baju bundle

Baju bundle mungkin memberikan pelbagai reaksi yang berbeza dan pandangan yang berbeza daripada orang ramai. Ada yang hanya memandang baju bundle ini dengan pandangan sebelah mata sahaja dan mungkin juga ada yang mengganggap tiada kelas.

Tetapi sebenarnya di samping koleksi baju bundle ini dapat menjimatkan poket anda dan menjadi pilihan ramai kerana harganya yang murah, ada juga golongan yang sangat meminat baju bundle ini.

Kenapa Baju Bundle?

Minat golongan ini terhadap baju bundle ini muncul bukan hanya kerana disebabkan harganya yang mampu milik, tetapi mereka ini suka “menyelam” kerana ada kemungkinan tinggi menjumpai hasil selaman yang berjenama atau yang “rare” dengan harga yang cukup murah! Bayangkan anda boleh memiliki barangan dan pakaian berjenama tetapi dengan harga yang cukup-cukup murah! Bila lagi kan nak berbaju berjenama? Kalau kena dengan cara dan niatnya, penangan baju bundle ini akan buat anda ketagih!

Tetapi, muncul satu lagi persoalan yang bermain di benak fikiran orang ramai yang belum faham lagi apa yang istimewanya baju bundle ini. Persoalan tersebut ialah bagaimana dengan kualiti baju tersebut? Buat apa pakai baju berjenama tetapi kalau baju ada cacat cela dan berlubang pun tiada gunanya bukan? Betul-betul berbaloi ke?

Disebabkan itu pada kali ini, kami bawakan artikel tips-tips yang anda wajib tahu sebelum anda pergi terjun ‘menyelam’ mencari baju bundle idaman anda. Manalah tahu selepas ini anda dapat baju idaman yang sebelum ini agak musathil anda nak dapatkan disebabkan harganya yang terlampau tinggi. Apa lagi, jom kita ‘selam’!

1. Pilih Masa yang Sesuai

Pemilihan baju bundle ini perlulah dilakukan dengan tidak tergesa-gesa. Kadang-kadang anda akan berasa sangat teruja kerana perlu berebut dengan orang lain untuk mendapatkan hasil selaman  yang terbaik. Di sebalik kegharahan anda mencari yang bersesuaian dengan anda, anda perlu memastikan anda mempunyai pengurusan masa yang baik! Tak bermaksud anda perlu menunggu di kedai tersebut dari pagi dan petang.

Seorang penyelam baju bundle yang betul-betul dah berpengalaman tidak perlu mengambil masa sehingga berjam-jam untuk mendapatkan hasil buruan beliau. Yang penting anda dah set kan masa pada awal-awal waktu sebelum sampai di kedai tersebut, berapa jam kah anda dah peruntukkan untuk membuat pencarian. Pastikan anda tidak terburu-buru juga, kerana selalunya hasil pembelian yang dibuat secara terbur-buru pasti akan merugikan anda semula.

2. Buat “Mental Map”

Mencari baju bundle ini ibaratnya anda berada dalam misi mencari harta karun. Seorang pemburu harta karun yang betul-betul pakar tidak akan pergi terjun sesuka hati sahaja tanpa peta di tangan beliau. Disebabkan itu, tips kedua ini amat penting untuk anda yang baru berjinak-jinak dalam dunia pemburuan baju bundle.

Pastikan apabila tiba sahaja di kedai yang sudah menjadi target anda sejak sekian lama itu, anda scan dahulu keseluruhan bahagian kedai tersebut. Dari kaedah scan ini, anda akan tahu kedudukan beberapa kategori baju bundle yang mungkin anda nak dan mungkin juga ada yang anda tidak berminat langsung. Sebagai contoh, mungkin bahagian rak di sebelah kiri kedai akan dipenuhi baju-baju retro. Di tengah kedai akan dipenuhi koleksi jaket-jaket kulit. Di sebelah kanan pula dipenuhi rak-rak yang menempatkan seluar jeans terpakai.

Untuk menjimatkan masa anda, lebih baik anda scan dahulu keseluruhan kedai tersebut dan mulakan di bahagian yang betul-betul anda rasa akan memberikan pulangan yang terbaik untuk anda. Ingat kedudukan barang-barang tersebut dan jadikan ini sebagai “mental map” atau peta di dalam minda anda.

3. Jangan Buat Sangkaan Awal Secara Melulu

Satu lagi tips untuk anda yang baru sahaja ingin mencuba nasib di dunia ini. Pengalaman mencari dan membeli-belah di kedai baju bundle ini amatlah berbeza daripada pengalaman membeli baju di kedai-kedai biasa. Anda kena ingat bahawa baju-baju ini semua merupakan baju-baju terpakai jadi pastikan anda betul-betul faham dahulu kondisi dan keadaan apabila membeli baju-baju terpakai ini.

Jangan pula anda menyangka baju-baju yang terkumpul di sebalik humbanan atau di sebalik timbunan yang diletakkan di dalam bakul baju tersebut tidak mempunyai koleksi baju-baju yang menarik. Pastikan anda merajinkan diri anda kerana pemburu yang betul-betul berpengalaman akan menyelak semua humbanan dan timbunan-timbunan ini. Kerana ada sesetengah kedai tidak membahagikan baju tersebut terlebih dahulu. Jadi terpulang kepada nasib anda dan siapa yang cepat untuk mengambil baju bundle yang masih elok dan semestinya menjadi bonus sekiranya baju tersebut merupakan baju berjenama atau yang “rare”.

Selain itu, pastikan juga anda menyasarkan baju-baju yang digantung tetapi mempunyai banyak renyuk. Hal ini kerana, baju-baju yang renyuk ini selalunya yang baru sahaja melalui proses “pecah guni”. Buat anda yang masih baru nak memahami dunia ini, istilah “pecah guni” ini merupakan istilah apabila baju-baju ini dikeluarkan daripada guni-guni yang dibekalkan daripada pembekal kepada kedai-kedai ini. Disebabkan keadaan yang masih “segar” dikeluarkan daripada guni pembekal, maka peluang anda untuk mendapatkan baju bundle yang berkualiti tinggi dan masih elok lagi.

Cuba Tips Ini dan Selamat “Menyelam” Baju Bundle

Untuk artikel kali ini, cukuplah tiga tips utama ini untuk anda yang baru sahaja tertarik hati untuk mencuba mencari barangan berkualiti walaupun terpakai di kedai baju bundle. Mungkin bagi sesetengah orang mereka menyangka baju bundle ini kotor dan sudah lusuh, tetapi kalau kena dengan caranya, baju bundle ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri berkualiti mereka. Selamat mencuba semua!

SUMBER

https://www.sabrijati.com/tips-memilih-pakaian-terpakai-bundle

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/08/07/jangan-terburu-buru-5-tips-beli-barang-bundle-atau-preloved

http://farahanani.blogspot.com/2009/12/senarai-5-panduan-membeli-dan-belah-di.html

http://www.100penulis.com/2010/01/lima-tips-beli-pakaian-terpakai.html

https://www.freepik.com/free-photo/thrift-shop_3533829.htm

https://www.freepik.com/premium-photo/male-mens-denim-jeans-shirts-sorted-clothes-hangers-shop-wardrobe-closet-rail_5879532.htm

https://www.freepik.com/premium-photo/second-hand-store_1967669.htm

Summary
Tips Wajib Tahu Sebelum Shopping Baju Bundle!
Article Name
Tips Wajib Tahu Sebelum Shopping Baju Bundle!
Description
Baju bundle mungkin memberikan pelbagai reaksi yang berbeza dan pandangan yang berbeza daripada orang ramai. Ada yang hanya memandang baju bundle ini dengan pandangan sebelah mata sahaja dan mungkin juga ada yang mengganggap baju bundle ini tiada kelas. Tetapi sebenarnya di samping koleksi baju bundle ini dapat menjimatkan poket anda dan menjadi pilihan ramai kerana harganya yang murah, ada juga golongan yang sangat meminat baju bundle ini.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: