat masalah tekanan darah tinggi
  • Ubat atau rawatan lain untuk disfungsi ereksi

Viagra mengandungi sildenafil, yang merupakan ubat sama yang terdapat dalam ubat lain yang disebut Revatio. Revatio digunakan untuk mengubati penyakit jarang berlaku yang disebut hipertensi arteri pulmonari (PAH). Selain itu, ia tidak boleh digunakan bersama Viagra atau dengan rawatan hipertensi arteri pulmonari lain yang mengandungi sildenafil atau perencat PDE5 lain.

Kontraindikasi Viagra

Jangan ambil Viagra (sildenafil sitrat) jika anda:

  • mengambil ubat-ubatan yang dipanggil nitrat, sering dipreskripsikan untuk sakit dada, atau perangsang ‘guanylate cyclase’ seperti Adempas (riociguat) untuk hipertensi paru-paru. Tekanan darah anda boleh menurun ke tahap yang tidak selamat.
  • Mempunyai alergi terhadap sildenafil, seperti yang terkandung dalam Viagra dan Revatio, atau mana-mana ramuan dalam Viagra.

Sebelum anda mengambil Viagra, beritahu penyedia perkhidmatan kesihatan anda jika anda:

  • pernah mengalami masalah jantung seperti serangan jantung, degupan jantung tidak teratur, angina, sakit dada, penyempitan injap aorta, atau kegagalan jantung.
  • menjalani pembedahan jantung dalam tempoh 6 bulan terakhir.
  • menghidap hipertensi paru-paru.
  • pernah mengalami strok.
  • mempunyai tekanan darah rendah, atau tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
  • mempunyai bentuk zakar yang cacat.
  • mengalami ereksi yang berlangsung lebih dari 4 jam.
  • mempunyai masalah dengan sel darah seperti anemia sel sabit, myeloma pelbagai, atau leukemia.
  • menghidap retinitis pigmentosa, penyakit mata genetik (keluarga) yang jarang berlaku.
  • pernah mengalami masalah kehilangan penglihatan yang teruk, termasuk masalah mata yang disebut NAION.
  • mempunyai masalah pendarahan.
  • pernah mengalami ulser perut.
  • mempunyai masalah hati.
  • mengalami masalah buah pinggang atau mengalami dialisis buah pinggang.
  • mempunyai keadaan perubatan lain.

Beritahu penyedia perkhidmatan kesihatan anda mengenai semua ubat yang anda ambil, termasuk ubat-ubatan, vitamin dan suplemen herba yang dipreskripsikana tau tidak dipreskripsikan.

Viagra dan kehamilan

Ianya tidak diketahui sama ada Viagra selamat diambil semasa kehamilan atau tidak. Tetapi, ketahui bahawa ubat ini tidak diluluskan untuk digunakan pada wanita.

Sekiranya anda aktif secara seksual dan anda atau pasangan anda boleh hamil, berbincanglah dengan doktor sama ada anda perlu menggunakan alat kawalan kelahiran semasa mengambil Viagra.

Malah, Viagra tidak diluluskan untuk kegunaan individu wanita. Kesannya pada wanita yang sedang menyusukan bayi juga tidak diketahui. Viagra boleh masuk ke dalam susu ibu, tetapi tidak diketahui sekiranya ini boleh mempengaruhi anak yang sedang menyusu.

Sekiranya anda mempunyai soalan mengenai keselamatan penggunaan Viagra semasa menyusu, berbincanglah dengan doktor anda.

Dos Viagra

Ambil Viagra sama seperti yang ditetapkan oleh doktor. Ikuti semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan minum ubat ini dalam jumlah yang lebih banyak, kurang atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Viagra biasanya diambil hanya jika diperlukan, iaitu 30 minit hingga 1 jam sebelum melakukan aktiviti seksual. Anda mungkin mengambilnya sehingga 4 jam sebelum melakukan aktiviti seksual. Jangan ambil Viagra lebih dari sekali sehari.

Seterusnya, Viagra dapat membantu anda mengalami ereksi ketika rangsangan seksual berlaku. Tetapi, ereksi tidak akan berlaku hanya dengan mengambil pil ini. Ikut arahan doktor anda.

Semasa melakukan aktiviti seksual, jika anda berasa pening atau mual, atau mengalami kesakitan, kekakuan atau kesemutan di dada, lengan, leher, atau rahang, hentikan perbuatan anda dan hubungi doktor anda dengan segera. Anda mungkin mempunyai kesan sampingan yang serius disebabkan bahan sildenafil.

Selain itu, simpan ubat ini pada suhu bilik dan jauhkan daripada kelembapan dan cuaca panas.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/erectile-dysfunction/how-long-does-viagra-last

https://www.drugs.com/viagra.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/viagra

https://www.viagra.com/learning/is-it-right-for-me

Summary
Viagra (Disfungsi ereksi) – Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Article Name
Viagra (Disfungsi ereksi) – Kegunaan, Kesan sampingan dan Interaksi
Description
Viagra (Sildenafil) adalah ubat biasa yang digunakan untuk masalah disfungsi ereksi (ED) serta bagi merawat hipertensi arteri paru-paru (tekanan darah tinggi yang mempengaruhi paru-paru dan jantung).
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: