Petai

Suka makan petai tetapi tidak tahan akan baunya busuknya yang kuat? Rasanya ramai individu yang bersifat begitu. Akan tetapi, banyak khasiat kebaikannya.

Lihat sahaja nenek dan atuk kita yang tinggal di kampung, rata-rata mereka memiliki fizikal yang masih kuat dan bebas penyakit kerana sering memakan ulam-ulaman.

Sekitar pertengahan tahun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri ada mengeluarkan kenyataan dan infografik dimana, mereka mengesyorkan supaya masyarakat hari ini mengamalkan pengambilan petai.

Ini kerana, ulam yang satu ini dipercayai mengandungi khasiat hebat tersendiri -mampu melawan dan mengelak pelbagai penyakit berbahaya seperti Kanser, di samping kaya dengan kandungan antioksidan untuk melindung sel-sel dalaman tubuh daripada terjejas.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia lagi, petai yang kaya dengan Vitamin A, B1, B2, B3, C dan E itu berupaya menjadi penawar kepada gejala depresi (kemurungan), membantu dalam penurunan berat badan, meningkatkan tenaga serta menguatkan daya ingatan!

Namun begitu, ramai yang takut memakan petai kerana bau busuk yang dihasilkannya. Meski petai boleh dimasak menjadi sebuah hidangan enak berupa sambal atau gulai tempoyak, masih ada individu cuba mengelak gara-gara bau busuk petai yang dikhuatiri menghancingkan tandas.

Menurut kajian saintifik, kandungan Sulfur tinggi di dalam Petai yang sebenarnya menjadi penyebab utama mengapa ianya berbau busuk.

Untuk kamu yang suka menikmati petai tetapi masih ragu dan risau jika bau busuk semerbaknya bakal meninggalkan kesan buat persekitaran tandas di pejabat atau di rumah, ini petua berkesan bagaimana kamu mampu mengurangkan bau busuk petai.

Cara 1: Minum Susu

Sebelum dan selepas menikmati hidangan masakan yang dimasak dengan petai, cuba minum susu segar. Cara ini dikatakan akan meneutralkan bau busuk petai dan membuatkan air kencing kurang hancing.

Cara 2: Minum Kopi

Siapa tahu, air kopi juga mampu meneutralkan bau busuk petai di dalam tubuh. Andai kamu gusar jikalau tandas dicemari bau petai yang hadir menerusi air kencing, boleh lekas minum secara air kopi yang dibancuh tanpa gula.

Cara 3: Minum Teh

Sama seperti air kopi, meminum teh yang dibancuh tanpa gula juga dikatakan berkesan untuk mengurangkan bau petai dalam air kencing. Kalau kamu bukan penggemar kopi mahupun susu, teh adalah pilihan yang tepat.

Cara 4: Kunyah Beras Mentah

Jika cara meminum susu, teh dan kopi dipercayai mujarab untuk menghilangkan bau petai pada kencing, cara mengunyah beras ini pula boleh diaplakasikan jika kamu mahu membebaskan mulut daripada berbau busuk selepas memakan petai. Macam pelik. Tetapi belum cuba, belum tahu kesannya kan?

Cara 5: Kumur Dengan Air Garam

Selain berkumur dengan cecair pembasmi kuman yang boleh menyegarkan kembali bau nafas, kamu sebenarnya boleh berkumur dengan air yang telah dicampur dengan garam untuk menghilangkan bau busuk petai daripada terus melekat di dalam mulut.

Rendaman Air Beras Berkesan Hilangkan Bau Petai

Jika tadi petua untuk hilangkan bau mulut yang disebabkan petai adalah dengan mengunyah beras mentah. Ini pula petua untuk mengurangkan bau petai sebelum ia dimasak -adalah dengan merendam petai di dalam air yang diambil daripada sisa basuhan beras.

Caranya:

  1. Potong petai kecil-kecil
  2. Sebelum mula memasak, rendam seketika potongan petai tersebut di dalam air basuhan beras.
  3. Toskan air dan bilas bersih.

Hasilnya, Petai jadi kurang berbau dan boleh dimasak seperti biasa.

Jering Dan Kerdas Juga Ulam Yang Busuk Tetapi Sangat Berkhasiat

Sejak berzaman lamanya, amalan memakan ulaman adalah merupakan suatu kemestian terutamanya bagi populasi asli kampung kerana sayuran jenis ini mudah didapati di hutan-hutan.

Hidangan ulam lazimnya ditemani cicahan berupa sambal belacan, air asam, budu dan cencalok -sesuai dengan cita rasa orang Melayu yang memang menggemari makanan berlandaskan rasa pedas.

Selain Petai, ada dua lagi jenis ulaman yang mengeluarkan bau busuk tetapi sangat digemari pencinta ulaman di sekitar pelusuk Asia seperti Singapura, Thailand dan Indonesia. Ini termasuklah Jering dan Kerdas.

Bagi yang pernah merasainya, Jering dikatakan memiliki bau busuk yang jauh lebih kuat berbanding Petai manakala, Kerdas pula akan memberi impak kepda bau nafas seseorang yang agak sukar dihilangkan buat beberapa ketika selepas memakannya.

Biarpun begitu, kedua-duanya mempunyai khasiat yang sama banyak dengan Petai. Mungkin kerana ia dimakan mentah sebaik dipetik dari pohon-pohon yang meliar di kawasan hutan malah, cara memasaknya yang ala kadar iaitu dengan mencelur atau merebus sahaja sudah cukup untuk buatkan kandungan zat galian yang dimiliki ulaman berbau ini dapat dikekalkan.

Ada berani? Nanti bolehlah mencuba himpunan petua di atas untuk elak kencing dan mulut menjadi busuk selepas memakan Petai.

SUMBER

https://www.keluarga.my/kurangkan-bau-petai-dengan-cara-mudah-ini-confirm-baunya-tak-kuat/

https://iluminasi.com/bm/3-jenis-ulam-yang-berbau-busuk-tetapi-banyak-khasiatnya.html

Summary
Suka Makan Petai Tapi Tak Tahan Bau Busuk? Ikuti Petua Ini
Article Name
Suka Makan Petai Tapi Tak Tahan Bau Busuk? Ikuti Petua Ini
Description
Suka makan petai tetapi tidak tahan akan baunya busuknya yang kuat? Rasanya ramai individu yang bersifat begitu. Akan tetapi, banyak khasiat kebaikannya.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: