Trulicity
Trulicity adalah agonis reseptor GLP-1 untuk penghidap diabetes jenis 2.

Pengenalan

Trulicity adalah agonis reseptor GLP-1 untuk penghidap diabetes jenis 2. Ia tidak dipreskripsikan kepada mereka yang menghidap diabetes jenis 1.

Selain itu, Trulicity akan dipreskripsikan apabila diet dan senaman gagal mengawal kadar glukosa darah. Ia mungkin juga diberikan berbanding metformin, jika metformin tidak sesuai untuk anda. Trulicity boleh diberikan kepada individu dalam dos 1.5mg dan 0.75mg.

Kegunaan Trulicity

Trulicity (dulaglutide) adalah ubat suntikan bagi pesakit diabetes yang boleh membantu mengawal kadar gula dalam darah. Ia digunakan bersama amalan pemakanan sihat dan latihan untuk meningkatkan kawalan gula darah pada orang dewasa dengan diabetes mellitus jenis 2.

Ia juga digunakan untuk mengurangkan risiko berlakunya masalah kardiovaskular utama (masalah yang berkaitan dengan jantung dan saluran darah) seperti kematian, serangan jantung, atau strok pada individu dengan penyakit jantung atau pelbagai faktor risiko kardiovaskular.

Kesan sampingan Trulicity

Sebilangan orang mungkin mengalami loya setelah mula mengambil Trulicity. Dalam kajian yang dibuat, 8% hingga 29% individu yang menggunakan Trulicity mengalami mual, yang biasanya berlaku pada 2 atau 3 hari pertama setelah mengambil dos pertama.

Rasa mual biasanya hilang selepas 2 minggu pertama, tetapi sebilangan orang mengalami loya dengan Trulicity selepas minggu kedua rawatan mereka. Kurang daripada 2% pula terpaksa berhenti mengambil Trulicity kerana rasa loya yang teruk.

Kesan sampingan gastrousus yang paling biasa dengan Trulicity mungkin termasuk loya, cirit-birit, muntah, sakit perut dan penurunan selera makan.

Interaksi Trulicity

Interaksi ubat boleh mengubah cara ubat berfungsi atau meningkatkan risiko anda mendapat kesan sampingan yang serius. Artikel ini tidak mengandungi semua kemungkinan interaksi ubat Trulicity. Tetapi, pastikan anda menyimpan senarai semua produk yang anda gunakan (termasuk ubat preskripsi/ bukan preskripsi dan produk herba) dan kongsikan kepada doktor dan ahli farmasi anda. Jangan mulakan, hentikan atau ubah dos ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor.

Ubat penghalang beta (seperti metoprolol, propranolol, titisan mata glaukoma seperti timolol) boleh mencegah masalah degupan jantung yang cepat / berdebar yang biasanya berlaku ketika kadar gula darah anda turun terlalu rendah (hipoglikemia). Gejala lain bagi keadaan ini seperti pening, lapar, atau berpeluh tidak dipengaruhi oleh pengambilan ubatan ini.

Banyak ubat boleh mempengaruhi kadar gula darah anda, menjadikannya lebih sukar untuk dikawal. Periksa kadar gula darah anda secara berkala seperti yang diarahkan dan berikan hasilnya dengan doktor anda. Beritahu doktor dengan segera jika anda mempunyai gejala kadar gula darah tinggi atau rendah.

Kontraindikasi Trulicity

Anda tidak boleh menggunakan Trulicity jika anda alah kepada dulaglutide, atau jika anda mempunyai:

  • pelbagai neoplasia endokrin jenis 2 (tumor pada kelenjar)
  • sejarah peribadi atau keluarga dengan masalah karsinoma tiroid medula (sejenis kanser tiroid)
  • diabetes ‘ketoacidosis’ (hubungi doktor anda untuk rawatan)

Bertanyakan pada doktor bagaimana untuk mengenali kesan sampingan yang serius seperti di bawah dan apa yang perlu dilakukan jika anda fikir anda mempunyai:

  • Keradangan pankreas (pankreatitis). Berhenti gunakan Trulicity dan segera hubungi penyedia perkhidmatan kesihatan anda jika anda mengalami kesakitan teruk di kawasan perut, dengan atau tanpa muntah yang tidak hilang. Anda mungkin akan merasakan sakit dari bahagian perut hingga ke punggung.
  • Perubahan penglihatan. Beritahu penyedia perkhidmatan kesihatan anda jika anda mempunyai perubahan pada penglihatan semasa melakukan rawatan dengan Trulicity.
  • Kadar gula darah rendah (hipoglikemia). Tanda dan gejala gula darah rendah mungkin termasuk pening atau sakit kepala, kekeliruan atau mengantuk, penglihatan kabur, ucapan kabur, degupan jantung yang cepat, berpeluh, lapar, gementar, berasa gelisah, kelemahan, mudah marah atau perubahan emosi.
  • Reaksi alahan yang serius. Berhenti gunakan Trulicity dan dapatkan bantuan perubatan dengan segera sekiranya anda mempunyai simptom reaksi alergi yang serius termasuk bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak, masalah untuk bernafas atau menelan, ruam atau gatal yang teruk, pengsan atau berasa pening, mahupun degupan jantung yang sangat cepat.
  • Kecederaan buah pinggang akut. Bagi individu yang mengalami masalah buah pinggang, simptom seperti cirit-birit, mual dan muntah boleh menyebabkan kehilangan cecair dalam badan (dehidrasi). Ini boleh menyebabkan masalah buah pinggang menjadi lebih buruk.
  • Masalah perut yang teruk. Trulicity boleh menyebabkan masalah perut, yang mungkin adalah serius.

Trulicity dan kehamilan

Trulicity adalah ubat yang agak baru, jadi ianya tidak diketahui bagaimana ia boleh memberi kesan semasa kehamilan. Oleh itu, beritahu doktor anda jika anda hamil atau merancang untuk hamil. Malah, ia juga mungkin tidak selamat untuk menyusukan bayi semasa menggunakan ubat ini. Tanya doktor anda mengenai sebarang risiko yang boleh berlaku.

Dos Trulicity

Gunakan Trulicity sama seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikuti semua arahan pada label preskripsi dan baca semua panduan ubat atau helaian arahan yang ada.

Dos Trulicity biasa bagi individu dewasa dengan diabetes jenis 2:

  • Dos awal: 0.75 mg sekali seminggu
  • Dos maksimum: Boleh meningkat menjadi 1.5 mg sekali seminggu untuk kawalan glisemik tambahan

Trulicity disuntik di bawah kulit seminggu sekali. Gunakan ubat ini pada hari yang sama setiap minggu dengan waktu yang sama dalam sehari. Sekiranya anda menukar hari untuk menggunakan ubat ini, biarkan sekurang-kurangnya 3 hari berlalu antara hari pengambilan dos terakhir. Anda juga boleh menggunakan ubat ini dengan atau tanpa makanan.

Jangan gunakan Trulicity jika anda tidak memahami semua arahan untuk penggunaan yang betul. Tanya doktor atau ahli farmasi anda jika anda tidak memahami arahan ini.

Penyedia penjagaan kesihatan anda akan menunjukkan bahagian badan yang akan disuntik dengan Trulicity. Gunakan kawasan yang berbeza setiap kali anda memberi suntikan. Jangan suntik ke tempat yang sama dua kali berturut-turut.

Setiap suntikan atau jarum suntikan siap hanya boleh digunakan untuk satu kali penggunaan sahaja. Buang selepas satu penggunaan, walaupun masih ada ubat yang tersisa di dalamnya. Gunakan bekas yang yang tahan dengan benda tajam untuk menyimpannya.

SUMBER

https://www.diabetes.co.uk/diabetes-medication/trulicity.html

https://www.drugs.com/trulicity.html

https://www.trulicity.com/benefits-and-side-effects/common-side-effects/

https://www.webmd.com/drugs/2/drug-167025/trulicity-subcutaneous/details

Summary
Trulicity
Article Name
Trulicity
Description
Trulicity adalah agonis reseptor GLP-1 untuk penghidap diabetes jenis 2. Ia tidak dipreskripsikan kepada mereka yang menghidap diabetes jenis 1.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: