Tempat Menarik Di Cherating: Jom Lawati Seisi Keluarga

tempat menarik di cherating

Pantai Cherating merupakan sebuah pantai peranginan yang sangat popular di Negeri Pahang & terletak di dalam Daerah Kuantan. Seronok sebenarnya bercuti di Pantai Cherating ibarat ‘menyelam sambil minum air’ kerana anda bukan sahaja dapat melakukan aktiviti & melawat tempat menarik di Cherating sahaja, malah dapat juga ke beberapa destinasi menarik sekitar Bandar Chukai, Kemaman. Tambahan pula, banyak tempat menarik di Cherating.

Walaupun Pantai Cherating ini terletak dalam Daerah Kuantan, sebenarnya bandar atau pekan yang terdekat adalah Bandar Chukai, Kemaman & jaraknya hanya 5-8 minit memandu. Manakala jarak Bandar Kuantan ke Cherating pula sekitar 35 minit memandu.

 1. Pantai Cherating

Kalau sebut sahaja nama Pantai Cherating, ramai yang keliru di mana sebenarnya lokasi utama Pantai Cherating ini. Pantai Cherating sebenarnya sangat panjang & jaraknya menjangkau 7-8 kilometer. Setiap kawasan tumpuan di sepanjang Pantai Cherating mempunyai tarikannya yang tersendiri. Samaada anda menginap di hotel contohnya di Legend Cherating Beach Resort ataupun Royale Chulan Cherating, kedua-dua resort ini terletak di dalam kawasan Pantai Cherating walaupun jarak antara dua resort ini sejauh 3-4 km. Tambahan pula, ada sesetengah hotel seperti di Club Med, pantai sekitarnya hanya khas untuk tetamu yang menginap.

Jadi, untuk anda sebagai pelancong yang mungkin hanya nak bersantai petang tanpa menginap sekitar hotel di Cherating, lokasi yang paling menjadi tumpuan pengunjung adalah di sini ( rujuk butang Peta Lokasi di bawah). Pantai ini memang sangat lapang, berteluk besar serta sangat landai. Malah anda boleh berjalan kaki agak jauh dari pesisiran pantai ke kawasan air. Destinasi ini juga sering menjadi lokasi untuk pelancong melakukan aktiviti seperti windsurfingkite surfing & sebagainya. Berdekatan dengan pantai utama ini, terdapat beberapa penginapan yang boleh jalan kaki sahaja seperti Cherating Bay View Resort, Tanjung Inn Resort, Cherating Cottage & banyak lagi. Di kawasan Pantai Cherating ini juga terdapat banyak papan-papan tanda & lot kedai yang masing-masing menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan untuk pelancong seperti mangrove tour, fireflies tour, fishing trip & sebagainya.

2. Santuari Penyu Cherating

Santuari Penyu Cherating, Tempat Bagus Untuk Perkembangan Minda

Kalau bercuti di Cherating bersama anak-anak, salah satu destinasi menarik yang boleh anda bawa mereka adalah di Pusat Penerangan & Santuari Penyu Cherating yang terletak berhadapan dengan pintu masuk Club Med Cherating Beach Resort. Santuari ini tidaklah terlalu besar seperti di Zoo Negara & ianya hanya terletak di sebuah bangunan kecil yang mungkin anda boleh habiskan masa lawatan sekitar 10-15 minit sahaja. Di dalamnya terdapat galeri-galeri penerangan yang mempamerkan pelbagai informasi & infografik menarik berkaitan dunia penyu. Yang paling menarik di sini adalah di bahagian luar bangunannya di mana terdapat beberapa kolam yang menempatkan beberapa spesis penyu termasuk dengan tuntung & labi-labi.

Antara spesis penyu yang ada di sini ialah seperti leatherback turtle, green turtle, Hawks-bill turtle dan juga Olive Ridley turtle. Anda juga dapat melihat sangkar di dalam kolam yang dipenuhi dengan anak-anak penyu yang baru menetas. Kaget juga melihat betapa banyaknya anak penyu dalam kolam ini yang berenang-renang seperti anak berudu di dalam lopak air. Selain itu, di sini juga ada program-program menarik untuk pengunjung seperti melawat tapak penetasan telur penyu, melihat pelepasan anak-anak penyu ke laut & juga program turtle watching waktu malam. Masuk ke sini adalah percuma & pengunjung hanya perlu daftar diri di bahagian kaunter.

3. Kelip-Kelip Sungai Cherating

Selain aktiviti di pantai, pelancong juga boleh melakukan aktiviti sekitar Sungai Cherating dengan melihat kelip-kelip pada waktu malam. Terdapat beberapa operator yang menyediakan pakej melihat kelip-kelip sekitar Sungai Cherating. Kalau anda beranggapan pada musim tengkujuh & waktu hujan, aktiviti melihat kelip-kelip tidak semeriah hari biasa, anda silap besar. Sebenarnya pada musim hujan atau musim tengkujuhlah aktiviti melihat kelip-kelip lebih menarik.

Ini kerana, kelip-kelip akan bertelur di bahagian tebing yang basah selepas hujan & secara tak langsung jumlah kelip-kelip untuk anda lihat pada musim ini juga lebih banyak. Sekiranya anda belum pernah melihat kelip-kelip, sangat disyorkan untuk melihat keindahan serangga eksotik yang cantik ini & pasti akan memberikan anda satu pengalaman yang menarik untuk dibawa pulang ke rumah nanti.

4. Mangrove Tour Sungai Cherating

MANGROVE TOURS ~ HAFIZ'S CHERATING ACTIVITIES

Sungai Cherating mempunyai daya tarikan hutan paya bakau sekeliling yang sangat menarik untuk diterokai pelancong. Untuk melihat keindahan hutan paya bakau & hidupan liar di sini, pelancong boleh menaiki bot yang disediakan oleh beberapa operator di sini. Sekiranya anda menginap di hotel atau chalet berdekatan, pihak hotel boleh menguruskannya. Sekiranya anda ingin uruskan sendiri, boleh cari Hafiz’s Cherating Activities Centre yang terletak berdekatan dengan Pantai Cherating.

Perjalanan melihat hutan paya bakau menyusuri Sungai Cherating memang menyeronokkan. Sekiranya anda seorang yang sukakan aktiviti kembara, fotografi & mempunyai anak-anak yang mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, aktiviti ini sangat disyorkan untuk anda cuba. Selain melihat pokok bakau, terdapat banyak haiwan-haiwan di sini yang boleh anda nampak ketika menaiki bot seperti spider crab, monyet, biawak, ular, burung-burung hutan & sebagainya.

5. Pantai Teluk Mak Nik (Monica Bay)

Destinasi Pantai Teluk Mak Nik atau juga dikenali sebagai Monica Bay merupakan sebuah pantai rekreasi untuk lepak-lepak petang. Di sepanjang Pantai Teluk Mak Nik terdapat banyak wakaf-wakaf yang sangat redup kerana banyak pokok-pokok rhu yang tumbuh meninggi. Walaupun pada waktu tengahari kawasan di wakaf-wakaf ini memang nyaman tanpa pancaran terik matahari di atas kepala. Kombinasi terbaik kalau santai di pantai ini ialah sudah tentu makanan santai yang boleh anda beli di Warung Otak-Otak Che Wan. Dari pantai ini, anda boleh lihat banyak bot-bot atau barge nun jauh di tengah laut yang sedang berlabuh di Kemaman Supply Base.

Di Pantai Monica Bay ini juga terdapat sebuah litar terbuka motocross yang sering menjadi lokasi sukan perlumbaan samaada peringkat tempatan atau antarabangsa. Kalau berkelah di sini pada masa perlumbaan, suasana di sini sangat meriah dengan kebanjiran penonton & penjaja-penjaja jalanan.

 6. Limbong Art

Anda mencari tempat yang menarik di Cherating untuk beli cenderahati istimewa yang sinonim dengan negeri pantai timur? Apa kata singgah sebentar di Limbong Art. Destinasi ini menawarkan pelbagai pilihan barangan batik seperti baju, skaf, t-shirt, topi & sebagainya. Semua corak yang berwarna warni di sini dihasilkan sendiri oleh pemilik Limbong Arti. Sekiranya anda belum memiliki pakaian batik yang santai-santai, apa kata ke sini dahulu sebelum jalan-jalan sekitar Pantai Cherating.

See Also
Bidaisari Resort

Kalau bercuti tepi pantai mestilah ada pakaian batik yang ‘sempoi’ bukan ? Mengenakan pakaian santai sebegini baru bercuti di pantai namanya. Selain itu, di sini juga ada kelas untuk pelancong merasai pengalaman mewarna & mencanting batik. Tak perlu susah-susah nak ke Chendering, Kuala Terengganu untuk belajar mewarna batik, di Cherating pun ada. Kalau bercadang nak buat batik DIY anda sendiri, sebaiknya datang awal kerana tempoh batik DIY nak kering mengambil masa yang lama. Kalau anda datang waktu petang, bermaknanya esoklah baru boleh ambil batik DIY anda itu.

 Lokasinya yang terletak berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu juga menjadi salah satu faktor yang menarik ramai orang untuk ke sini. Oleh itu, jomlah kita ke Cherating pada cuti sekolah yang akan datang.

Sumber:

1) https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-cherating/

2) https://ammboi.my/tempat-menarik-di-cherating/

3) https://mytrip123.com/tempat-menarik-di-cherating/

error: Content is protected !!