Now Reading
TLDM: Sejarah Penubuhan Dan Tugas Utama Mengikut Situasi

TLDM: Sejarah Penubuhan Dan Tugas Utama Mengikut Situasi

TLDM atau Tentera Laut Diraja Malaysia telah mula ditubuhkan pada tahun 1939, iaitu apabila pihak British mula merekrut anak-anak Melayu tempatan ke dalam pasukan mereka, Tentera Laut British (TLDB),  bagi memperkukuhkan pasukan tentera lautnya untuk menjaga keselamatan Singapura dan Malaya. 

Pusat latihan mereka pada waktu itu terletak di Pangkalan Tentera Laut Singapura yang dikenali sebagai HMS PELANDOK. Maka bermulalah penglibatan anak-anak tempatan dalam angkatan tentera laut. Mereka dilatih dengan pelbagai kemahiran seperti menjadi kelasi, juru perhubungan dan lain-lain. 

Bahagian Tentera Laut Malaya ini telah menerima keahlian anggota yang sangat memberangsangkan pada waktu itu dan telah ikut berjuang di beberapa negara seperti Afrika Timur, Ceylon dan India. Namun, atas langkah penjimatan, Kerajaan British telah membubarkan Bahagian Tentera Laut Malaya ini pada April 1947.

Bermula tahun yang sama, 1947, Majlis-majlis Perundangan Persekutuan Tanah Malayu dan Singapura (tanah jajahan British) telah bergerak menuju ke arah kerajaan sendiri. Disebabkan hal yang demikian, pihak kerajaan persekutuan menyedari kepentingan keperluan-keperluan bagi mempunyai pasukan pertahanan sendiri. Maka, tertubuhlah angkatan Tentera Laut yang dikenali sebagai ‘Malayan Navy Force’.

5 tahun selepas itu, pada 23 Mei 1952, Malayan Navy Force telah dianugerahkan taraf Diraja. Penganugerahan ini dilakukan oleh Raja British. Dengan itu, Malayan Navy Force telah bertukar nama menjadi Royal Malayan Navy. Tidak lama kemudian, pusat pentadbiran Royal Malayan Navy berjaya dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu pada 1 Julai 1958. Sebelum ini, pusat pentadbiran tentera laut ini terletak di Singapura. 

Setelah itu, pada 13 Julai 1958, nama angkatan tentera laut (Royal Malayan Navy) sekali lagi ditukar menjadi Tentera Laut Diraja Malaya dan dengan rasminya di tadbir sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. 

Tentera Laut Diraja Malaya kemudian ditukar menjadi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena pembentukan Malaysia pada 16hb September 1963. Maka, inilah nama angkatan tentera laut Malaysia yang dikekalkan sehingga kini. 

Jika kita mengikuti perkembangan TLDM, banyak perubahan yang telah berlaku dari segi kemudahan, penggunaan teknologi dan persenjataan serta lain-lain. Perkembangan positif ini telah dipacu oleh beberapa insiden yang pernah berlaku di dalam negara kita. Demi mengekalkan kedaulatan dan memelihara keselamatan negara, pihak TLDM sentiasa bertungkus lumus memastikan anggota mereka serta kelengkapan yang sedia ada mampu menangani musuh. 

Menyoroti sejarah alat-alat kelengkapan TLDM, pasukan tentera laut ini dulu hanya mempunyai sebuah kapal penyapu periuk api yang menggunakan arang batu dan dikenali sebagai HMS PENYU pada tahun 1954. 

Namun kini, TLDM  telah dilengkapi dengan berbagai jenis kapal-kapal berenjin turbin yang laju, senjata berteknologi moden dan peluru-peluru berpandu, kapal selam dan lain-lain peralatan canggih seiring kemajuan perkembangan sains dan teknologi.

Tugas-Tugas TLDM Mengikut Situasi

TLDM

Berikut adalah antara peranan-peranan TLDM yang ramai tidak tahu. Mari baca!

TLDM diwujudkan bagi menjaga keselamatan di kawasan perairan negara termasuk kawasan pantai, kawasan berkepentingan strategik nasional seperti laluan laut Selat Melaka dan laluan antara Sabah/Sarawak dan Semenanjung, serta kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua negara. 

TLDM memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kawasan perairan negara kita sentiasa selamat dan tidak dicerobohi oleh musuh untuk memelihara kedaulatan negara. 

Selain itu, seiring dengan visi dan misi TLDM untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan, kepentingan strategik negara dan bersedia serta berlatih untuk berperang, TLDM juga berperanan untuk menjalankan tugas-tugas yang disenaraikan dibawah tanpa mengira waktu aman, darurat mahupun ketika berperang.

Semasa waktu aman, TLDM sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang ancaman dan membanteras kegiatan lanun terutamanya di kawasan perairan negara. Disamping itu, TLDM juga berperanan untuk menghalang kemasukan pendatang tanpa izin yang sering berusaha untuk menceroboh masuk melalui perairan negara kita. 

TLDM juga berperanan untuk memastikan aktiviti perdagangan antarabangsa boleh dijalankan dengan lancar dan melindungi sebarang aktiviti ekonomi negara di laut termasuk cari gali minyak, galian dan sumber perikanan.

Penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan wilayah dan Zon Ekonomi Eksklusif juga antara tugas utama TLDM. 

Apabila berlakunya darurat, pihak TLDM akan memperketatkan kawalan di seluruh perairan negara dan menghalang sebarang kegiatan yang mencurigakan di laut serta memastikan tiada berlakunya penyeludupan dadah mahupun senjata. 

See Also
mikroorganisma alga

Sekiranya berlaku peperangan, antara peranan TLDM adalah memastikan kawasan perairan negara dalam keadaan terkawal dan bersiap sedia menyerang serta menangkis senjata musuh samada dari atas mahupun bahagian bawah laut. Selain itu, pasukan TLDM juga perlu memberi bantuan dari laut untuk pasukan tentera yang berada di darat. 

Terdapat banyak lagi peranan-peranan TLDM sebagai pasukan keselamatan negara. Apa yang penting, dengan strategi dan kerjasama yang jitu diantara anggota TLDM, keselamatan negara pasti terjamin. 

Kesimpulan

TLDM  kini telah mempunyai lebih 17,044 pegawai dan anggota. Bilangan tersebut akan bertambah lagi seiring usaha merekrut yang sedang giat dijalankan.

Akhir kata,semoga pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa maju dan dikenali diserata dunia.

Sumber:

error: Content is protected !!