Ujian toleransi glukos (Glucose Tolerance Test - GTT)
Ujian toleransi glukos, juga dikenali sebagai ujian toleransi glukos oral dilakukan untuk mengukur tindak balas badan anda terhadap gula (glukos). Ia dapat digunakan untuk menyaring diabetes jenis 2.

Apakah itu GTT?

Ujian toleransi glukos, juga dikenali sebagai ujian toleransi glukos oral dilakukan untuk mengukur tindak balas badan anda terhadap gula (glukos). Ia dapat digunakan untuk menyaring diabetes jenis 2. Biasanya, versi yang diubah suai digunakan untuk mendiagnosis diabetes kehamilan iaitu sejenis diabetes yang berkembang semasa kehamilan.

Mengapa ia dilakukan?

Ujian toleransi glukos boleh mengenal pasti kelainan dalam cara tubuh anda menangani glukos selepas makan. Ini biasanya dikenal pasti sebelum tahap glukos darah puasa anda menjadi tidak normal.

Siapakah yang perlu melakukan ujian ini?

Anda mungkin memerlukan ujian toleransi glukos jika anda:

  • Mempunyai berat badan berlebihan atau obes
  • Mempunyai ahli keluarga terdekat dengan masalah diabetes
  • Mempunyai tekanan darah tinggi
  • Mempunyai tahap trigliserida tinggi (sejenis lemak dalam darah anda)
  • Mengalami sindrom ovarium polisistik (yang menyebabkan masalah haid)
  • Melahirkan bayi dengan berat lebih dari 9 paun
  • Menghidap diabetes kehamilan semasa kehamilan yang lalu

Versi ujian toleransi glukos yang lebih pendek dilakukan antara minggu kehamilan ke-24 dan minggu ke-28 untuk melihat sama ada anda menghidap diabetes kehamilan. Ini dipanggil ujian cabaran glukos.

Bagaimanakah ia berfungsi?

Pada kebanyakan orang, ujian darah sederhana sudah cukup untuk mengesan diabetes. Walau bagaimanapun, sebilangan orang mempunyai keputusan ‘terbatas’ pada ujian darah rutin. Jadi, ujian toleransi glukos dapat membantu dalam kes sebegini.

Malah, ujian toleransi glukos dapat menunjukkan jika tubuh tidak dapat menguruskan kadar gula darah (glukos) dengan baik tetapi belum sampai ke tahap diabetes. Ini dikenali sebagai pra-diabetes (gangguan toleransi glukosa) dan merupakan keadaan yang boleh menyebabkan diabetes.

Bagi individu sihat, kadar glukos dalam darah selalunya meningkat setelah makan tetapi segera kembali normal ketika glukos habis atau disimpan. Ujian toleransi glukos boleh membantu membezakan antara corak normal ini dan corak yang dilihat pada keadaan diabetes dan pra-diabetes.

Sekiranya terdapat masalah dalam proses pemindahan glukos ke dalam sel, glukosa tetap berada dalam aliran darah. Ini menunjukkan tahap glukos yang lebih tinggi dalam sampel darah.

Apabila hasil sampel darah kembali, doktor akan membandingkan tahap glukos yang terdapat dalam sampel darah anda yang diambil selepas ujian dengan nilai tertentu. Nilai-nilai ini dapat menentukan sama ada anda menghidap diabetes atau pra-diabetes.

Apa yang berlaku semasa ujian toleransi glukos?

Bagi beberapa hari sebelum anda melakukan ujian, anda harus makan makanan biasa tanpa membataskan apa yang anda makan. Malam sebelum ujian, doktor anda mungkin meminta anda berhenti makan 8 hingga 2 jam sebelum menjalani ujian. Anda biasanya akan dibenarkan minum air tetapi mungkin diminta untuk mengelakkan minuman bergula.

Pada hari untuk membuat ujian, doktor atau jururawat anda akan mengambil sampel darah sebelum ujian bermula. Ini dikenali sebagai sampel puasa, di mana ia akan memberikan perbandingan untuk keputusan ujian yang lain. Bagi melakukan ini, jarum kecil mungkin diletakkan ke dalam urat di bahagian belakang tangan anda.

Anda kemudian akan diberikan minuman yang mengandungi sejumlah gula (dalam bentuk glukos) dan air.

Tempohnya mungkin berbeza tetapi sampel darah lain akan diambil 1 hingga 2 jam setelah anda minum. Dalam beberapa kes, lebih banyak sampel boleh diambil. Setelah sampel darah diambil, jarum di bahagian belakang tangan anda akan dikeluarkan dan anda boleh pulang.

Bagaimana untuk melakukan persediaan sebelum menjalani ujian ini?

Sebelum mengikuti ujian, seseorang harus berpuasa selama 8 hingga 12 jam. Anda tidak boleh makan atau minum, tetapi biasanya boleh minum sedikit air dalam tempoh ini.

Individu juga harus memaklumkan pada doktor mereka terlebih dahulu mengenai:

  • sebarang ubat biasa yang diambil
  • sebarang peraturan latihan yang diikuti
  • keadaan kesihatan lain yang mungkin dialami

Doktor boleh memberi nasihat mengenai cara mengambil ubat biasa semasa anda berpuasa.

Adakah terdapat kesan sampingan atau risiko daripada ujian ini?

Biasanya, tiada kesan sampingan daripada ujian toleransi glukos selain lebam kecil yang mungkin muncul di tempat jarum dimasukkan. Jarang sekali, urat yang digunakan untuk mengambil darah boleh menjadi bengkak, tetapi ia biasanya akan sembuh dalam beberapa hari.

Risiko yang berkaitan dengan pengambilan sampel darah adalah sedikit. Selepas darah anda diambil, anda mungkin mengalami lebam atau pendarahan. Anda juga mungkin berasa pening buat seketika. Dalam beberapa kes, jangkitan selepas prosedur juga boleh berlaku.

Apakah maksud bagi keputusan ujian toleransi glukos?

Hasil ujian toleransi glukos diberikan dalam bentuk miligram per desiliter (mg / dL) atau milimol per liter (mmol / L).

Diabetes jenis 2

Sekiranya anda diuji untuk diabetes jenis 2, dua jam selepas minum larutan glukosa:

  • Tahap glukosa darah normal adalah lebih rendah daripada 140 mg / dL (7.8 mmol / L).
  • Tahap glukosa darah antara 140 dan 199 mg / dL (7.8 dan 11 mmol / L) dianggap mengalami gangguan toleransi glukos, atau pra-diabetes. Sekiranya anda menghidap pra-diabetes, anda akhirnya berisiko menghidap diabetes jenis 2. Malah, ini juga meningkatkan risiko anda mendapat penyakit jantung, walaupun anda tidak menghidap diabetes.
  • Tahap glukosa darah 200 mg / dL (11.1 mmol / L) atau lebih tinggi mungkin menunjukkan diabetes.

Sekiranya keputusan ujian toleransi glukos anda menunjukkan diabetes jenis 2, doktor mungkin mengulangi ujian pada hari lain atau menggunakan ujian darah lain untuk mengesahkan diagnosis. Pelbagai faktor boleh mempengaruhi ketepatan ujian toleransi glukos, termasuk penyakit, tahap aktiviti dan penggunaan ubat-ubatan tertentu.

Diabetes semasa kehamilan

Sekiranya anda diuji untuk diabetes kehamilan, doktor akan mempertimbangkan hasil setiap ujian glukosa darah.

Jika tahap glukosa darah lebih tinggi daripada 140 mg / dL (7.8 mmol / L) selepas ujian satu jam, doktor akan mengesyorkan anda melakukan ujian tiga jam pula.

Seterusnya, sekiranya tahap glukosa darah anda lebih tinggi daripada 190 mg / dL (10.6 mmol / L) selepas ujian satu jam, anda akan didiagnosis menghidap diabetes kehamilan.

Untuk ujian tiga jam:

Tahap glukos darah puasa normal adalah lebih rendah daripada 95 mg / dL (5.3 mmol / L).

  • Satu jam selepas minum larutan glukos, kadar glukos darah normal adalah lebih rendah daripada 180 mg / dL (10 mmol / L).
  • Dua jam setelah minum larutan glukos, kadar glukos darah normal adalah lebih rendah daripada 155 mg / dL (8.6 mmol / L).
  • Tiga jam setelah minum larutan glukos, kadar glukos darah normal adalah lebih rendah daripada 140 mg / dL (7.8 mmol / L).

Sekiranya salah satu hasilnya adalah lebih tinggi daripada biasa, anda mungkin perlu melakukan ujian lagi dalam tempoh empat minggu. Jika dua atau lebih keputusannya adalah lebih tinggi daripada normal, anda akan didiagnosis menghidap diabetes kehamilan.

Di samping itu, jika anda didiagnosis menghidap diabetes kehamilan, anda boleh mencegah komplikasi dengan menguruskan tahap glukos darah anda sepanjang kehamilan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/glucose-tolerance-test/about/pac-20394296

https://www.medicalnewstoday.com/articles/312625

https://patient.info/diabetes/pre-diabetes-impaired-glucose-tolerance/glucose-tolerance-test

https://www.webmd.com/diabetes/guide/oral-glucose-tolerance-test

Summary
Ujian Toleransi Glukos (Glucose Tolerance Test - GTT)
Article Name
Ujian Toleransi Glukos (Glucose Tolerance Test - GTT)
Description
Ujian toleransi glukos, juga dikenali sebagai ujian toleransi glukos oral dilakukan untuk mengukur tindak balas badan anda terhadap gula (glukos).
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: