Tempat Menarik Di Perak

Tempat menarik di Perak? Adakah itu yang anda cari? Mari kenali dahulu sedikit sebanyak tentang Negeri Perak yang merupakan salah sebuah negeri daripada 14 buah negeri yang membentuk Malaysia.

Tahukah anda, Negeri Perak merupakan negeri yang kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Pahang? Namun di dalam Malaysia, Perak berada di kedudukan yang keempat terbesar di Malaysia.

Perak bersempadanan dengan negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang di sebelah barat darat, manakala terdapat Kelantan di sebelah timur laut, Pahang pula di timur dan tenggara, dan Selangor di arah selatan serta Selat Melaka di barat. Negeri Perak juga mempunyai sempadan antarabangsa dengan negara Thailand (atau Wilayah Yala), di sebelah utara dan Pulau Sumatera, Indonesia di barat daya. Sudah semestinya negeri ini mempunyai banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Pulau Pangkor

Pulau Pangkor terletak di barat Semenanjung Malaysia dan merupakan antara destinasi pulau percutian yang popular selain daripada Pulau Langkawi. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dapat dilakukan di pulau ini seperti snorkling, sukan air sehinggalah aktiviti tepi pantai yang santai. Pulau Pangkor Laut, Pulau Giam dan Pulau Mentagor juga antara pulau yang popular dan menjadi destinasi untuk aktiviti snorkeling kerana dikelilingi oleh terumbu karang.

Selain itu, di Pulau Pangkor juga terdapat kesan peninggalan kubu pertahanan Belanda yang sehingga kini masih terdapat di Teluk Gadung, Pulau Pangkor. Anda tidak perlu risau ketika anda di Pulau Pangkor ini, kerana terdapat banyak tempat-tempat penginapan yang boleh anda kunjungi jika anda ingin bercuti di sini.

Lost World Of Tambun

Sunway Lost World of Tambun adalah salah satu tempat yang akan dipenuhi dengan pengunjung semasa musim cuti.

Taman Tema ini menawarkan pelbagai tarikan yang sesuai buat anda dan keluarga seperti Water Park, Lost World Petting, Amusement Park, Adventure Park, Tigger Valley dan Tin Valley.

Pada sebelah malam pula, anda boleh mencuba tarikan kolam air panas Hotsprings untuk bersantai setelah seharian melakukan pelbagai aktiviti di taman tema Lost World Of Tambun.

Kellie’s Castle

Kellie’s Castle adalah tempat menarik yang terletak di Perak dan harus untuk dilawati. Ia merupakan istana lama yang telah dibina oleh William Kellie Smith pada tahun 1905.

Istana ini mempunyai 14 bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia. Bangunan tiga tingkat ini bagaimanapun tidak sempat untuk disiapkan setelah Kellie Smith meninggal dunia secara mengejut kerana penyakit Pneumonia.

Selain terkenal dengan menjadi lambang kasih sayang kepada pasangan kerana dibina oleh Kellie khusus buat isterinya, ia turut dikaitkan dengan cerita-cerita seram yang disampaikan oleh pengunjung yang pernah datang melawat.

Kolam Air Panas Sungai Klah

Kolam air panas Sungai Klah ini terletak berhampiran dengan Pekan Sungkai yang terdapat beberapa kolam air panas semulajadi.

Tempat ini sangat sesuai didatangi bagi anda yang ingin merehatkan diri dari kesibukan kerja serta menenangkan fikiran dari segala kekusutan minda. Pelbagai kemudahan yang disediakan untuk pengunjung seperti tandas, kafe, surau, dan villa.

Galeri Sultan Azlan Shah

Galeri Sultan Azlan Shah ini terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar telah dibuka kepada umum pada 9 Disember dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Azlan Shah.

Galeri Sultan Azlan Shah ini dibina semula dari istana lama iaitu Istana Ulu yang juga dikenali dengan nama Istana Kota. Istana ini pada asalnya ialah tempat persemayaman Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Mursyidul ‘Adzam Shah yang memerintah dari tahun 1887–1916.

Galeri ini memaparkan sejarah dan perjalanan hidup Baginda Almarhum Sultan Azlan Shah dari zaman muda sehinggalah ke era pemerintahan baginda. Selain itu, di galeri ini juga mempamerkan barangan koleksi peribadi dan berharga milik Keluarga Diraja Perak.

Di sini juga, anda boleh belajar tentang sejarah negeri Perak dan warisan kebudayaan Perak.

Muzium Perak

Muzium Perak adalah muzium pertama dan tertua yang ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1883 oleh Si Hugh Low.

Muzium Perak ini kaya dengan koleksi etnologi, sejarah, alam semula jadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasifikasikan sebagai koleksi nadir atau rare yang berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar tanah yang kini sukar ditemui kerana kepupusan.

Jumlah koleksi yang terdapat di Muzium Perak ini sebanyak 8,474 dan terdiri daripada 5,074 koleksi kebudayaan, 523 koleksi alam semulajadi dan 2,877 lain-lain koleksi yang termasuk bahan-bahan arkeologi.

Seni bina bangunan Muzium Perak terpengaruh daripada bangunan masyarakat “moor” di India, dan ‘neo-classical” serta “Victorian” masyarakat di Eropah yang menjadikannya lain dan unik. Buat anda yang meminati sejarah, jangan lepaskan peluang anda ini untuk berkunjung ke Muzium Perak.

Pasar Lok Kin

Untuk peminat barang terpakai dan antik, Pasar Lok Kin bukanlah satu tarikan yang asing di Ipoh, Perak. Pasar yang diadakan hanya pada setiap hari Ahad ini adalah tumpuan penduduk Ipoh dan memang dinantikan kehadirannya setiap minggu.

Rata-rata yang datang awal ialah pengumpul barangan terpakai seperti kasut dan jam tangan lama. Mereka ini datang seawal 7 pagi, iaitu waktu banyak penjual sedang mengeluarkan barang mereka, untuk memastikan yang barangan terbaik tidak terlepas ke tangan orang lain.

Selain dari barangan tersebut, terdapat pelbagai barangan lain yang diselerakkan di atas jalanraya bermula dari kelengkapan rumah dan kereta hinggalah ke aksesori telefon dan ubat kuat.

Jika anda pengumpul setem lama, duit lama, barangan tembaga dan pelbagai barangan “collectibles”, anda wajib mengunjungi Pasar Lok Kin.

Gua Tempurung

Gua ini dahulunya adalah tempat perlombongan biji timah dan mempunyai kedalaman sehingga 3km. Pada zaman perang, gua ini menjadi tempat menyorok daripada askar-askar Jepun. Setelah zaman perang berakhir, gua ini dijadikan laluan rahsia oleh golongan komunis untuk melarikan diri daripada askar Melayu.

Walaupun tempat ini adalah sebuah gua lama, namun ia dilengkapi dengan lampu dan tempat letak kereta bagi kemudahan pengunjung. Gua ini dijadikan mesra kanak-kanak supaya semua pengunjung dapat dapat berkunjung dengan selamat dan aman.

Jika anda ingin memasuki gua tersebut, anda tidak perlu pun memakai pakaian sukan dan kasut khas.

Tempat ini turut menawarkan pakej lawatan untuk para pengunjung. Pakej paling murah iaitu pakej Golden Flowstine. Anda dapat melihat tempat melombong timah dalam gua, sehingga naik 60 meter dari paras tanah selama 40 minit.

Kota Belanda

Buat anda yang berkunjung ke Pulau Pangkor, Perak, jangan lupa untuk berkunjung ke Kota Belanda yang terletak di Teluk Gadang, hanya 100 meter dari pantai. Kota Belanda yang berusia lebih 300 tahun ini merupakan sebuah kubu lama kolonial Belanda yang dijadikan sebagai gudang penyimpanan bijih timah dari negeri Perak.

Anda berpeluang melihat secara dekat peninggalan penjajah, sejarah pengaruh Barat di Tanah Melayu, dan juga beberapa rumah limas tradisional negeri Perak yang telah dibina oleh kerajaan negeri Perak bagi menambahkan lagi nilai serta tarikan pelancongan di sini.

Meskipun sudah lama kita berkurung di rumah dek kerana virus Covid-19 yang melanda dunia kini, simpan sahajalah dahulu senarai tempat menarik ini. Doa-doalah supaya kita dibenarkan melancong kembali dalam masa yang terdekat.

Semoga bermanfaat!

SUMBER

https://medium.com/@sayharosli/20-tempat-menarik-di-perak-1042360bc51f

https://www.jomjalan.com.my/listing/

Summary
Tempat Menarik Di Perak Yang Harus Dilawati
Article Name
Tempat Menarik Di Perak Yang Harus Dilawati
Description
Tempat menarik di Perak? Adakah itu yang anda cari? Mari kenali dahulu sedikit sebanyak tentang Negeri Perak yang merupakan salah sebuah negeri daripada 14 buah negeri yang membentuk Malaysia.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: