lengkungan penyebaran COVID-19 semakin rata
Malaysia mempunyai harapan yang semakin cerah memandangkan lengkungan penyebaran COVID-19 dilihat semakin rata berbanding apa yang dijangkakan.

Lengkungan penyebaran COVID-19 di Malaysia semakin rata dan ini adalah satu berita yang menggembirakan . Namun, ia masih terlalu awal untuk disahkan. Setelah 2 minggu berlalunya perintah ‘Kawalan Pergerakan’, Malaysia mungkin mempunyai sinar harapan baharu akan kes COVID-19 di negara ini. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan bahawa kadar kes COVID-19 menunjukkan petanda awal bahawa langkah yang diambil oleh kerajaan itu boleh berkesan.

Walaupun ia masih terlalu awal untuk memberi kenyataan sebegitu, namun ia dilihat memberi harapan kepada negara bahawa wabak ini boleh ditangani sekiranya semua pihak memberi kerjasama yang baik.

Berdasarkan akhbar atas talian TheStar, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata bahawa jika dibandingkan dengan unjuran oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), jumlah kes sebenar COVID-19 menunjukkan bilangan yang lebih rendah daripada apa yang diramalkan terdahulu.

MIER pada awalnya meramalkan bahawa Malaysia akan mempunyai sebanyak 4,087 kes COVID-19 yang baru pada 31 Mac. Namun, realitinya Malaysia hanya mencatat sebanyak 2,766 kes pada 31 Mac yang lalu.

Jika bilangan kes COVID-19 semakin berkurangan hari demi hari, ini pastinya suatu khabar berita yang amat menggembirakan dan mengagumkan bagi semua pihak. Berkat bantuan ‘frontliners’ kita yang bekerja tanpa mengira penat lelah bagi membantu merawat semua pesakit COVID-19 serta pihak-pihak lain yang membantu memastikan kita mematuhi arahan kerajaan, semua ini boleh menjadi nyata.

Tetapi, tunggu dahulu. Memandangkan tempoh ‘Kawalan Pergerakan’ diteruskan sehingga 14 April 2020, diharapkan semua pihak masih mengikuti arahan kerajaan dengan sebaiknya. Duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu. 2 minggu ini adalah sangat kritikal kerana ia akan menentukan sama ada arahan kerajaan itu benar-benar membuahkan hasil seperti yang dikehendaki atau tidak.

Bagi mereka yang kurang faham akan kepentingan negara kita mengurangkan lengkungan penyebaran COVID-19, ini adalah beberapa fakta yang anda harus ketahui.

  • Lengkungan penyebaran COVID-19 yang semakin rata bukanlah bermakna bahawa negara itu sudah selamat daripada penyakit itu, namun ia bermakna bahawa penyebaran coronavirus sudah dapat dikawal dengan lebih baik.
  • Lengkungan penyebaran COVID-19 yang semakin rata membolehkan sistem kesihatan negara mengatasi dan merawat kes-kes sedia ada dengan peralatan yang mencukupi.
  • Lengkungan penyebaran COVID-19 yang semakin rata boleh dicapai dengan kaedah pengasingan di seluruh negara bagi membendung penularan wabak COVID-19 dengan lebih cepat.

Secara amnya, jika lengkungan itu lebih rata, Malaysia mempunyai peluang lebih cerah untuk menangani kes-kes COVID-19 dengan lebih baik berbanding negara-negara lain. Di Itali sahaja, sejak 5 petang tadi, negara itu telah mencatat kes kematian sebanyak 13,155 iaitu hampir 4 kali ganda berbanding kes kematian di China, yang merupakan negara pertama yang dilanda wabak itu.

Jadi, jika rakyat Malaysia tidak bersatu padu untuk membendung penularan wabak ini, maka sia-sialah usaha pihak perubatan dan kerajaan selama ini. Jika arahan perintah ‘Kawalan Pergerakan’ itu tidak berkesan, maka Malaysia mungkin mengalami gelombang ketiga wabak COVID-19 yang sangat dahsyat dan membimbangkan.

Lengkungan penyebaran COVID-19 haruslah semakin rata agar menunjukkan tanda-tanda bahawa keadaan di Malaysia masih terkawal jika dibandingkan dengan negara-negara luar.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://sea.mashable.com/culture/9865/after-weeks-of-mco-malaysias-showing-progress-in-flattening-coronvirus-infection-curve

SUMBER

  1. https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/04/01/health-ministry-figures-show-covid-19-curve-is-flattening-says-health-dg
  2. https://www.worldofbuzz.com/moh-covid-19-curve-shows-signs-of-flattening-urges-msians-to-continue-staying-at-home/
  3. https://www.cnbc.com/2020/03/19/coronavirus-what-does-flattening-the-curve-mean-and-why-it-matters.html
  4. https://www.coronatracker.com/

Summary
Teruskan usaha Malaysia, lengkungan penyebaran COVID-19 kita semakin rata!
Article Name
Teruskan usaha Malaysia, lengkungan penyebaran COVID-19 kita semakin rata!
Description
Lengkungan penyebaran COVID-19 di Malaysia semakin rata dan ini adalah satu berita yang menggembirakan . Namun, ia masih terlalu awal untuk disahkan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: