uveitis
Iritis atau uveitis adalah keradangan di dalam mata anda yang berlaku disebabkan kecederaan, jangkitan atau masalah dengan sistem imun anda.

Iritis atau uveitis adalah keradangan di dalam bahagian uvea anda yang berlaku disebabkan kecederaan, jangkitan atau masalah dengan sistem imun anda. Gejala masalah ini termasuklah rasa sakit, mata merah dan selalunya melibatkan penglihatan yang agak teruk.

Selain itu, iritis adalah keradangan yang menjejaskan gegelung berwarna di sekeliling anak mata anda (iris). Iris adalah sebahagian daripada lapisan tengah mata (uvea), jadi iritis merupakan sejenis uveitis. Ia juga boleh dikenali sebagai uveitis anterior.

Iritis adalah jenis uveitis yang paling biasa berlaku di mana ia boleh menjejaskan bahagian hadapan mata anda. Puncanya sering tidak diketahui. Namun, ia boleh berlaku disebabkan keadaan sistemik lain atau faktor genetik.

Sekiranya masalah ini tidak dirawat, masalah iritis boleh mendorong kepada glaukoma atau kehilangan penglihatan. Sekiranya anda mengalami gejala iritis, berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Simptom Uveitis (Iritis)

Uveitis boleh berlaku dalam satu atau kedua-dua belah mata. Ia biasanya berkembang secara tiba-tiba, dan boleh bertahan selama enam hingga lapan minggu. Tanda dan gejala uveitis termasuk:

  • Kemerahan mata.
  • Ketidakselesaan atau kesakitan di mata yang terjejas.
  • Sensitif terhadap cahaya (fotofobia).
  • Pengurangan penglihatan.

Punca Uveitis (Iritis)

Punca sebenar keadaan ini selalunya tidak diketahui dengan jelas, namun terdapat beberapa faktor yang dapat meningkatkan kemungkinan berlakunya kejadian tersebut.

Ini termasuklah:

  • Artritis juvenil, psoriasis dan gangguan autoimun lain, seperti artritis reumatoid.   
  • Gangguan keradangan, seperti penyakit Crohn, kolitis ulseratif.
  • AIDS/ HIV dan penyakit lain yang melemahkan sistem imun. Jangkitan yang dapat meningkatkan risiko uveitis termasuklah penyakit HIV, brusellosis, herpes simpleks, herpes zoster, leptospirosis, penyakit Lyme, sifilis, toksokariasis, toksoplasmosis dan tuberkulosis (TB).      

Uveitis boleh berlaku sebagai tindak balas imun yang normal untuk melawan jangkitan di dalam mata.

Diagnosis Uveitis (Iritis)

Ianya adalah penting untuk mengetahui sama ada uveitis berlaku disebabkan oleh proses yang menular atau penyakit tersembunyi.

Jika masalah lain muncul sebagai punca uveitis, pakar mata boleh merujuk pesakit kepada pakar lain untuk memastikan bahawa keadaan itu mendapat rawatan yang sewajarnya.

Pakar oftalmologi akan memeriksa mata menggunakan lampu lekuk yang khas. Apabila cahaya menyentuh bahagian dalam mata, doktor dapat menentukan sama ada kawasan itu jelas atau berkabur.

Sekiranya terdapat keradangan di bahagian iris, pesakit mungkin berasa sakit ketika anak mata mengecut apabila cahaya menyinarinya.

Di samping itu, jika masalah uveitis ternyata wujud, sel-sel darah putih dan protein dalam cairan mata juga dapat dilihat melalui mikroskop.

Faktor Risiko Uveitis (Iritis)

Risiko untuk mendapatkan iritis meningkatkan jika anda:

  • Mempunyai perubahan genetik tertentu. Individu yang mempunyai perubahan tertentu dalam gen yang penting bagi mengekalkan fungsi sistem imun yang sihat lebih cenderung untuk mendapat masalah iritis. Perubahan ini dilabelkan sebagai HLA-B27.
  • Mendapat jangkitan seksual. Jangkitan tertentu, seperti sifilis atau HIV/ AIDS, dikaitkan dengan risiko masalah iritis yang tinggi.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah atau gangguan autoimun. Ini termasuk keadaan seperti ‘ankylosing spondylitis’ dan artritis reaktif.
  • Menghisap rokok tembakau. Kajian telah menunjukkan bahawa merokok juga menyumbang kepada risiko uveitis yang tinggi.

Rawatan Uveitis (Iritis)

Rawatan bagi masalah ini direka untuk mengekalkan penglihatan dan melegakan kesakitan serta keradangan yang dialami. Bagi uveitis yang berkaitan dengan masalah kesihatan yang lain, rawatan bagi masalah itu juga perlu dibuat.

Selalunya, rawatan untuk masalah iritis melibatkan:

  • Titisan mata steroid. Ubat ‘glucocorticoid’ diberikan sebagai titisan mata untuk mengurangkan keradangan.
  • Titisan mata untuk mengembangkan anak mata. Titisan mata ini dapat mengurangkan rasa sakit iritis. Ia juga melindungi anda daripada mendapat komplikasi yang mengganggu fungsi anak mata anda.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/iritis/symptoms-causes/syc-20354961

https://www.webmd.com/eye-health/iritis

https://www.healthline.com/health/uveitis#:~:text=Anterior%20uveitis%20is%20often%20referred,affect%20both%20eyes%20at%20once.

https://www.medicalnewstoday.com/articles/166410

Summary
Uveitis (Iritis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Uveitis (Iritis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Iritis atau uveitis adalah keradangan di dalam mata anda yang berlaku disebabkan kecederaan, jangkitan atau masalah dengan sistem imun anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: