Tips Mengurangkan Kesakitan Pembedahan Gigi Bongsu
Kebanyakan individu akan mengesyorkan anda untuk pergi ke doktor gigi dengan serta-merta untuk mencabutnya.

Sesiapa yang pernah mempunyai Gigi Bongsu pasti tahu betapa sakitnya ia sehingga boleh menjejaskan keadaan anda. Kebanyakan individu akan mengesyorkan anda untuk pergi ke doktor gigi dengan serta-merta untuk mencabutnya. Dalam sesetengah kes, selepas anda menjalani pembedahan Gigi Bongsu, anda masih rasa sakit pada tempat yang dicabut tersebut.

Selain mengalami pendarahan sementara, ketidakselesaan, bengkak dan lebam selepas pembedahan, kebanyakan pesakit pulih dengan cepat. Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa terdapat komplikasi pembedahan Gigi Bongsu yang sering terjadi iaitu ‘Soket Kering’ atau Dry Socket. Jangan bimbang kerana ia boleh dicegah.

Soket Kering terjadi apabila darah beku yang baru terbentuk di dalam soket gigi telah tersekat atau terlarut sehingga mendedahkan tulang dan hujung saraf. Selain kesakitan teruk, simptom Soket Kering adalah nafas berbau, rasa yang tidak menyenangkan di dalam mulut anda, tulang yang kelihatan di dalam soket, kelenjar limfa bengkak di kawasan leher anda dan demam gred rendah.

Apabila Gigi Bongsu dikeluarkan, adalah penting untuk memahami cara terbaik untuk menyembuhkannya dengan cara yang selesa dan cepat. Setelah gigi bongsu tersebut dikeluarkan, penyembuhan bermula apabila darah beku terbentuk di kawasan tersebut. Apabila proses ini terganggu, ia akan mengakibatkan satu keadaan yang dipanggil Soket Kering yang menyakitkan. Untuk mengelakkannya daripada berlaku dan untuk melegakan kesakitan, anda perlu mengikuti petua penjagaan ini. Dengan mengikuti beberapa petua mudah ini, anda boleh mengelakkan Soket Kering dan mengurangkan sakit dengan ketara.

1. Makan Ubat Tahan Sakit

Sebaik sahaja anda berada di rumah, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah makan ubat tahan sakit anda. Sekiranya doktor gigi memberi anda preskripsi, patuhilah arahan yang diberikan. Jika doktor anda menasihatkan anda untuk mengambil ubat di kaunter, seperti ibuprofen atau aspirin, ambilnya sebelum anda merasa sakit. Jangan menunggu kesakitan muncul, kerana mencegah adalah lebih mudah berbanding meredakannya.

2. Menguruskan Pembalut

Apabila anda meninggalkan klinik doktor gigi, tempat yang dibedah pada gusi akan dibalut menggunakan pad kain kasa untuk menutup kawasan itu. Ia mungkin berdarah, tetapi jangan panik kerana itu adalah normal. Namun begitu, jika terdapat sebarang pendarahan yang tidak normal, hubungi atau jumpalah doktor pergigian anda dengan serta-merta. Tukar pembalut seperti yang diarahkan. Ini adalah langkah paling penting untuk mencegah masalah Soket Kering.

3. Membersihkan Mulut Anda

Berhati-hati ketika memberus gigi bagi mengelakkan mengganggu pembekuan darah di lokasi pembedahan selama tiga hingga empat hari ketika anda dalam proses penyembuhan. Balut kawasan tersebut dengan pad kain kasa yang bersih dan lembap. Selain itu anda juga boleh menggunakan ubat kumur jika anda memilih untuk tidak menggunakan berus gigi dalam beberapa hari pertama. Ubat kumur chlorhexidine adalah alternatif yang baik bagi berus gigi.

4. Mengurangkan Bengkak

Anda juga mungkin akan mengalami pembengkakan pada kawasan tersebut. Letakkan pek ais selama 15 minit untuk membantu mengurangkan bengkak. Pertimbangkan pengambilan aspirin atau ibuprofen sebagai ubat anti-radang untuk membantu mengurangkan bengkak.

Walau bagaimanapun, jangan gunakan haba pada kawasan ini. Haba boleh meningkatkan aliran darah ke kawasan tersebut dan akan meningkatkan rasa sakit dan bengkak.

5. Mengurangkan Pendarahan

Pendarahan adalah normal. Seeloknya, selepas pembedahan dijalankan, biarkan pad kain kasa di tapak Gigi Bongsu selama 30 minit. Bagi pendarahan yang lebih berat, gigit kain kasa atau letakkan jari anda di atas pad secara konsisten selama 30 minit sebelum menggantinya. Alternatif lain adalah dengan menggunakan uncang teh yang lembap dalam jumlah masa yang sama. Asid tannic dalam teh mengecutkan saluran darah dan membantu proses pembekuan darah.

6. Menjalani Diet Yang Sesuai

Selepas pendarahan berhenti, minum banyak cecair suam atau sejuk untuk kekal terhidrat. Makan makanan biasa, seperti yang dinasihatkan oleh doktor gigi anda. Anda boleh mulakan dengan mengambil cecair yang jelas dan makanan yang ringan. Puding, telur, kentang lenyek dan bijirin yang dimasak atau sayur-sayuran, daging dan buah-buahan yang telah dihancurkan dalam pengisar adalah pilihan yang baik. Untuk mengelakkan darah beku, elakkan minuman berkarbonat dan memakan makanan seperti popcorn, kacang, dan pasta kerana ia boleh meninggalkan sisa di dalam soket anda.

Selain itu petua lain yang boleh anda ikuti:

Pastikan kepala anda dinaikkan untuk tiga hari pertama

Apabila anda tidur, pastikan kepala anda dinaikkan di atas bantal sehingga kepala anda ditegakkan ke sudut 45 darjah. Ini dapat membantu anda pulih lebih cepat dari pembedahan Gigi Bongsu kerana aliran darah berhampiran tempat yang luka meningkat apabila anda berbaring rata, justeru menyebabkan denyutan pada luka. Selain itu, menjaga posisi kepala anda juga dapat membantu mengurangkan bengkak yang dialami akibat pembedahan gigi bongsu.

Menggunakan bantal yang sesuai seperti ‘airline pillow’ juga merupakan cara yang mudah dan berkesan untuk mengawal kepala anda dengan lebih baik apabila anda berada dalam kedudukan tegak.

Jangan biarkan mulut anda kering

Mulut anda mungkin akan berasa agak sakit selepas pembedahan Gigi Bongsu. Anda juga mungkin akan cuba bernafas melalui mulut walaupun dalam keadaan kesakitan. Seeloknya, anda mengelakkan perbuatan ini sekiranya boleh kerana ia akan mengeringkan mulut anda. Kekeringan boleh mengganggu keseimbangan pH dalam mulut anda dan membolehkan bakteria masuk ke dalam luka sejurus itu  meningkatkan risiko jangkitan.

Jika anda perlu bernafas melalui mulut anda, gunakan pelembap rongga mulut untuk membantu menjaga mulut anda sihat sepanjang proses penyembuhan anda.

Urut otot masseter pada kedua-dua belah mulut anda

Semasa pembedahan Gigi Bongsu, mulut anda akan ditahan untuk kekal terbuka dalam tempoh masa yang panjang. Keadaan ini boleh menyumbang kepada kesakitan myofacial dan kekejangan atau kesakitan otot masseter, yang merupakan salah satu otot di rahang anda yang membantu anda mengunyah.

Mengurut bahagian wajah anda tersebut selepas pembedahan akan membantu anda pulih dengan lebih cepat kerana ia mengurangkan beberapa tekanan yang tidak perlu pada rahang anda. Bagi mencari otot masseter di wajah anda, letakkan jari anda di bawah pembukaan setiap telinga. Urut perlahan-lahan selama beberapa minit pada satu-satu masa.

Minum air kelapa sejuk sehinggalah anda dapat makan makanan ringan

Tidak dapat makan makanan seperti biasa adalah salah satu kesan sampingan yang tidak menyenangkan dari pembedahan Gigi Bongsu. Namun begitu, air kelapa dapat membantu anda tetap terhidrat dan kenyang semasa proses pemulihan.

Air kelapa membantu mengekalkan gula darah yang stabil dan menambah elektrolit semasa anda tidak dapat makan makanan yang berbentuk pepejal. Selain itu, minum air kelapa pada suhu yang sangat sejuk dapat menenangkan keradangan yang berlarutan.

Sekiranya anda ingin mendapatkan manfaat air kelapa tetapi tidak mahu meminumnya begitu sahaja, cubalah membuat smoothie daripada sayur-sayuran dan lemak sihat (Seperti avokado) dan gunakan air kelapa sebagai pengganti kepada air kosong. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menambah secubit dua kunyit untuk melawan keradangan dan mempercepatkan penyembuhan.

Elakkan perkara tersebut:

Berikut adalah tip tambahan yang patut anda ELAKKAN bagi mencegah Soket Kering dan menggalakkan penyembuhan:

  • Jangan bilas kawasan tersebut selama 24 jam selepas pembedahan gigi.
  • Jangan mencucuk tapak pembedahan dengan lidah anda.
  • Elakkan menghisap pad kapas, meludah, dan meniup hidung anda.

Jangan merokok, ia boleh mengganggu penyembuhan kerana gerakan menghisap boleh mengganggu pembekuan darah.

Sumber

https://www.medicalnewstoday.com/articles/321657

https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/wisdom-tooth-extraction/about/pac-20395268

https://www.angieslist.com/articles/7-tips-recover-wisdom-teeth-removal.htm

Summary
Tips Mengurangkan Kesakitan Pembedahan Gigi Bongsu
Article Name
Tips Mengurangkan Kesakitan Pembedahan Gigi Bongsu
Description
Sesiapa yang pernah mempunyai Gigi Bongsu pasti tahu betapa sakitnya ia sehingga boleh menjejaskan keadaan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: