ulser usus
Ulser usus sejenis penyakit radang usus yang mengakibatkan kerengsaan, keradangan, dan pembentukan ulser dalam lapisan usus besar.

Ulser usus adalah sejenis penyakit radang usus yang mengakibatkan simptom seperti kerengsaan, keradangan, dan pembentukan ulser dalam lapisan usus besar anda yang juga dikenali sebagai kolon.

Masih tiada penawar bagi penyakit ini dan individu yang mempunyai simptom biasanya dapat meneruskan kehidupan. Namun, rawatan yang betul boleh membantu anda menguruskan penyakit ini.

Jenis Ulser Usus

Doktor sering mengkategorikan ulser usus mengikut lokasinya. Jenis-jenis ulser usus termasuklah:

• Proktitis Ulseratif. Keradangan pada kawasan yang paling berhampiran dengan dubur (rektum), dan pendarahan rektum mungkin satu-satunya tanda penyakit ini. Bentuk kolitis ulser ini merupakan yang paling ringan.

Proctosigmoiditis. Keradangan melibatkan rektum dan kolon sigmoid (bahagian bawah kolon). Tanda-tanda dan simptomnya termasuklah cirit-birit berdarah, kekejangan abdomen dan kesakitan serta ketidakupayaan untuk melakukan pergerakan usus walaupun terdorong untuk melakukannya (Tenesmus).

Kolitis Bahagian Kiri (Left-Sided Colitis). Keradangan berlaku dari rektum melalui kolon sigmoid dan ke bawah kolon. Tanda dan simptom dialami termasuklah cirit-birit berdarah, kekejangan abdomen dan kesakitan di sebelah kiri serta kehilangan berat badan yang tidak diingini.

Pancolitis. Pancolitis seringkali memberi kesan kepada keseluruhan kolon dan menyebabkan serangan cirit-birit berdarah yang mungkin teruk, kekejangan dan kesakitan perut, keletihan dan penurunan berat badan yang ketara.

• Kolitis Ulseratif Akut Teruk. Sejenis bentuk ulser usus yang jarang berlaku ini menjejaskan seluruh kolon dan menyebabkan kesakitan yang teruk, cirit-birit yang teruk, pendarahan, demam dan ketidakupayaan untuk makan.

Simptom Ulser Usus

Simptom utama ulser usus adalah cirit-birit berdarah serta mungkin terdapat nanah dalam najis anda.

Masalah lain termasuklah:

• Kekejangan dan kesakitan pada perut

• Keinginan membuang air besar secara tiba-tiba

• Tidak berasa lapar

Pengurangan berat badan

• Rasa letih

• Demam

• Dehidrasi

• Sengal atau sakit sendi

• Luka seperti terbakar

• Sakit mata apabila anda melihat cahaya terang

• Jumlah sel darah merah yang terlalu sedikit, anemia

• Luka kulit

• Perasaan seperti anda belum mengosongkan kolon walaupun selepas anda menggunakan tandas

• Bangun pada waktu malam untuk membuang air besar

• Tidak mampu menahan najis anda

• Sakit atau mengalami pendarahan apabila membuang air besar

Simptom anda boleh menjadi teruk, kemudian hilang dan berulang kembali ataupun anda mungkin tidak mempunyai sebarang masalah selama beberapa minggu atau tahun.

Punca Ulser Usus

Penyelidik percaya bahawa ulser usus mungkin disebabkan oleh sistem imun yang terlalu aktif. Walau bagaimanapun, ia tidak jelas mengapa sesetengah sistem imun bertindak balas dengan menyerang usus besar dan bukan organ lain.

Faktor risiko yang mungkin memainkan peranan kepada individu untuk menghidap ulser usus termasuklah:

Genetik: Anda boleh mewarisi gen yang boleh meningkatkan risiko terhadap anda daripada ibu bapa.

Gangguan imun yang lain: Jika anda mempunyai sejenis gangguan autoimun, risiko anda untuk menghidapnya buat kali kedua adalah lebih tinggi.

Faktor persekitaran: Bakteria, virus, dan antigen boleh mempengaruhi sistem imun anda.

Diagnosis Ulser Usus

Ujian yang berbeza boleh membantu doktor mendiagnosis penyakit ulser usus. Penyakit ini mirip penyakit usus lain seperti Penyakit Crohn. Doktor anda akan menjalankan pelbagai ujian untuk mengetepikan kemungkinan penyakit-penyakit lain.

Ujian untuk mendiagnosis ulser usus termasuklah:

Ujian Sampel Najis: Doktor meneliti najis anda untuk mengenalpasti kehadiran darah, bakteria, dan parasit.

Endoskopi: Doktor menggunakan tiub yang fleksibel untuk memeriksa perut, esofagus, dan usus kecil.

Kolonoskopi: Ujian diagnostik ini melibatkan kemasukan tiub yang panjang dan fleksibel ke dalam rektum anda untuk memeriksa bahagian dalam kolon anda.

• Biopsi: Pakar bedah mengeluarkan sampel tisu dari kolon anda untuk dianalisis.

• Imbasan CT: Ini adalah X-ray khusus pada perut dan pelvik anda.

Ujian darah sering dijalankan dalam diagnosis ulser usus. Kiraan darah lengkap boleh mengesan tanda-tanda anemia (sekiranya kiraan darah rendah). Ujian lain pula boleh menunjukkan keradangan seperti jumlah protein C-reaktif yang tinggi dan kadar pemendapan yang tinggi. Selain itu, doktor juga boleh menjalankan ujian antibodi khusus buat anda.

Faktor Risiko Ulser Usus

Ulser usus memberi kesan kepada wanita dan lelaki. Faktor risiko termasuklah:

Umur. Ulser usus biasanya bermula sebelum individu berusia 30 tahun. Tetapi, ia boleh berlaku pada sebarang peringkat usia dan sesetengah individu mungkin tidak menghidap penyakit ini sehinggalah selepas berumur 60 tahun.

• Bangsa atau etnik. Individu berkulit putih mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit ini. Namun begitu, ia juga boleh terjadi kepada individu daripada pelbagai latar belakang.

• Sejarah keluarga. Anda berisiko tinggi jika anda mempunyai saudara terdekat yang menghidapnya seperti ibu bapa, saudara atau anak anda.

Rawatan Ulser Usus

Rawatan ulser usus biasanya melibatkan sama ada pembedahan atau terapi ubat-ubatan.

Beberapa kategori ubat mungkin berkesan dalam mengubati ulser usus dan jenisnya bergantung kepada keparahan keadaan dan lokasi ulser usus tersebut. Namun yang demikian, ubat yang berfungsi dengan baik untuk sesetengah pesakit mungkin tidak sesuai untuk pesakit yang lain, jadi untuk mencari ubat yang dapat membantu anda mungkin mengambil masa.

Asid 5-Aminosalicylic (5-ASA)

Asid 5-aminosalicylic (5-ASA) merupakan langkah pertama dalam rawatan ulser usus. Contoh-contoh ubat jenis ini termasuklah sulfasalazine (Azulfidine), mesalamine (Asacol HD, Delzicol), balsalazide (Colazal) dan olsalazine (Dipentum). Jenis ubat yang anda ambil sama ada ia diambil melalui oral, enema atau suppositori, bergantung kepada kawasan kolon anda yang terjejas.

Kortikosteroid

Ubat-ubatan jenis ini merangkumi prednison dan budesonide (Uceris), umumnya digunakan untuk merawat ulser usus tahap sederhana dan teruk. Oleh kerana kesan sampingannya, ia biasanya tidak akan diberi untuk jangka panjang.

Ubat Imunomodulator

Ubat-ubatan jenis ini boleh mengurangkan keradangan dan ia berfungsi dengan menahan respon sistem imun yang memulakan proses keradangan. Contoh ubat-ubatan jenis ini adalah seperti:

Azathioprine (Azasan, Imuran) dan mercaptopurine (Purinethol, Purixan). Pengambilan ubat-ubatan ini memerlukan anda melakukan pemeriksaan doktor dengan kerap. Selain itu, darah anda juga akan diperiksa secara berkala untuk mencari sebarang kesan sampingan, termasuklah kesan pada hati.

Cyclosporine (Gengraf, Neoral, Sandimun). Ubat ini boleh digunakan bagi pesakit yang tidak bertindak balas dengan baik kepada ubat-ubatan lain dan ia bukanlah untuk kegunaan jangka panjang.

Tofacitinib (Xeljanz). Ubat ini telah diluluskan untuk merawat penyakit seperti ulser usus, artritis reumatoid atau Psoriatic Arthritis.

Biologi

Jenis biologi yang digunakan untuk merawat ulser usus termasuklah:

Infliximab (Remicade), adalimumab (Humira) dan golimumab (Simponi). Ubat-ubat ini dipanggil sebagai perencat faktor nekrosis tumor (Tumour necrosis factor) dan ia berfungsi dengan meneutralkan protein yang dihasilkan oleh sistem imun anda.

Vedolizumab (Entyvio). Ubat khusus untuk usus ini berfungsi dengan menghalang sel radang merebak ke kawasan keradangan.

Ubat Lain

Anda mungkin memerlukan ubat tambahan untuk menguruskan simptom tertentu ulser usus. Bagi simptom cirit-birit yang teruk, loperamide (Imodium A-D) mungkin berkesan untuk melegakannya. Walau bagaimanapun, anda perlu menggunakan ubat anti cirit dengan berhati-hati dan hanya selepas berbincang dengan doktor anda.

Pembedahan

Pembedahan selalunya boleh menghilangkan ulser usus. Tetapi prosedurnya biasa melibatkan pembuangan keseluruhan kolon dan rektum (proctocolectomy).

Dalam kebanyakan kes, rawatan pembedahan akan melibatkan prosedur yang disebut ileal pouch anal anastomosis. Prosedur ini menghapuskan keperluan memakai beg mengumpul najis. Pakar bedah akan membina kantung dari hujung usus kecil anda. Kantung itu kemudiannya diletakkan terus ke dubur anda, membolehkan anda mengeluarkan najis secara normal.

Namun begitu, dalam sesetengah kes yang lain, kantung tidak boleh dibina. Sebaliknya, pakar bedah akan mencipta pembukaan kekal pada abdomen (ileal stoma) di mana najis akan dikumpul di dalam kantung yang diletakkan di situ.

Sumber:

https://www.webmd.com/ibd-crohns-disease/ulcerative-colitis/what-is-ulcerative-colitis

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ulcerative-colitis/symptoms-causes/syc-20353326

https://www.healthline.com/health/ulcerative-colitis

https://www.medicinenet.com/ulcerative_colitis/article.htm

Summary
Ulser usus  (Ulcerative Colitis) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Ulser usus (Ulcerative Colitis) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Ulser usus sejenis penyakit radang usus yang mengakibatkan kerengsaan, keradangan, dan pembentukan ulser dalam lapisan usus besar.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: