Tiroid dan perkaitan dengan penyakit lain
Tiroid adalah kelenjar berbentuk rama-rama yang terdapat di bahagian depan leher.

Tiroid adalah kelenjar berbentuk rama-rama yang terdapat di bahagian depan leher. Ia adalah kelenjar kecil, biasanya mempunyai berat kurang dari satu auns. Seterusnya, tiroid mempunyai dua lobus sisi, dihubungkan oleh jambatan (isthmus) di tengahnya. Apabila tiroid berukuran normal, anda tidak dapat merasakannya.

Apakah fungsi tiroid?

Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang mengatur kadar metabolisme badan bagi mengawal fungsi jantung, otot dan pencernaan, perkembangan otak dan pemeliharaan tulang. Fungsinya yang baik bergantung pada bekalan iodin daripada makanan. Sel yang menghasilkan hormon tiroid sangat khusus dalam mengekstrak dan menyerap iodin dari darah serta memasukkannya ke dalam hormon tiroid.

Fungsi kelenjar tiroid adalah mengambil iodin, yang terdapat dalam banyak makanan, serta mengubahnya menjadi hormon tiroid yang merupakan ‘thyroxine’ (T4) dan ‘triiodothyronine’ (T3). Setiap sel dalam badan bergantung pada hormon tiroid untuk mengatur metabolisme mereka. Kelenjar tiroid yang normal menghasilkan sekitar 80% T4 dan sekitar 20% T3, namun, T3 memiliki sekitar “empat kali” kekuatan hormon sebagai T4.

Malah, hormon tiroid mengatur fungsi penting badan, termasuk:

  • Bernafas
  • Kadar degupan jantung
  • Sistem saraf pusat dan periferal
  • Berat badan
  • Kekuatan otot
  • Kitaran haid
  • Suhu badan
  • Tahap kolesterol

Apakah itu penyakit tiroid?

Penyakit tiroid adalah istilah umum untuk keadaan perubatan yang menyebabkan tiroid anda tidak menghasilkan jumlah hormon yang tepat. Tiroid anda biasanya menghasilkan hormon bagi memastikan tubuh anda berfungsi dengan normal.

Masalah ini boleh mempengaruhi sesiapa sahaja – lelaki, wanita, bayi, remaja dan warga tua. Ia boleh muncul semasa kelahiran (biasanya hipotiroidisme) dan boleh berkembang seiring usia anda (selalunya selepas menopaus pada wanita). Anda juga mungkin berisiko lebih tinggi terkena penyakit tiroid jika anda:

  • Mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit tiroid.
  • Mempunyai keadaan perubatan (seperti ‘pernicious anemia’, diabetes jenis 1, kekurangan adrenal primer, lupus, artritis reumatoid, sindrom Sjögren dan sindrom Turner).
  • Mengambil ubat yang tinggi dengan iodin (amiodarone).
  • Berusia lebih dari 60 tahun, terutama bagi wanita.
  • Pernah menjalani rawatan untuk keadaan tiroid atau kanser terdahulu (‘thyroidectomy’ atau radiasi).

Jenis-jenis penyakit tiroid

Melalui hormon yang terhasil, kelenjar tiroid boleh mempengaruhi hampir semua proses metabolik dalam badan anda. Gangguan tiroid boleh berlaku secara tidak berbahaya (kelenjar membesar) dan tidak memerlukan rawatan hinggalah kanser yang mengancam nyawa.

Masalah tiroid yang paling biasa melibatkan pengeluaran hormon tiroid tidak normal. Hormon tiroid yang terlalu banyak boleh mengakibatkan keadaan yang dikenali sebagai hipertiroidisme. Pengeluaran hormon yang tidak mencukupi pula menyebabkan hipotiroidisme. Walaupun kesannya tidak menyenangkan atau tidak selesa, kebanyakan masalah tiroid dapat diatasi dengan baik jika didiagnosis dan dirawat dengan betul.

Berikut adalah beberapa gangguan tiroid:

  • Hipertiroidisme – Bagi keadaan hipertiroidisme, kelenjar tiroid adalah terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon. Penyakit Graves adalah penyebab hipertiroidisme yang paling biasa, dan mempengaruhi kira-kira 70 peratus individu dengan tiroid yang terlalu aktif. Nodul pada tiroid, suatu keadaan yang disebut ‘toxic nodular goitre’ juga boleh menyebabkan kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang berlebihan.

  • Hipotiroidisme – Hipotiroidisme adalah berlawanan dengan hipertiroidisme. Kelenjar tiroid adalah kurang aktif, dan tidak dapat menghasilkan hormon yang mencukupi. Hipotiroidisme sering terjadi disebabkan penyakit Hashimoto, pembedahan membuang kelenjar tiroid atau kerosakan akibat rawatan radiasi.

  • Penyakit Hashimoto – Penyakit Hashimoto juga dikenali sebagai tiroiditis limfositik kronik. Dalam gangguan autoimun ini, tubuh menyerang tisu tiroid. Tisu akhirnya mati dan berhenti menghasilkan hormon. Ia boleh berlaku pada usia berapa pun, tetapi paling biasa berlaku pada wanita dewasa. Penyakit ini berlaku apabila sistem kekebalan tubuh menyerang secara salah dan perlahan-lahan merosakkan kelenjar tiroid dan kemampuannya untuk menghasilkan hormon.

  • Goitre – Goitre atau gout adalah pembesaran kelenjar tiroid bukan kanser. Penyebabnya yang paling biasa adalah kekurangan iodin dalam diet. Goitre boleh menyerang sesiapa sahaja pada usia berapa pun, terutama di kawasan dunia di mana adanya masalah kekurangan makanan yang kaya dengan iodin. Walau bagaimanapun, goitre lebih kerap terjadi selepas usia 40 tahun dan pada wanita. Faktor risiko lain termasuklah sejarah perubatan keluarga, penggunaan ubat-ubatan tertentu, kehamilan dan pendedahan radiasi.

  • Nodul tiroid – Nodul tiroid adalah pertumbuhan yang terbentuk pada atau di kelenjar tiroid. Penyebabnya tidak selalu diketahui tetapi boleh merangkumi kekurangan iodin dan penyakit Hashimoto. Nodul boleh menjadi padat atau berisi dengan cecair. Sebilangan besar nodul adalah jinak, tetapi mereka juga boleh menjadi kanser dalam sebilangan kecil kes. Seperti masalah lain yang berkaitan dengan tiroid, nodul sering terjadi pada wanita berbanding lelaki, dan risiko pada kedua-dua jantina meningkat seiring dengan pertambahan usia.

  • Penyakit Graves – Penyakit Graves adalah gangguan autoimun yang berlaku apabila sistem kekebalan tubuh secara salah menyerang kelenjar tiroid. Ini boleh menyebabkan kelenjar menghasilkan hormon yang berlebihan dan bertanggungjawab untuk mengatur metabolisme. Penyakit ini boleh diwarisi dan mampu berkembang pada usia berapa pun pada lelaki atau wanita, tetapi ia lebih biasa memberi kesan pada wanita berusia 20 hingga 30 tahun.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/common-thyroid-disorders

https://www.webmd.com/women/guide/understanding-thyroid-problems-basics#1

https://www.webmd.com/women/picture-of-the-thyroid#1

https://www.yourhormones.info/glands/thyroid-gland/

https://www.endocrineweb.com/conditions/thyroid/how-your-thyroid-works

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8541-thyroid-disease

Langgani buletin kami dan dapatkan berita terbaru mengenai kesihatan serta promosi-promosi rakan kami.

Summary
Tiroid dan perkaitan dengan penyakit lain
Article Name
Tiroid dan perkaitan dengan penyakit lain
Description
Kelenjar tiroid menghasilkan hormon yang mengatur kadar metabolisme badan bagi mengawal fungsi jantung, otot dan pencernaan, perkembangan otak dan pemeliharaan tulang.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *