Now Reading
Toksoplasmosis (Toxoplasmosis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Toksoplasmosis (Toxoplasmosis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

toksoplasmosis

Toksoplasmosis adalah sejenis jangkitan yang disebabkan oleh parasit yang digelar toxoplasma gondii. Anda boleh menemuinya dalam usus beberapa haiwan, termasuklah kucing dan babi.

Jangkitan ini boleh menyebabkan sista terbentuk dalam badan anda, biasanya dalam otak dan otot dan termasuklah jantung anda. Tetapi sekiranya anda memiliki sistem imun yang kuat, ia tidak akan menjadi masalah.

Walau bagaimanapun, anda boleh dijangkiti Toksoplasmosis tanpa anda mengetahuinya.

Toksoplasmosis cenderung mendatangkan masalah kepada individu yang mempunyai sistem imun yang lemah disebabkan masalah kesihatan seperti HIV atau beberapa jenis kanser atau rawatan kanser. Selain itu, ia juga boleh memudaratkan perkembangan bayi di dalam rahim kerana wanita hamil boleh menyebarkannya kepada bayi mereka. Ia boleh mengakibatkan masalah dengan anggota tubuh seperti mata dan organ dalaman (otak).

Simptom Toksoplasmosis

Kebanyakan individu yang dijangkiti penyakit ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom. Namun kebiasaannya simptom yang mereka alami adalah:

  • Demam
  • Pembengkakan Kelenjar Limfa, Terutamanya Di Leher
  • Sakit Kepala 
  • Sakit Otot 
  • Sakit Tekak

Simptom-simptom ini boleh bertahan selama sebulan atau lebih dan biasanya akan sembuh sendiri.

Toksoplasmosis amat serius bagi mereka yang mempunyai keadaan sistem imun yang lemah. Mereka lebih berisiko untuk mengalami: 

• Radang otak yang menyebabkan sakit kepala, sawan, kekeliruan dan koma.

• Jangkitan paru-paru yang menyebabkan batuk, demam, dan sesak nafas

• Jangkitan mata yang menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan kesakitan mata

Apabila janin dijangkiti, simptom yang ditunjukkan mungkin adalah ringan atau agak serius. Toksoplasmosis yang dialami oleh bayi yang belum lahir boleh mengancam nyawa bayi sejurus selepas kelahiran. Kebanyakan bayi baru lahir dengan toksoplasmosis kongenital mungkin kelihatan normal pada saat lahir tetapi dapat mengembangkan tanda-tanda dan simptom apabila mereka semakin meningkat usia. Ia amat penting untuk memeriksa sebarang kehadiran parasit tersebut dalam otak dan mata mereka. 

Punca Toksoplasmosis

Toxoplasma gondii (T. gondii) adalah sejenis organisma parasit yang mempunyai sel tunggal yang boleh menjangkiti kebanyakan haiwan dan burung. Organisma berjangkit T. gondii hanya boleh disebarkan melalui najis kucing, maka kucing liar dan domestik boleh menjadi tuan rumah bagi parasit ini.

Walaupun anda tidak boleh dijangkiti Toksoplasmosis daripada anak atau individu dewasa yang dijangkiti, anda boleh dijangkiti jika anda:

Terdedah dengan najis kucing yang mengandungi parasit. Anda mungkin secara tidak sengaja menelan parasit jika anda menyentuh mulut anda selepas berkebun, membersihkan kotak sampah atau menyentuh apa-apa yang bersentuhan dengan najis kucing yang dijangkiti. Kucing yang memburu haiwan liar atau yang diberi makan daging mentah adalah yang paling berisiko untuk menjadi perumah T. gondii.

 Makan atau minum makanan atau air yang tercemar. Daging kambing, daging babi dan daging rusa sering dijangkiti oleh T. gondii. Kadangkala, produk tenusu yang tidak dipasteurisasi juga mungkin mengandungi parasit tersebut.

 Menggunakan pisau, papan pemotong atau peralatan lain yang tercemar. Peralatan dapur yang bersentuhan dengan daging mentah boleh mengembangkan parasit kecuali jika alat-alat itu dibasuh dengan teliti dalam air sabun yang panas.

Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibasuh. Permukaan buah dan sayuran mungkin mengandungi parasit. Basuh dengan bersih semua bahan mentah yang anda makan agar lebih selamat.

• Menerima pemindahan organ atau transfusi darah yang dijangkiti. Dalam kes yang jarang berlaku, toksoplasmosis boleh ditularkan melalui pemindahan organ atau pemindahan darah.

Apabila seseorang dijangkiti dengan T. gondii, parasit ini membentuk sista yang boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan, selalunya otak dan otot anda termasuklah jantung.

Diagnosis Toksoplasmosis

Sekiranya anda mempunyai simptom-simptom Toksoplasmosis, berjumpalah dengan doktor anda. Anda juga perlu berbincang dengan doktor sekiranya anda ingin hamil atau anda mempunyai masalah kesihatan yang mempengaruhi sistem imun anda.

Jika anda dijangkiti, selalunya tubuh anda akan menghasilkan antibodi untuk cuba melawannya. Untuk mengetahui sama ada anda mempunyai toksoplasmosis, doktor anda boleh melakukan ujian darah untuk melihat sama ada anda mempunyai antibodi tersebut dalam sistem anda.

Jika anda telah dijangkiti dalam masa yang terdekat, badan anda mungkin tidak mempunyai masa untuk menghasilkan antibodi. Jadi, walaupun ujian anda tidak memperlihatkan tanda-tanda kehadiran antibodi tersebut, doktor mungkin akan melakukan ujian lain beberapa minggu kemudian untuk mengesahkannya.

Sekiranya ujian darah menunjukkan anda mempunyai antibodi tersebut, anda mungkin akan menjalani ujian sampel darah sekali lagi di makmal yang khas. Jika benar anda dijangkitinya, lebih banyak ujian akan dilakukan pada darah anda untuk mengetahui bilakah jangkitan bermula.

Faktor Risiko Toksoplasmosis

Sesiapa sahaja boleh dijangkiti dengan Toksoplasmosis. Parasit ini terdapat di seluruh dunia.

Namun, anda berisiko tinggi untuk mendapat masalah kesihatan yang serius daripada jangkitan toksoplasmosis jika:

• Anda menghidap HIV/AIDS. Ramai pesakit yang menghidap HIV/AIDS juga dijangkiti Toksoplasmosis, sama ada jangkitan dalam masa terdekat atau jangkitan lama yang telah diaktifkan semula.

• Anda menjalani kemoterapi. Kemoterapi memberi kesan kepada sistem imun anda, menjadikannya sukar untuk melawan jangkitan kecil.

• Anda mengambil steroid atau ubat imunosupresan yang lain. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat keadaan bukan malignan tertentu menindas sistem imun anda dan membuatkan anda lebih cenderung untuk mengembangkan komplikasi Toksoplasmosis.

Rawatan Toksoplasmosis

Doktor mungkin akan mengesyorkan bahawa anda tidak perlu mendapatkan rawatan Toksoplasmosis jika tidak menunjukkan sebarang simptom. Individu sihat yang dijangkiti tidak akan menunjukkan simptom atau mengalami simptom ringan yang terbatas.

Sekiranya penyakit itu teruk sehingga melibatkan mata atau melibatkan organ-organ dalaman, doktor biasanya akan menetapkan ubat-ubatan seperti pyrimethamine (Daraprim) dan sulfadiazine. Pyrimethamine juga digunakan untuk merawat Malaria. Sulfadiazine pula adalah sejenis antibiotik.

Jika anda menghidap HIV atau AIDS, anda mungkin perlu mengambil ubat ini untuk terus hidup. Pyrimethamine menurunkan kadar asid folik anda, iaitu sejenis vitamin B. Doktor juga boleh meminta anda memakan suplemen tambahan vitamin B seiring pengambilan ubat.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/toxoplasmosis

https://en.wikipedia.org/wiki/Toxoplasmosis

https://www.webmd.com/baby/toxoplasmosis

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/toxoplasmosis/symptoms-causes/syc-20356249

error: Content is protected !!