Gaya hidup Hernia
Anda harus ubah gaya hidup anda untuk mencegah Hernia berulang pada masa akan datang.

Angin Pasang atau Hernia berlaku apabila lemak atau usus dari dalam abdomen menonjol keluar dari otot dan tisu anda yang memegangnya di tempat sepatutnya.

Anda mungkin mengalami salah satu daripada beberapa jenis angin pasang ini:

  • Angin pasang Inguinal. Sejenis angin pasang yang berlaku apabila sebahagian usus anda menonjol keluar dari otot dan tisu di dinding perut.
  • Angin pasang Hiatal. Ia berlaku apabila bahagian perut anda menonjol ke rongga dada.
  • Angin pasang Pemotongan (Incisional Hernia). angin pasang ini biasanya berlaku selepas anda menjalani pembedahan abdomen, iaitu apabila usus menonjol keluar melalui tapak potongan atau jahitan yang dilakukan sewaktu pembedahan.

Walaupun anda telah mengawal simptom Hernia dengan baik, namun ia tidak bermaksud bahawa angin pasang itu akan hilang. Anda mungkin perlu menjalani pembedahan untuk merawatnya semula. Sekiranya ia sudah dilakukan, anda perlu melakukan perubahan dari segi gaya hidup untuk mencegah Hernia berulang pada masa akan datang. 

Ikutilah langkah seperti berikut untuk mengetahui lebih lanjut tentang gaya hidup hernia yang sihat:

1. Amalkan perubahan diet yang sihat

Perubahan diet tidak semestinya boleh mencegah angin pasang. Namun begitu, ia boleh membantu anda mengekalkan berat badan dalam lingkungan yang sihat. Berat badan berlebihan boleh meningkatkan tekanan di sekitar Hernia dan meningkatkan risiko angin pasang berulang.

Makan makanan yang sihat selepas pembedahan Hernia adalah amat penting untuk mendapatkan penyembuhan yang sempurna. Pengurusan diet anda selepas prosedur pembedahan adalah berbeza, bergantung kepada lokasi  angin pasang anda. Jadi, anda perlulah sentiasa mengikuti arahan pakar bedah bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Selepas menjalani pembedahan Hernia, doktor mungkin akan menyekat diet anda hanya dengan meminum air sepanjang hari tersebut. Anda mungkin berasa mual atau muntah selepas diberikan suntikan anestesia. Simptom pasca pembedahan ini boleh dikurangkan dengan mengambil beberapa makanan seperti jeli, jus dan kuah sup.

Sekiranya pemotongan pembedahan (incision) tersebut berada berhampiran pusat perut atau di bawah abdomen, anda mungkin sudah boleh menjalani diet biasa keesokan harinya. Walau bagaimanapun, beberapa makanan tertentu boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan anda.

Sembelit merupakan simptom biasa yang anda akan alami selepas proses pembedahan angin pasang. Anestesia, ubat tahan sakit, perubahan diet dan aktiviti fizikal yang kurang boleh menyumbang kepada keadaan yang tidak selesa ini. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, anda perlu makan makanan tinggi serat dan minum banyak air selepas menjalani pembedahan.

Makanan berserat tinggi termasuklah:

  • Buah: Epal, manga, pisang, oren, buah beri, pear
  • Sayur-sayuran: ‘baby carrot’, avokado, brokoli, ubi bit, articok, kobis Brussels, keledek manis
  • Kekacang: Kacang ginjal, kacang hijau, kacang pis, kacang kuda, lentil
  • Bijrin, kacang dan bijian: Oat, quinoa, badam, pistachio, kuaci, biji labu, walnat, biji chia

Menentukan makanan yang boleh dimakan selepas pembedahan bukanlah sesuatu yang mudah. Sekiranya anda tersilap makan, ia boleh membawa kepada pembengkakan esofagus, iaitu tiub makanan yang menyalurkan makanan ke perut anda.

Selain jenis makanan yang boleh diambil selepas pembedahan, mempertimbangkan bagaimana anda memakannya juga adalah penting. Makan secara berlebihan boleh meningkatkan kesakitan pasca pembedahan. Justeru itu, makanlah makanan lebih kerap dalam jumlah yang kecil (sebanyak 6 hingga 8 kali sehari) bagi mencegah tekanan perut yang berlebihan.

Makan hidangan besar sekaligus boleh mengakibatkan refluks, sama seperti kesan memakan buah sitrus dan minum minuman berkarbonat. Refluks asid boleh menjadi salah satu simptom Hernia.

Makan secara perlahan dan kunyah makanan anda dengan teliti. Tetapkan posisi tegak selama sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan untuk memastikan sistem pencernaan anda berjalan dengan lancar.

2. Mulakan rejimen senaman ringan

Melakukan aktiviti fizikal dengan kerap merupakan cara lain untuk mengawal berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko adanya tekanan di tapak angin pasang anda. Jenis senaman yang betul boleh menguatkan otot-otot di sekitar Hernia dan seterusnya mengurangkan faktor risiko angin pasang yang utama iaitu kelemahan otot.

*Sedikit peringatan: Sekiranya anda ingin memulakan atau meneruskan rejimen senaman anda, sentiasa berhati-hati selepas menjalani pembedahan Hernia. Prosedur pembedahan angin pasang melibatkan jahitan Hernia. Bagi mengelakkan jahitan angin pasang dirobek, anda seharusnya berhati-hati melakukan sebarang aktiviti sehinggalah Hernia sembuh dan jahitan tersebut hancur. Sekiranya jahitan terbuka semula, keadaan ini akan menjejaskan proses pemulihan anda.

Jahitan tersebut mengambil masa lebih kurang 4 hingga 6 minggu untuk disatukan dengan badan.  Apabila jahitan telah disatukan dengan baik, angin pasang akan menjadi lebih stabil dari masa ke masa secara beransur-ansur..

Sebaiknya, elakkan senaman selama seminggu selepas pembedahan. Selepas daripada tempoh ini dan sementara luka sedang sembuh, jangan lakukan senaman seperti:

  • Mengangkat berat melebihi 10kg
  • ‘Crunches’ abdomen (Elakkan dari melakukan senaman ini selama 6 hingga      8 minggu selepas pembedahan).

Selepas 2 minggu menjalani pembedahan:

  • Mulakan senaman dengan perlahan dan lakukan senaman ringan, kemudian tingkatkan tahap tekanan secara beransur-ansur, hari demi hari.
  • Peka dengan tubuh anda. Sekiranya anda berasa sakit di kawasan yang telah dijahit, jumpa doktor anda semula.
  • Tunggu sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum menyambung latihan biasa semula kerana jahitan pembedahan mengambil masa yang lama untuk disatukan dengan dinding perut anda, apabila badan anda membina tisu parut di dalam dan di sekitar mesh.

Pastikan anda bekerjasama dengan seorang jurulatih perbadi, ahli terapi fizikal atau pakar profesional senaman untuk memastikan anda melakukan senaman yang sesuai dan betul.

3. Elakkan mengangkat beban yang berat atau dalam masa yang lama

Walaupun anda digalakkan untuk bersenam secara tetap, elakkan sebarang aktiviti yang memberi tekanan berlebihan pada otot anda, terutamanya pada bahagian abdomen. Ini bermakna anda harus mengelakkan mengangkat berat atau bentuk senaman lain yang menyebabkan anda berasa tidak selesa serta menjejaskan proses pemulihan Hernia. Sekiranya anda keliru mengenai latihan yang boleh dan tidak boleh lakukan, tanyalah pada doktor atau pakar profesional senaman anda.

4. Berhenti merokok

Merokok memberikan banyak kesan sampingan dan komplikasi yang buruk. Selain itu, ia juga adalah salah satu faktor risiko utama angin pasang dan jenis Hernia berulang. Keadaan ini terjadi kerana ramai perokok mengalami ‘batuk perokok’ iaitu batuk berulang yang boleh menyebabkan organ anda terjojol keluar daripada tempatnya.

Selain itu, merokok juga menyebabkan kadar penurunan kolagen dalam badan. Ini kerana, kesan nikotin boleh melemahkan dinding abdomen. Pesakit yang merokok adalah empat kali ganda lebih berisiko untuk mengalami angin pasang berulang akibat kesan merokok tehadap penyembuhan luka jahitan Hernia.

Jangkitan pada kawasan angin pasang merupakan komplikasi yang jarang berlaku selepas pembedahan Hernia kecuali dalam kes merokok. Namun begitu, perokok lebih cenderung untuk mendapat jangkitan selepas pembedahan berbanding pesakit lain yang tidak merokok. Jadi, amatlah disyorkan bahawa semua perokok berhenti merokok sebelum menjalani pembedahan angin pasang untuk mengelakkan komplikasi ini.

5. Jadikan perjumpaan dengan doktor sebagai satu kebiasaan

Selepas pembedahan Hernia – atau sebarang pembedahan, anda mungkin perlu membuat perubahan kepada regimen penjagaan kesihatan anda yang biasa. Sekurang-kurangnya selepas tahun pertama pembedahan, berjumpalah doktor atau pihak penjagaan kesihatan anda secara berkala.

Anda juga harus segera melaporkan apa-apa gejala yang mungkin berkaitan dengan pembedahan angin pasang anda, seperti refluks asid, sakit atau ketidakselesaan berhampiran tapak pembedahan, sakit dada, kelemahan perut, atau loya.

SUMBER

https://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/hypertension-treatment-overview#1

https://www.healthline.com/health/heart-bypass-surgery

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/gastric-bypass-surgery/in-depth/gastric-bypass-diet/art-20048472

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323551

Summary
Ubah gaya hidup anda selepas pembedahan angin pasang
Article Name
Ubah gaya hidup anda selepas pembedahan angin pasang
Description
Walaupun anda telah mengawal simptom Hernia dengan baik, namun ia tidak bermaksud bahawa angin pasang itu akan hilang. Anda mungkin perlu menjalani pembedahan untuk merawatnya semula. Sekiranya ia sudah dilakukan, anda perlu melakukan perubahan dari segi gaya hidup untuk mencegah Hernia berulang pada masa akan datang.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: