tumor tulang belakang
Tumor tulang belakang adalah ketumbuhan yang berkembang di dalam saluran tulang belakang atau di dalam tulang pada tulang belakang anda.

Tumor tulang belakang adalah ketumbuhan yang berkembang di dalam saluran tulang belakang atau di dalam tulang pada tulang belakang anda. Ia juga dikenali sebagai tumor intradural dan merupakan tumor tulang belakang yang bermula di dalam saraf tunjang atau penutup saraf tunjang (dura). Seterusnya, tumor yang menjejaskan tulang pada tulang belakang (vertebra) pula dipanggil tumor tulang belakang.

Di samping itu, tumor tulang belakang boleh diklasifikasikan sebagai salah satu daripada  jenis berbeza bergantung kepada di mana ia berlaku seiring dengan membran pelindung saraf tunjang.

Berikut adalah jenis utama tumor intradural:

  • Tumor intramedulari bermula di dalam sel-sel dalam saraf tunjang itu sendiri seperti gliomas, astrocytomas atau ependymomas.
  • Tumor extramedulari tumbuh sama ada dalam membran di sekeliling saraf tunjang atau akar saraf yang menjangkau dari saraf tunjang. Walaupun ia tidak bermula di dalam saraf tunjang itu sendiri, jenis tumor ini boleh menjejaskan fungsi saraf tunjang dan menyebabkan mampatan saraf tunjang dan masalah lain. Contoh-contoh tumor extramedulari yang boleh menjejaskan saraf tunjang termasuk meningiomas, neurofibromas, schwannomas dan tumor sarung saraf.

Dalam kes yang jarang berlaku, tumor dari bahagian lain badan boleh merebak (metastasize) ke vertebra, iaitu rangkaian sokongan di sekitar saraf tunjang atau saraf tunjang itu sendiri.

Tumor tulang belakang atau apa-apa jenis ketumbuhan boleh jadi menyakitkan, menyebabkan masalah saraf dan kadangkala kelumpuhan. Malah, tumor jenis ini juga boleh mengancam nyawa dan menyebabkan ketidakupayaan kekal.

Jenis Tumor Tulang Belakang

  • Astrocytoma – Astrocytoma adalah sejenis kanser yang boleh terbentuk di dalam otak atau saraf tunjang. Jenis ini bermula dalam sel astrocytes yang menyokong sel-sel saraf.
  • Chordoma – Chordoma adalah tumor tulang primer yang boleh menyebabkan kanser (malignan) dan biasanya berlaku di sepanjang tulang belakang atau di mana terletaknya tengkorak, iaitu di atas tulang belakang (tulang tengkorak).
  • Ependymoma – Ependymoma adalah sejenis tumor yang boleh terbentuk di dalam otak atau saraf tunjang.
  • Glioma – Glioma bermula dalam sel-sel sokongan yang berlemak (sel glial) dan mengelilingi sel-sel saraf bagi membantu mereka berfungsi.
  • Meningioma – Meningioma adalah tumor yang terhasil dari meninges, iaitu membran yang mengelilingi otak dan saraf tunjang.
  • Neurofibroma – Neurofibroma adalah sejenis tumor saraf yang membentuk benjolan lembut pada atau di bawah kulit.
  • Schwannoma – Schwannoma adalah sejenis tumor sarung saraf.

Simptom Tumor Tulang Belakang

Kesakitan belakang yang bukan mekanikal, terutamanya di bahagian tengah atau bawah belakang adalah gejala paling kerap berlaku bagi tumor tulang belakang yang jinak dan malignan. Malah, kesakitan ini bukanlah dikaitkan dengan kecederaan, tekanan atau aktiviti fizikal secara khusus. Walau bagaimanapun, kesakitan ini boleh meningkat jika melakukan aktiviti atau berbaring pada waktu malam.

Seterusnya, kesakitan boleh merebak di bahagian belakang hingga ke pinggul, kaki atau lengan dan mungkin bertambah teruk dari masa ke masa. Walaupun dirawat oleh kaedah konservatif atau tanpa pembedahan yang biasanya dapat membantu meringankan kesakitan, ia tidak dapat sembuh sepenuhnya.

Bergantung pada lokasi dan jenis tumor, tanda-tanda dan gejala lain boleh berkembang terutamanya apabila tumor tumbuh dan menjadi mampat pada saraf tunjang, akar saraf, saluran darah atau tulang dalam tulang belakang.

Gejala tambahan boleh melibatkan yang berikut:

  • Kehilangan deria atau kelemahan otot pada kaki, lengan atau dada.
  • Rasa menyengat pada tulang leher atau tulang belakang.
  • Sakit dan/ atau gejala neurologi (seperti kesemutan) meningkat dengan maneuver Valsalva.
  • Kesukaran berjalan, dan mungkin boleh menyebabkan jatuh.
  • Kurang sensitiviti terhadap rasa sakit, panas dan sejuk.
  • Kehilangan fungsi usus atau pundi kencing.
  • Kelumpuhan yang mungkin berlaku dalam pelbagai peringkat dan di bahagian-bahagian tubuh berlainan, bergantung kepada saraf mana yang ditekan.
  • Skoliosis atau kecacatan tulang belakang yang lain disebabkan oleh tumor besar atau rosak.

Punca Tumor Tulang Belakang

Punca mengapa kebanyakan tumor tulang belakang berkembang masih tidak diketahui dengan jelas. Pakar mengesyaki bahawa gen yang cacat boleh memainkan peranan. Namun, ia tidak diketahui sama ada kecacatan genetik sedemikian diwarisi atau hanya berkembang dari masa ke masa. Ia mungkin terjadi kerana sesuatu keadaan persekitaran seperti pendedahan kepada bahan kimia tertentu. Walau bagaimanapun, dalam beberapa kes, punca tumor tulang belakang dikaitkan dengan sindrom warisan yang diketahui seperti neurofibromatosis 2 dan penyakit von Hippel-Lindau.

Diagnosis Tumor Tulang Belakang

Pesakit dengan gejala yang mencurigakan berkaitan tumor tulang belakang harus dinilai secara menyeluruh oleh doktor. Penilaian termasuklah mengkaji sejarah perubatan yang lengkap, pemeriksaan fizikal dan neurologi serta kajian radiografi tulang belakang.

Selain itu, ujian lain yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Pengimejan resonans magnetik atau myelografi dengan tomografi
  • Biopsi

Penekanan saraf tunjang disebabkan tumor mesti didiagnosis dan dirawat dengan segera untuk mencegah kerosakan kekal. Doktor menganggap ada kemungkinan bahawa tumor tulang belakang pada individu mempunyai corak kemelahan atau disfungsi saraf tertentu (kehilangan sensasi) atau kesakitan di lokasi tertentu di bahagian belakang atau leher, terutamanya jika mereka mempunyai kanser tertentu di bahagian badan yang lain.

Faktor Risiko Tumor Tulang Belakang

Tumor tulang belakang lebih biasa terjadi pada individu yang mempunyai:

  • Neurofibromatosis 2. Bagi gangguan keturunan ini, tumor yang pasif berkembang pada atau berhampiran saraf yang berkaitan dengan pendengaran. Ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran progresif dalam satu atau kedua-dua belah telinga. Sesetengah individu dengan neurofibromatosis 2 juga boleh mendapat tumor tulang belakang tunjang.
  • Penyakit Von Hippel-Lindau. Ia merupakan penyakit yang jarang berlaku. Malah, ia adalah gangguan pelbagai sistem yang dikaitkan dengan tumor saluran darah (hemangioblastomas) di otak, retina dan saraf tunjang serta jenis tumor lain di buah pinggang atau kelenjar adrenal.

Rawatan Tumor Tulang Belakang

Sebaiknya, matlamat rawatan tumor tulang belakang adalah untuk mengeluarkan tumor sepenuhnya, namun ia mungkin menjadi rumit kerana risiko kerosakan kekal pada saraf tunjang dan saraf sekitarnya. Doktor juga mesti mengambil kira usia dan kesihatan keseluruhan anda pada masa yang sama.

Jenis tumor dan sama ada ia timbul daripada struktur tulang belakang, terusan tulang belakang atau telah merebak ke tulang belakang anda dari tempat lain di dalam badan anda juga mesti dipertimbangkan dalam menentukan pelan rawatan.

Pilihan rawatan bagi kebanyakan kes tumor tulang belakang termasuk:

  • Pemantauan. Beberapa tumor tulang belakang boleh dikenal pasti sebelum ia menyebabkan gejala – selalunya apabila anda melakukan pemeriksaan untuk keadaan lain. Sekiranya tumor kecil tidak membesard atau menekan pada tisu di sekeliling, mungkins pemerhatian dengan teliti sahaja yang diperlukan.

Semasa pemerhatian, doktor anda mungkin mencadangkan imbasan CT atau MRI secara berkala pada jarak waktu masa yang sesuai untuk memantau pembesaran tumor.

  • Pembedahan. Ini biasa menjadi rawatan pilihan untuk tumor yang boleh dikeluarkan dengan risiko saraf tulang belakang atau kerosakan kecederaan saraf yang boleh diterima. Teknik dan instrumen yang lebih terkini membolehkan pakar bedah saraf mencapai tumor yang dahulu tidak boleh diakses. Mikroskop berkuasa tinggi yang digunakan dalam pembedahan mikro juga menjadikannya lebih mudah untuk membezakan tumor daripada tisu yang sihat.

Selain itu, doktor juga boleh memantau fungsi saraf tunjang dan saraf penting lain semasa pembedahan, sekali gus meminimumkan peluang berlakunya kecederaan. Dalam sesetengah keadaan, gelombang bunyi frekuensi yang sangat tinggi mungkin digunakan semasa pembedahan untuk memecahkan tumor dan mengeluarkan serpihan.

Tetapi, walaupun dengan kemajuan teknologi terkini dalam prosedur pembedahan, tidak semua tumor boleh dikeluarkan sepenuhnya. Apabila tumor tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya, pembedahan mungkin diikuti dengan terapi radiasi, kemoterapi atau kedua-duanya sekali.

Pemulihan bagi pembedahan tulang belakang mungkin mengambil masa selama beberapa minggu atau lebih lama, bergantung kepada prosedur yang dilakukan. Anda mungkin mengalami kehilangan deria secara sementara atau komplikasi lain seperti pendarahan dan kerosakan pada tisu saraf.

  • Terapi radiasi. Ini boleh dilakukan untuk menghilangkan sisa-sisa tumor yang kekal selepas pembedahan. Ia juga bertujuan untuk merawat tumor yang tidak boleh dibedah atau merawat tumor yang terlalu berisiko. Penggunaan ubat boleh membantu meringankan beberapa kesan sampingan radiasi seperti mual dan muntah.

Kadangkala, rejimen terapi radiasi anda mungkin diselaraskan untuk membantu meminimumkan jumlah tisu sihat yang rosak dan menjadikan rawatan lebih efektif. Pengubahsuaian mungkin hanya melibatkan perubahan dos radiasi menggunakan teknik canggih seperti terapi radiasi konformal 3D.

  • Kemoterapi. Ia merupakan rawatan standard untuk pelbagai jenis kanser. Terapi kemoterapi menggunakan ubat-ubatan untuk memusnahkan sel kanser atau menghalangnya daripada berkembang. Doktor anda boleh menentukan sama ada kemoterapi mungkin memberi manfaat kepada anda atau tidak serta sama ada ia akan dilakukan secara bersendirian atau digabungkan dengan terapi radiasi.

Kesan sampingan mungkin termasuk keletihan, mual, muntah, peningkatan risiko jangkitan dan keguguran rambut.

  • Ubatan lain. Memandangkan pembedahan dan terapi radiasi serta tumor itu sendiri boleh menyebabkan keradangan di dalam saraf tunjang, para doktor kadangkala menetapkan kortikosteroid untuk mengurangkan pembengkakan, sama ada selepas pembedahan atau semasa rawatan radiasi.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/spinal-cord-tumor/symptoms-causes/syc-20350103

https://www.msdmanuals.com/home/brain,-spinal-cord,-and-nerve-disorders/tumors-of-the-nervous-system/spinal-cord-tumors

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/spinal-cord-tumors

Summary
Tumor Tulang Belakang (Spinal cord tumor) - Jenis, Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Tumor Tulang Belakang (Spinal cord tumor) - Jenis, Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Tumor tulang belakang adalah ketumbuhan yang berkembang di dalam saluran tulang belakang atau di dalam tulang pada tulang belakang anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: